DSC_0405me

Dalam diri. Itulah.

Cinta dan benci, datang dan pergi. Terlalu banyak cerita yang ingin ditulis, tetapi ada sebahagiannya bukan untuk dikongsi.

Barangkali, seperti surat cinta, yang sifatnya terlalu peribadi. Tulus dan istimewa.

“Mak, mana semua surat-surat Ila?” tanya saya ketika menyelak alas katil. Bawah katil yang kosong, seperti kosongnya sebuah fail yang bernama ‘kenangan’.

“Sudah buang!” Mak jawab tanpa perasaan.

“Ala…orang nak buat rujukan manuskrip terbaru ni…”

KOMA

Banyak perkara dalam kehidupan ditangani dengan corak yang berbeza.

Ada yang boleh dicakapkan terus. Done!

Ada yang terpaksa dikias-ibarat-sindir-sinikal. Selesai juga setengah.

Ada yang tak terungkapkan. Simpan dalam hati dan doa sahaja ia berlalu pergi. Tidak selesai jika begini, kawan.

Segala rasa itu saya mahu bukukan dalam bentuk yang lebih ‘terpelajar’. Kerana saya pernah diajar untuk kurang ajar, dan kini saya mengerti, setiap perkara perlu dihalusi kembali.

Mungkin melalui surat.

“Itulah konsepnya. Sebagai contoh, saya tak suka babi. Okey, saya akan tulis surat kepada babi.”

“Tetapi, babi tak pandai baca.”

“Contoh sahajalah!”

 KOMA

Dihubungi seorang kawan lama. Kawan blog tentunya – Oh, benar, saya kira-kira sedari tahun pertama saya berblog, kawan yang terkumpul lebih banyak daripada kawan yang bersapa wajah setiap hari di sekeliling.

Kami bercerita tentang cinta dan benci. Cinta dan benci. Itu asas dalam jiwa manusia.

“Awak sudah lama tidak menulis blog.” Dia berkata lewat talian telefon.

“Oh? Saya ada tulis la. Hampir setiap bulan kalaupun bukan setiap hari seperti dalam blog rahsia saya.” Jawab saya.

Ada tawa kecil di hujung talian.

“Maksud saya, tulisan yang seperti dahulu. Awak yang dulu.” Dia bersuara lagi.

Dan kata-katanya membawa saya kepada pintu-pintu yang tersimpan di dalam blog ini. Pintu yang jika dibuka, penuh dengan cerita. Saya hanyut. Sehingga pada satu detik, saya merasakan, ya, mana saya yang dahulu? Yang menulis dari hati. Yang membuang segala rasa di sini?

Ia bagai surat-surat cinta kepada diri sendiri. mengingatkan diri tentang siapa kita dahulu, kini dan mungkin esok lusa.

“Emm..saya tulis biasa-biasa sahaja kot sekarang ini kerana yang rahsia, tentang rasa, semuanya ada di blog rahsia.” Jawab saya dengan gelak yang riang.

Riang kerana kami masih terikat dengan ‘tali-tali’ lama yang menemukan kami sebelum ini. Kisah dia, kisah mereka, menjadi sebahagian diri saya yang manis untuk dikenang.

Terlalu banyak yang ingin saya kembalikan di sini. Di blog ini. Walaupun bukan sepenuh rasa, tetapi saya merasakan blog ini adalah harta saya yang amat berharga – yang di dalamnya saya menemui diri yang pernah ada dan pernah hilang.

Tidak mungkinlah saya akan sama dengan saya yang dahulu. Namun, rasa yang ada, tidak ingin saya sia-siakan.

Terima kasih kawan yang selalu percaya kepada saya. Percaya kepada rasa yang pernah kita kongsikan bersama.

Insya Allah, saya akan tekun mengerjakan naskhah itu. Surat-Surat Kepada Mereka. Doakan.

Yang Benar,

Saya yang masih ada.

Sebuah perigi. Dan airnya yang jernih, bersih, suci.

Dalam perjalanan mencari sesuatu, kita kehausan. terjumpa sebuah perigi. Kita timba airnya. Kita raup ke wajah, membersihkan debu habuk perjalanan. Kita tuang sebahagiannya ke kaki dan ambil sebahagiannya untuk membasah tengkuk buat menyegar tubuh seketika. Kita timba lagi. Air jernih yang sama kita reguk untuk membasah tekak dan memberi tenaga, sekurang-kurangnya untuk melangkah lebih dan lebih lagi.

Setelah puas, kita berehat. Dari situ, kita pandang lagi perigi yang baru kita singgahi. Ah, betapa perigi itu tidaklah secantik mana, tetapi memberi lega yang bukan kepalang. Buat kita, pengembara kehidupan.

KOMA

CPSF

Kulit buku CPSF – lihat, banyak bunga. 😛 (Sebagai editor, kulit buku ini agak ‘gagal’. Boleh dicantikkan lagi. :P)

Begitulah yang saya rasa tatkala membuka helai demi helai buku ini – Catatan Pengembaraan Seorang Flowerman (CPSF). Buku yang berbentuk novel grafik ini sudah tentulah unik dan jarang kedapatan di dalam negara ini. Kalaupun industri buku grafik – komik – sudah mula berkembang dengan banyaknya malahan pula mendapat sambutan yang baik, novel grafik masih belum banyak diterbitkan (pendapat sendiri berdasarkan pengalaman pembacaan sendiri).

Saya pernah membaca beberapa buah buku travelog. Ya, semuanya memberi pengalaman baru kepada saya. Pengalaman mengembara dan meneroka dunia luar, bagi saya amat perlu dibukukan. Sekurang-kurangnya untuk catatan peribadi si pengembara. Selebihnya, memberi peluang kepada mereka yang tidak mampu mengembara, untuk sama-sama merasai pengalaman di negara orang melalui pembacaan. Itupun sudah mencukupi untuk mengayakan pengalaman.

Namun, secara peribadi saya katakan buku CPSF ini begitu unik. Mungkin kerana bentuknya dihadirkan sebegitu – novel grafik – Satu pendekatan yang catchy dan menarik apatah lagi grafik di dalamnya bukan sahaja dilukis sendiri oleh penulisnya, malah, sisipan gambar-gambar asal (gambar original) juga merupakan satu bonus yang menjadikan buku ini ‘cantik’ dan ‘sedap’ untuk dibaca.

KOMA

Ia bermula dengan cincin. Cincin yang disuakan oleh kawan baiknya untuk melamar gadis pujaan. Shah mula bermonolog dan merenung secara serius tentang kehidupannya, keinginan seorang lelaki, dan mula memandang perjalanan hidupnya bagai ada kelompongan.

Camera 360

Tajuk buku tak boleh ‘blah’. Ha ha ha…

Melihat diri. Tanya-tanya mula menyinggah – How much effort should one put into getting a lady’s attention? – ini adalah pertanyaan yang akan membiakkan tanya-tanya yang lain. Dan sudah tentu pembaca mengharapkan jawapan.

Camera 360

Plot berkembang dengan baik. Aktiviti pelajar-pelajar di luar negara mengisi ruang cerita. Dan di situlah cerita bermula. Shah bertemu dengan seorang gadis, Lily Suryanie. Klise, namun babak itu digambarkan agak baik dalam bentuk grafik begini. Mata bertentang, dada bergoncang, jiwa menekan dan tanya-tanya mendesak jawapan.

Saya suka babak ini. ia mengajak pembaca untuk bersama-sama memikir ‘cara’ untuk menangani ‘rasa’ penulis. Dan di sini kita mengenali ‘hati kiut’ seorang Shah.

Camera 360

Dan babak ini mengingatkan saya kepada kisah Gadis Oren karya Jostein Gaarder. Tentang hati seorang lelaki dan monolog-monolog yang berlaku ketika bertemu dengan gadis pujaan.

Paparan perbualan melalui Yahoo Messenger membantu plot berkembang dengan lancar. Cerita terus berkembang seperti biasa. Babak perkenalan, saling rapat dan duga-menduga disemikan dengan perjalanan dan cabaran Shah sebagai seorang pelajar PhD bidang Kejuruteraan.

Camera 360

Ha ha ha…

Betapa, catatan perjalanan ini agak menarik. Pembaca dihadapkan dengan cabaran-cabaran pelajar di luar negara. Bukan sahaja soal proses pembelajaran yang memerlukan ketekalan yang tinggi, malah cabaran-cabaran persekitaran – budaya, agama dan keselamatan di negara orang menjadi satu pengalaman yang tidak semua orang alami.

Shah terus mendepani cabaran-cabaran ini di samping rasa cinta yang mula tumbuh. Tiba-tiba…pap..

Lily sudah berpunya.

Camera 360

Ini anti klimaks yang ingin pembaca ketahui dan beri fokus sepenuhnya.

Bagaimana Shah menangani situasi ini di samping perjuangan menulis tesisnya? Bagaimana pula persediaan Shah dalam menghadapi perjalanan akhirnya sebagai pelajar yang menginginkan kejayaan menjadi miliknya melalui proses Viva yang dikatakan titik antara ‘hidup dan mati’ seorang pelajar PhD?

Pergelutan ‘rasa’ cinta dan pelajaran yang perlu dilunasi inilah cerita yang sebenar dalam CPSF.

Dan akhirnya, tanya-tanya tentang kehidupan menggamit pembaca untuk berfikir lagi dan lagi.

Hidup ini untuk apa?

KOMA

Ketika buku ini tiba di meja kerja saya, hampir sahaja saya melompat girang. Penantian tidak begitu lama sedari Mrflowerman mengepos buku ini untuk saya. Menelusuri kerja-kerja yang dilakukan, buku komik dan novel grafik serta ‘webcomic’, nyata beliau memang meminati bidang ini dan berusaha menghasilkan sesuatu yang diminati.

Dan usaha ini melahirkan produk yang bukan calang dan bukan main-main.

Membaca CPSF juga membaca saya kepada kisah Kartini oleh Tembakau. Ia sebuah kisah perjalanan manusia. Namun, bagaimana perjalanan itu disudahkan.  Ini merupakan travelog ‘jiwa’ penulis sendiri dan bagaimana jiwa itu dibentuk agar terus kuat. CPSF juga mengajak wanita-wanita yang masih mencari pasangan hidup untuk mengenali hati kecil seorang lelaki. Apa sebenarnya yang lelaki mahukan.

Saya suka buku ini. Elemen serius, sarkastik, humor, dan santai digaul dengan baik. Kisahnya disudahkan dengan wajar dan waras. Dan sepatutnya ia dibukukan begitu – bahawa segala masalah dalam kehidupan mampu diselelsaikan dengan menggunakan akal fikiran yang waras. Dan Dr. Shah Ibrahim membuktikannya dengan membukukan ‘masalah dan cabarannya’.  Masalah dan ‘kesakitan’ itu disalurkan  dalam bentuk yang cantik dan manis ini – buku Catatan Perjalanan Seorang Flowerman.

Inilah yang saya kaitkan dengan sebuah perigi. Walaupun perigi itu sendiri tidak menarik di pandangan mata, tetapi airnya jernih dan melegakan rasa.

