DSC_3149

 

Hari ini 31 Disember 2012. Lebih tepat lagi hari ini merupakan hari terakhir bagi tahun 2012. Di FB sahaja, bertali arus yang mengucapkan selamat tinggal kepada 2012 dan bersedia dengan semangat menggamit 2013.

Masa.

Teringat novel Gadis Oren yang saya baca dan ulas pada tahun ini [dan ulasan itu memenangi hadiah di tempat keempat dengan ganjaran baucar sebanyak RM200].

Dalam novel itu konsep masa menjadi plot kepada jalan cerita. Bagaimana masa menemukan watak-wataknya. Bagaimana masa memanipulasi konflik yang dicetuskan. Bagaimana masa menjadi satu perkara yang sangat penting sehingga segala cara dilakukan demi memenuhi masa.

Dan begitulah kehidupan. Masa dan nyawa.

Islam.

Dalam agama Islam sendiri, konsep masa sangat diutamakan. Menghargai masa sangat dituntut kepada setiap umat.

Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan beramal shalih, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan kesabaran. [al-‘Ashr 103:1-3]

Berdasarkan surah di atas, fahami konsep masa yang dilingkungi ajaran Islam. Masa yang ada hanya sementara, jangan bertangguh. Juga memanfaatkan masa di dunia sebaiknya.

Saya tidak mahu menjadi orang yang rugi lagi dengan melakukan hal yang sia-sia. Itulah keputusan yang saya ambil penghujung tahun 2011. Tidak disangka keputusan baik dan bermanfaat itu tidak dipersetujui oleh kawan yang masih mahu bergelumang dengan kezaliman kepada diri sendiri. Penghujung 2011 juga saya mengalami ujian maha berat dan Alhamdulillah, sepanjang tahun 2012, segalanya manis dan berada dalam landasan yang terbaik hasil keputusan yang telah dibuat.

KOMA

2012

Terlalu banyak yang tercatit. Itu penting untuk diri sendiri. Menilai kembali diri, kawan, keluarga dan segala yang berkaitan. Kerana ia menyumbang kepada baik atau jahatnya diri, seterusnya, menjadikan kita siapa pada masa akan datang.

Memiliki kawan-kawan yang baik, dijauhkan daripada kawan-kawan yang ‘busuk’, merupakan nikmat tidak ternilai. Di kala diri diuji, masih ramai menyebelahi dan memahami, malah lebih akrab dan lebih senyum terukir. Syukur pada Mu ya Allah atas ingatan yang diberi.

Memiliki kekuatan semula dan mula bekerja dengan lebih konsisten tanpa gangguan, berusaha menjadi yang lebih baik dari hari sebelumnya, dan kini mencicip manisnya kehidupan.

Memiliki Umar, pelengkap bahagia.

Memiliki cinta, setelah kelemahan dan kebobrokan menjadi perbincangan yang waras dan wajar. Ya Allah, nikmat manakah yang hamba-Mu ini lupakan. Maafkan daku ya Allah.

Dan macam-macam lagi senyum bahagia mengiringi 2012 yang bermakna.

Terima kasih Allah untuk kesekian kali tanpa jemu sehingga mati!

KOMA

Untuk 2013, sudah tentu azam-berazam akan meniti dibibir dan melekap di hati seperti biasa-biasa.

Senaraikan sahaja. Ia tidak salah malah merancang itu dituntut dalam kalendar perjalanan setiap muslim.

Untuk 2013, semoga umur panjang bagi mencicip nikmatnya hidup bersama mereka yang dikasihi.

Tahun baharu. Diari baharu. Diri yang baharu.

Yang lama, usah dibuang. Jadikan panduan dan ingatan untuk mendepani masa mendatang.

Semoga bermanfaat.

SELAMAT MENYAMBUT TAHUN BAHARU 1431 HIJRAH buat semua.

KOMA

Tidak sampai sebulan, kita akan memasuki tahun baharu 2010. Segala persiapan, baik dari segi fizikal dan mental telah direncana, dan di catat untuk mendepani tahun berikutnya. Itu bagi individu yang menitikberatkan perancangan dan harapan untuk meneruskan perjalanan kehidupan. Dan ia selalunya disebut sebagai azam.

Azam tahun baharu. Azam yang disenaraikan untuk dibawa sepanjang perjalanan 365 hari. Berjaya atau gagalkah menjadi ukuran buat diri sendiri.

Seperti satu fenomena, di seluruh dunia, pasti ada acara-acara akan berlangsung sempena menyambut kehadiran tahun baharu. Pesta dan segala macam aktiviti yang selalunya berbentuk hiburan akan disogokkan kepada masyarakat, menandakan harapan yang besar, kegembiraan yang tiada tepian dan keterujaan yang pelbagai dalam menyambut tahun yang seterusnya.

BACA SETERUSNYA...

