DSC_3135

Tujuh tahun. Ya, tujuh tahun bukanlah satu jangkamasa yang singkat. Jika ada anak sudah bersekolah darjah satu. Begitulah. Dari lahir, belajar meniarap, mengengsot, merangkak, papah, bertatih, berlari, bersosial, membaca, dan akhirnya bersekolah!

Saya tahu ia bukan jangkamasa yang pendek untuk dilupakan begitu sahaja. Namun, seperti usia seorang kanak-kanak, ia masih sempat untuk melentur agar yang terzahir kelak, membawa kesan kepada kehidupan.

KOMA

“Sudah tujuh tahun. Ia bukan satu jangkamasa yang pendek. Awak tidak sayangkah tempoh yang lama itu? Jika awak kekal di sini, awak pasti dinilai untuk kenaikan pangkat dan gred.” Kata bos.

Sayang? Sayang untuk apa? Sekadar sayang, oh ini hanyalah cebis-cebis perjalanan menuju kematian. ya. Kita akan mati bos. Sayang tidak bawa ke mana. Hanya memenuhkan usia yang akan berlangsung – sehingga mati. Bermanfaat atau mudarat.

Maafkan saya. Kadang, bukan soal sayang dan masa yang saya fikirkan. Beberapa tahun ini kehidupan agak kosong [bukan saya tak cuba penuhkan. Saya cuba.]

Dan satu lagi, saya bukan jenis kerja untuk dapatkan pangkat atau kedudukan. Saya cuma mahu mencari berkat dan kegembiraan dalam melakukan sesuatu tugasan. Dan hal itu tidak saya temui di sini.

Dan saya bukan Yunus. Seperti Yunus yang pada mulanya merasa putus asa, kecewa, lalu meninggalkan kaumnya sehingga Allah memberi pengajaran atas sikapnya itu melalui Nun, seekor ikan paus yang menelan Yunus dan mengajar Yunus erti kegelapan. Mengajar Yunus agar terus tekal berdakwah dan tidak berputus asa dalam menyeru kebaikan kepada umatnya.

Ya, mudah kata, saya bukan Yunus. Saya bukan Yunus, nabi yang diuji kerana segala amanah terpanggung di pundaknya sebagai manusia pilihan Allah untuk menyebar dakwah Islamiah kepada kaumnya.

Saya tidak kecewa kerana tidak mampu ubah sekeliling. Saya kecewa kerana saya gagal dalam masa yang lama ini, saya gagal mencari diri sendiri.

KOMA

Ia bukan keputusan yang mudah bagi mereka yang sudah terlalu selesa. Tidak dalam pongah saya katakan saya bersyukur kerana berani ambil keputusan memilih jalan ini walapun saya tahu jalan ini merupakan jalan yang amat baru bagi saya. Pasti cabaran dan halangannya tidak sama dengan jalan lama. Namun, saya tekad memilih jalan ini.

Saya juga, tidak semberono memilih jalan ini sebelum saya kuatkan hati, buka minda dan seterusnya bertanya kepada beberapa rakan baik tentang hal ini.

Dan akhirnya, di sinilah saya – di ruang yang baharu, yang terhias rimbunan pohon buku yang saya idamkan dan impikan selama ini. Saya berharap inilah keputusan terbaik yang saya buat dengan tawakal kepada Allah sepenuhnya.

Selamat datang saya. Semoga jalan ini jalan yang memberi nafas dan jiwa baharu kepada saya tanpa menafikan sumbangan jalan lama yang banyak mengajar erti jatuh-bangun saya dalam kehidupan.

Saya, dalam perit pedih hati, dan kemudian bangkit berani, bukan lagi seorang wartawan. Saya kini Editor!