Cumanya, penerbitan novel grafik CPSF menggunakan teknik ‘sew binding’ tidak sesuai dengan penggunaan kertas jenis ‘art paper’ yang agak berat. Walaupun paparan setiap muka surat cantik, natijahnya, helaiannya mudah tercabut kerana tidak sesuai dengan keberatan buku itu sendiri.

Buku berharga RM 32 dengan 157 muka surat ini merupakan sebuah buku yang berbaloi untuk dimiliki! Percayalah!

Boleh dapatkannya di https://www.facebook.com/Mrflowermanstudio.

 

Ini bukan rasa yang biasa. Seingat saya hanya ada beberapa orang yang saya tangisi pemergiannya. Hanya beberapa, dan mereka yang pergi boleh dikatakan tidak serapat manapun dengan saya. Malah, ada yang saya tidak pernah temui.

Pelik. tetapi, itulah barangkali permainan usia telah buat kepada saya. Mungkin usia yang sudah hampir ke garisan ‘kuning’ membuatkan saya lupa perjalanan yang ‘hijau’. Dan seterusnya menjadikan saya sungguh sensitif sehingga air mata tidak mampu dikawal. Perjalanan usia juga membuatkan saya semakin faham erti kemanusiaan, kehidupan dan kematian.

KOMA

Kami bercerita. Dengan suara tinggi rendah intonasinya. Pelbagai topik yang dibicarakan. Dan sesekali tawa mengambil tempat di lengkungan yang melucukan.

Sesekali saya membelek telefon yang di dalamnya juga terkandung pelbagai cerita malah ada sebuah cerita yang sedang saya nantikan pengakhirannya. Dan … nah…

Cerita itu baru sahaja tamat. Saya membaca berita itu dengan perasaan yang sama seperti beberapa cerita yang pernah dialami sebelum ini. Saya simpan tangis dalam hati. Saya simpan rasa kejap-kejap dalam jiwa. Cerita yang mengalir membentuk sebuah rasa yang sangat pedih.

Masih dengan persoalan-persoalan yang sama.

Bagaimana mereka menghadapi situasi ini? Saya ingin bertanya. Sangat ingin. Namun, akhirnya ia hanya menjadi sebahagian rasa sendiri, mengikut acuan sendiri dan pernah sekali ia terbentuk menjadi sebuah cerpen. Cerpen Mak Ngah yang pernah saya tulis adalah sebahagian reaksi tanya-tanya saya kepada sebuah kehilangan. Kehilangan orang yang tersayang.

Saya pernah menangis, dengan sungguh-sungguh apabila menerima berita seorang rakan penterjemah yang tidak rapat malah hanya beberapa kali kami bersua dan berbual. Saya lebih fikirkan perasaan isteri dan anak-anaknya yang kerapkali saya ikuti kisah mereka di FB.

Juga seorang rakan penulis, pembimbing malah orang yang menggerakkan saya untuk memulakan penulisan sebuah novel, pergi meninggalkan dunia dalam satu ruang yang tidak saya ketahui dan tidak sempat saya lawati. Ia sebuah rasa yang sangat berat.

Apatah lagi dengan pemergian seorang bayi berusia 6 bulan, yang pergi secara tiba-tiba dan ia juga mengundang air mata yang bukan sedikit ketika saya menelusuri perasaan ayah bondanya di blog mereka.

Sungguh. Saya tidak dapat bayangkan bagaimana kehilangan-kehilangan itu akan menemui saya kelak. Saya akan menemui kehilangan itu. Akan. Tuhan, sedang melihat saya. Melihat saya bereaksi atas kehilangan orang lain. Saya perlu bersedia.

Dan tentulah sebagai manusia biasa, kita rasa tidak adil. Kenapa dia…kenapa bukan orang itu atau itu yang sepatutnya mati. Kenapa dia yang baik mesti pergi meninggalkan dunia. Kenapa tidak si celaka itu atau si bangsat yang itu yang mam’*& sahaja.

Itu mungkin sebahagian rasa mereka yang kehilangan. Atau mungkin saya sahaja yang meracau begitu sedangkan kehilangan sepatutnya diredhai. Menerima.

KOMA

831_377025969060388_917394886_n                                                 *Kredit foto : FB We Love Adam Azfar

Seorang kawan, baru sahaja kehilangan anak sulungnya, Adam Azfar yang menghidap penyakit tumor otak.

Saya tidak tahu apa yang Jimadie rasa. Saya tidak merasa apa yang dilalui. Saya tidak melalui apa yang ditempuh oleh Jimadie. Saya cuma mampu berdoa…doa…doa..yang banyak agar mereka sekeluarga kuat kerana saya yang bukan siapa-siapa inipun sangat tidak kuat menerima berita itu.

Sungguh, Allah lebih tahu walaupun kita cuba mencari tahu apa yang telah terjadi.

Al-Fatihah buat Arwah Adam Azfar yang telah pergi. Damailah di sana, di bawah perkasihan-Nya.

934168_10151442026493807_262349056_n

Oh, berkali-kali saya menulis tajuk untuk entri kali ini. Tulis dan padam. Tulis dan padam. Rasanya saya tidak layak menulis tips ini kerana saya bukanlah pakar menulis ulasan. Saya cuma pernah menang dua kali sahaja. Itupun bukan tempat teratas. Selainnya hanya catatan rasa mengenai buku yang ditulis secara sederhana di dalam blog ini.

Namun, saya percaya, ulasan bukanlah satu bidang yang memerlukan kepakaran khas untuk melakukannya [menulis ulasan]. Ia lebih kepada kesedaran yang tinggi ketika membuat ulasan, tidak kiralah ulasan buku, rancangan televisyen, filem, masakan, atau apa sahaja.

Apa yang penting, ketika mengulas, segala maklumat perlu diketahui dengan jelas dan bukannya sekadar tempelan atau omong kosong menyedapkan rasa apatah lagi semata-mata untuk membodek atau ‘dibayar’ untuk menaikkan rating sesuatu yang diulas.

KOMA

27185_317083203806_5033634_n

Ada beberapa perkongsian yang menarik. Saya kongsikan urlnya di sini;

http://anuarmanshor.blogspot.com/2010/02/ulasan-buku-penting-dalam-industri-buku.html

Di dalam artikelnya, Anuar Manshor menjelaskan kepentingan ulasan buku dalam dunia perbukuan.

http://edukasi.kompasiana.com/2013/03/13/7-cara-jitu-menulis-resensi-buku-542544.html

Url kedua ini yang saya anggap perlu dikongsikan, menyenaraikan beberapa tips asas dalam kerja-kerja mengulas buku.

Juga saya kongsikan dua ulasan buku yang pernah saya tulis dan memenangi pertandingan ulas buku.

https://psittacula.wordpress.com/2012/05/31/gadis-oren-teropong-masa-lampau/

https://psittacula.wordpress.com/2011/05/16/facing-the-harbour-menyelami-dunia-wanita/

Ini ulasan buku oleh salah seorang pemenang utama ulasan tahun lepas;

http://muhammadlutfi.blogspot.com/2012/05/ibn-khaldun-dari-nubari-mohammad.html

KOMA

Okey, sekarang mari kita berkongsi ilmu membuat ulasan buku yang baik.

Pertama sekali betulkan NIAT.

Ini pesanan yang penting kepada pengulas – sama ada ulasan itu dihantar untuk pertandingan atau ditulis untuk mendapatkan imbuhan (ada majalah yang membayar ulasan buku yang ditulis), atau sekadar suka-suka menulis ulasan di blog peribadi, niat yang utama ialah ‘berkongsi nilai buku yang diulas’.

Buku yang mempunyai nilai baik [tema dan cerita yang dibawa, gaya bahasa, dan sebagainya], wajar dikongsikan kepada umum, agar buku yang sebegitu akan terus hidup dan dimanfaatkan oleh masyarakat.

Buku yang mempunyai nilai yang buruk [boleh menyeleweng akidah, bahasa yang buruk, tema yang tak sesuai dengan beberapa sasaran pembaca dan sebagainya] pula, juga perlu diulas agar masyarakat tahu kewujudan buku tersebut dan mengelak untuk dibaca.

Bagi saya inilah tujuan utama kita mengulas sesebuah buku. Kita mahu sebarkan kebaikan dan mencegah keburukan buku tersebut kepada masyarakat.

Buku yang popular tidak semestinya berkualiti. Buku yang berkualiti pula selalunya tidak popular.

Mari kita popularkan buku berkualiti dengan menulis ulasan mengenainya.

Mudah kan?

Seterusnya saya kongsikan tips-tips asas mengulas buku.

  1. Tajuk ulasan – Tulis nama buku dan tajuk kecil (tagline) yang merangkumi keseluruhan buku. Pilih tajuk yang ‘catchy’. Rujuk tajuk-tajuk akhbar tempatan yang menggunakan ayat ringkas tapi menggamit pembaca untuk membaca keseluruhan berita. Begitulah. Contoh; Kuasa Kata – Apabila kata-kata menjadi cinta! (Buku Kuasa Kata karya Mahaya Mohd. Yassin)
  2. Perenggan pertama ulasan, boleh sahaja tulis tentang petikan-petikan menarik dalam buku tersebut (rujuk ulasan Gadis Oren yang saya tulis). Boleh juga memuatkan pendapat peribadi tentang buku, latar belakang buku dan penulis dan ciri-ciri teknikal buku.
  3. Isi – tulis pendapat peribadi beserta fakta tentang apa sahaja yang mahu dikongsikan kepada pembaca tentang buku itu. Dalam bahagian ini saya bagi tips bagaimana mahu menulis keistimewaan atau perkara penting tentang buku yang diulas – semasa membaca, buat nota ringkas – tentang apa sahaja yang menarik untuk dikongsikan. Dengan itu, kebanyakan isi ulasan akan kita peroleh dengan mudah tanpa menyelak-nyelak kembali buku tersebut.
  4. Jika boleh, ambillah gambar buku dari pelbagai sisi atau gambar-gambar dalam buku [jika ada], dikepilkan bersama ulasan. Ilustrasi boleh buat jiwa pembaca tenang sebelum meneruskan bacaan ulasan.
  5. Masukkan pendapat-pendapat orang lain mengenai buku ini – boleh sahaja setuju atau tidak setuju dengan pendapat orang lain.

Tips ringkas ;

  • Pilih buku yang paling kita sukai atau beri kesan secara mendalam kepada kita.
  • Usah fikir ketebalan atau kenipisan buku akan mempengaruhi kehebatan sesebuah ulasan.
  • Gunakan gaya bahasa sederhana. Elakkan menulis dengan menggunakan istilah-istilah yang berat. Tugas pengulas ialah memudahkan pembaca memahami buku itu.
  • Panjang atau pendeknya ulasan tidak penting. Yang penting isi yang ingin disampaikan.
  • Buku lama atau buku baharu juga bukan faktor penting untuk ulas buku. Namun, ia akan beri kesan juga akhirnya – Jika buku baru, ia akan laris dipasaran. Jika buku lama, kemungkinan akan diterbitkan semula hanya kerana ulasan anda.
  • Elak memasukkan terlalu banyak pendapat pengulas lain. Sebaiknya tekalkan dengan ulasan dari perspektif sendiri.
  • Sebaiknya, masukkan maklumat lengkap buku – penulis [sedikit latar belakang penulis], buku-buku yang segenre dengannya atau buku-buku yang ada kaitan sama dengan buku yang sedang diulas, penerbit, siri-siri lain, dan sebagainya
  • boleh sahaja masukkan cerita dari buku lain yang punya kesamaan dengan buku yang diulas tapi jangan terlalu banyak sehingga menenggelamkam topik utama – buku yang sedang diulas.
  • Paling penting, gunakan bahasa Melayu/Inggeris standard.

