“Kenapa senyap?” tanya seorang kawan.

“Saja. Malas bercakap. Dan tiada apa mahu dicakapkan,” jawab saya.

Sukar rupanya orang lain mahu memahami jawapan seperti itu. Padahal ia mudah.

Bercakap ialah soal diri sendiri. Kita berhak bercakap. Kita berhak diam.

Jika ada yang bertanya ,”kenapa?”

Kita wajar menjelaskan. Tapi penjelasan begitu memang sukar di fahami oleh orang lain.

Saya, dalam fasa memilih untuk diam. Diam untuk sesetengah hal dan sesetengah kawan. Untuk hal-hal yang tidak mahu saya cakapkan.

Faham.

KOMA

Saya kesal kerana saya lupa, peristiwa manakah yang saya terdengar hal ini ;

“Orang Melayu mudah di jajah kerana banyak bercakap. Pada zaman penjajah menguasai negara ini, mereka hanya mampu menguasai negara dan fizikal penduduk Melayu. Jiwa orang Melayu gagal di tawan. Dan puncanya adalah orang Melayu tidak banyak bercakap. Penjajah tidak dapat memahami budaya pemikiran orang Melayu. Mereka juga gagal mencari kelemahan orang Melayu yang ‘berat mulut’.”

Sambungannya ;

“Jadi mereka mula berbaik-baik dengan orang Melayu. Belajar bercakap bahasa Melayu. Belajar menghormati orang Melayu dan adat budayanya. Dari situ mereka tahu dan dapat menyenaraikan kelemahan demi kelemahan orang Melayu untuk mereka menjajah pemikiran bangsa Melayu.”

Mari kita lihat semula sajak Melayu oleh dua tokoh yang hebat ini. Mewakili dua zaman.

Dan kini, kesannya…

Walau negara sudah merdeka, penjajah masih boleh tersenyum riang. Agenda mereka menjajah pemikiran bangsa kita berjaya tanpa dipaksa. Tanpa berkerah tenaga.

Dan kita jadi bangsa yang taksub kepada hiburan. Meminggirkan agama. Bersikap terbuka untuk segala hal. Menuntut hak dan kebebasan bersuara. Melabelkan ‘kolot’ kepada mereka yang diam kurang bersuara serta bergaduh sesama kita sehinggakan seorang penyair dari Indonesia yang saya lupa namanya  berkata, “pergaduhan kita sesama bangsa dan budaya lebih hebat dan lama daripada bergaduh dengan penjajah di zaman dahulu.”

KOMA

Orang mudah membaca diri kita dengan perkataan-perkataan, serta gaya bahasa kita bercakap. Itu puncanya daripada kita,  jika dia melabel kita dengan begitu dan begini, kerana kita telah beri petunjuk kepada orang lain tentang sikap kita melalui percakapan.

Orang juga mudah membaca diri kita jika kita tidak banyak bercakap. Itu hal mereka, yang mudah menilai walau tidak tahu apa sebenarnya yang kita fikirkan. Itu prejudis namanya, wahai kawan.

kunci1

“Pantang orang dahulu jika diamati memang banyak yang mengarut. Contohnya, usah berpindah-pindah tempat ketika sedang makan, nanti kahwin ramai. Padahal tak ada kena mengena pun makan dengan kahwin,” kata seorang kawan semasa saya menuntut di menara itu suatu waktu dahulu.

“Saya rasa itu bukan mengarut. Itu undang-undang sosialisasi masyarakat zaman dahulu. Kita harus hormat selagi ia tidak bercanggah dengan syariat,” jawab saya.

Pada waktu itu kami beriringan menghantar kertas kerja yang baru disudahkan. Kertas kerja tentang pantang larang sebagai undang-undang paling berkesan dalam masyarakat Melayu. Subjek sosiobudaya.

“Zaman dahulu, berkahwin ramai [sama ada poligami atau kahwin -cerai] merupakan suatu hal yang harus dielakkan oleh kaum wanita kerana ia membuktikan kamu bukan seorang isteri yang bijak melayan suami atau bukan seorang isteri yang baik sehingga suami kahwin lain atau menceraikan kamu. Sudah tentu hal ini ditakuti oleh para ibu bapa sehingga menggunakannya sebagai ‘ancaman’ kepada anak gadis mereka,” jelas saya pada kawan itu.

