DSC_3135

Tujuh tahun. Ya, tujuh tahun bukanlah satu jangkamasa yang singkat. Jika ada anak sudah bersekolah darjah satu. Begitulah. Dari lahir, belajar meniarap, mengengsot, merangkak, papah, bertatih, berlari, bersosial, membaca, dan akhirnya bersekolah!

Saya tahu ia bukan jangkamasa yang pendek untuk dilupakan begitu sahaja. Namun, seperti usia seorang kanak-kanak, ia masih sempat untuk melentur agar yang terzahir kelak, membawa kesan kepada kehidupan.

KOMA

“Sudah tujuh tahun. Ia bukan satu jangkamasa yang pendek. Awak tidak sayangkah tempoh yang lama itu? Jika awak kekal di sini, awak pasti dinilai untuk kenaikan pangkat dan gred.” Kata bos.

Sayang? Sayang untuk apa? Sekadar sayang, oh ini hanyalah cebis-cebis perjalanan menuju kematian. ya. Kita akan mati bos. Sayang tidak bawa ke mana. Hanya memenuhkan usia yang akan berlangsung – sehingga mati. Bermanfaat atau mudarat.

Maafkan saya. Kadang, bukan soal sayang dan masa yang saya fikirkan. Beberapa tahun ini kehidupan agak kosong [bukan saya tak cuba penuhkan. Saya cuba.]

Dan satu lagi, saya bukan jenis kerja untuk dapatkan pangkat atau kedudukan. Saya cuma mahu mencari berkat dan kegembiraan dalam melakukan sesuatu tugasan. Dan hal itu tidak saya temui di sini.

Dan saya bukan Yunus. Seperti Yunus yang pada mulanya merasa putus asa, kecewa, lalu meninggalkan kaumnya sehingga Allah memberi pengajaran atas sikapnya itu melalui Nun, seekor ikan paus yang menelan Yunus dan mengajar Yunus erti kegelapan. Mengajar Yunus agar terus tekal berdakwah dan tidak berputus asa dalam menyeru kebaikan kepada umatnya.

Ya, mudah kata, saya bukan Yunus. Saya bukan Yunus, nabi yang diuji kerana segala amanah terpanggung di pundaknya sebagai manusia pilihan Allah untuk menyebar dakwah Islamiah kepada kaumnya.

Saya tidak kecewa kerana tidak mampu ubah sekeliling. Saya kecewa kerana saya gagal dalam masa yang lama ini, saya gagal mencari diri sendiri.

KOMA

Ia bukan keputusan yang mudah bagi mereka yang sudah terlalu selesa. Tidak dalam pongah saya katakan saya bersyukur kerana berani ambil keputusan memilih jalan ini walapun saya tahu jalan ini merupakan jalan yang amat baru bagi saya. Pasti cabaran dan halangannya tidak sama dengan jalan lama. Namun, saya tekad memilih jalan ini.

Saya juga, tidak semberono memilih jalan ini sebelum saya kuatkan hati, buka minda dan seterusnya bertanya kepada beberapa rakan baik tentang hal ini.

Dan akhirnya, di sinilah saya – di ruang yang baharu, yang terhias rimbunan pohon buku yang saya idamkan dan impikan selama ini. Saya berharap inilah keputusan terbaik yang saya buat dengan tawakal kepada Allah sepenuhnya.

Selamat datang saya. Semoga jalan ini jalan yang memberi nafas dan jiwa baharu kepada saya tanpa menafikan sumbangan jalan lama yang banyak mengajar erti jatuh-bangun saya dalam kehidupan.

Saya, dalam perit pedih hati, dan kemudian bangkit berani, bukan lagi seorang wartawan. Saya kini Editor!

d

Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia menerusi Majlis Perunding Wanita Islam Malaysia (MPWIM) menganjurkan MULTAQA KEBUDAYAAN DAN KESENIAN ISLAM 2009 pada 16 Mei 2009 (Sabtu) bertempat di Bilik Senat (UKM).  Program berkenaan adalah anjuran bersama Kementerian Penerangan, Komunikasi, Kesenian dan Kebudayaan dan Persatuan Kakitangan Wanita Universiti Kebangsaan Malaysia (SUKMANITA).  Program ini akan berlangsung mulai pukul 8 pagi hingga 5.30 petang.

Seramai 200 peserta yang terdiri daripada ahli-ahli pertubuhan wanita Islam di Malaysia, ahli-ahli pertubuhan seni dan budaya, ahli akademik, budayawan, wakil media, ulama  serta pelajar akan hadir pada program itu.

Antara lain program ini bertujuan untuk memartabatkan kembali budaya dan seni Melayu Islam;  menjadikan budaya dan seni Melayu Islam sebagai cara hidup; menjelaskan kepada masyarakat kedudukan kebudayaan dan kesenian menurut Islam; mencadangkan garis panduan persembahan kebudayaan yang melambangkan identiti Malaysia dan Islam dan mempertemukan wakil-wakil NGO wanita Islam di peringkat kebangsaan .