Dah banyak sangat kot. Okeylah, berhenti! Jika ada tambahan tips, boleh kongsikan.

KOMA

Camera 360

Tahun ini, saya tidak layak menyertai pertandingan ulasan buku seperti tahun-tahun sudah. Ikhlas, jika saya layak pun, tujuan saya bukannya untuk menang. Ia lebih kepada keterujaan berkongsi buku yang menarik. Di dalam blog ini juga, ada beberapa buku yang saya ulas sekadar untuk tatapan umum.

Selamat berusaha kepada kawan-kawan yang sedang bertungkus-lumus menyiapkan ulasan untuk Pertandingan Ulasan Buku yang dianjurkan oleh Institut Terjemahan & Buku Malaysia. Sudah beberapa tahun pertandingan ini dijalankan dan mendapat sambutan yang menggalakkan dengan hadiah tak kurang hebatnya. Lihat sahaja tahun ini, hadiahnya menarik dengan tambahan baucer buku yang nilainya 10 kali ganda nilai buku.

Harapan saya, penerbit-penerbit lain turut mengadakan pertandingan ulasan buku sepertimana yang ITBM lakukan. Saya pasti ada beberapa institusi pernah mengadakan pertandingan ulasan buku, cuma tidak diuar-uarkan sahaja.

Ulasan buku (khususnya), mempunyai kesan yang besar dalam mengubah lanskap dunia perbukuan di Malaysia. Malah, paling penting ia banyak membantu masyarakat Malaysia dalam memilih buku yang baik untuk dibaca, mengetengahkan buku yang wajar dibaca dan akhirnya mendidik masyarakat agar lebih gemar membaca.

Selain itu, paling penting, kita membawa buku-buku ke ‘perut’ dunia dan membincangkannya agar buku itu tidak tenggelam di ‘perut’ bumi. Rugi jika buku yang baik tidak dibincangkan secara meluas.

Yuk, kita ulas buku!

Ini adalah hari untuk kita bertemu. Dan saya mahu menduga saudari. Sejauh mana…

Dan debaran demi debaran bermula.

Fasa singkat.

Penantian mengikat.

KOMA

Seingat saya, dalam kehidupan yang sehingga detik nafas ini, ada beberapa temu duga yang pernah saya hadiri. Sejak mula mahu mengenal erti kerja, sehingga mencari erti jejak langkah kehidupan. Semuanya beri pengalaman yang pelbagai. Pernah saya ceritakan di dalam FB semasa saya baru menyudahi sebuah temu duga yang ‘menyayat hati’ tidak berapa lama dahulu sehingga menyimpulkan : temu duga ialah untuk mencari orang-orang yang kita suka. Dan sehingga kini saya masih menyetujui itu.

Itulah satu-satunya temu duga yang paling ‘buruk’ yang pernah saya alami (juga kawan-kawan seangkatan yang lain) sehingga saya sempat membuat catatan mengenainya (ketika hati dilanda emosi).

Temu duga ialah :

  • Temu duga ialah kita mampu bercakap-cakap tentang fikiran-fikiran yang mahu kita sampaikan. Tetapi itu hanya berlaku selepas temu duga.
  • Temu duga ialah provokasi, bijak bercakap dan menguji sikap terhadap sesuatu. Sedikit benar ilmu yang kamu pelajari di sekolah/universiti akan diujipakai.
  • Temu duga ialah penilaian : kamu gagal menyampaikan apa yang  sepatutnya dan penemu duga gagal memahaminya.
  • Temu duga bukan seperti sebuah puisi; Kamu rangkumkan seluruh kehidupan dalam bait-bait kata yang terpilih. Maka, jadilah ia sebuah puisi yang kamu fahami dengan jelas, tetapi tidak bagi penemu duga yang punya banyak tafsiran. Kamu salah atau mereka salah bukan lagi persoalannya. Pilihlah perkataan dan emosi yang jelas dan tekal untuk membayangkan siapa kamu.

KOMA

Catatan di atas saya tulis pada tahun 2011 ketika temu duga mahu dinaikkan gred. Kisah lama yang tak akan saya lupa sampai bila-bila.

Dan kini, tahun 2013, saya berhijrah ke organisasi baharu, yang sebelumnya melalui proses yang sama – temu duga.

Dan saya peroleh beberapa makna temu duga yang baharu. Antaranya;

“Temu duga ialah sesi menabur janji dengan harga paling murah  dan berharap semurah itulah kamu akan mengotakannya kelak!”

KOMA

Camera 360

Ini cerita lain.

PRU 13 baru berakhir. Janji-janji yang disebut dan dilaung pekikkan semasa kempen perlu ditunaikan oleh parti yang memenangai pilihanraya.

5 tahun ini ataupun kurang daripada itu [saya percaya setiap hari akan menjadi perit bagi pemenang], setiap kata harus ditunaikan. Setiap janji harus dikotakan.

Inilah temu duga yang paling besar bagi pemenang.

Ini cerita sama.

Dan saya, di sini dengan tugas yang semakin saya sukai, mengingat semula janji-janji saya kepada majikan ketika saya menawarkan diri untuk diambil bekerja. Saya janji, dan insya-Allah, saya tunaikan.

🙂

DSC_3135

Tujuh tahun. Ya, tujuh tahun bukanlah satu jangkamasa yang singkat. Jika ada anak sudah bersekolah darjah satu. Begitulah. Dari lahir, belajar meniarap, mengengsot, merangkak, papah, bertatih, berlari, bersosial, membaca, dan akhirnya bersekolah!

Saya tahu ia bukan jangkamasa yang pendek untuk dilupakan begitu sahaja. Namun, seperti usia seorang kanak-kanak, ia masih sempat untuk melentur agar yang terzahir kelak, membawa kesan kepada kehidupan.

KOMA

“Sudah tujuh tahun. Ia bukan satu jangkamasa yang pendek. Awak tidak sayangkah tempoh yang lama itu? Jika awak kekal di sini, awak pasti dinilai untuk kenaikan pangkat dan gred.” Kata bos.

Sayang? Sayang untuk apa? Sekadar sayang, oh ini hanyalah cebis-cebis perjalanan menuju kematian. ya. Kita akan mati bos. Sayang tidak bawa ke mana. Hanya memenuhkan usia yang akan berlangsung – sehingga mati. Bermanfaat atau mudarat.

Maafkan saya. Kadang, bukan soal sayang dan masa yang saya fikirkan. Beberapa tahun ini kehidupan agak kosong [bukan saya tak cuba penuhkan. Saya cuba.]

Dan satu lagi, saya bukan jenis kerja untuk dapatkan pangkat atau kedudukan. Saya cuma mahu mencari berkat dan kegembiraan dalam melakukan sesuatu tugasan. Dan hal itu tidak saya temui di sini.

Dan saya bukan Yunus. Seperti Yunus yang pada mulanya merasa putus asa, kecewa, lalu meninggalkan kaumnya sehingga Allah memberi pengajaran atas sikapnya itu melalui Nun, seekor ikan paus yang menelan Yunus dan mengajar Yunus erti kegelapan. Mengajar Yunus agar terus tekal berdakwah dan tidak berputus asa dalam menyeru kebaikan kepada umatnya.

Ya, mudah kata, saya bukan Yunus. Saya bukan Yunus, nabi yang diuji kerana segala amanah terpanggung di pundaknya sebagai manusia pilihan Allah untuk menyebar dakwah Islamiah kepada kaumnya.

Saya tidak kecewa kerana tidak mampu ubah sekeliling. Saya kecewa kerana saya gagal dalam masa yang lama ini, saya gagal mencari diri sendiri.

KOMA

Ia bukan keputusan yang mudah bagi mereka yang sudah terlalu selesa. Tidak dalam pongah saya katakan saya bersyukur kerana berani ambil keputusan memilih jalan ini walapun saya tahu jalan ini merupakan jalan yang amat baru bagi saya. Pasti cabaran dan halangannya tidak sama dengan jalan lama. Namun, saya tekad memilih jalan ini.

Saya juga, tidak semberono memilih jalan ini sebelum saya kuatkan hati, buka minda dan seterusnya bertanya kepada beberapa rakan baik tentang hal ini.

Dan akhirnya, di sinilah saya – di ruang yang baharu, yang terhias rimbunan pohon buku yang saya idamkan dan impikan selama ini. Saya berharap inilah keputusan terbaik yang saya buat dengan tawakal kepada Allah sepenuhnya.

Selamat datang saya. Semoga jalan ini jalan yang memberi nafas dan jiwa baharu kepada saya tanpa menafikan sumbangan jalan lama yang banyak mengajar erti jatuh-bangun saya dalam kehidupan.

Saya, dalam perit pedih hati, dan kemudian bangkit berani, bukan lagi seorang wartawan. Saya kini Editor!

DSC_3149

 

Hari ini 31 Disember 2012. Lebih tepat lagi hari ini merupakan hari terakhir bagi tahun 2012. Di FB sahaja, bertali arus yang mengucapkan selamat tinggal kepada 2012 dan bersedia dengan semangat menggamit 2013.

Masa.

Teringat novel Gadis Oren yang saya baca dan ulas pada tahun ini [dan ulasan itu memenangi hadiah di tempat keempat dengan ganjaran baucar sebanyak RM200].

Dalam novel itu konsep masa menjadi plot kepada jalan cerita. Bagaimana masa menemukan watak-wataknya. Bagaimana masa memanipulasi konflik yang dicetuskan. Bagaimana masa menjadi satu perkara yang sangat penting sehingga segala cara dilakukan demi memenuhi masa.

Dan begitulah kehidupan. Masa dan nyawa.

Islam.

Dalam agama Islam sendiri, konsep masa sangat diutamakan. Menghargai masa sangat dituntut kepada setiap umat.

Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan beramal shalih, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan kesabaran. [al-‘Ashr 103:1-3]

Berdasarkan surah di atas, fahami konsep masa yang dilingkungi ajaran Islam. Masa yang ada hanya sementara, jangan bertangguh. Juga memanfaatkan masa di dunia sebaiknya.

Saya tidak mahu menjadi orang yang rugi lagi dengan melakukan hal yang sia-sia. Itulah keputusan yang saya ambil penghujung tahun 2011. Tidak disangka keputusan baik dan bermanfaat itu tidak dipersetujui oleh kawan yang masih mahu bergelumang dengan kezaliman kepada diri sendiri. Penghujung 2011 juga saya mengalami ujian maha berat dan Alhamdulillah, sepanjang tahun 2012, segalanya manis dan berada dalam landasan yang terbaik hasil keputusan yang telah dibuat.