“Maknanya, pantang larang ini hanya berkuatkuasa kepada anak gadis sahaja. Anak gadis, usah makan berpindah-randah, nanti hubungan perkahwinan kamu dlanda gelora. Begitu? Tetapi mengapa dikaitkan dengan perlakuan ‘makan berpindah-randah’?” serunya lagi.

“Makan berpindah randah bukanlah satu perlakuan yang sopan. Dikhuatiri juga rumah akan bersepah-sepah. lagipun, masyarakat zaman dahulu punya garis dan undang-undang juga dalam rumah. Mana bahagian untuk tamu, ruang makan, ruang tidur, ruang santai dan sebagainya. Jika kamu makan pindah-randah, maknanya kamu tidak menghormati ruang itu,” jawab saya lagi.

“Oooo…berkait-kait kan?

Terasa kebijaksanaan masyarakat Melayu kita dalam mengaturcara kehidupan masyarakatnya. Itulah proses sosialisasi dalam memanusiakan manusia. Kuncinya, undang-undang.

KOMA

Pagi ini, di sebuah saluran radio berbahasa Inggeris, saya diperdengarkan dengan topik ‘undang-undang paling bodoh yang kamu alami di sekolah’.

Menarik dan mengundang tawa.

Terasa dan terbayang undang-undang semasa berada di sekolah dahulu. Yang bodoh dan yang bersebab.

KOMA

Pagi ini semasa berjalan menuju ke ruang pejabat, saya dikejutkan dengan peristiwa seorang pemuda berbangsa India, ditetak oleh dua orang sebangsa dengannya. Parang menjadi senjata.

Darah menitis di halaman hotel bertentangan pejabat saya. Seram sejuk masih terasa.

Undang-undang, tidak mampu menyekat segala bukan?

Terasa bukan berada di Malaysia. Negara yang kononnya aman makmur.

KOMA

“Lupakan saya.”

Itu undang-undang paling ‘luka’ untuk yang seorang lagi.

Seorang yang mendengar dan menerima ‘undang-undang’ baru dalam hubungan mereka.

melayu8

“Melayu, mengapa dikaitkan dengan keris?”

Hari ini ada sinar matahari yang terik.

Ada panggilan telefon yang tidak perlu dijawab.

Ada kemalangan yang menjarah semangat.

“Aduhai, kakak bagaimana? Perut kakak sakitkah?” tanya saya yang dari tadi asyik memandang gementar pada tangannya, bibirnya dan wajahnya.

Saya juga gementar, sedangkan kereta mahalnya yang melanggar kereta murah saya.

“Saya minta maaf, sangat minta maaf. Cik beri nombor telefon cik dan saya akan bayar semua. Cik ambil nombor kereta saya dan nombor saya. Usah panjangkan ke balai polis.”

Itu kata dia. Seorang wanita yang sedang mengandung yang telah melanggar belakang kereta saya di Sentul pagi ini.

Santunnya buat kemarahan mereda.

KOMA

Melayu penuh dengan santun. Saya percaya itu selagi jati dirinya tidak ternoda.

Bagaimanakah Melayu abad dua puluh satu
Masihkan tunduk tersipu-sipu?
Jangan takut melanggar pantang
Jika pantang menghalang kemajuan;
Jangan segan menentang larangan
Jika yakin kepada kebenaran;
Jangan malu mengucapkan keyakinan
Jika percaya kepada keadilan.
Jadilah bangsa yang bijaksana
Memegang tali memegang timba
Memiliki ekonomi mencipta budaya
Menjadi tuan di negara Merdeka

[petikan puisi Melayu oleh Usman Awang]

KOMA

Hari ini, bacalah berita tentang Melayu dan isu budaya di Berita Harian.

Teringat kata-kata Ketua Biro Perhubungan Media dan Komunikasi GAPENA, Borhan Md Zain yang memperkatakan tentang sastera Melayu dan media semasa Kongres Kebudayaan Melayu II tempoh hari.

“Media terlalu menonjolkan hal-hal artis yang penuh dengan kemewahan. Dengan ini generasi muda memandang artis sebagai idola dan bersemangat untuk menjadi seperti mereka. Tidak perlu belajar tinggi-tinggi untuk kaya dan popular.”

Sasterawan juga mewah. Mewah nilai yang akan menjadi akar yang mendukung pohon kemanusiaan. Akar itu kukuh dan kuat sehingga apa sahaja ‘makhluk perosak’ akan tewas.