Baca juga :

Meniti Hijrah 1430

Memaknakan Konsep Hijrah

Detik Pembaharuan Jiwa

Setahun Telah Berlalu

DSC_0905-Edit

“Apa pendapat anda mengenai pakaian renang untuk muslimah ini,” tanya wartawan [seperti ada konflik di situ apabila melihat wartawan yang ‘begitu’ dan para juruvideo yang terdiri daripada golongan adam yang menemuramah kami ketika solat Jumaat berlangsung].

“Bagi saya, pakaian renang muslimah ini memudahkan wanita muslim menyertai aktiviti berenang dan beriadah bersama keluarga terutama di kolam-kolam renang yang terbuka. Selain itu, bla…bla..bla…” jawab saya dengan rasa yang tiba-tiba sangat pelik.

Pelik dan tertanya-tanya kepada diri sendiri – “apa yang aku cakapkan ini?”

KOMA

Pernah baca satu entri saya yang terdahulu mengenai kolam renang dan pakaian muslimah?

Sila baca di sini.

Saya cukup marah dengan apa yang berlaku ketika itu. Betapa saya membebel tantang hak.

Hak kononnya.

Dan hari ini Tuhan beri sebab-musababnya.

Wanita.

Muslimah.

Mandi ditempat terbuka.

Pakaian renang.

Kesihatan sosial.

Syariat.

Dan segalanya bermain-main dalam minda saya hari ini.

Ia berlegar-legar dengan pedih ketika sesi temuramah dijalankan.

KOMA

Wanita muslim, jika berjubah sekalipun, tidak wajar memperlihatkan diri kepada khalayak bukan mahram ketika diri lencun dan basah.

Terima kasih khairulhak yang pernah bercakap tentang hal ini.

DSC_1329

Masa : 7.30 malam.

Saya menjamah buah kurma yang disediakan, sementara menunggu hidangan. Agak lewat kerana lambat tiba ke restoran itu.

Meja kiri dan kanan penuh. Begitu juga yang di hadapan. Dapur restoran yang berdekatan dengan saya agak bising dengan bunyi senduk kuali yang berperang sesama sendiri.

Tiba-tiba terdengar batuk-batuk kecil di meja sebelah. Dua orang kanak-kanak terbatuk-batuk dan tangannya menggosok mata. Ibu bapa mereka sedang enak menjamah makanan.

Saya perhatikan meja di hadapan mereka. Ada sekumpulan lelaki [muda], menghisap rokok sambil makan buah kurma. Hidangan mereka juga belum sampai.

Tiba-tiba juga, saya rasa ada bendalir hijau mengepung jiwa. Saya akan bertukar jadi hulk kah?

KOMA

“Cik..boleh tanya?” saya menyapa cik pelayan yang dalam sesak-sibuknya itu.

“Ya, nak tambah hidangan?” tanya cik pelayan.

“Tidak. Saya minta hidangan lelaki-lelaki di meja hadapan itu dibuat dahulu. Saya tidak apa. Saya mengalah,” jawab saya.

Cik pelayan yang berkebaya songket pendek warna coklat dari jenis kain Sutera Thai itu agak terkedu.

Saya menyambung lagi dengan suara yang agak kuat, “saya sangat kasihan melihat mereka yang sangat lapar sehingga asap pun mereka telan. Tolong cik ya…buatkan hidangan mereka dahulu. Saya sanggup tunggu dan mengalah untuk hidangan saya.”

“Lagipun, kasihan juga dengan kanak-kanak yang terbatuk-batuk di sebelah saya ini. Takkan kerana orang lain, paru-paru mereka pula yang pecah,” sambung saya yang saya harap dapat mematikan pinga cik pelayan.

Cik pelayan terus ke dapur.

Lelaki-lelaki perokok juga terpinga dengan suara rasa saya.

Saya senyum dan menjamah kurma kedua yang terhidang di meja.

_MG_5758

“Bekerjalah seolah-olah kamu akan hidup seribu tahun lagi. Beribadahlah kamu seolah-olah kamu akan mati esok hari.”

Kata-kata, atau saya kira mungkin juga hadis yang menjadi hiasan mural di dinding-dinding sekolah dahulu. Dan sehinga kini masih dijadikan kayu ukur untuk masyarakat Islam menyeimbangkan hal-hal dunia dan akhirat.

KOMA

Andainya kamu tahu esok tiada bagi kamu, apa yang harus kamu lakukan hari ini?

Meminta maaf dengan kawan-kawan dan sanak-saudara?

Makanya kamu, harus mula membuat satu senarai nama kawan-kawan dan sanak-saudara dengan nombor telefon terkini. Gunakan segala kemudahan yang ada – blog, facebook, YM atau apa sahaja, agar mudah untuk kamu meminta maaf dan memberitahu mereka bahawa kamu tidak akan bernafas lagi esok pagi.