KOMA

2012

Terlalu banyak yang tercatit. Itu penting untuk diri sendiri. Menilai kembali diri, kawan, keluarga dan segala yang berkaitan. Kerana ia menyumbang kepada baik atau jahatnya diri, seterusnya, menjadikan kita siapa pada masa akan datang.

Memiliki kawan-kawan yang baik, dijauhkan daripada kawan-kawan yang ‘busuk’, merupakan nikmat tidak ternilai. Di kala diri diuji, masih ramai menyebelahi dan memahami, malah lebih akrab dan lebih senyum terukir. Syukur pada Mu ya Allah atas ingatan yang diberi.

Memiliki kekuatan semula dan mula bekerja dengan lebih konsisten tanpa gangguan, berusaha menjadi yang lebih baik dari hari sebelumnya, dan kini mencicip manisnya kehidupan.

Memiliki Umar, pelengkap bahagia.

Memiliki cinta, setelah kelemahan dan kebobrokan menjadi perbincangan yang waras dan wajar. Ya Allah, nikmat manakah yang hamba-Mu ini lupakan. Maafkan daku ya Allah.

Dan macam-macam lagi senyum bahagia mengiringi 2012 yang bermakna.

Terima kasih Allah untuk kesekian kali tanpa jemu sehingga mati!

KOMA

Untuk 2013, sudah tentu azam-berazam akan meniti dibibir dan melekap di hati seperti biasa-biasa.

Senaraikan sahaja. Ia tidak salah malah merancang itu dituntut dalam kalendar perjalanan setiap muslim.

Untuk 2013, semoga umur panjang bagi mencicip nikmatnya hidup bersama mereka yang dikasihi.

DSC_2299

Saya memilih ketam masak lemak cili api sahaja.

Bayangan terus kepada haiwan yang berjalan senget dan mempunyai pengepit yang berbahaya.

Mungkin juga bayangan kepada menu yang lazat berasaskan ketam. Ketam masak lemak misalnya. Atau isi ketam yang diinovasi memudahkan pelbagai jenis masakan dihasilkan.

Mungkin juga ada bayangan Pulau Ketam yang indah menyinggah benak kita.

Itulah ketam.

KOMA

Minggu lepas, saya banyak bercakap tentang ketam. Bukan kerana baru menikmati Mi Kari Ketam yang heboh dalam rancangan ‘berjalan-jalan-eh-terjumpa-makanan’ itu. Bukan juga mengimbas semula babak bibir luka kerana tidak tahu cara yang betul menikmati ketam masak lemak.

Bukan juga bising-bising tentang ketam yang mengejar anaknya jalan senget.

Oh. biarlah ketam mengajar anaknya jalan senget. Memang itu budaya ketam. Siapa kita untuk membetulkan ajaran-ajaran mak ketam kepada anaknya. Ia umpama ada-orang-luar-yang-mengajar-ajar kita-supaya-kita-hidangkan pizza-spageti sebagai makanan harian kepaada anak kita.

Saya bercakap tentang ketam dan tabiatnya yang suka mengepit dan hal ini menjadi metafora untuk sikap dengki dan khianat.

Cuba baca ini. ISTILAH “mentaliti ketam” (crab mentality) telah diperkenalkan pada mulanya oleh Datuk Dr. Jeffrey Kitingan.

Mungkin saya terlalu beremosi dalam hal ini apabila menganggap seorang kawan tidak berkongsi peluang yang baik kepada saya sebagaimana saya berkongsi segala hal dan peluang kepada beliau. Mungkin juga ia bukan hal besar yang perlu dibesarkan lagi.

Namun, ia tetap menganggu emosi sehingga terfikir beberapa perkara yang negatif.

Saya berharap hal ini akan berlalu seperti angin. Dan saya berharap, biarlah kita makan ketam dengan mengambil segala zat dan nutrisinya. Sifat buruk, jangan sampai melekat.

KOMA

Tidak dapat tanduk, telinga dipulas pula bagaimana?

Tanya seorang rakan lain.

Oh. Yang itu ada contoh lain. Ada cerita lain. Yang lebih menarik untuk dikongsikan. Suatu hari nanti. Barangkali. Apabila semuanya selesai dengan bersih.

Bagilah contoh. Desak kawan itu.

Okey…

Contohnya, engkau tak dapat musnahkan seseorang itu secara berdepan, maka engkau buruk-burukkan dia secara belakang. Buat fitnah. Gaduh-gaduhkan dia dengan kawan-kawannya…bla..bla..bla…

Okey cukup.

JANJI RIZAL 1

JANJI HADI 2

JANJI SHARUL 3

“Arghhhhh…..”

Jeritan Hadi mengejutkan Zalila yang sedang bergincu. Kerana terperanjat, gincu yang baru dibelinya itu patah dua.

Zalila bengang tetapi dalam masa yang sama cuak mendengar jeritan adiknya itu. Zalila melangkah laju ke bilik Hadi. Sekali libas menggunakan jurus libasan sehala, langsir bunga-bunga kecil itu terselak.  Zalila merenung Hadi yang serabut di atas katil dengan bantal dan selimut sudah bersepah ke hulu ke hilir.

“Kenapa? Apa yang berlaku?” Tanya Zalila dengan cuak sambil diikuti efek langsir terbang ditiup angin petang.

“Hadi mimpi seram kak…” ngadu Hadi.

Zalila membuang pandang ke dinding. Sedih benar dia dengan keadaan Hadi yang kerap diganggu mimpi seram dan pelik. Paling menyedihkan apabila mimpi itu terbawa-bawa ke alam realiti sehingga Hadi dituduh gila oleh orang kampung.

Zalila teringat punca Hadi dituduh gila oleh orang kampung.

“Apa? Mimpi meminang Rudeen? Kau dah gila ke?” Jerit Rozinor ketika mendengar cerita Hadi mengenai mimpinya.

Rozinor dan Iwan ketawa terbahak-bahak sambil Hadi terkebil mencari salahnya.

“Jika bukan mimpi pun, salahkah saya meminang Rudeen?” Hadi cuba membela diri.

“Memang salah! Sebab engkau tak layak dengan Rudeen. Dia tu keturunan bangsawan, kaya, berpelajaran. Engkau apa ada?” bentak Iwan pula.

“UPSR pun tak lepas kan? Kan? Kan?” Sambut Rozinor dengan tawa yang menghina.

Hadi akur dengan syarat keduniaan itu. Matanya terkebil menelan caci maki lelaki-lelaki dewasa itu sambil berharap dia akan membesar tidak seperti mereka.

Pak Sharul yang mengalami penyakit jangkitan telinga tengah (otitis media) sejak usianya dua tahun dan kesan perang Jepun dahulu terus menyampuk, “bahaya penyakit Hadi ni. Kau kena berubat Hadi. Gila bayang ni bukan penyakit main-main.”

Pada masa yang sama Apiz, si penjual Aiskrim berhenti membeli sebungkus roti kelapa. Dia yang mendengar sedikit perbualan di kedai Pak Sharul dengan pantas menyebarkan maklumat itu kepada pelanggan-pelanggan ais krimnya yang terdiri dari masyarakat berbilang bangsa dan agama di kampung itu. Kampung Janji Ditepatilah katakan…

“Hadi gila…Hadi gila….” Jerit Apiz yang sengaja berbuat demikian demi membalas dendam kepada Zalila, kakak Hadi yang ganas [tapi comel] itu.

Babak-babak sadis itu muncul kembali.

“Kenapa Ais krim ni tak cantik cara scoopnya?” Jerit Zalila dan terus mengkarate tong ais krim Iwan.

Bengang betul Apiz dengan babak itu. Sebab itu, tanpa segan silu Apiz menyebarkan khabar bahawa Hadi sudah gila. Gila kerana pinangannya ditolak oleh Rudeen. Dan Apiz sengaja tidak beritahu babak itu hanya dalam mimpi Hadi.

Apiz terus menjerit ‘Hadi gila’ sehingga tersasul dengan jeritan ‘Ais krim..Ais krim gila..ais krim gila….”

KOMA

“Betul kak..Hadi tak reka cerita. Benda itu berlaku dan sehingga terbawa dalam mimpi.” Jelas Hadi pagi itu ketika mereka bersarapan Roti Kelapa yang dibeli di kedai Pak Sharul.

“Hadi, mana ada semut jadian dalam dunia realiti ini. Akak bukan tak percaya Hadi, tetapi….” Zalila terdiam.

Bunyi burung berkicau mengambil tempat atas kesunyian yang melanda.

“Baik, akak janji akan selesaikan perkara ini.” Akhirnya Zalila bersuara.

“Janji tau…: kata Hadi meminta kepastian.

“Janji ditepati.” sambut Zalila.

Zalila berjalan menuju ke meja soleknya. Gincu berwarna pink muda itu direnungnya. Namun fikirannya jauh melayang kepada sesuatu. Eh, sebetulnya seseorang.

“Hanya Apiz yang mampu menjelaskan segalanya. Kerana menurut Hadi, semut jadian itu menyerang Apiz.” Demikian fikir Zalila sambil merenung Gincu Avonnya yang sudah patah dua.

Adakah Apiz akan beri kerjasama untuk membetulkan pandangan masyarakat terhadap Hadi? Adakah Apiz sudah melupakan kes karate tong ais krim dua tahun lepas itu?

Mahu diharap kepada Rizal, lagilah ‘ke laut’ jadinya. Rizal, khabarnya terus mengikut kakaknya menuju ke Utara tanah air setelah kejadian itu berlaku, dan menjadi penggubah bunga di sana . Maklumlah musim konvokesyen. Jual bunga taik ayam pun laku. Eh..melalut pula. Bisik Zalila lagi.

Sambil menyanyi-nyanyi kecil lagu “…hanya lah kau satu satu idamanku.. tiada lagi dua dua dihatiku…” yang turut menjadi lagu kegemaran Hadi, Zalila menutup jendela rumah kerana azan maghrib sudah berkumandang. Bimbang syaitan masuk bertandang pula.

KOMA

Kedai Pak Sharul masih kosong ketika Zalila sampai. Ya, di situlah dia akan bertemu dengan Apiz setelah membuat temu janji melalui portal Apiz – Aiskrim 1Janjiditepati.

Pak Sharul datang mengambil pesanan, “nak Zalila, mahu pesan apa?”

“Cendol satu!” Kata Zalila tanpa berfikir yang kedai Pak Sharul ialah Kedai Kopi.

Pak Sharul yang mengamalkan piagam pelanggan ‘1pelanggan 1000 rezeki’ segera berlalu sambil menghantar sms kepada kawannya yang berniaga cendol yang turut menawarkan khidmat penghantaran percuma sehingga ke mulut pelanggan.