Jadinya, media dicabar menyelongkar kehidupan para cendekiawan terutama yang berkaitan sastera Melayu agar terlihat usaha memelihara salah satu ‘pengenalan Melayu’ itu. Jangan sampai orang tidak kenal siapakah bangsa Melayu itu.

Begitu juga dengan Prof. Madya Dr. Abu Hassan Abdullah yang mencabar pengkarya tempatan menghasilkan filem-filem yang berkaitan agama dan jatidiri bangsa.

“Kerajaan kita kaya, tetapi kedekut.”

Ya, kedekut untuk membiayai hal-hal memartabatkan bangsa dan agama.

Pengamal media, fungsi dan peranan harus dimaruahkan.

Deraf resolusi kongres, baca di SINI.

KOMA

Panas bukan?

Itulah, main-main lagi dengan api.

Bacaan :

Itulah Melayu, Katanya

Beberapa gambar di Flickr...

bb1

“Aduhai, kenapa boleh kusut begini?” tanya saya kepada adik yang baharu pertama kali mengikuti aktiviti berkhemah itu.

“Saya tidak tahu. Nak leraikan kekusutan ini juga saya ‘kalah’. Dari tadi cuba buat. Tak boleh juga,” kata adik yang manis bertudung merah jambu itu.

Tudung kami sama. Merah jambu. Kami, Puteri Islam yang aktif di sekolah dahulu.

“Cari hujung tali. Cuba leraikan dari situ,” kata saya memberi arahan.

Benar. Dia berjaya leraikan kekusutan itu dan khemah kami dapat didirikan selepas itu.

KOMA

Semalam, saya kusut.

Paginya, semasa mengundurkan kereta, saya terlanggar kereta di belakang. Ya, memang ada ‘sensor‘, tetapi itu tidak membantu di saat saya kepanikan melihat sebuah lori menuju ke arah saya dengan laju.

Saya berlalu pergi. Tiada apa yang pecah atau calar. Baik kereta saya atau kereta yang dilanggar itu.

Petangnya, semasa pulang ke rumah, baru saya perasan yang sisi kereta saya bercalar dan lekuk [kecederaan ke tiga untuk cik B saya]. Mungkin digesel oleh kenderaan lain semasa meletak kereta di pejabat.

“Aduhai, dajal mana yang calarkan kereta saya ini?” bisik saya dalam hati bersama beberapa kata yang tidak manis untuk saya paparkan di sini.

Dan di hujung bicara [bisik] itu, saya tersedar, ‘apa yang kamu beri, itu yang akan kamu dapat semula’ [What you give, you get back]. Sama ada ia baik atau buruk.

“Tapi Tuhan, pagi tadi saya langgar kereta orang dengan tidak meninggalkan apa-apa kesan pada keretanya. Mengapa saya dibalas dengan kecederaan yang agak ‘dalam’ pada kereta saya?” tanya saya pada Tuhan seperti biasa-biasa. Bukan tidak puas hati. Mungkin ada sedikit. Ya.

KOMA

mmSemalam, kusut juga bila diberitahu bahawa hari Jumaat ini saya perlu buat liputan berita untuk program kami. Mengapa baru hari ini diberitahu? Jadual saya tercalar.

Jumaat, saya bercuti.

Jumaat sehingga Ahad  [13, 14 dan 15 Februari 2009] – Muktamar Wanita Islam Di Alam Melayu 2009 anjuran YADIM. bertempat di Palace of The Golden Horses dengan tema ‘Wanita Islam di Alam Melayu : Pencorak Kemajuan Ummah. Saya hanya akan datang pada hari Sabtu dan Ahad. Sesiapa yang berminat dengan perkembangan dan emansipasi wanita Melayu, sila datang. Tidak rugi bukan?

Tadi, Pra Pelancaran Bulan Dakwah di JAKIM. Minggu hadapan, 19 Februari 2009 pula ada Pelancaran Bulan Dakwah Di PICC, Putrajaya.

Bulan Dakwah akan berlangsung selama sebulan. Pelbagai aktiviti akan dilaksanakan. Selepas 30 tahun Bulan Dakwah diadakan semula [kali terakhir pada tahun 1978].

Menurut Y.B Senator Dato’ Dr. Mashitah Ibrahim, hal itu mungkin berlaku kerana era pemerintahan. Dan ‘pemerintah’ baru ini banyak membuat pembaharuan iaitu mengambil semula hal-hal yang lama yang ditinggalkan oleh ‘pemerintah’ sebelumnya. Mungkin.