Seminar yang membawa tema   “ISLAM MELESTARIKAN KEBUDAYAAN MALAYSIA’ ini akan diisi dengan ucaptama, pembentangan empat kertas kerja serta satu sesi forum.

Ucap tama akan disampaikan oleh Pengarah Institut Kajian Rantau Asia Barat, UKM merangkap Ahli Jawatankuasa Majlis Perunding Wanita Islam Malaysia, Prof Dr. Siti Rugayah Hj. Tibek dengan tajuk ucaptamanya `Mengaplikasikan Kesenian Dan Kebudayaan Sebagai Medium Dakwah’.

Empat kertas kerja yang akan dibentangkan adalah seperti berikut:
1.    Peranan Kebudyaan Melayu Dalam Membina Jati Diri Wanita oleh Prof. Dr. Siti Zainon Ismail, Sarjana Tamu, Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia.
2.    Peranan Media Swasta Dalam Membina Jati Diri Wanita oleh Ir Ahmad Jais Alias (Pengarah Radio IKIM.fm) dan penyanyi kumpulan Nowseeheart, Encik Idzhar Jumali.
3.    Penerapan Budaya Dan Kesenian Islam Dalam Drama Dan Filem oleh Rashid Shibir (Pengarah Drama dan Filem) dan penulis bebas, Pn. Sujiah Salleh.
4.    Unsur Islam Dalam Novel; Pengaruhnya Kepada Pembaca oleh Dr. Mawar Shafie dari Pusat Pengajian Bahasa, Kesusasteraan & Kebudayaan Melayu, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi

Sementara itu, sesi forum akan membincangkan tajuk `Islam Melestarikan Kebudayaan Malaysia’ yang akan dipengerusikan oleh Prof. Madya Dr. Asiah Sarji.  Manakala ahli-ahli panel terdiri daripada pelakon dan penerbit terkenal, Erma Fatima, Tan Sri Jins Shamsuddin dan Prof. Madya Mohamad Kamil Haji Abdul Majid dari Universiti Malaya.

Sebarang pertanyaan mengenai program ini boleh diajukan kepada Sekretariat MPWIM (Ustazah Normawati Muhammad) 012-2629836, Afiqah Mohd. Yusof (019-9412849) atau Unit Perhubungan Awam YADIM pada talian 03-22746077.

bb1

“Aduhai, kenapa boleh kusut begini?” tanya saya kepada adik yang baharu pertama kali mengikuti aktiviti berkhemah itu.

“Saya tidak tahu. Nak leraikan kekusutan ini juga saya ‘kalah’. Dari tadi cuba buat. Tak boleh juga,” kata adik yang manis bertudung merah jambu itu.

Tudung kami sama. Merah jambu. Kami, Puteri Islam yang aktif di sekolah dahulu.

“Cari hujung tali. Cuba leraikan dari situ,” kata saya memberi arahan.

Benar. Dia berjaya leraikan kekusutan itu dan khemah kami dapat didirikan selepas itu.

KOMA

Semalam, saya kusut.

Paginya, semasa mengundurkan kereta, saya terlanggar kereta di belakang. Ya, memang ada ‘sensor‘, tetapi itu tidak membantu di saat saya kepanikan melihat sebuah lori menuju ke arah saya dengan laju.

Saya berlalu pergi. Tiada apa yang pecah atau calar. Baik kereta saya atau kereta yang dilanggar itu.

Petangnya, semasa pulang ke rumah, baru saya perasan yang sisi kereta saya bercalar dan lekuk [kecederaan ke tiga untuk cik B saya]. Mungkin digesel oleh kenderaan lain semasa meletak kereta di pejabat.

“Aduhai, dajal mana yang calarkan kereta saya ini?” bisik saya dalam hati bersama beberapa kata yang tidak manis untuk saya paparkan di sini.

Dan di hujung bicara [bisik] itu, saya tersedar, ‘apa yang kamu beri, itu yang akan kamu dapat semula’ [What you give, you get back]. Sama ada ia baik atau buruk.

“Tapi Tuhan, pagi tadi saya langgar kereta orang dengan tidak meninggalkan apa-apa kesan pada keretanya. Mengapa saya dibalas dengan kecederaan yang agak ‘dalam’ pada kereta saya?” tanya saya pada Tuhan seperti biasa-biasa. Bukan tidak puas hati. Mungkin ada sedikit. Ya.

KOMA

mmSemalam, kusut juga bila diberitahu bahawa hari Jumaat ini saya perlu buat liputan berita untuk program kami. Mengapa baru hari ini diberitahu? Jadual saya tercalar.

Jumaat, saya bercuti.