Tidak lama kemudian cendol sampai dan Pak Sharul terus menghidangkannya kepada Zalila. Sekali dengan cendol, Pak Sharul menghulurkan kunci motor Zalila yang dalam insiden amukan hari itu, kunci motor itu telah disumbatkan ke dalam lubang hidung Rozinor kerana terlalu marah.

“Ini, kunci motor kamu hari tu. Pak cik sudah samak kunci ni walaupun Rozinor itu tidak haram untuk dinikahi.” Gurau Pak Sharul.

Zalila menjeling tajam. Bengang kepada Rozinor dan Iwan kembali menerjah.  Pak Sharul terus ke dapur kerana bimbang hidungnya pula menjadi mangsa.

Dari jauh kedengaran bunyi motor Apiz. Matahari mula membakar. Zalila segera mempersilakan Apiz mengambil tempat di hadapannya.

“Tak payahlah engkau nak sopan-sopan dengan aku Zalila. Semua orang bercerita tentang engkau yang mengamuk dengan Rozinor tempoh hari. Tak habis-habis kan engkau ni? Asyik nak mengamuk je. Ni apahal nak jumpa aku?” Kata Apiz dengan angkuh walaupun dalam hati berdebar juga dengan kecomelan Zalila yang mengenakan baju kurung Pahang sesuai dengan tema Kampung itu, “janji ditepati, budaya Melayu disanjungi”.

Zalila diam dan cuba menenangkan hatinya yang agak panas dengan reaksi balas Apiz itu.

“Semua cerita tentang kau, aku tahu. Jadi sekarang kenapa engkau nak jumpa aku sedangkan dendam lama aku pada engkau tak habis lagi. Kau ingat kan tong ais krim aku yang engkau karate dua tahun lalu?” serang Apiz lagi.

Zalila menunduk. Akur dan menunjukkan muka bersalah.  Melihat reaksi itu Apiz pula yang terkebil. Comel pula Zalila apabila buat muka bersalah begini berbanding dengan Rudeen yang sedang hot di kampung itu buat masa kini.

Tapi, Apiz cepat sedar dari ‘mainan perasaan’ itu. “Apa dia engkau nak cakap? Cepat!” bentak Apiz.

Zalila yang terperanjat terus termelatah dan menjerit dengan kuat, “BETUL KE AKU DAPAT TAHU DARI HADI DAN RIZAL YANG ENGKAU KENA CABUL DENGAN SEMUT JADIAN?”

Jeng jeng jeng…

Pada masa yang sama Rozinor dan Iwan sampai ke kedai Pak Sharul. Serentak Rozinor, Iwan dan Pak Sharul berkata, “Biar betul……”

Apiz tergamam. Tidak sangka perkara rahsia itu diketahui umum juga akhirnya. Apiz terketar mencari kata. Dan kebimbangan itu menjadi-jadi apabila memikirkan Rozinor dan Iwan yang memang terkenal sebagai ‘wartawan terjah’ di kampung itu. Pasti cerita mengaibkan ini akan terbongkar. Pasti Rudeen yang dikejar-kejar dan diaiskrim-aiskrimkan selama ini akan menolak cintanya apabila mengetahui dirinya sudah tercemar.

Dari jauh kelihatan Rudeen melenggang dengan manisnya. Tatkala melihatkan Apiz, Rudeen melambai mesra seperti selalu [kerana mahu mendapat aiskrim percuma]. Muka Apiz bertukar warna seperti aiskrim pedel-pop pelangi yang dijualnya.

Rudeen semakin mendekat. Tanpa menghiraukan Zalila yang masih menekup mulutnya kerana termelatah, tanpa menghiraukan Rozinor dan Iwan yang masih ternganga, tanpa menghiraukan Pak Sharul yang terketar seperti ternampak tentera Jepun, Apiz pun……

JANJI APIZ

Sudah hampir setahun, atau lebih baik genapkan sahaja setahun.

Ya, setahun lalu mengubah segalanya walaupun segala perbuatan dan kata-kata tidak pernah hilang dari ingatan. Tidak akan hilang sampai mati. Sampai mati, kawan [yang tidak semestinya menjadi kawan]!

Terima kasih Allah, menghilangkan, membuang dan melenyapkan sesuatu yang tidak baik.

Kawan datang dan pergi kan?

KOMA

Mungkin kau sudah lupa banyak perkara. Atau ia masih bergulung dalam jiwa kerana banyak lagi yang tidak terselesaikan.

Yang pasti, kau tak akan lupa kerana semuanya akan terjawab di ‘sana’ kelak.

Aku dengan bahagian aku.

Dan engkau dengan bahagian engkau.

Sama-sama kita lihat dan telan.

KOMA

Cerita lama masih tidak tersiapkan. Berharap, sebelum menjelangnya 2013 ia mampu disiapkan tanpa sekelumit resah.

Namun, cerita baru muncul.

Dengan kening berkerut dia membaca salinan-salinan yang dihantar kepadanya melalui emel.

Dialog-dialog syaitan diteliti satu persatu. Dengan hati yang lucu.

“Banyak betul duit dia. Entah-entah jual ‘body'”
“Laku lagi ke”

“Ada dia ajak awak buat perkara-perkara yang tidak senonoh?”

“Tidak, mungkin sebab saya budak-budak lagi.”

Dan berderetan lagi bual-bual manusia yang tidak tergamak dibacanya. Fitnah semakin bermaharajalela. Manusia, memang dengan segala kelemahan yang dibekalkan kepadanya terus-menerus bercakap, bercakap dan bercakap.

…Dan dia terus diam kerana tiada apa-apa lagi yang dia harap membuatkan dia akan bertembung dengan mereka, di dunia ini.

Aku tunggu engkau di Padang Mahsyar.

Jerit dia sekuat hati.

KOMA

Bila novel awak mahu disiapkan?

Ya, persoalan yang saya sedang usahakan. Semoga Tuhan ampuni segala dosa saya kerana saya tidak lagi mengharapkan apa-apa dari manusia.

*Sekadar catatan ‘racau’ setelah agak lama tidak berblog. 🙂

PERTANDINGAN ULAS BUKU ITBM DI BLOG/ FACEBOOK

Appelsinpiken
Gadis Oren

Jostein Gaarder
RM 20.00 / RM 25.00 (Sabah & Sarawak)
ISBN: 9789830683997
Tahun terbit: 2009
Jumlah muka surat: 178 (tidak termasuk kulit)

No Resit : ITNM  001447

“Setiap biji oren tidak ada yang serupa, Jan Olav. Malah dua helai rumput pun tidak sama.”

“Awak tidak datang ke Seville dari jauh semata-mata untuk bertemu dengan ‘seorang wanita’. Kalau benar, tak perlulah awak bersusah payah kerana bumi Eropah dipenuhi kaum hawa. Awak datang ke sini untuk bertemu saya…”

Siapakah Gadis Oren yang menjadi sebahagian besar cerita di dalam  surat yang ditinggalkan oleh seorang lelaki, Jan Olav yang telah meninggal dunia sebelas tahun yang lalu, kepada anak lelakinya, Georg Røed yang berusia 3 tahun ketika surat ini ditulis?

Apakah kaitan Gadis Oren dengan Georg dan diri penulis surat sendiri dan mengapa ia perlu diceritakan? Apa pula perkaitan antara Teleskop Angkasa Hubble dan keupayaannya menyelongkar alam semesta dengan diri Georg?

****

Pelbagai rasa akan menghantui seseorang apabila mengetahui tentang kematiannya sendiri. Siapa yang tidak ambil kisah tentang kematian yang bakal menjelma? Tentang masa yang suntuk untuk melaksanakan segala impian, tentang harapan yang bakal tinggal harapan? Tentang apa yang dibawa ke ‘sana’ dan bagaimana pula yang ditinggalkan di dunia ini? Tentang apa yang diminati dan mahu berkongsi minat itu dengan seseorang yang lain – yang sudah tentunya seseorang yang paling dikasihi.

Benarkah dunia ini hanya satu dongengan? Dunia ialah sebuah kisah dongeng seperti kisah Cinderella dan kisah pari-pari lainnya yang dipenuhi dengan keindahan tetapi bersyarat – setiap sesuatu akan ditarik kembali setelah kita puas atau tidak menikmatinya. Syarat itu tidak perlu difahami tetapi perlu dipatuhi. Seperti Cinderella yang perlu meninggalkan majlis tari-menari tepat jam 12 tengah malam. Jika tidak…

Itulah rencah dalam menyelongkar misteri Gadis Oren yang menemukan pelbagai rasa, emosi, pemikiran dan pengalaman yang menjadi soal-jawab antara Jan Olav dengan anaknya, Georg. Melalui kisah ini, Jan Olav cuba menjelaskan nilai cinta yangmenjadi asas kehidupan manusia di samping nilai-nilai lain yang mempengaruhi dan mendewasakan usia seseorang.

****

Melihat dan membaca buku ini, walaupun berulang kali menemukan persepsi dan pengalaman yang berbeza. Ia sebuah kisah yang menarik. Kisah yang merungkai pelbagai persoalan kehidupan dan akhirnya menuntut fikiran kita kembali kepada asal –untuk apa kita hidup di dunia ini?

Sudah tentu Jostein Gaarder yang sebelum ini dikenali melalui karya agungnya Sophie’s World yang dipenuhi falsafah, turut menuntut pembaca berfikir dengan mendalam setiap baris ayat yang ditulis dalam novel Appelsinpiken atau Gadis Oren ini.

Ketika membacanya, saya membayangkan ceritanya dalam bentuk filem – filem bisu – sebagaimana yang dijelaskan dalam surat ‘wasiat’ Jan Olav kepada Georg bahawa misteri pertemuan dan pencarian Gadis Oren seumpama sebuah wayang bisu. Tidak tersangka, dalam sibuk mencari maklumat tentang buku ini, saya ditemukan dengan filem Appelsinpiken. Rupanya buku ini telah difilemkan di Norway.

Namun, catatan ini akan memfokus kepada bukunya sahaja iaitu Appelsinpiken, tulisan Jostein Gaarder yang telah diterjemahkan ke dalam 43 bahasa di dunia termasuk bahasa Melayu dengan tajuk Gadis Oren (terjemahan Institut Terjemahan dan Buku Malaysia)
GADIS OREN DAN FALSAFAH KEHIDUPANNYA

Setiap orang akan mati atau meninggalkan dunia. Bezanya, setiap manusia, ada yang tahu tarikh kematiannya, dan ada juga yang tidak tahu bila masanya, bila detik dan tarikhnya dia akan meninggalkan dunia.

Dunia pula hadir sebagai satu persinggahan yang menggembirakan atau mendukacitakan. Seperti kisah dongeng yang dipenuhi hal-hal yang indah, penuh dengan fantasi dan kejutan, juga dunia ini dipenuhi dengan keajaiban yang membuatkan kita sentiasa berfikir tentang kewujudan kita sebagai manusia, tentang kewujudan orang lain yang kadang hadir sebagai satu kesatuan buat diri kita, melengkapi perjalanan sehari-hari, ataupun orang lain yang hadir sebagai elemen yang tidak punya apa-apa hubungan dengan kita.