Atau mula memikirkan banyak mana impian yang telah dicapai dan banyak mana impian yang tak tercapai. Buatlah mana yang penting sementara esok tidak menjengah. Esok yang mungkin tiada nafas lagi buat kamu.

Makanya, kamu yang yakin hidup masih panjang, gunakan masa ini untuk menyenaraikan segala impian dan tandakan dengan simbol tertentu bagi impian kamu yang telah tercapai atau belum.

Impian itu penting kawan. Supaya kita punya sebab untuk bangun esok pagi menyelesaikan dan melaksanakan apa yang diimpikan. Sila buat senarai sekarang.

Apa lagi?

Ibadah?

Bukankah sedari lahir kamu tahu hal ini yang tidak boleh dilakukan sesuka hati? Makanya, bagi yang yakin hidupnya masih panjang, ubahlah corak hidup dan mula berjalan menelusuri jalan yang diperintahkan oleh-Nya.

Untuk mereka yang tahu esok tiada untuknya, buatlah apa yang kamu rasa perlu kepada-Nya. Mohon ampun dengan taubat yang seikhlasnya. Mendoakan agar diri diampuni. Mengharapkan diri agar diletakkan di kalangan orang yang dikasihi-Nya atau apa-apa sahaja.

Hidup, Insya Allah. Mati itu pasti.

KOMA

Alhamdulillah, masih bernafas pagi ini.

Namun, tetap harus meminta maaf kepada kamu. Dan juga bersedia dengan ikhlas memaafkan kamu, kawan-kawan yang banyak menemani saya.

hh

Hujan.

Di sebuah taman.

Cahaya cuma di sebatang tiang.

Bulan katanya mahu beradu awal.

KOMA

Malam tadi saya menonton teater Intan Yang Tercanai. Sendiri. Bukan kerana kawan sedang sakit. Tapi memang mahu sendiri.

Intan Yang Tercanai karya Sasterawan Negara Noordin Hassan dan pengarahnya ialah A.Wahab Hamzah. Ditayangkan di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.

Teater ini bukan hanya tentang kejadian Terowong Al- Mu’aysam yang mengorbankan 1.426 jemaah haji pada tahun 1990.

Bukan juga persoalan perikemanusiaan dan keprihatinan manusia semasa dilanda musibah.  Walaupun dalam bab ini saya memikirkan beberapa perkara yang saya rasa ‘benarkah perbandingan yang dibuat oleh penulis skrip ini?’.

Hal ini terjelma apabila dalam dialog Ungku Intan Anis, ada menyebut lebih kurang begini, “di Mekah, semasa mengerjakan tawaf dan rukun haji yang lain, manusia saling tolak-menolak demi melangsaikan ibadah yang ingin dilakukan. Sedangkan, semasa perayaan Kavadi, manusia sangat bersopan dan meminta maaf jika terlanggar sesama sendiri.”

Ini adalah kritikan terhadap masyarakat Islam yang ghairah mengejar ibadah kepada Tuhan sehingga melupakan manusia lain di sekelilingnya. Saya terima hal ini. Benar, ramai manusia sanggup melupakan hal lain semata-mata mahu mendapat pahala yang besar dari Allah s.w.t, padahal hubungan sesama manusia juga penting. Maka, Ungku Intan Anis dan jemaah yang terkorban itu adalah lambang kegelojohan para jemaah pada waktu itu. Dan juga mungkin panik. Maka di sini sebenarnya ujian Allah s.w.t kepada hamba-Nya.

Poster Intan yang Tercanai

Intan, bagi saya adalah keperibadian yang bertitik tolak dari hati. Hati yang bersih menginginkan yang terbaik buat sahabat. Hati yang bersih yang menginginkan terbaik buat keluarga yang dilanda kesesatan. Hati yang dicanai dengan iman dan ketaqwaan yang tinggi kepada Tuhan sekalian alam.

Persoalan persahabatan yang memaknakan antara satu sama lain. Ikhlas. Antara Ungku Intan Anis dan Danial, terlahir dari persahabatan yang tulus tanpa prejudis dari aspek tingkahlaku masing-masing dan agama yang dianuti dapat digambarkan dengan berkesan. Dan peribadi yang sangat kuat dalam diri Ungku Anis menjadi kekaguman kepada Danial. Ini mungkin membawa persoalan agama  yang harus menunjukkan contoh dan kemanisan Islam yang sebenarnya kepada sesiapa juga.

Babak perselisihan antara Ungku Intan Anis dan ibu tirinya, Makcik Yong Sutinah – Ungku Intan Anis dipaksa menjadi pelakon, dipaksa menerima pinangan dalam usia yang muda, dan susuk yang dipakai oleh Makcik Yong Sutinah adalah antara beberapa  isu yang seringkali dihadapi oleh masyarakat Islam di negara ini.

