Facing The Harbour. Pesta Buku 2011

Sering tertanya, untuk apa saya menulis.

Sering juga ditanya, “kau menulis untuk apa?”

Jawapannya banyak.

KOMA

Masih teringat babak Kak Nisah Haron menunjukkan buku Facing The Harbour [Menghadap Ke Pelabuhan] karya Zurinah Hassan. Ketika itu, kami berada di ITNM. Menghadiri sebuah seminar di sana.

Puisi ‘Kuali’ yang disuakan, buat saya tersentak. Sungguh. Falsafah yang besar dalam puisi yang sederhana gaya bahasanya. Dan saya juga teringat puisi ‘Salam Perempuan Dari Penjara’ yang pernah saya tuliskan dalam blog klasik saya.

Itu detiknya, saya mula mendekati puisi-puisi Zurinah. Maka, pesta buku 2011 yang lalu, saya mengambil buku ini di rak ITNM tanpa ragu dan membacanya sepulang dari pejabat. Berkali-kali.Seorang rakan menyapa dan bertanya mengapa saya sepi. Saya katakan saya ralit membaca buku puisi ini. Dan beliau terus bertanya…bertanya…

Saya menjawab tanpa henti. Tentang semua puisi Zurinah Hassan.

“Buatlah ulasan buku ini di blog,” sarannya.

Saya bukan pengulas yang baik. Namun, saya bersemangat untuk bercerita tentang buku puisi ini yang saya rasa semua orang perlu baca buku ini. Sekurang-kurangnya, jika tidak meminati puisi, akan terdetik untuk menyintainya.

Dan seorang kawan juga mengingatkan saya tentang Peraduan Mengulas Buku yang dianjurkan oleh Institut Terjemahan Negara (ITNM) sempena pesta buku.

Teruja berganda.

Ulasan buku Facing The Harbour.

KOMA

Ya, saya hampir pengsan apabila membaca pengumuman ITNM di Facebook rasminya.

Nama saya terpapar sebagai pemenang kedua.

Sudah pasti saya gembira.

Pertama kerana buku yang saya ulas, mendapat perhatian dan selepas ini saya berharap ramai akan baca buku tersebut yang inputnya tidak merugikan sesiapa.

Kedua, hadiah yang ditawarkan membuatkan saya tersenyum.

dan status FB saya tertulis :

Masih tersenyum dengan berita hari ini. Terima kasih Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM), yang memberi peluang kepada saya mengulas buku dan menerima hadiah yang lumayan. Terima kasih juga bonda Zurinah Hassan, yang menulis puisi yang baik sehingga saya teruja mahu membuat ulasan. Tidak sia-sia ‘GILA BUKU’.

Terima kasih ITNM. Terima kasih kawan-kawan. Terima kasih, cinta.

Saya menulis untuk membuang resah.

****

Awak, cemburu tak?

cawan

Ketika sedang duduk-duduk, buat teh o dan menikmati filem yang boleh membangkitkan semangat, kononnya.

Tonton  Transformers.

Apa kes kereta boleh bertukar menjadi robot pula?

Dan buku-buku yang dibeli sepanjang tahun 2008, ada lebih kurang 11 buah masih belum berbaca.

Bosannya!

KOMA

Dahulu, semasa di kampung Batu Pahat, kami selalu duduk-duduk di bawah pangkin berteduhkan pohon mangga yang kerap berbuah tanpa musim. Sebelah pohon mangga ada pohon mangga lagi. Berderet tiga pohon mangga yang kalau serentak berbuahnya, maka kami kembung buah mangga.

Buah mangga itu tidak pernah dibuat jeruk kerana kami lebih suka makan buah mangga bercicah cili api campur kicap. Ada gula sedikit untuk mereka yang tidak tahan pedas.

Kami bawa semua buku cerita yang ada. Dan selalunya buku cerita yang dibawa tidak mencukupi kerana membaca buku beramai-ramai sangat seronok. Banyak idea dan cerita boleh dijana.

Itu saya dan mereka, sepupu-sepupu yang suatu waktu dahulu cukup akrab. Pengikat kami adalah buku dan buah mangga.

Kata Angah, ketika duduk-duduk, baca buku lebih seronok daripada menonton televisyen.

Kata Yana, dia mahu menulis satu cerita tentang rasa buah mangga  yang sangat nikmat dimakan ketika bersahabat dan membaca buku beramai-ramai. Kerana ketika seorang diri, rasanya lain. Tidak nikmat.

