
“Saya akan terus datang ke bengkel begini, sampai mati.”
Itulah antara kata-kata akhir saya di bengkel yang dianjurkan oleh Persatuan Penulis Negeri Sembilan [PEN], hari Sabtu yang lepas.
Umbara Sastera III dan Bengkel Penulisan Cerpen 2009.
KOMA
Saya benar-benar nantikan bengkel ini. Alhamdulillah, kerana tarikhnya dipercepatkan. Jika masih tarikh yang sama [21 November 2009], manakan mungkin saya dapat menyertainya kerana terlibat sepenuhnya dengan Pertemuan Penyair Nusantara 2009.
Penantian terhadap bengkel ini berdasarkan beberapa alasan;
- Kerana fokus penulisan saya mula kecamuk dengan pelbagai kerja yang berlainan bidang. Saya perlu mencari titik fokus itu dan membinanya kembali memandangkan saya sendiri kesal dengan semangat yang turun naik sehingga malu apabila orang menggelarkan saya penulis, sedangkan tiada karya yang terpapar di dada akhbar atau majalah.
- Kerana seorang insan yang begitu dekat dengan saya. Ani Izzuani. Saya yang mencetus rasa dan semangat kepadanya untuk terus menulis. Jadi, saya juga perlu bersama-sama beliau meneruskan apa yang telah dicetuskan itu.
- Ingin bersama-sama dengan PEN membina generasi pelapis yang aktif menulis seperti Puan Nisah, Puan Mahaya, Amiza Khusyri, Syarifah Salha dan ramai lagi.
Dan beberapa sebab lain yang saya kira, saya sangat teruja dengan bengkel ini.
Dan seperti yang dijangka ia tidak pernah mengecewakan saya.
Pesona, siapakah yang mampu menepisnya.
KOMA

Sesi pagi dipenuhi dengan bicara tentang pembinaan cerpen. Proses penghasilan cerpen yang telah memenangi Hadiah Sastera Berunsur Islam baru-baru ini. Puan Nisah Haron dengan cerpennya Aset Istiqamah, Puan Syarifah Salha dengan cerpennya Tangisan Daerah terpinggir dan juga Encik Amiza Khusyri dengan cerpennya Kasad.
Suatu hal yang perludan wajar di beritakan kepada penulis muda [muda di sini bukan merujuk usia, tetapi pengalaman menulis], ialah tentang hal ini. Proses penghasilan.
Betapa setiap penulis mempunyai cara dan pandangan tersendiri bagaimana mahu memanipulasikan sesuatu peristiwa ke dalam bentuk yang kreatif. Semata-mata kerana ingin memberitahu masyarakat, mendidik juga menyampaikan apa yang terbetik di hati.
Tahniah untuk ketiga-tiga penulis yang lahir dari Persatuan Penulis Negeri Sembilan ini.
Pesona yang memancar, akan disimpan di dalam jiwa.
KOMA

Sesi kedua di sebelah petangnya membuatkan diri saya teruja yang luar biasa. Pembedahan cerpen. Terdapat 9 cerpen hasil nukilan peserta akan dibedah. Doktor pakarnya ialah Puan Nisah dan Encik Amiza Khusyri. Kami dilantik menjadi doktor juga. Doktor pelatih.
Satu persatu cerpen dibedah. Pelbagai perkara dikongsi bersama. Kritikan dan cadangan diberi. Saya suka sesi begini kali ini, berbanding dengan bengkel yang lepas yang juga diadakan oleh PEN.
Jika dahulu, peserta akan dipanggil seorang demi seorang berhadapan dengan pengkritik. Kali ini kami membentuk bulatan dan saling bertukar pandangan mengenai cerpen masing-masing. Sangat bagus dan semakin banyak perkara dapat dikongsi.
Tidak terbetik juga rasa malu kerana masih menyertai bengkel begini walaupun telah banyak bengkel yang saya sertai dengan tiada karya yang keluar di media. Persepsi terhadap bengkel berubah. Bengkel penulisan bukan untuk penulis baharu, ia untuk penulis lama juga. Bagi menyuntik semangat dan berbincang isu-isu terkini gaya penulisan.
Seketika, cerpen saya dibedah. Maaf kepada peserta kerana cerpen itu mengubah suasana menjadi sedikit pilu. Saya akui, ceritanya memang pilu. Mujur saya mampu menahan air mata.
Maaf juga Puan Mahaya kerana cerpen itu mengembalikan puan kepada cerita lama. Sesungguhnya, ia sekadar luahan rasa saya. Dan saya kira babak air mata yang berlaku bukanlah drama. Ia menunjukkan betapa sesebuah karya, jika ditulis dengan ‘rasa’ maka, hasilnya juga mengundang ‘rasa’ dan inilah yang penulis mahukan.
‘Mak Ngah’ ialah karya saya yang pertama yang saya rasa sangat berpuas hati. Disiapkan sehari selepas Pak Ngah meninggal dunia. Dihasilkan dengan suasana masih pilu. Jadi, saya kira ia menyumbang kepada penghasilan karya sebegitu. Terima kasih pujian dan semangat yang diberi untuk saya meneruskan penulisan. Insya Allah, akan diperbetul apa yang kurang dan cuba dihantar ke media dalam masa terdekat.
KOMA

Ani Izzuani ialah sepupu saya. Sebetulnya kami tidak serapat ini. Semasa dia terlantar di hospital akibat penyakit paru-parunya, saya hanya melawatnya sekali. Dan sekali itulah yang penuh air mata. Kami sangka hayatnya tidak panjang. Alhamdulillah, dia diberi kekuatan untuk terus bernafas walaupun dengan bantuan alat oksigen.
Pergerakan beliau terhad dan tidak boleh melakukan banyak aktiviti. Apatah lagi tidak boleh bebas ke sana ke mari.
Jadi, apabila dia menangis semasa berada di bengkel, menyatakan jangkaannya yang jauh meleset, saya jadi sedih. Jangan malu dengan air mata yang gugur itu, kerana di situ ada hati yang akan berkata, ada akal yang akan mencerna. Teruskan menulis Ani. Insya Allah, saya akan bantu sebaik mungkin.
Terima kasih kepada semua peserta kerana tidak pernah memandang keupayaan fizikal sebagai halangan untuk mereka bermesra.
Bengkel kali ini benar-benar hidup. Tahniah untuk PEN. Terima kasih Puan Nisah dan Encik Amiza Khusyri yang bersungguh menjayakan bengkel ini.
Jika ada bengkel sebegini lagi, saya akan sertai juga. Sehingga mati. Kerana pesona untuk menulis, jika tidak dihidupkan, ia akan mati.
Gambar bengkel dimuatkan dalam FB saya.
Laporan selainnya :
Nisah Haron
Syafiq Zulakifli
Amiza Khusyri
Ani Izzuani
Syarifah Salha
Mya Marja