Makanya, segala persoalan persahabatan berlainan agama, permasalahan agama dalam keluarga sendiri dan persoalan ketaatan kepada agama menjadikan Ungku Intan Anis dilahirkan dengan keperibadian yang unggul sehingga menjadi kekaguman kepada penganut agama lain.

Ini teater kemanusiaan dan agama.

Persembahan teater ini cantik dan manis.

Selanjutnya :

Janggeltrekker’s Life

Ajamihashim

Faisal Tehrani

l1

Kempen ‘tidak menonton televisyen selama seminggu’, anjuran Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) yang bertujuan mempererat silaturahim dalam keluarga tidak mendapat sambutan malahan kritikan dari pelbagai lapisan masyarakat.

Kempen itu dikatakan tidak berkesan kerana televisyen bukanlah penyebab yang kuat terjadinya jurang antara ahli keluarga.

FOMCA dikatakan melancarkan kempen tersebut untuk menggalakkan ibu bapa dan anak-anak meluangkan masa bersama-sama dan menjalankan aktiviti bermanfaat bersama-sama.

Kempen ‘tidak menonton televisyen selama seminggu’ itu juga dilihat menjadi salah satu kempen yang boleh memberi kesan kepada sistem kekeluargaan berdasarkan kajian yang dilaksanakan oleh Pusat Informasi Pemakanan Asia (AFIC) yang menunjukkan 30 peratus kanak-kanak di negara ini menghidapi masalah obesiti kerana menghabiskan masa lapan jam sehari menonton televisyen dan bermain komputer.

Di samping itu, individu yang banyak menonton televisyen juga akan mewujudkan sikap suka menyendiri, dan tidak banyak melakukan aktiviti fizikal.

Benar, menonton televisyen terlalu lama boleh mengundang pelbagai kesan yang negatif kepada individu seperti yang diketengahkan oleh kajian tersebut. Namun, dalam era globalisasi dan teknologi yang semakin berkembang, tidak menonton televisyen adalah satu usul yang tidak begitu berkesan dalam usaha mengeratkan silaturahim dalam keluarga.
KOMA

Televisyen boleh menjadi medium terbaik untuk mengeratkan silaturahim antara ahli keluarga dengan syarat tertentu. Antaranya, ibu bapa harus memantau jadual menonton televisyen di rumah. Berapa jam harus dihadkan serta program televisyen apa yang harus ditonton atau dihindar.

Selain itu, dalam usaha mengeratkan silaturahim antara ahli keluarga, sebaiknya sesebuah program televisyen itu di tonton bersama serta mempunyai aktiviti atau proses pembelajaran iaitu mengambil tahu, menghayati dan mengamalkan.

Di sini sudah pasti proses soal jawab antara anak dengan ibu bapa akan berlaku.

Komunikasi yang berlaku ini merupakan satu cara paling berkesan untuk ibu bapa mendekati dan mengenali potensi serta tingkah laku anak-anak.

Dengan komunikasi ini juga memberitahu kepada anak-anak bahawa ibu-bapa merupakan orang yang boleh diharapkan untuk mereka belajar dan mengetahui sesuatu hal yang baharu.

Selain itu, persekitaran semasa menonton televisyen juga perlu diambil kira seperti makanan dan minuman yang dihidangkan serta kedudukan televisyen di dalam rumah. Hal ini turut berkait rapat dengan faktor ‘perasaan’ (mood) yang bakal mempengaruhi tingkah laku seseorang serta melibatkan hal kesihatan.

Contohnya, kedudukan cahaya yang boleh merosakkan mata dan cara duduk atau berbaring semasa menonton yang boleh mempengaruhi kesihatan tulang belakang.

Baca selengkapnya DI SINI

bb1

“Aduhai, kenapa boleh kusut begini?” tanya saya kepada adik yang baharu pertama kali mengikuti aktiviti berkhemah itu.

“Saya tidak tahu. Nak leraikan kekusutan ini juga saya ‘kalah’. Dari tadi cuba buat. Tak boleh juga,” kata adik yang manis bertudung merah jambu itu.

Tudung kami sama. Merah jambu. Kami, Puteri Islam yang aktif di sekolah dahulu.

“Cari hujung tali. Cuba leraikan dari situ,” kata saya memberi arahan.

Benar. Dia berjaya leraikan kekusutan itu dan khemah kami dapat didirikan selepas itu.

KOMA

Semalam, saya kusut.

Paginya, semasa mengundurkan kereta, saya terlanggar kereta di belakang. Ya, memang ada ‘sensor‘, tetapi itu tidak membantu di saat saya kepanikan melihat sebuah lori menuju ke arah saya dengan laju.

Saya berlalu pergi. Tiada apa yang pecah atau calar. Baik kereta saya atau kereta yang dilanggar itu.