Saya tanya Yana, siapa yang mahu baca buku tentang pengalaman makan mangga?

KOMA

Lalu, ketika sedang duduk-duduk begini, saya harap dapat bersama mereka meratah mangga muda bercicah kicap yang dicampur dengan cili api dan sedikit gula sambil membaca buku-buku saya yang rajin dibeli tetapi tiada masa mahu membacanya.

Saya juga mahu menulis tentang rasa buah mangga  yang sangat nikmat dimakan ketika bersahabat. Kerana ketika seorang diri, rasanya lain. Tidak nikmat.

Tetapi saya fikir dan teringat semula pertanyaan saya kepada Yana – siapa yang mahu baca tentang pengalaman makan mangga?

Jadinya, biarlah saya tulis di dalam diari sahaja.Tetapi saya lupa bagaimana nikmatnya makan mangga sambil membaca buku.

Maka, saya menulis surat kepada Yana, mengatakan saya kehilangan rasa nikmat membaca buku dan makan mangga. Surat itu tidak panjang dan bertandatangan saya – Seorang perempuan yang memakai kasut tumit tinggi ketika memandu kereta, dan tahun ini  telah diingatkan supaya membeli hanya lima buah buku di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur kerana buku yang dibeli tahun lepas masih banyak yang tidak berbaca.

Alasan “membaca seorang diri tanpa teman dan buah mangga sangat tidak seronok” juga tidak masuk akal!

[Ketika sedang duduk-duduk tanpa tujuan, banyak perkara ‘entah apa-apa’ akan menyinggah. Contohnya merepek-repek seperti sekarang ini.]

bannerpestabuku2

hujan1

Jendela yang saya tutup tadi tidak rapat. Hujan membasahi karpet dan sebahagian buku yang tersayang. Maaf buku.

Seharusnya saya faham natijah jendela yang masih terbuka di kala hujan menimpa bumi.

Faham bahasa hujan, ke mana arah laluannya agar saya tidak kebasahan walau berada di dalam rumah.

Rasakan.

KOMA

Hujan, semua tahu bahawa ia rahmat. Membasahkan bumi Tuhan dengan seribu nikmat terutama kepada tumbuhan. Kepayahan atau kerumitan akibat hujan cuma ujian dari Tuhan. Dan ia tiada kaitan dengan sifat hujan itu sendiri. Tidak kiralah perasaan kamu sangat ‘tidak selesa’ kerana turunnya hujan ketika kamu mahu bertemujanji-kasih atau melaksanakan tugas harian.

Makcik, ikan yang kamu jemur untuk dijadikan ikan kering, tidak dapat direalisasi kerana hujan turun. Usah sedih.

Pakcik, usah gusar dengan rezeki apabila pokok getah yang beri kamu duit, tidak dapat ditoreh kerana hujan.

Adik, usah ‘leceh’ ke sekolah kerana hujan di pagi hari yang membuat mata kamu lebih ‘selera’ kepada bantal peluk.

Kakak, usah marah lecak-hujan yang mengotorkan kasut tumit tinggi kamu.

Abang, pakailah baju hujan yang punya jalur hijau bercahaya ketika kamu menunggang di lebuhraya.

Payung, berkhidmatlah sebaiknya demi memelihara kesejahteraan orang yang berteduh di bawahmu.

Namun, di kala hujan sedang menggila, tutuplah jendela sewajarnya. Di dapur, ruang tamu, bilik dan di mana-mana sahaja. Takut tempias. Takut basah.

Sebaiknya duduk sahaja di rumah. Perhatikan titis-titis hujan yang mungkin boleh beri tenang kepada kamu.

KOMA

Kamu hujan,

Saya mahu tutup jendela antara kita.

Tidak dengan jendela kaca yang memungkinkan kita melihat sesama kita.

Dengan jendela kayu berukir juga tidak. Kerana ia boleh reput dan ditembusi oleh hujan yang menggila.

Saya tutup dengan akal yang waras yang kamu nafikan kewujudannya, kononnya cinta mengatasi segala.

Tidak. Cinta bukan apa-apa jika hanya mengundang sengsara-dosa.

Hujan masih merintik. Halus-besar. Jendela sudah ditutup kemas. Tiada apa yang akan basah. Tiada yang terkesan.

Cukup.

bannerpestabuku1

Hari ini di pesta buku lagi! Beli beberapa buah buku lagi. Tapi Saya tidak akan bercerita tentang buku yang saya beli hari ini.

