meow

“Saya sedang pening,” beritahu saya pada dia, tentang kesibukan saya kebelakangan ini, dan kekalutan saya melaksanakan tugas yang kebanyakannya datang di saat-saat akhir.

Sambung saya lagi, “waktu beginilah, idea menulis datang mencurah. Pagi tadi semasa dalam perjalanan ke pejabat, ilham itu datang dengan laju dan padat. Saya capai nota dan pen, catat isi penting dan beberapa catatan lain. Dan saya kena hon oleh kenderaan di belakang kerana lampu hijau telah menyala tetapi kereta saya tidak bergerak.

“Memang. Kadang, waktu kita banyak kerja, waktu itulah idea menulis datang. Masa itu otak kita kan bekerja keras,” katanya yang merupakan seorang penulis yang amat saya kagumi dan satu-satunya penulis perempuan yang saya suka baca hasil karyanya.

KOMA

Saya sangat sibuk sehingga terlupakan banyak perkara.

Ternyata masa bukan emas bagi saya. Kerana nilai emas tidaklah setinggi mana. Nilai masa lebih dari itu.

Nilai persahabatan juga.

Maaf kawan, terpaksa abaikan panggilan dan sms dari kamu kerana waktu itu saya berada di PICC dan Kg. Baru. Ambil gambar.

Dan selepas ini jadual saya sangat padat.

KOMA

“Kak, saya mahu ambil semula cerpen yang telah saya hantar. Untuk penambahbaikan. Akak bagi masa untuk saya agar saya disiplin untuk menghantar cerpen itu,” kata saya kepadanya yang tidak sepatutnya saya panggil kakak kerana tarafnya lebih tinggi daripada saya.

“Hantar dalam pertengahan bulan tiga boleh?” katanya memberi tarikh mati penghantaran cerpen itu.

Erk. Bulan tiga jadual saya penuh dengan aktiviti bulan dakwah. Mampukah?

KOMA

“25 Februari sehingga 2 Mac saya akan ke Pulau Pinang. Karnival Halal,” kata saya.

“Lamanya…” jawab dia.

“4 Mac sehingga 6 Mac berada di Melaka, InsyaAllah. Dan selepas itu akan ‘capik’ dengan aktiviti Bulan Dakwah yang lain,” sambung saya lagi.

Saya penat. Blog akan saya rehatkan.

bb1

“Aduhai, kenapa boleh kusut begini?” tanya saya kepada adik yang baharu pertama kali mengikuti aktiviti berkhemah itu.

“Saya tidak tahu. Nak leraikan kekusutan ini juga saya ‘kalah’. Dari tadi cuba buat. Tak boleh juga,” kata adik yang manis bertudung merah jambu itu.

Tudung kami sama. Merah jambu. Kami, Puteri Islam yang aktif di sekolah dahulu.

“Cari hujung tali. Cuba leraikan dari situ,” kata saya memberi arahan.

Benar. Dia berjaya leraikan kekusutan itu dan khemah kami dapat didirikan selepas itu.

KOMA

Semalam, saya kusut.

Paginya, semasa mengundurkan kereta, saya terlanggar kereta di belakang. Ya, memang ada ‘sensor‘, tetapi itu tidak membantu di saat saya kepanikan melihat sebuah lori menuju ke arah saya dengan laju.

Saya berlalu pergi. Tiada apa yang pecah atau calar. Baik kereta saya atau kereta yang dilanggar itu.

Petangnya, semasa pulang ke rumah, baru saya perasan yang sisi kereta saya bercalar dan lekuk [kecederaan ke tiga untuk cik B saya]. Mungkin digesel oleh kenderaan lain semasa meletak kereta di pejabat.

“Aduhai, dajal mana yang calarkan kereta saya ini?” bisik saya dalam hati bersama beberapa kata yang tidak manis untuk saya paparkan di sini.

Dan di hujung bicara [bisik] itu, saya tersedar, ‘apa yang kamu beri, itu yang akan kamu dapat semula’ [What you give, you get back]. Sama ada ia baik atau buruk.

“Tapi Tuhan, pagi tadi saya langgar kereta orang dengan tidak meninggalkan apa-apa kesan pada keretanya. Mengapa saya dibalas dengan kecederaan yang agak ‘dalam’ pada kereta saya?” tanya saya pada Tuhan seperti biasa-biasa. Bukan tidak puas hati. Mungkin ada sedikit. Ya.

KOMA

mmSemalam, kusut juga bila diberitahu bahawa hari Jumaat ini saya perlu buat liputan berita untuk program kami. Mengapa baru hari ini diberitahu? Jadual saya tercalar.

Jumaat, saya bercuti.

Jumaat sehingga Ahad¬† [13, 14 dan 15 Februari 2009] – Muktamar Wanita Islam Di Alam Melayu 2009 anjuran YADIM. bertempat di Palace of The Golden Horses dengan tema ‘Wanita Islam di Alam Melayu : Pencorak Kemajuan Ummah. Saya hanya akan datang pada hari Sabtu dan Ahad. Sesiapa yang berminat dengan perkembangan dan emansipasi wanita Melayu, sila datang. Tidak rugi bukan?

Tadi, Pra Pelancaran Bulan Dakwah di JAKIM. Minggu hadapan, 19 Februari 2009 pula ada Pelancaran Bulan Dakwah Di PICC, Putrajaya.

Bulan Dakwah akan berlangsung selama sebulan. Pelbagai aktiviti akan dilaksanakan. Selepas 30 tahun Bulan Dakwah diadakan semula [kali terakhir pada tahun 1978].

Menurut Y.B Senator Dato’ Dr. Mashitah Ibrahim, hal itu mungkin berlaku kerana era pemerintahan. Dan ‘pemerintah’ baru ini banyak membuat pembaharuan iaitu mengambil semula hal-hal yang lama yang ditinggalkan oleh ‘pemerintah’ sebelumnya. Mungkin.

Selama sebulan, pelbagai aktiviti akan dilaksanakan di seluruh Malaysia. Selepas itu berdakwah atau tidak, terpulang. Mungkin.

Ya, mungkin kita perlu mencari hujung tali yang semakin kita tidak nampak kerana terperangkap dalam kekusutan yang entah apa-apa.

KOMA

“Bos besar minta buat gimik keris atau pedang yang ditusuk ke tanah,” kata encik bos.

“Apa relevannya dengan bulan dakwah?” tanya saya.

“Entah. Lebih baik buat gimik, ‘letak Quran atas rehal’,” kata encik bos lagi.

“Cadangan yang baik. Itu lebih bagus. Ada simboliknya dengan Bulan Dakwah ‘Wadah Pemangkin Khaira Ummah’,” bisik saya dalam hati.

Saya pandang wajah Encik Bos. Encik Bos telah jumpa hujung tali yang kusut. Alhamdulillah. Hehehhe….