Petangnya, semasa pulang ke rumah, baru saya perasan yang sisi kereta saya bercalar dan lekuk [kecederaan ke tiga untuk cik B saya]. Mungkin digesel oleh kenderaan lain semasa meletak kereta di pejabat.

“Aduhai, dajal mana yang calarkan kereta saya ini?” bisik saya dalam hati bersama beberapa kata yang tidak manis untuk saya paparkan di sini.

Dan di hujung bicara [bisik] itu, saya tersedar, ‘apa yang kamu beri, itu yang akan kamu dapat semula’ [What you give, you get back]. Sama ada ia baik atau buruk.

“Tapi Tuhan, pagi tadi saya langgar kereta orang dengan tidak meninggalkan apa-apa kesan pada keretanya. Mengapa saya dibalas dengan kecederaan yang agak ‘dalam’ pada kereta saya?” tanya saya pada Tuhan seperti biasa-biasa. Bukan tidak puas hati. Mungkin ada sedikit. Ya.

KOMA

mmSemalam, kusut juga bila diberitahu bahawa hari Jumaat ini saya perlu buat liputan berita untuk program kami. Mengapa baru hari ini diberitahu? Jadual saya tercalar.

Jumaat, saya bercuti.

Jumaat sehingga Ahad  [13, 14 dan 15 Februari 2009] – Muktamar Wanita Islam Di Alam Melayu 2009 anjuran YADIM. bertempat di Palace of The Golden Horses dengan tema ‘Wanita Islam di Alam Melayu : Pencorak Kemajuan Ummah. Saya hanya akan datang pada hari Sabtu dan Ahad. Sesiapa yang berminat dengan perkembangan dan emansipasi wanita Melayu, sila datang. Tidak rugi bukan?

Tadi, Pra Pelancaran Bulan Dakwah di JAKIM. Minggu hadapan, 19 Februari 2009 pula ada Pelancaran Bulan Dakwah Di PICC, Putrajaya.

Bulan Dakwah akan berlangsung selama sebulan. Pelbagai aktiviti akan dilaksanakan. Selepas 30 tahun Bulan Dakwah diadakan semula [kali terakhir pada tahun 1978].

Menurut Y.B Senator Dato’ Dr. Mashitah Ibrahim, hal itu mungkin berlaku kerana era pemerintahan. Dan ‘pemerintah’ baru ini banyak membuat pembaharuan iaitu mengambil semula hal-hal yang lama yang ditinggalkan oleh ‘pemerintah’ sebelumnya. Mungkin.

Selama sebulan, pelbagai aktiviti akan dilaksanakan di seluruh Malaysia. Selepas itu berdakwah atau tidak, terpulang. Mungkin.

Ya, mungkin kita perlu mencari hujung tali yang semakin kita tidak nampak kerana terperangkap dalam kekusutan yang entah apa-apa.

KOMA

“Bos besar minta buat gimik keris atau pedang yang ditusuk ke tanah,” kata encik bos.

“Apa relevannya dengan bulan dakwah?” tanya saya.

“Entah. Lebih baik buat gimik, ‘letak Quran atas rehal’,” kata encik bos lagi.

“Cadangan yang baik. Itu lebih bagus. Ada simboliknya dengan Bulan Dakwah ‘Wadah Pemangkin Khaira Ummah’,” bisik saya dalam hati.

Saya pandang wajah Encik Bos. Encik Bos telah jumpa hujung tali yang kusut. Alhamdulillah. Hehehhe….

titik

“Jika menulis boleh beri awak kekuatan, teruskan. Lagipun blog awak bukan layak dimiliki oleh seorang yang tidak serius dalam penulisan. Ini bukan kata-kata manis,” kata seorang sahabat yang tidak mahu digelar jejaka atau siapa-siapa.

“Ya, saya luahkan kesedihan dan kesedaran tentang sesuatu melalui blog. Jangan risau saya masih boleh mentafsir kata-kata awak dengan rasional dan profesional,” jawab saya.

KOMA

Tahun ini bukan tahun suka-suka.

Cita-cita masih harus dicapai. Impian masih harus dibina. Tentang diri sendiri, tentang bangsa, tentang negara malah terutamanya tentang agama. Jika kamu manusia, hal-hal begini usah dikesampingkan.

Saya mempunyai cita-cita yang masih diusahakan. Saya punya impian yang masih dikendong.