Kita dan dunia juga akan membuatkan muncul fikiran-fikiran tentang segala benda, terutama alam yang menaungi kehidupan dan segala hal yang tidak terjangkau oleh fikiran atau tidak mampu difikirkan kerana masa yang terlalu pendek diberikan kepada kita untuk memikirkannya. Manusia punya fitrah ingin tahu yang besar. Kita sering memikirkan sesuatu yang telah kita alami, sedang kita alami dan juga memikirkan sesuatu yang bakal dialami. Kehidupan yang tidak panjang memungkinkan manusia meneroka setiap keupayaan untuk meninggalkan sesuatu buat generasinya.

Buku ini, merangkumi segala yang disebutkan di atas. Ia kisah yang besar, tentang kekeluargaan, tentang kehidupan, tentang keinginan dan juga kegembiraan dan kekesalan yang berlaku dalam kehidupan manusia. Bagaimana segala rasa ini dirungkai dan diselesaikan walaupun masa yang ada terlalu suntuk?

Menariknya buku ini, segala persoalan diungkap dan diselesaikan melalui sepucuk surat yang ditinggalkan oleh seorang bapa, Jan Olav, kepada satu-satunya anak lelakinya, Georg. Surat yang ditulis ketika Georg berusia tiga tahun setengah itu bukan sahaja menceritakan kisah cinta bapanya, tetapi juga persoalan-persoalan lain yang berkaitan tentang kehidupan dan pemikiran serta idealogi-idealogi yang ingin diwariskan kepada anaknya.

Dan uniknya (atau peliknya), surat ini ditinggalkan di bawah pelapik kereta sorong lama setelah ditaip dalam keadaan tergesa memandangkan masa yang ada terlalu singkat untuk menceritakan segala kegelisahan sang bapa menghadapi saat-saat kematian yang tidak diingininya.

Mengapa surat? Mengapa tidak dengan cara lain?

Masa. Masa adalah penting bagi manusia menikmati kehidupannya. Oleh sebab itu, ‘menulis surat’ difikirkan oleh Jan Olav sebagai cara yang cepat dan terbaik memperkenalkan diri dan kehidupannya kepada anak lelakinya.

George yang berusia 14 tahun semasa membaca surat peninggalan bapanya, menghadapi keadaan ini dengan penuh kehairanan, ketakjuban dan seterusnya mematangkan beliau dengan beberapa hal yang sewajarnya diketahui.

Paling mengagumkan, surat yang ditulis itu, memperkenalkan George kepada bapanya yang meninggal sebelas tahun lalu ketika usianya masih kecil dan tidak mampu menanggapi kehadiran seorang lelaki yang bergelar ayah, yang amat mengasihinya dan menganggapnya sebagai sahabat terbaik.

Ini bukan surat biasa. Surat ini diutuskan bagi merungkai misteri kisah perjalanan seorang ayah yang perlu diketahui dan dikenali oleh anaknya walaupun si ayah sudah tiada di dunia ini.

Itulah kehebatan surat yang ditulis sendiri oleh Jan Olav untuk memperkenalkan diri kepada anaknya seterusnya memberitahu banyak perkara yang wajar diketahui anaknya.

Ia adalah surat ‘wasiat’ terbaik. Dengan gaya bahasa sederhana tetapi memberi kefahaman yang jelas melalui perumpamaan dan analogi yang tepat. Itulah yang sepatutnya ditulis kerana ketika surat itu ditulis, Jan Olav hanya mampu membayangkan Georg yang berusia 3 tahun dan bukannya 14 tahun. Semampu boleh, dengan andaian-andaian mudah, seperti memberi contoh melalui cerita rakyat yang popular – Snow White, Cinderella dan banyak lagi – serta diagnosis berdasarkan pemikiran sendiri, surat setebal 14 halaman itu berjaya ditulis dengan pelbagai rasa yang terungkap. 

Karya Yang Baik

Jostein Gaarder menyampaikan mesejnya dengan baik melalui buku ini. Saya berpendapat demikian bukan sahaja kerana beliau pengarang yang hebat setelah berjaya menulis buku Kisah Sophie (Sophie’s World) yang dikatakan telah diterjemah dalam 53 bahasa, serta beberapa karya lain berkaitan falsafah dan dunia kanak-kanak, tetapi, kehebatan karya ini ialah melalui gaya kepengarangannya yang tersendiri dan lain daripada yang lain.

Melalui  Gadis Oren, pengarang menyatakan pendirian dan sikapnya termasuk aspek intelektual, emosi, sikap dan sifat yang tentunya berbeza daripada orang lain. Ia unik. Memasukkan elemen idealogi, imaginasi dan pandangan hidup terhadap persekitaran. Watak dan perwatakan yang kukuh binaannya terutama watak Jan Olav, penulis surat ini yang sememangnya perlu dikenalkan – secara fizikal dan mental kepada anaknya yang tidak sempat mengenali bapanya.

Kisah ini juga memperkenalkan budaya dan agama, bangsa dan negara, memperkenalkan karya-karya hebat yang wajar dihadam oleh pembaca, serta elemen terbaik yang boleh dikongsikan kepada pembaca. Ini perlu, kerana melalui surat itu, Jan Olav mahu anaknya menikmati kehidupan dan mengkaji setiap sesuatu yang ada di sekelilingnya. Sebagai bapa, sudah tentu pesan-pesan begini ditekankan kepada satu-satunya anak lelakinya. Antara pesanan yang sempat dititip dan menjadi renungan si anak ialah :

  • Dunia ini ajaib. Ia memerlukan kepintaran luar biasa dengan memikirkan hal-hal kecil dan kemudian akan menjadi satu renungan yang besar. Sebagai contoh; berapa kelajuan kumbang berbanding pesawat jumbo. Dan juga kehebatan Teleskop Angkasa Hubble yang boleh merakam gambar bumi dengan baik
  • Percayakan kuasa Tuhan yang mencipta segala –proses didik anak melalui sudut agama
  • Membaca buku-buku lama yang tersimpan segala kebijaksanaan – hikayat dan mitos membuatkan kita berfikir tentang alam dan manusianya
  • amati dunia sebelum isi  dada dengan ilmu keduniaan seperti fizik dan kimia.
  • Paling penting, mengasihi ibunya, Veronika yang menjadi sebahagian besar binaan surat itu.

Konflik di susun secara baik dan diselesaikan dengan bijak. Ada konflik kecil yang selesai segera dan ia bercantum dengan konflik utama yang menyimpulkan segala cerita. Ia menjadikan pembaca berdebar-debar walaupun tempohnya tidak lama. Seperti menonton perlawanan bola sepak – ada babak mendebarkan, mencemaskan dan kemudian peleraian yang melegakan – sama ada gol atau tidak – Siapa gadis oren? Mengapa gadis itu membeli buah oren yang banyak? Mahu dibuat apa dengan buah itu? Adakah gadis itu jelmaan seekor tupai yang lincah? – Dan semua persoalan ini terjawab akhirnya dengan teratur walau mendebarkan.

Stail penulisan surat yang terdapat di dalam buku ini begitu memberi kesan. Ia bukan surat yang biasa-biasa. Ia surat dari hati ke hati kepada seorang ‘sahabat sejati’ iaitu anak sendiri yang tidak sempat dikenali sehingga dewasa. Dengan itu, tidak mustahil surat yang dikarang, agak mudah pengisahannya dengan penyelitan banyak analogi, analisis dan diagnosis yang mudah bagi memahamkan George yang ketika itu sudah berusia 14 tahun. Ini seterusnya menjadi surat pengenalan antara bapa dengan anak yang tidak mampu lagi untuk bertemu.

ITBM

Selepas 18 tahun beroperasi sebagai agensi utama bidang penterjemahan dan 60% bidangnya ialah terjemahan, maka ITBM dilihat berjaya melaksanakan tugasnya dengan baik.

Gadis Oren adalah salah satu daripada sekian banyak buku yang telah diterjemah dengan baik oleh ITBM. Setiap buku yang diterjemah bukan calang-calang dan semberono di bawa masuk untuk menjadi bahan bacaan masyarakat Malaysia.

Novel Gadis Oren ini dengan terjemahan yang sangat baik, boleh menjadi rujukan yang bagus untuk penulis muda memulakan karya mereka. Seterusnya menjadikan karya mereka lain daripada yang lain lalu melangkaui apa yang telah terhasil di Malaysia setakat ini. Walaupun tidak wajar membandingkan karya tempatan dan luar negara, buku-buku terjemahan wajar dijadikan ukuran untuk memantapkan mutu dan hasil tulisan seseorang penulis.

ITBM sebagai satu-satunya badan penterjemahan terbesar dan terbaik untuk membawa buku-buku tempatan ke persada antarabangsa, begitu juga membawa buku-buku luar negara ke Malaysia untuk silang budaya yang terbaik. Ini adalah kerana tujuan penterjemahan itu jelas memperkenalkan budaya dan bangsa sesebuah negara dan memperlihatkan corak penulisan dan pemikiran penulis luar negara yang boleh dimanfaatkan oleh penulis tempatan dan juga sebaliknya. Semoga lebih banyak buku yang baik dari luar negara, diterjemah ke dalam bahasa Melayu. Juga, tidak lupa, karya terbaik Malaysia, mampu dibawa ke persada antarabangsa.

Sebagai pembaca pula, membaca karya terjemahan, terutama karya dari negara yang tidak pernah dilawati merupakan satu pengalaman yang menarik lantas memperkaya pengetahuan tentang sesuatu. Walaupun internet yang menjadi medium utama untuk kita mendapatkan segala perkara, buku tetap punya keistimewaan tersendiri dalam menyampaikan maklumat dan ceritanya melalui kata-kata yang indah.

Ini terbukti dengan kata-kata pengarang dalam novel Gadis Oren ini iaitu ;

‘Penulis ialah insan yang meraikan dunia dengan kata-kata yang indah.’

Dan kata-kata itu terserlah kebenarannya apabila si bapa berusaha menulis surat untuk memberitahu segala hal kepada anaknya. Surat ini hanya untuk memberitahu siapa bapanya, kehidupan bapanya – kerana ia sudah cukup bagi seorang bapa untuk anaknya.

Walaupun Jan Olav, watak dalam cerita ini, memilih untuk menjadi doktor berbanding penulis – dan kemudian menghidapi penyakit yang dia sendiri tidak mampu ubati – seterusnya menjadi kekecewaan yang sangat menyakitkan, namun, Jan Olav berjaya menulis surat yang baik untuk memperkenalkan satu kehidupan baru yang perlu diketahui oleh anaknya.

Dikatakan, filem Tombak Rindu ini tidak ada kaitan langsung dengan perasaan rindu atau ombak di pantai. Ia berkenaan dengan KUASA MEMBELI manusia yang kaya harta. Izzah mewakili rakyat marhaen yang hanya mampu membeli barangan pada harga diskaun 50%. Antara barangan yang dibelinya ialah jam tangan yang ditukar milik kepada suami ‘paksa relanya’ iaitu Haris semasa hari pernikahan mereka di sempadan negara.