Selama sebulan, pelbagai aktiviti akan dilaksanakan di seluruh Malaysia. Selepas itu berdakwah atau tidak, terpulang. Mungkin.

Ya, mungkin kita perlu mencari hujung tali yang semakin kita tidak nampak kerana terperangkap dalam kekusutan yang entah apa-apa.

KOMA

“Bos besar minta buat gimik keris atau pedang yang ditusuk ke tanah,” kata encik bos.

“Apa relevannya dengan bulan dakwah?” tanya saya.

“Entah. Lebih baik buat gimik, ‘letak Quran atas rehal’,” kata encik bos lagi.

“Cadangan yang baik. Itu lebih bagus. Ada simboliknya dengan Bulan Dakwah ‘Wadah Pemangkin Khaira Ummah’,” bisik saya dalam hati.

Saya pandang wajah Encik Bos. Encik Bos telah jumpa hujung tali yang kusut. Alhamdulillah. Hehehhe….

bot

“Kesilapan kita ialah bila mengkritik sesuatu dengan rasa hati, bukan rasa akal.” Kata seorang pensyarah semasa saya berada di menara itu.

Itu tahun akhir yang saya harapkan berkesudahan seperti beliau, menjadi pensyarah.

“Contoh?” tanya saya.

“Contohnya apabila kamu mahu mengkritik bahan bacaan bergenre pembangun jiwa atau islamik, kamu bandingkan dengan novel sains fiksyen. Mana kena,” jawabnya tanpa menoleh kepada saya.

“Setiap bahan bacaan ada genre tersendiri. Mengkritik dengan hati tidak akan memperbaiki apa-apa kelemahan. Jika mahu katakan novel cinta itu ‘sampah’, kamu harus cari satu novel cinta yang lain sebagai ‘tidak sampah’. Di situ kritikan kamu akan bermakna kerana dapat beri gambaran apa ‘sampahnya’ novel ‘sampah’ itu.” Katanya lagi.

Sambungnya lagi, “membaca juga biar dengan budayanya sekali. Usah baca novel cinta Melayu dengan bawa budaya cinta Barat. Itu tidak kena.”

Saya akur.

Hati, kamu juga harus bijak seperti akal.

bahasa

“Bahasa adalah salah satu ciri penting untuk kita mengenali sesuatu bangsa,” jelasnya pada suatu petang.

“Saya tidak tahu bahasa jawa. Tapi saya orang jawa, sebab hidung saya pesek,” jawab saya walaupun ianya tidak begitu relevan dengan topik yang dibincangkan.

“Apa sangatlah rupa fizikal. Kamu boleh kahwin campur untuk memancungkan hidung anak kamu kelak,” sahutnya lagi.

Saya diam, tidak membenarkan atau menafikan kata-katanya. Dia, seorang pensyarah bahasa yang suka menggunakan bahasa Melayu tinggi semasa saya menuntut dahulu.

KOMA

Perlukah pilihan untuk pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI)?

Pakar rumus masa depan PPSMI menyenaraikan pilihan ini :

  • Meneruskan PPSMI seperti sedia ada.
  • Menggunakan bahasa Melayu atau bahasa ibunda di peringkat sekolah rendah tetapi meneruskan PPSMI di sekolah menengah.
  • Memulakan PPSMI dari Tahun Empat hingga sekolah menengah.
  • Menggunakan bahasa Melayu atau bahasa ibunda di sekolah rendah dan digunakan sepenuhnya di sekolah menengah.
  • Penggunaan bahasa pengantar untuk Sains dan Matematik ditentukan oleh sekolah.
  • Penggunaan bahasa Melayu atau bahasa ibunda di Tahun Satu hingga Tiga, diikuti dwibahasa pada Tahun Empat hingga Enam dan penggunaan bahasa Inggeris sepenuhnya di sekolah menengah,
  • Memansuhkan mata pelajaran Sains di Tahun Satu hingga Tiga, tetapi mengajar ilmu Sains dalam mata pelajaran lain.

KOMA

Bengkel, seminar, simposium, kolokium, wacana dan segala bentuk perbincangan memperkatakan tentang PPSMI.

Guru sekolah, kawan-kawan yang berjiwa bahasa dan juga tidak berjiwa bahasa memperkatakan tentangnya juga.

Secara warasnya, mengapa harus meneruskan PPSMI sedangkan semua tahu ketidakwajarannya dalam memperkasa bahasa Inggeris.