Prof. Dato’ Dr. Mohd Yusof Haji Othman (UKM) di dalam kertas kerjanya yang bertajuk *”KEUNGGULAN BAHASA MELAYU MENYONGSONG TATANAN BARU DUNIA” menyapa ingatan saya melalui kata-katanya iaitu;

Sekiranya kita tidak merancang dan berusaha memajukan bahasa kita,
kita sebenarnya merancang untuk memundurnya.
Sekiranya kita tidak merancang dan berusaha membangunkan bahasa kita,
kita sebenarnya merancang untuk merobohnya.
Sekiranya kita tidak merancang dan berusaha mendaulatkan bahasa kita,
kita sebenarnya merancang untuk meminggirnya.
Sekiranya kita tidak merancang dan berusaha memartabatkan bahasa kita,
kita sebenarnya merancang untuk menghinanya.
Sekiranya kita tidak merancang dan berusaha menggunakan bahasa kita,
kita sebenarnya merancang untuk menguburnya

*Item ‘bahasa’ itu, boleh sahaja ditukar kepada mana-mana item yang bersangkut hal impian dan cita-cita kamu.

KOMA

Permulaan tahun hijrah.

Menganjakkan usia. Memaknakan kelangsungan riwayat diri.

Hanya kita kenal diri sendiri. Pandangan orang lain bermakna untuk menampal kelompongan hidup.

Tahun yang berlalu silih ganti usah abaikan begitu sahaja. Ada peristiwa hitam dan putih. Yang hitam usah diulang, yang putih jadikan amalan. Itu jadikan pedoman dan tauladan.

Semoga tahun baru ini, saya dan kamu, kamu dan kamu semua beroleh sesuatu dari peristiwa semalam.

Selamat menyambut Maal Hijrah 1430.

Nota kaki :

*kertas kerja beliau dibentangkan di Seminar Bahasa dan Sastera Sempena dengan Majlis Bahasa Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia (MABBIM) yang diadakan di Hotel Orchid Garden, Bandar Seri Bangawan pada 14-16 Mac 2006.

*Usah anggap isu bahasa ni suatu fenomena. Ia bukan fenomena. Ia perjuangan sampai bila-bila.

daun

‘anak umpama kain putih, ibu bapa adalah pencoraknya’. Begitu juga ungkapan lama seperti ‘bapa borek anak rintik’, ‘bagaimana acuan begitulah kuihnya´, ´bagaimana contoh begitulah gubahannya´, ´bagaimana ditanam, begitulah dituai´, ´bagaimana rupa begitulah bayangnya´

Allah s.w.t menciptakan manusia sebaik-baik ciptaan. Hal yang membezakan manusia dengan ciptaan yang lain ialah akal. Dengan akal, tuhan membiarkan manusia berfikir dan menilai antara yang baik dengan yang buruk.

Islam sebagai aga (selanjutnya…)

Bila nak buka puasa baru nak tunggu azan. Itupun bila dengar “Allah hu Akbar”…terus suap makanan. Tak menghayati langsung apa yang dilaungkan.

Betapa manisnya Tuhan mengatur lafaz azan untuk panduan dan peraturan sejagat umat manusia. Hanya orang-orang yang tidak menghayati akan kerugian dan tidak mendapat apa-apa hikmah apabila mendengar laungan azan di sekeliling mereka.

Laungan azan terbiar di angin lalu tanpa memberi apa-apa kesan pada jiwa dan sanubari umat yang mengaku Islam. Mengaku Tuhan itu satu dan tiada tuhan selain Allah. Memilukan juga apabila ada sesetengah stesen televisyen dan radio tidak mahu menyiarkan seruan azan di setesen mereka dengan alasan kemajmukan rakyat negara ini.

Wujud kesepakatan masyarakat bukan Islam yang meminta seruan azan diperlahankan kenyaringannya di masjid dan surau-surau sekitar mereka dengan alasan menggangu kedamaian suasana. Mereka tidak menghormati azan yang dilaungkan malah berani meminta azan diperlahankan walaupun mereka tahu bahawa Malaysia merupakan sebuah negara Islam yang harus mencanang keislamannya di pelusuk bumi ini melalui pelbagai cara dan salah satu daripadanya ialah seruan azan.

Oleh kerana masyarakat Islam sendiri kebanyakannya tidak menghayati dan mengambil tahu pengertian lafaz azan itu, maka tidak ada perjuangan untuk menentang anasir bukan Islam yang mahu mengaturcara kehidupan masyarakat Islam di bumi Islam ini sendiri.

Baca seterusnya di sini…

Duit bukan segalanya. Tapi dengan duit kita mampu ubah segalanya! Mungkin…

Saya pernah menegaskan kepada seseorang bahawa duit bukan segalanya. Bukan segalanya, terutama bagi orang-orang yang mementingkan nilai. Mungkin juga seperti sasterawan atau karyawan. Mungkin juga seperti sukarelawan yang tidak begitu kisah tentang duit atau kekayaan.

Ramai juga yang cuba mendekati saya untuk memperkenalkan perniagaan yang boleh menjana wang sampingan. Malah perniagaan yang diceburi boleh menjadikan kita meninggalkan kerja makan gaji.