Pada suatu petang yang damai, sebuah buai berayun ditiup angin petang. Ombak memukul batu-batu di tepi pantai seperti tombak yang menyerang musuh. Seorang gadis melangkah dengan jubah putih dan tudung ‘ustazah’ dwitona..menikmati ombak laut yang nyaman. Wajahnya siap disolek setebal dua inci, dengan mata bercelak dan bermaskara.

Gadis itu bermonolog sendirian…”Hidup ini bagai layang-layang…apabila putus talinya, ia tersangkut di pokok durian yang sedang berbuah lebat. Sakitnya badan tercucuk kulit durian. Namun, itulah tombak rindu.”

KOMA

Kisah bermula dengan sisi hitam.

Akhirnya…

“Encik, tolonglah kahwini saya!” kata wanita itu.

“Apa kejadah aku kena kahwin dengan kau.” Lelaki itu menjawab dengan kasar.

Kata-kata itu bagai tombak yang tersilap letak. Apabila tersadung dek kaki, lukanya parah ke seluruh tubuh.

KOMA

Cinta akan berputik bila hanya kau dan dia di dalam suatu ruang yang damai dan selesa. Kau datang dengan serabut, dan perempuan itu sambut dengan wajah penuh cahaya.

Petang itu, tanpa secawan teh dan sepinggan cekodok pisang, mereka berbual. Itu kali pertama mereka berbual dengan waras.

“Kau suka kucing? Tanya Haris.

Izzah jawab, “suka sangat.” Sambil mengusap-usap kucing yang bergelut mahu keluar dari pelukannya.

“Apa kau nak bagi nama pada dia?” Tanya Haris lagi.

Tanpa fikir panjang, Izzah jawab, “Comel.”

Dengan muka berkerut, Haris bertanya lagi, “tak ada nama lain yang lebih moden?”

“Lembu saya kat kampung pun namanya, comel juga.” Izzah terus berkata sambil kucing terus mengiyau manja.

“Aku tanya pasal kucing bukan lembu la, lembu.” Haris mula bengang.

“Tapi saya bukan lembu. Saya kata saya ada lembu di kampung nama comel.” Izzah terus berkata-kata.

Geleng kepala bengang sambil menatap Izzah yang ber-tshirt kecil dan berkain batik.

“Kau tak ada baju yang cantik sikit ke?” Haris tukar topik.

Kucing mengiyau garang, lantas melompat dari pangkuan Izzah. Cakarannya seperti tombak yang tumpul.

KOMA

“Kau macam mana sekarang? Dah kahwin?” Tanya Mail sambil mendayung.

Izzah terdiam mendengar soalan cepu emas itu. Kemudian dia mengangguk dan menjawab, “memang aku dah kahwin. Tetapi engkau tetap kawan aku, Mail…”

Dan tiba-tiba jam tangan Izzah terjatuh ke dalam laut.

Kecebur…..Mail terjun dalam laut dan kemudian muncul semula di tepi sampan sambil termengah menarik nafas. Lelahnya datang. Mail lupa dia ada asma dan skil ‘minum sambil menyelam’nya belum tahap pakar lagi.

“Kenapa engkau terjun? Jam tangan itu aku beli di jualan murah sahaja.” Kata Izzah.

“Kau kan ustazah. Kau mesti tahu hukum berdua-duaan dalam sampan dengan lelaki selain suami engkau.”

Izzah tertunduk malu. Mail pula memikir-mikir sesuatu, ‘mujur bersampan. Boleh juga terjun dalam air. Jika berbasikal di batas sawah, bagaimana agaknya aku mahu menjatuhkan diri daripada basikal?’

KOMA

“Betulkah ibu, Haris bukan anak ibu?” Haris bertanya dengan penuh emosi.

“Tidak, itu semua tidak benar. Haris anak ibu.” Ibunya menafikan.

“Habis ini apa?” Kata Haris sambil menunjukkan sijil kelahiran itu.

“Semua manusia melakukan kesilapan, apatah lagi Jabatan Pendaftaran Negara yang menguruskan beribu kelahiran untuk didaftarkan…”

Cut…tiba-tiba juga Pak Dolah menjerti nyaring.

“Aku bosan babak begini.” Jerit Pak Dolah.

“Tapi, babak ini penting.” Suara Pengarah agak garang di balik tabir.

“Ahhh..aku tak peduli. Sepanjang pengalaman aku berlakon, sejak zaman teater, ke drama sehingga ke filem..babak tukar-tukar anak semasa bayi ni mesti ada. Sudah tak ada cara lain ke?” Pak Dolah semakin mengamuk dan meroyan.

Cut…

Babak seterusnya watak Pak Dolah dihapuskan.

Terus ke ‘hepi ending’ atau dalam Bahasa Melayunya, ‘pengakhiran gembira’.

Ombak memukul batu-batu di pantai seperti ikan todak mencucuk betis-betis pendudukkampung dalam episod Singapura dilanggar todak.

Penyu menangis siapa yang tahu.

 

PARODI BUNOHAN RIZAL

PARODI SUKAN KEBULURAN HADI

Apabila kamu buat perkara yang sama, kamu adalah pengikut. Pengikut ialah orang yang sama-sama melakukan sesuatu perkara yang kamu setujui.

Kamu rela mengikuti sesuatu kerana kamu tahu. Dan kadang juga tak tahu.

Banyak perkara, mengajar saya untuk tidak jadi pengikut selamanya. Apatah lagi ia melibatkan hal-hal yang memudaratkan.

Kita manusia, boleh sahaja tersasar. Kita manusia, lebih baik jangan terus tersasar.

Buta, dan celik ia memberi makna yang berbeza.

 

KOMA

Ia semakin menghimpit rasa. Saya jadi tidak keruan memikirkan betapa saya tidak setuju, tidak suka dan tidak mahu ia berterusan.

Namun, pengaruh media tidak mampu kita sekat dengan hanya suara-suara kecil apatah lagi ia cuba diletakkan dalam ruang yang boleh diterima oleh semua manusia.

Dengan kemampuan media terutama media siber, segalanya menjadi sangat tidak terkawal. Umpama lembu terlepas dari kandang. Barangkali begitu gambarannya.

“Kamu bercakap tentang apa?” tanya dia.

“Saya bercakap tentang budaya berbahasa dengan slanga “APA CELOP” yang sangat saya khuatiri menjadi sebahagian kosa kata generasi masa kini.” Jawab saya.

“Apa masalahnya dengan slanga itu?” tanya dia semula.

YA, APA MASALAHNYA?

Ada sesiapa sudi menjelaskan ia bukan apa-apa untuk menjadi sebahagian gaya kita berbahasa hari ini?

Ada sesiapa yang rela menjadi pengikut tanpa mengetahui sumber dan asal-usul slanga itu wujud?

Ada sesiapa yang tahu asal-usulnya dan sudi berkongsi dengan saya?

Kepada mereka yang pakar bahasa, saya memohon, jelaskan hal ini sebaiknya.

 

KOMA

Saya masih menyampah dengan penggunaan kata-kata itu apatah lagi bila ia diangkat menjadi tajuk sebuah drama bersiri yang ternyata kandungannya tentang budaya yang tidak perlu kita panjangluaskan.

Memang tiada siapa yang akan menyekat kamu berbahasa itu ini. Tiada siapa.

Tiada kuasa mutlak yang akan menangkap kamu jika berbahasa begitu-begini.

Namun, jika kamu penutur bahasa yang baik dan santun, hal ini akan menjadi sebahagian isu yang perlu kamu fikirkan.

Tidak pula saya mahu menyamakan penutur bahasa seperti penganut sesuatu agama. Tidak pula saya kata, jika kamu menuturkan bahasa yang begitu atau begini tanpa ambil tahu asal-usulnya sama seperti mengikut ajaran sesat.

Cuma, setiap sesuatu ada implikasinya.

Sebagaimana kita makan, kita harus tahu halal-haramnya sesuatu makanan atau baik-buruknya makanan itu kepada kesihatan.

Cuba google.

Banyak penjelasan diberikan, tetapi tidak ada satupun yang masih memuaskan hati saya untuk menerima ‘apa celop’ sebagai sebahagian daripada budaya bahasa yang baik.

 

Baca juga :

Makna Apa Celop

Menulis tidak sama seperti bercakap. Menulis juga tidak sama seperti membaca, mendengar, menghidu, menyentuh atau apa-apa kerja selainnya. Menulis ialah kerja khusus yang memerlukan kemahiran yang bukan sedikit. Namun, dalam menulis, kita memerlukan keseluruhan pancaindera untuk menghasilkan tulisan yang benar-benar bermakna kepada pembaca.

Mungkin intro ini agak menakutkan sesetengah penulis muda atau mereka yang baru berjinak-jinak menulis.

Itulah hakikatnya.

Percaya atau tidak, sekarang ini ramai yang kurang bercakap kerana terlalu banyak menulis. Tidak dinafikan, ada kaitan antara keduanya iaitu menulis ialah kerja mendokumentasi apa yang ada di dalam fikiran yang kadang tidak terluah dengan di bibir.

Kita fikirkan apabila menulis, segalanya akan jadi baik kerana gerak kerja menulis memerlukan kerja keras otak mengalir ke hati dan terus ke jemari. Ia perjalanan yang panjang berbanding bercakap yang bermula dari otak terus menuju ke bibir.

KOMA

Kita menulis untuk suka-suka. Kita menulis untuk beri sesuatu kepada pembaca. Kita menulis kerana kita mahu orang tahu kita ada di dunia ini. Dan sekarang semua orang suka menulis kerana ia bukan sahaja terapi bermakna [tabiat menulis diari], ia bukan sahaja beri makna [berkongsi pengalaman hidup], malah menulis juga boleh mendatangkan pulangan [tulis novel cincai-cincai pun ada orang beli].

Dan kita terus menulis kerana kononnya orang akan baca.

Dan kita terus menulis kerana kita punya kebebasan bersuara.

Dan kita terus menulis kerana mediumnya sungguh terbuka dan selesa.

Globalisasi : Internet

Ia melahirkan manusia yang sungguh terbuka sehingga lupa istilah ‘tutup’.

KOMA

Tulislah selagi kamu ada jemari nan sepuluh.

Tulislah selagi kamu hidup.

Kerana selepasnya jangan lupa, apa yang kamu tulis, akan menjadi hitungan di sana kelak.

DARI BLOG HADI

Ketika Tun Teja tiba di istana, maka terpegunlah semua seisi  istana menatap keelokan rupa parasnya. Pembesar-pembesar istana pun terngangalah mulutnya seolah tidak ada perempuan secantik Teja yang pernah menghuni istana ini. Begitu juga dengan pengawal istana, dayang-dayang dan juga segala isi perut istana yang maha besar ini saling terkedu dan tidak bergeraklah masing-masing daripada melakukan tugas yang sedang dilakukan.

Senyap sunyi seketika sejurus keberangkatan tiba Hang Tuah bersama Tun Teja yang katanya baru tiba di kota Melaka.

Keberangkatan Sultan Mahmud Syah ke Balairong Seri menambahkan lagi dramatiknya kehadiran Teja di bumi Melaka.

