
67 keping gambar untuk hari ini, mungkin tidak berbaloi setelah ‘setengah mati’ mendaki Bukit Broga bersama teman-teman jurugambar. Dan gambar-gambar yang saya rakam tidaklah secantik gambar orang lain yang pernah ke sana.
368 keping gambar malam semalam, mungkin tidak berbaloi setelah seni dan sastera yang dipecah-pecahkan oleh sistem pendidikan Barat sejak dahulu menemui jawapan pada Malam Puisi Utusan. Jawapan kepada soalan – apakah beza penyair dan artis?
Untuk kedua-duanya, berbaloi jika jawapan yang diberikan adalah, kita mencuba dan jika boleh usah sebut hal ‘cincai-cincai’.
Ambil gambar usah cincai-cincai tetapi jangan terlalu terikat dengan peraturan dan segala macam teori.
Berpuisi, akan menjadi lebih baik jika kita mencuba dan terus mencuba mendeklemasikannya. Makanya, berbaloi jika orang gelar kita anak seni. Bukankah seni itu tidak seharusnya meminggir sastera yang dipenuhi makna dan estetikanya?
KOMA
Untuk malam itu, saya kagum seperti biasa dengan pemuisi negara yang benar-benar memberi persembahan terbaik. Marjan S, Marsli N.O, Datuk A. Samad Said, Shukri Abdullah, Zaen Kasturi, Rahman Shaari dan Pyan Habib.
Untuk artis, saya kira usah ketepikan hal sastera [estetika dan penghayatan] dalam bidang seni. Ia saling berkaitrapat. Jika kamu rasa tidak, makanya, akan jadi seperti malam tadi. Sangat beza diri kamu dengan pemuisi sebenarnya walaupun saya percaya sastera jika diadaptasikan sepenuhnya dalam karya seni (lagu-lagu), maka lagu kamu tidak akan jadi seperti sekarang – untuk paling kurang setahun, lagu yang kamu dendangkan tidak akan diingati orang lagi.
Untuk Siti Nurhaliza, puisi Rozais al-Anamy [Lelaki Yang Patah Sayap Kirinya] yang dideklamasikan sangat bagus dan baik. Dan Kumpulan Kopratasa adalah antara artis yang menggabungkan seni dan sastera dalam persembahan dan lagu-lagu mereka. Ada beberapa orang perseorangan (tokoh korporat) juga membaca puisi dengan cara tersendiri.
“Kalau mahu dengar puisi awak dideklemasikan, sila angkat telefon.” Sms saya kepada Rahimin memberitahu puisinya yang pernah menang sebelum ini bertajuk “Jika Kita Menjadi Kayu’ yang dibacakan oleh Pengarah Eksekutif Kumpulan Utusan, Mohd. Nasir Ali.
Dan si ‘kayu’ itu yang benar-benar didik oleh keluarga untuk bersifat merendah diri, masih tidak menjawab panggilan telefon saya. Keterlaluan juga saya menghadiahkan dia ‘bodo’. ‘Bodo’ tanpa ‘h’ yang saya berikan bukan marah atau hina. Geram sahaja tahu tak?
KOMA
Setahun yang lepas, saya kira pengembaraan selama tiga hari di Pulau Besar, mengelilingi pulau itu adalah yang paling meletihkan. Dan acara ‘jungle tracking’ seperti itu tidak saya lakukan lagi sehingga hari ini.
Saya ke Bukit Broga, dengan kawan-kawan jurugambar atas tujuan melihat-lihat tempat dan belajar bersama-sama. Ternyata hal yang saya fikir cincai-cincai itu berbaloi jika saya menghayatinya dengan lebih baik.
Sekembali dari Bukit Broga bersama teman-teman jurugambar, saya menyenaraikan perkara berbaloi dan tidak berbaloi dengan trip yang saya ‘benar-benar’ mahu menyertainya sejak mula ‘sifu bijaksana’ itu membuat cadangan.
Tertanya juga, untuk apa saya membuat senarai begitu? Mungkin juga untuk merenung hari ini dengan baik atau belajar banyak perkara baharu.
Berpenat dan hampir pengsan semasa pendakian. Berehat di dalam perjalanan pendakian hampir, err…berapa kali ye sifu? Saya minta maaf dan berharap mereka meninggalkan saya di bawah sahaja. Tapi, saya tidak ditinggalkan. Makanya, sangat terharu dengan segala kata-kata semangat yang telah diberikan buat saya yang sangat banyak karenah dan lemah ini.
Berbaloinya trip tadi. Saya berusaha sendiri memulakan perjalanan ke Bukit Broga. Saya sempat menghasilkan lebih kurang lima atau enam puisi sementara menunggu perjalanan di mulakan [sampai awal ke Putrajaya].
Juga berbaloi apabila percayakan orang lain daripada diri sendiri untuk ketika-ketika tertentu. Saya sangat tidak berdaya untuk meneruskan pendakian. Serius, bukan kerana lapar berdiet, tetapi kaki sedikit pedih dengan kasut yang tidak sesuai. Tetapi kawan-kawan tidak putus memberi semangat di setiap keluh-kesah dan turun-naik semangat saya, di setiap perhentian pendakian. Alhamdulillah, berkat percayakan mereka, saya sampai ke atas, kalaupun bukan ke puncak. Serius, benar-benar letih.
Tujuan kita mengambil gambar apa? Benar apa yang pernah sifu blogkan sebelum ini.
Insya Allah, saya akan lebih berfikir tentang apa yang saya laksanakan, sama ada mahu buat cincai-cincai atau menjadikan ianya lebih berbaloi.
KOMA
Esok ke Seremban, mengambil gambar beberapa acara dan tempat menarik.
Harapkan kejang dan lecet kaki malam ini tidak berlarutan sehingga esok.
Selamat malam kawan-kawan. Err…dah masuk pagi pun.