Sirah Nabawiyah cetakan pertama

Sirah Nabawiyyah cetakan terbaharu ditangan saya.

Sirah Nabawiyyah ini sebenarnya telah lama saya miliki. Buku terbitan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) ini saya sarankan anda membelinya. Cuma RM35 berbanding RM50 harga sebenarnya. Hanya di Pesta buku. Dan hanya di gerai YADIM.

Sirah Nabawiyyah karya Safiyyu Ar-Rahman Al-Mubarakfuri merupakan sebuah buku berkaitan sejarah hidup Rasulullah s.a.w yang memuatkan garis panduan menyeluruh tentang Islam, Iman, kekuatan serta perjuangan dakwah baginda nabi Muhammad s.a.w.

Isi kandungannya menggabungkan perbincangan tentang aspek pensejarahan yang meliputi sejarah orang-orang Arab pada zaman jahiliyah sebagai laluan untuk menjustifikasikan mengapa perlunya Allah mengutuskan Rasulullah s.a.w di bumi Arab.

Buku ini turut mmaparkan liku-liku perjuangan dakwah Rasulullah s.a.w, strategi dan uslub dakwah yang dipamerkan melalui tiga peringkat dakwah iaitu permulaan, peringkat tribulasi dan peringkat kejayaan.

Oleh itu, kenali kekasih Allah ini dengan lebih mendalam melalui buku ini.

*Bab akhir menceritakan hari-hari terakhir Nabi Muhammad s.a.w. Jangan tahan air mata ketika membaca dan membayangkan keadaan Nabi, ahli keluarganya terutama Fatimah yang dikatakan ahli keluarganya yang pertama yang akan menyusul ayahandanya itu ke syurga. Wallahua’lam.

Anda kenal beg plastik? Beg plastik menemani kita sepanjang hari. Hampir semua barang yang kita beli menggunakan beg plastik.

Isu beg plastik memang besar. Pengurusan sampah sarap di negara kita sukar ditangani kerana majoriti sampah yang sukar dilupuskan atau dikitar semula, adalah berasaskan plastik. Bahan buangan daripada plastik mengambil masa 400-1000 tahun untuk mengurai bersama tanah. Jika plastik tidak ditanam, ia boleh dikitar semula dengan dilarut bersama bahan kimia (yang sama digunakan untuk menghasilkannya), sekejap ia cair dan boleh membentuk bahan sintetik baru. Namun bahan sintetik baru itu tidak begitu selamat digunakan semula.

Walau bagaimanapun, usaha pelbagai pihak menunjukkan telah banyak kedai atau pusat membeli belah cuba menukarkan penggunaan beg plastik dengan beg kertas yang boleh dikitar semula. Tahniah.

Tajuk entri saya – Jangan buang beg plastik itu.

Ya, jangan buang beg plastik itu. Apa yang ingin saya sampaikan bukan berdasarkan fakta saintifik mengapa plastik tidak harus dibuang begitu sahaja. Ini hanyalah pengalaman peribadi yang tiada kaitan langsung dengan usaha memelihara alam sekitar. Jika ada mungkin sedikit.

Pertama, beg plastik jangan dibuang begitu sahaja apabila anda baru membeli sesuatu barangan. Tanpa disedari, di dalam beg plastik bukan sahaja mengandungi barangan yang kita beli, malah kadangkala penjual akan memasukkan resit pembayaran di dalamnya atau dikepil bersama beg plastik itu (biasanya di pusat membeli belah seperti Jusco, sogo, parkson dan sebagainya).

Tahukah anda, saya pernah ditahan oleh pakcik pengawal keselamatan di Parksond Grand (berhadapan dengan Taman Tasik, Seremban semasa saya bersekolah di sana suatu ketika dahulu). Saya dituduh mencuri barangan Parkson memandangkan saya tidak mempunyai resit pembayaran. Resit itu dikepilkan bersama beg plastik yang telah saya sumbat di dalam tong sampah. Akibatnya juga, saya terpaksa membongkar semula tong sampah itu untuk mencari resit pembayaran semula.

Kedua, beg plastik mengandungi sesuatu yang berharga. Tak percaya? Pergi ke pesta buku dan kunjungi gerai PTS, anda akan terkejut apabila mendapati di dalam beg tersebut bukan sahaja ada buku yang anda beli dengan diskaun yang hebat, malah mengandungi penanda buku yang comel-comel. [Gerai yang lain saya tak pasti]. Kadang juga ada buku sisipan yang berguna.