Hang Tuah tersenyum melihat kejayaan itu, mengembalikan kepercayaan Sultan kepadanya.

“Itu lebih penting daripada menjadi pengkhianat seperti Kitul dan sejarah ini akan menjadi bahan bacaan kepada manusia akan datang. Tidak kisahlah mereka percaya atau tidak dengan kewujudan aku.”

Si Kitul memandang Dayang Jendullah dan kemudian mengenyitkan mata tanda ada sesuatu yang ingin dirancangkan.

KOMA

Apit memandang sekeliling. Dia tahu, dia tercampak ke zaman seterusnya. Namun dia tidak berani mahu membaca misi seterusnya yang terpapar sebaik sahaja misi sebelumnya diselesaikan.

Kelelahan tidak surut akibat baru keluar dari ‘zaman Hadi Jack dengan pokok kacang ajaibnya’. Mujur dia mampu mengeluarkan dirinya dari zaman rasaksa dalam masa 24 jam. Apapun, rasaksa itu terbunuh tanpa perlu Apit membunuhnya apabila rasaksa itu terjatuh dari hujung pokok kacang ajaib. Dia tidak menyangka, rasaksa yang diceritakan dalam buku kanak-kanak itu sungguh luar biasa jahatnya. Sudahlah harta karun dia tidak dapat, malahan kena makan muntah rasaksa sehingga ditertawakan oleh Hadi Jack.

“Ini bukan cerita badang okey…” Hadi Jack menyindir dalam loghat Inggerisnya.

Mengingatkan itu, Apit hampir-hampir muntah mengenang kebodohan dirinya tentang sejarah Badang dan Hadi Jack serta pokok kacang ajaibnya. Ptuiii…ludah Apit dalam kegelapan malam.

“Hoiii…”

Apit terkejut. Seorang lelaki berbadan besar tetapi tidak gagah memandang ke arahnya. Matanya terjengil sambil memerhati ludahan Apit di kakinya.

“Erkkk” itu sahaja yang mampu Apit suarakan.

“Maaf, saya tidak perasan.” Apit bersuara lagi.

“Oo..tuan hamba menyindir hamba ini hitam gelap ya? Tuan hamba kenal siapa hamba? Kenal? ” kata lelaki itu lagi.

“Tidak…saya sebenarnya keletihan akibat berlawan dengan raksaksa. Mata saya agak kabur kerana cermin mata saya tertinggal di celahan daun pokok kacang ajaib. Sebab itu, saya tidak nampak awak.” Kata Apit mempertahankan diri sambil memandang lelaki yang berkulit gelap itu.

“Arghhhh…” jerit lelaki itu sambil membuka langkah mahu membelasah Apit.
Apit cuba melarikan diri. Mesin masa yang dikendongnya tercicir. Apit berkira-kira mahu mengambilnya semula atau meninggalkan terus mesin masa yang banyak menyusahkan dirinya itu. Dalam masa berfikir-fikir, lelaki hitam itu hampir menerkam Apit. Tiba-tiba satu tangan menepis terkaman lelaki hitam itu.

“Sudah-sudahlah Kitul. Tuan Hamba memang patut diludah kerana suka mengendap hamba mandi,” kata gadis gagah itu.

Kitul terpisat-pisat akibat ditepis. Kemudian, dia memandang gadis itu lalu berkata, “Dayang Zalila, kahwinlah dengan hamba. Buat apa dikejarkan Tuah yang terlalu setia kepada Sultan itu. Jangan-jangan nanti, tuan hamba juga akan diserahkan kepada Sultan. Cinta tiada makna kepada Tuah.”

“Diam…” Jerit Dayang Zalila lalu memberi pukulan padu mautnya kepada Kitul sehingga Kitul tercampak ke tepi mesin masa ajaib Apit.

“Eh, apakah ini?” tanya Kitul sambil tangannya mula memicit-micit butang pada mesin masa sebelum sempat Apit memberi amaran ‘jangan’.

Sekelip mata Kitul yang hitam dan besar seperti siamang hutan itu hilang.  Namun, suaranya masih bergema, “lepaskan hamba….lepaskan hamba…hamba berjanji tidak akan memfitnah Tuah lagi. Hamba mengaku, hambalah yang membuka pintu Kota Melaka kepada Portugis. Hamba bersalah. Jangan penjarakan hamba dalam gua ini..hamba janji tidak ganggu Dayang Zalila lagi….”

Apit terdiam. Dia merenung Dayang Zalila dalam pekat malam. Hampir-hampir Apit ternganga keran terpana dengan kecantikan Dayang Zalila bak rembulan dipagar bintang.

Sepasang mata memerhati Apit dari jauh. Tidak lama kemudian terdengar suara yang ramai, “itu dia…kita tangkap dia…tangkap….”

Apit terkepung  sambil erat menggenggam mesin masanya. Seketika matanya terbelalak apabila mesin masa mencatat : Selamatkan Maruah Hang Tuah, Maruah Orang Melayu!

KOMA

“Bukan dia tuanku…” suara lembut itu melegakan Apit.

Seketika Apit tersenyum memandang empunya suara itu.

“Dayang, pastikan betul-betul. Beta tidak mahu menjatuhkan hukum sewenang-wenangnya.” Kata Sultan Mahmud Syah. Tun Teja yang cantik hanya memandang Apit.

“Betul Tuanku, yang mengendap patik dan dayang-dayang yang lain mandi di tepi sungai tadi ialah si Kitul. Malah, sejak hari pertama Permaisuri Tun teja datang ke Istana, Kitul merancang pelbagai-bagai cara untuk memisahkan Sultan dengan permaisuri..” Kata Dayang Zalila meyakinkan.

Sultan menjadi bertambah Murka. Sudahlah dia diperbodohkan oleh Kitul sebelum ini.

“Cari Kitul.” Perintah Sultan serta merta.

“Tetapi tuanku, patik melihat sendiri dengan mata kepala jendul patik, bahawa lelaki asing inilah yang mengintip kami serta mengacau-ngacau kami. Errr…Hang Tuah juga sama, tuanku…Dan Dayang Zalila sebenarnya marah kepada Kitul kerana Kitul menyebarkan tabiat Dayang Zalila yang suka curi tulang baca buku ketika bekerja…” sahut Dayang Jendullah dengan berani.

Sultan Mahmud kembali terdiam sambil memandang Hang Tuah yang segak berdiri di sebelah Apit.

“Benarkah Tuah?” Tanya Sultan seakan tidak percaya.

“Tuanku, ambillah pengajaran dengan apa yang telah Kitul lakukan sebelum ini. Usah termakan hasutan Dayang Jendullah yang sebenarnya punya hubungan sulit dengan Kitul. Anak muda ini menjadi saksi bahawa semua ini perlakuan Kitul.” Tuah berkata dengan tenang.

Dayang Jendullah menjadi takut kepalang. Hampir-hampir dia melarikan diri namun berjaya ditangkap oleh pengawal Istana.

Apit mengangguk-anggukkan kepalanya apabila keris Tuah mencucuk belakangnya sedikit.

“Jadi di mana Kitul? Beta mahu jatuhkan hukuman pancung kepadanya.” Jerit Sultan.

“Jangan risau Tuanku, Patik sudah pun membunuh Kitul dan mencampakkannya ke dalam Sungai Melaka  selepas menegur sikapnya yang suka mengacau dayang-dayang istana dan mengendap mereka mandi di sungai.” Kata Tuah yakin. Apit memandang  Tuah dengan kerutan yang banyak. Tuah menjengilkan mata.

“Dan lelaki asing ini?” Tanya Sultan.

“Err…dia …dia tunangan patik, tuanku,” sepantas kilat Dayang Zalila mencelah dengan senyum sipu.

KOMA

“Terima kasih kerana menyelamatkan saya,” kata Apit kepada Hang Tuah dan Dayang Zalila.

“Tidak mengapa. Tuan hamba memang tidak bersalah. Cuma pinta hamba, pulang nanti, bacalah buku sejarah agar tuan hamba tahu siapa hamba sebenarnya. Ini hadiah hamba kepada tuan hamba,” Kata Dayang Zalila sambil menyerahkan sebuah buku bertajuk Syair Dayang Zalila.

“Dan…tentang Kitul, jangan ceritakan kepada sesiapa. Akurlah dengan apa yang hamba katakan dalam istana tadi. Sejarah ini akan menjadi pengajaran kepada manusia yang akan datang. Sebenarnya memang sudah lama kami ingin menghapuskan Kitul dan Dayang Jendullah yang suka membuat fitnah dan melaga-lagakan penghuni istana,” Kata Tuah.

“Oooo begitu rupanya. Hak tuiii…. Kitul hitam yang jahat dan Dayang Jendullah pengikut yang bodoh.” Kata Apit dalam hati.

“Bolehkah saya meminta tanda tangan awak? Saya peminat awak. Kisah awak selalu saya baca dan banggakan kerana awak ialah hero masyarakat Melayu,” Apit berkata lagi.

Tuah tersenyum sambil menghulur sebuah buku bertajuk Hikayat Hang Tuah siap bertandangan. Apit ternganga.

“Dahsyat….” kata Apit sambil menyelak buku itu.

“Ini cuma cerita tentang manusia bijak-pandai-bebal-angkuh-setia-pengkhianat dan segalanya. Jangan taksub dengan sejarah. Ia kadang tidak beri apa-apa makna kepada kelangsungan peradaban. Yang penting, cerita yang ditulis beri kisah yang penuh dengan pengajaran. Apa yang berlaku pada hari ini akan berlaku juga pada masa hadapan. Saya tahu, masyarakat kamu sedang mempertikai kewujudan saya. Saya dan kawan-kawan di sini hampir tergelak membaca pertelingkahan kamu semua. Ingat misi kamu, selamatkan maruah saya dan maruah orang Melayu,” Kata Tuah.

Apit terdiam panjang.

Selepas mengucapkan selamat tinggal kepada Dayang Zalila dan Hang Tuah, Apit segera berjalan meninggalkan tempat itu. Dia tidak tahu arah tujuannya sehingga agak berjam-jam dia berjalan dalam keadaan lapar dan keletihan. Apit tiba di sebatang sungai. Segera Apit menadah tangan meraup air sungai yang dingin itu untuk menghilangkan dahaganya.

Seketika…”haktuiiiiiiiiiiiiiiiiii” air apa ini?

Apit memandang sekeliling. Suasana yang mula cerah. Dari hujung aliran air terpandang sebuah papan tanda, ‘Loji Kumbahan Air, SYABAS’.

“Celaka Kitul. Celaka Dayang Jendullah,” kata Apit dengan menyebut nama kedua-dua pengkhianat itu tiba-tiba.

Apit merenung mesin masa itu. Dia mengusap-ngusap mesin itu yang terkandung pelbagai cerita. Dia memandang sungai yang tohor. Dia nekad. Apit berdiri dan tangannya kejap memegang mesin masa yang tidak tahu mahu dikatakan sebagai tuah atau celaka.

Apit tekad….

Bersambung ke BLOG RIZAL GUNX