Adakah suara guru-guru yang mengajar dan tahu hal yang sebenarnya telah di abaikan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia?

KOMA

Untuk memandaikan bangsa Malaysia untuk berbahasa Ingeris, senang sahaja, iaitu perkasakan pengajaran dan pembelajaran bahasa Inggeris.

Meletakkan sesuatu pada bukan tempatnya akan memporakperandakan Tanah Melayu ini.

Itu pendapat saya.

Lihat juga :

Kurang sanggam

Bahasa Inggeris di Malaysia

Baiknya hati Melayu itu tak terbandingkan
Segala yang ada sanggup diberikan
Sehingga tercipta sebuah kiasan:
“Dagang lalu nasi ditanakkan
Suami pulang lapar tak makan
Kera di hutan disusu-susukan
Anak di pangkuan mati kebuluran”

[petikan sajak Melayu oleh Usman Awang]

Terima kasih kawan kerana menyusahkan saya dengan tidak memulangkan barang yang kamu pinjam sehingga saya ‘merempat’ meminjam barang yang sama dengan orang lain.

TERIMA KASIH!

Setengah yang kurang akal dan bahasa,
Tingkah dan laku bagai raksasa,
Syarak dan adat kurang periksa,
Seperti harimau mengejar rusa.

[Syair “Dendangan Untuk Anak” oleh Pak Tenas]

“Kearifan Orang Melayu Berbahasa”, tajuk yang melingkari ruang dewan di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sempena Syarahan Raja Ali Haji yang berlangsung semalam.

Tahun ini Pak Tenas Effendy memulakan bicaranya tentang Melayu, bahasanya dan bangsanya. Beliau seorang budayawan dan pengkaji bahasa Melayu yang terkenal bukan sahaja di Riau, malah di pelusuk dunia Melayu.

Memang benar Melayu itu hilang akarnya dan nilainya akibat bahasa Melayu yang menjadi jatidiri bangsanya tidak dipelihara dan dikaji sebaiknya.

Banyak perkara yang ‘kurang sanggam’ berlaku di sekeliling akibat ketidakfahaman masyarakat terhada apa yang ditutur, diungkap dan dilaksanakan. Bagai meletak sesuatu pada tempat yang salah.

Sebagai contoh katanya, moto “Bahasa Jiwa Bangsa” tidak harus digunakan lagi di Malaysia memandangkan rakyatnya sendiri sudah tidak memelihara bahasa dari aspek nilai dan kesantunannya.

Dan seketika pelbagai rahsia bahasa Melayu zaman dahulu dikupas dan dibongkar rahsia pemakaiannya oleh Pak Tenas, membuatkan saya terpaku pada kosa kata dan intonasi masyarakat Melayu zaman dahulu yang kaya dengan kearifan dan kehalusan perasaan penuturnya.

Hal ketidaksanggaman ini juga membawa saya kepada beberapa hal yang berkaitan. Contohnya istilah Busana Islam yang digunapakai oleh masyarakat hari ini tidak kena langsung dengan konsep dan makna ‘busana Islam’ yang sebenarnya. Jika tidak arif tentang busana Islam, kaji dengan baik dan bukan bertindak mencipta situasi sendiri yang bersalahan dengan konsep sebenarnya. Mungkin juga pereka fesyen hari ini harus membuka kembali kitab dan syariat Islam tentang pakaian umatnya. Paling mudah, baca sahaja Manikam Kalbu.

Hal lain yang sangat tidak sanggam ialah Persaingan Peradaban Gadis Melayu yang dilaksanakan oleh TV9. Aduhai, apakah kefahaman mereka tentang perempuan, Melayu dan Islam?

Melayu, tidak akan lari dari aspek Islam. Asasnya Islam. Jadi, kriteria yang mereka gunakan bukan berlandaskan Islam apabila gadis yang terpilih jauh daripada ciri-ciri gadis Melayu yang sejati.

Tetapi tidak mengapa agaknya apabila gadis Melayu yang terpilih nanti seperti yang dikatakan oleh perempuan ‘Melayu sejati’ ini;

“Walaupun tidak seperti gadis Melayu yang benar-benar tulin, namun setidak-tidaknya mereka kenal akan rempah ratus yang sering digunakan dalam masakan serta kebudayaan Melayu,” kata Ezzah Aziz Fawzy.

