Menulis tidak sama seperti bercakap. Menulis juga tidak sama seperti membaca, mendengar, menghidu, menyentuh atau apa-apa kerja selainnya. Menulis ialah kerja khusus yang memerlukan kemahiran yang bukan sedikit. Namun, dalam menulis, kita memerlukan keseluruhan pancaindera untuk menghasilkan tulisan yang benar-benar bermakna kepada pembaca.
Mungkin intro ini agak menakutkan sesetengah penulis muda atau mereka yang baru berjinak-jinak menulis.
Itulah hakikatnya.
Percaya atau tidak, sekarang ini ramai yang kurang bercakap kerana terlalu banyak menulis. Tidak dinafikan, ada kaitan antara keduanya iaitu menulis ialah kerja mendokumentasi apa yang ada di dalam fikiran yang kadang tidak terluah dengan di bibir.
Kita fikirkan apabila menulis, segalanya akan jadi baik kerana gerak kerja menulis memerlukan kerja keras otak mengalir ke hati dan terus ke jemari. Ia perjalanan yang panjang berbanding bercakap yang bermula dari otak terus menuju ke bibir.
KOMA
Kita menulis untuk suka-suka. Kita menulis untuk beri sesuatu kepada pembaca. Kita menulis kerana kita mahu orang tahu kita ada di dunia ini. Dan sekarang semua orang suka menulis kerana ia bukan sahaja terapi bermakna [tabiat menulis diari], ia bukan sahaja beri makna [berkongsi pengalaman hidup], malah menulis juga boleh mendatangkan pulangan [tulis novel cincai-cincai pun ada orang beli].
Dan kita terus menulis kerana kononnya orang akan baca.
Dan kita terus menulis kerana kita punya kebebasan bersuara.
Dan kita terus menulis kerana mediumnya sungguh terbuka dan selesa.
Globalisasi : Internet
Ia melahirkan manusia yang sungguh terbuka sehingga lupa istilah ‘tutup’.
KOMA
Tulislah selagi kamu ada jemari nan sepuluh.
Tulislah selagi kamu hidup.
Kerana selepasnya jangan lupa, apa yang kamu tulis, akan menjadi hitungan di sana kelak.
Mac 6,2012 at 10:44 pm
Para ulamak dulu memang kuat menulis, berkarya. Memang tidak tercapai dek akal jumlah karya buku tulisan mereka lebih banyak daripada usia mereka sendiri. Memang hebat penulisan mereka sehingga digunapakai sehingga ke hari ini menjadi rujukan segenap generasi. Tapi masih ada juga manusia kita yang mengherdik, mencaci para ulamak ini, sedangkan mereka yang mencaci para ulamak itu tidaklah pula banyak hafalannya, tidak pula berkarya menulis banyak kitab. Sepatutnya menjadi contoh dalam kehidupan kita. Mahu belajar menulis kreatif seperti akak 😉
Mac 8,2012 at 8:13 am
Rebina Biru, betul tu. Kita mengherdik tulisan para cendekiawan lama kerana dikatakan ia tidak sesuai dengan zaman kita. Sedangkan kita sendiri tidak mengerti zaman kita yang serba laju. Semuanya di hujung jari sehingga kadang akal tidak digunakan sepenuhnya.
Boleh sahaja jika mahu belajar menulis. Persediaannya, kena banyak membaca dan sabar membaca. 🙂