Saya tidak kata ia salah. Malah Islam juga mengalakkan kita menceburi bidang perniagaan. Bukankah 9/10 punca pendapatan ialah daripada berniaga? [kata-kata orang MLM yang cuba menjerat saya]

Namun tidak semua mahu kaya. Percayalah. Ada orang yang tidak mahu duit yang banyak. Orang itu hanya mahu bahagia dan hati yang senang. Sudah memadai untuk hidup yang hanya sekali.

Itu juga menjadi pegangan hidup saya. Dahulu.

Hakikatnya pegangan hidup saya mula goyah tatkala tersepit di dalam dunia globalisasi ini. Segalanya wang.

Saya mahu kaya. Ya, saya mahu kaya.Tidak pasti bagaimana caranya.

Saya mahu jadi kaya untuk menjadi penaja kepada seminar tentang etika, adab, budaya dan tamadun manusia. Ya. Seminar yang ditaja oleh jutawan Bayan adalah percuma terutama kepada pemimpin-pemimpin negara.

Saya mahu jadi kaya untuk menaja rumah-rumah kebajikan dan rumah anak yatim. Tanpa perlu mereka menjual barangan atau produk dengan nama ihsan dari orang ramai.

Saya mahu jadi kaya untuk menaja rancangan berbentuk keagamaan. Oh ya, saya mahu menaja berjuta-juta kepada rancangan “Jangan Lupa Ayat suci Al-Quran” demi bertarung dengan rancangan “Jangan Lupa Lirik”.

Saya mahu jadi kaya untuk membuka sebuat pusat pemulihan akhlak untuk artis-artis di Malaysia yang dikatakan penyumbang terbesar keruntuhan akhlak masyarakat Malaysia.

Saya mahu jadi kaya untuk membuka seberapa banyak outlet untuk muslim dan muslimah. Produk makanan, pakaian dan segala-galanya harus dipelihara nilai halal haramnya. Kerana tidak menjaga pemakanan, orang Islam hari ini kebanyakannya jadi ‘biul’.

Saya mahu jadi kaya untuk hasilkan filem-filem yang menolak sama sekali unsur liberalisme dan pluralisme yang selama ini diaplikasi dalam filem-filem di Malaysia.

Saya mahu jadi kaya! [dan berilmu]

Tuhan, murahkanlah rezeki hambaMu ini. Amin.

“Dan sesungguhnya Kami telah datangkan kepada mereka, sebuah Kitab (Al-Quran) yang Kami telah menjelaskannya satu persatu berdasarkan pengetahuan (Kami yang meliputi segala-galanya), untuk menjadi hidayat petunjuk dan rahmat, bagi orang-orang yang (mahu) beriman.” (A-A’raaf: 52).

Artikel ini bukan mahu membandingkan al-Quran dengan mana-mana penghasilan karya di dunia. Al-Quran merupakan kitab suci agama Islam yang tiada tara bandingnya dari segi nilai dan isi kandungannya. Isi kandungannya yang tidak pernah berubah sejak pertama kali diturunkan, sudah membuktikan kesucian dan keagungan kitab Allah ini.

Definisi al-Quran ialah: “Kalam Allah s.w.t. yang merupakan mukjizat yang diturunkan (diwahyukan) kepada Nabi Muhammad dan yang ditulis di mushaf dan diriwayatkan dengan mutawatir serta membacanya adalah ibadah”. Al-Quran menerangkan segala sesuatu, benar-benar dari Allah, ubat segala penyakit, perkataan terbaik, jalan keluar daripada fitnah dan meliputi segala zaman.

Al-Quran diturunkan secara beransur-ansur dalam masa 22 tahun 2 bulan 22 hari atau 23 tahun, 13 tahun di Mekah dan 10 tahun di Madinah yang diwahyukan kepada Nabi Muhammad s.a.w. melalui bermacam-macam cara dan keadaan. Dan setiap proses penurunan itu dilakukan dengan tujuan tertentu. Sesungguhnya hanya Allah maha mengetahui segalanya.

Baca selanjutnya…

*Artikel ini terinspirasi daripada pertandingan Baca Naskhah Klasik sempena Hari Buku dan Hak Cipta Sedunia 2008 yang berlangsung pada 23 April yang lepas.

MEREKA sudah bertunang. Minggu lepas, keluarga pihak lelaki datang merisik dan meminang di rumah keluarga pihak perempuan. Selain pemberian cincin dan sedikit barang hantaran, satu majlis kecil juga diadakan untuk mengisytiharkan bahawa anak gadis mereka sudah menjadi tunangan orang. Cincin yang tersarung di jari manis menjadi bukti bahawa anak gadis mereka tidak boleh diganggu lagi.

Zaman dahulu, tanda-tanda seperti cincin, inai di jari dan kebebasan antara pasangan amat dititikberatkan. Hal ini menjadi adat dan budaya dalam masyarakat Melayu khususnya dalam memelihara keharmonian sistem sosial mereka. Falsafah hidup masyarakat zaman dahulu yang dipengaruhi oleh pelbagai anutan agama menjadikan pantang larang sebahagian daripada kelangsungan hidup mereka.