Jumaat sehingga Ahad  [13, 14 dan 15 Februari 2009] – Muktamar Wanita Islam Di Alam Melayu 2009 anjuran YADIM. bertempat di Palace of The Golden Horses dengan tema ‘Wanita Islam di Alam Melayu : Pencorak Kemajuan Ummah. Saya hanya akan datang pada hari Sabtu dan Ahad. Sesiapa yang berminat dengan perkembangan dan emansipasi wanita Melayu, sila datang. Tidak rugi bukan?

Tadi, Pra Pelancaran Bulan Dakwah di JAKIM. Minggu hadapan, 19 Februari 2009 pula ada Pelancaran Bulan Dakwah Di PICC, Putrajaya.

Bulan Dakwah akan berlangsung selama sebulan. Pelbagai aktiviti akan dilaksanakan. Selepas 30 tahun Bulan Dakwah diadakan semula [kali terakhir pada tahun 1978].

Menurut Y.B Senator Dato’ Dr. Mashitah Ibrahim, hal itu mungkin berlaku kerana era pemerintahan. Dan ‘pemerintah’ baru ini banyak membuat pembaharuan iaitu mengambil semula hal-hal yang lama yang ditinggalkan oleh ‘pemerintah’ sebelumnya. Mungkin.

Selama sebulan, pelbagai aktiviti akan dilaksanakan di seluruh Malaysia. Selepas itu berdakwah atau tidak, terpulang. Mungkin.

Ya, mungkin kita perlu mencari hujung tali yang semakin kita tidak nampak kerana terperangkap dalam kekusutan yang entah apa-apa.

KOMA

“Bos besar minta buat gimik keris atau pedang yang ditusuk ke tanah,” kata encik bos.

“Apa relevannya dengan bulan dakwah?” tanya saya.

“Entah. Lebih baik buat gimik, ‘letak Quran atas rehal’,” kata encik bos lagi.

“Cadangan yang baik. Itu lebih bagus. Ada simboliknya dengan Bulan Dakwah ‘Wadah Pemangkin Khaira Ummah’,” bisik saya dalam hati.

Saya pandang wajah Encik Bos. Encik Bos telah jumpa hujung tali yang kusut. Alhamdulillah. Hehehhe….

ila

Muktamar Kebangsaan Majlis Amal Islami Malaysia 2009
13 Januari 2009 (Selasa) bersamaan 16 Muharam 1430 Hijrah
7.00 pagi – 6.00 petang
Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC
)

Muktamar Kebangsaan Majlis Amal Islami Malaysia kali ini diadakan bagi menghimpun sekali lagi pemimpin Pertubuhan Amal Islam bagi berbincang dan berkongsi idea mengenai isu-isu semasa dan permasalahan sosial yang timbul akibat perkembangan globalisasi yang begitu pantas.

Kumpulan Sasaran:
Pertubuhan Islam Bukan Kerajaan Pelajar dan Kakitangan Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta
Agensi-Agensi Kerajaan Individu
Golongan Profesional Belia

*Masuk percuma. Jumpa di sana.

Hari ini di pesta buku lagi! Beli beberapa buah buku lagi. Tapi Saya tidak akan bercerita tentang buku yang saya beli hari ini.

Sirah Nabawiyah cetakan pertama

Sirah Nabawiyyah cetakan terbaharu ditangan saya.

Sirah Nabawiyyah ini sebenarnya telah lama saya miliki. Buku terbitan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) ini saya sarankan anda membelinya. Cuma RM35 berbanding RM50 harga sebenarnya. Hanya di Pesta buku. Dan hanya di gerai YADIM.

Sirah Nabawiyyah karya Safiyyu Ar-Rahman Al-Mubarakfuri merupakan sebuah buku berkaitan sejarah hidup Rasulullah s.a.w yang memuatkan garis panduan menyeluruh tentang Islam, Iman, kekuatan serta perjuangan dakwah baginda nabi Muhammad s.a.w.

Isi kandungannya menggabungkan perbincangan tentang aspek pensejarahan yang meliputi sejarah orang-orang Arab pada zaman jahiliyah sebagai laluan untuk menjustifikasikan mengapa perlunya Allah mengutuskan Rasulullah s.a.w di bumi Arab.

Buku ini turut mmaparkan liku-liku perjuangan dakwah Rasulullah s.a.w, strategi dan uslub dakwah yang dipamerkan melalui tiga peringkat dakwah iaitu permulaan, peringkat tribulasi dan peringkat kejayaan.

Oleh itu, kenali kekasih Allah ini dengan lebih mendalam melalui buku ini.

*Bab akhir menceritakan hari-hari terakhir Nabi Muhammad s.a.w. Jangan tahan air mata ketika membaca dan membayangkan keadaan Nabi, ahli keluarganya terutama Fatimah yang dikatakan ahli keluarganya yang pertama yang akan menyusul ayahandanya itu ke syurga. Wallahua’lam.