Simpanlah beg plastik sehingga anda keluar dari pusat membeli belah. Oh ya, plastik yang masih elok boleh di simpan di rumah dan digunakan sebagai plastik sampah. Jadi, kita tak perlu membeli beg plastik sampah yang khas. Jimat kan?

Sekian, pesanan khidmat masyarakat untuk hari ini.

Pesta Buku.

Cuma tiga buku yang sempat dibeli. Hari ini.

Tiga buah buku yang \"sempat\" dibeli. Dan penanda buku yang comel mengiringi!

Dan menjadikan buku-buku yang perlu saya baca menjadi berganda. Ini baru di pejabat.

Ini padahnya berjiran dengan pesta buku!

2005700456444661379_rs.jpg

APABILA terdapat lebih daripada satu pilihan, sememangnya sesiapa pun akan rasa tersepit. Diluah mati emak, ditelan mati bapa. Tersepit. Mungkin ini perkataan yang boleh dilabel kepada masyarakat Islam hari ini. Namun, lain pula halnya dengan ‘kebebasan’ di mana setiap manusia mempunyai hak untuk melakukan apa sahaja.

Atas nama kebebasan juga, umat Islam sekali lagi dihimpit dengan pelbagai isu yang akhirnya menghasilkan beberapa pilihan untuk mereka bertindak.

Tidak habis dengan masalah-masalah yang wujud di lingkungan sekeliling, masyarakat Islam di dunia juga dihimpit masalah yang dicetus oleh musuh-musuh Islam yang tidak pernah leka dalam menjatuhkan maruah dan kedudukan agama Islam.

Hal ini bukan baru berlaku sehari dua atau sebulan dua bulan. Fitnah ke atas umat Islam telah berlaku sejak sebelum zaman Nabi Muhammad s.a.w lagi. Sehingga kini, pelbagai perkara yang menyentuh sensitiviti umat Islam dilakukan oleh mereka yang bergelar musuh Islam yang menganuti fahaman ‘kebebasan bersuara’.

BACAAN LANJUT…

Jangan lupa janji kita di PESTA BUKU. Jom!

copy-of-ila-332.jpg

Apa pilihan mereka?

Jangan masuk rumah dengan kepala yang masih serabut memikirkan pilihan apakah yang tepat.

Ini bukan kisah sukar memilih jejaka yang mana satu.

Semalam hari yang cacamerba buat saya. Matahari berada tepat 90 darjah paras mata saya. Cahayanya pecah. Tahulah saya bahawa saya lewat ke pejabat. 1 minit yang bakal menentukan biru atau merah. Dan saya terpilih sebagai biru.

Sedari pagi cuba melangsaikan berita yang sepatutnya dibuat hari sebelumnya. Alhamdulillah. Selesai.

Namun pilihan yang tiba-tiba menjelma menjadi hukuman yang paling berat buat saya. Saya tidak suka pilihan, namun Tuhan beri. Saya tahu Tuhan mahu mengajar saya untuk berfikir lebih banyak, lebih rasional dan lebih baik.

Untuk encik SABTU, saya perlu tentukan aktiviti apakah yang akan saya lakukan bersama anda.

Perkara satu.

Peperiksaan Khas memasuki perkhidmatan Awam gred 41 Tahun 2008.

Perkara dua.

Pesta Buku Antabangsa yang menjanjikan pelbagai aktiviti sampingan yang menarik. Saya teruja.

Perkara tiga.

Kelas memandu dan Kelas Bahasa Isyarat.

Dan ketiga-tiga perkara ini telah digaul di dalam sebuah bekas yang dinamakan Baca Naskah Klasik!

Saya pulang ke rumah dengan titik-titik air dan hembusan api yang membuatkan perasaan menjadi ais kepal.

Sampai di Damai. Nikon D80, beg duit, beg kecil yang terisi alat solek, buku nota dan pen, telefon bimbit, kipas tangan, minyak wangi roll-on, novel Laskar pelangi.

Semua ada kecuali KUNCI RUMAH.

Dan saya terpaksa set suara menjadi manja, menelefon jejaka itu,

sayang awak, kunci rumah tertinggal di pejabat”

*Terima kasih jejaka-jejaka (itu, tamak, malar segar dan penghembus api), di atas nasihat yang sedikit sebanyak membantu saya.