Oleh hal yang demikian, masyarakat Melayu zaman dahulu mengenakan syarat-syarat yang ketat kepada pasangan yang bertunang agar pasangan tersebut kekal dalam ikatan pertunangan dengan selamat sehingga diijabkabulkan. Peraturan atau syarat-syarat itu juga membolehkan pasangan memelihara diri masing-masing agar tidak melewati atau melangkahi tuntutan agama.

Baca SELANJUTNYA..

Ini bukan kisah asamaradana dan imaginasi yang maha liar seorang gadis kepada jejakanya. s-m-s erotik itu tidak mengubah apa-apa pun. Percayalah!

Semua orang mengimpikan kedudukan yang teratas. Kononnya punya kuasa. Hendak buat apa pun boleh. Terutama untuk tujuan “merehatkan” diri atau “tidur-tidur” ayam.

Kedudukan teratas dikaitkan dengan kuasa. Tahu kan apa yang boleh kamu lakukan dengan kuasa?

kedudukan teratas juga memberi kelebihan yang pelbagai kepada kamu. Yang terutamanya sudah tentu kamu akan rasa lebih tinggi dari orang lain. Apabila kamu berada ditingkat yang lebih tinggi dari orang lain, maka dari situ kamu akan menyaksikan segala perkara;

kepincangan-kebodohan-kejelikan-kebahagiaan-keghairahan-kemewahan-

kemiskinan-nilai hidup-maruah-fesyen terkini-nafsu serakah

manusia-kemanusiaan-kebinatangan dan sebagainya.

Percayalah, dengan berada di atas sahajalah kamu akan kenal semua perkara itu. Lantas apa tindakan kamu sebagai orang yang berada di atas? membiarkan sahaja atau berbuat sesuatu?

Zaman sekarang jangan tidak percaya jika melihat orang yang di atas selalunya hanya tidur-tidur-tidur.

Jika terlihat sesuatu kepincangan nilai kemanusiaan pun, mata mereka yang di atas seolah-olah kabur-buta-katarak.

Kadang juga mereka sengaja menulikan telinga dengan menyumbat earphone dan menikmati lagu-lagu pelbagai rentak, menghangguk-hanggukkan atau sekadar menggoyang-goyangkan kepala tanda menikmati kehidupan di atas itu. Satu escapisme yang baik untuk memutuskan silaturrahim dengan kelompok yang berada di bawah juga rakan-rakan yang berada di barisan atas.

Ahhh…itu semua tidak penting. Yang pastinya kamu sudah termasuk di dalam golongan di atas. Memang itu impian kamu kan? Juga impian mereka yang sentiasa mahukan acara yang lebih dari orang lain.

Dan kamu-kamu-kamu yang berada di bawah, menjalari hidup dengan berselisih dengan mereka yang berada di atas, masih perlu berhati-hati.

Kerana tidak semestinya yang berada di atas itu tidur-tidur belaka. Masih ada yang berjaga, memerhatikan dan mencatat segala yang kamu lakukan seperti…

kepincangan-kebodohan-kejelikan-kebahagiaan-keghairahan-kemewahan-

kemiskinan-nilai hidup-maruah-fesyen terkini-nafsu serakah

manusia-kemanusiaan-kebinatangan dan sebagainya.

Dan teknologi terkini yang mereka ada akan digunakan untuk merakam segala perbuatan kamu yang tidak bermoral itu. Hati-hati dengan kuasa orang yang berada di atas yang tidak tidur dan memainkan peranannya sebagai manusia di muka bumi ini. Percayalah, kamu yang berada di bawah akan sentiasa diperhatikan.

*Entri ini ditujukan khas buat kenderaan-kenderaan kecil seperti kereta, van dan motorsikal yang berselisih atau berhenti di sebelah bas. Kami yang berada di dalam bas lebih tinggi kedudukan dari kamu. Kami dapat perhatikan dan merakam apa yang kamu lakukan di dalam kenderaan kamu.

Berhati-hatilah kepada kamu yang asyik meraba-raba peha gadis kamu yang berada di sebelah. Juga berwaspada kepada gadis yang memakai baju yang seksi yang boleh mempamerkan sebahagian buah susu kamu kepada kami yang berada di atas.

Dan terlebih penting, ketika kamu berseronok-seronok melakukan sesuatu yang tidak bermoral di dalam kenderaan kamu tidak kira kamu di kedudukan atas atau bawah, Percayalah, ada lagi yang di ATAS yang sedang memerhati kamu, mencatat segala perlakuanmu dan tidak terelakkan juga, segala yang kamu lakukan dimuka bumi ini akan dihitung kelak. Berhati-hati!