Senang kan? Hey, baca Surat-Surat Perempuan Johor. Fahami konsep perempuan sebenarnya dalam syariat.

Itu belum lagi ketidaksanggaman pemberian darjah kebesaran yang membawa gelaran Datuk kepada Shah Rukh Khan.

Dan juga wujud istilah Bapa Demokrasi apabila wujudnya Hindraf dan pertikaian hak istimewa orang Melayu.

Ada yang tidak kena dengan masyarakat hari ini seperti bait-bait puisi di bawah;

Lalu dilarik bibir
gincu tak seri,
Di bawah kenanga
bau tak wangi,
Di sisi lampu bayang tak jadi

[puisi “Janda Setinggan” oleh A.Samad Said, 16-24 Disember 1988]

*Utusan Malaysia : Melayu Akan Pupus Tanpa Bahasa

Ada rasa semacam semasa membaca buku ini di dalam bas. Bukan kerana Indera Bumi yang menggetar dan berdengung…

Indera Bumi hanya bergetar dan berdengung di dalam novel ini, Takluk Jagat Bahagian 1, Bisikan Ariasha karya Zaki Zainol. Lagipun, jika benar Indera Bumi itu wujud, ia pasti berdengung manja, menandakan ia berdekatan dengan saya, orang yang baik [ha ha ha].

Novel Fiksyen Sains dan Fantasi ini diperkenalkan oleh saudara vovin ketika saya berlegar-legar di dalam gerai PTS semasa Karnival Buku Kuala Lumpur 2008 yang lepas.

Semasa saya masih membaca novel ini, dikhabarkan di dalam blog penulis ini, bahawa novel Takluk Jagat Bahagian II – Amukan Indera Bumi telah pun di terbitkan.

Sebenarnya saya tidak yakin untuk menghabiskan bacaan novel ini memandangkan novel ini katanya berkisar tentang fantasi purba, pertarungan, alam mistik, alam persilatan, dendam dan sebagainya. Namun, setelah membaca babak pertama, saya terkagum. Jadual harian menjadi terganggu kerana sibuk mencari ruang untuk melangsaikan bacaan.

Ini novel sai-fai kedua saya selepas saya membaca Opera Angkasa. Sudah pasti pengalaman membaca novel begini untuk saya masih kurang.

Saya terkagum kerana bahasa yang digunakan mudah difahami dan dapat memberi imaginasi yang jelas dalam fikiran. Unsur-unsur pemerian terhadap sesuatu misalnya, jurus silat dan hikmat yang digunakan oleh watak hero amat membantu pembaca untuk memahami jalan cerita. Penggunaan dialog yang mudah dan selitan unsur-unsur komedi sedikit sebanyak dapat meringankan perasaan yang cemas dengan sesi pertarungan di dalam novel ini.

Seperti Opera Angkasa, saya juga dapat menggambarkan beberapa adegan filem Lord of The Ring di dalam novel ini terutama dengan kewujudan keris takluk jagat dan Indera Bumi yang menjadi rebutan dan juga kehadiran alam bunian. Namun, itu tidak bermakna idea penulis tercemar. Saya sukakan ideanya dalam mengemukakan persoalan dendam, silaturrahim, ilmu persilatan dan persepsi watak hero tentang kehidupan. Sangat Melayu!

kesinambungan antara babak dan watak-watak yang wujud juga dipaparkan dengan baik. Pendek kata, membaca novel ini seolah-olah saya turut mengembara bersama Bayu Adi Jata dalam mencari keris Takluk Jagat di samping mencari keserasian dengan Indera Bumi. Dan, peta kawasan pengembaraan yang dilampirkan amat membantu.

Turut merasai segala babak yang dipaparkan dengan kemunculan watak-watak yang mempunyai perwatakan tersendiri yang sangat kukuh. Walaupun banyak watak yang ditampilkan dengan nama yang agak panjang, saya tidak mengalami kesukaran untuk membezakannya antara satu sama lain. Puteri Ariasha Cinta Castra, Zilastra Dunia Kencana, Cindrasari Kemala Dewi dan banyak lagi yang memiliki nama yang panjang tetapi indah. Setiap watak berdiri dengan perwatakan tersendiri.

Jika novel ini bukan sebuah novel, ia pasti menjadi sebuah komik yang menarik. Jika novel ini bukan sebuah komik, saya pasti ia boleh diadaptasi sebagai sebuah drama atau filem.

Saya suka novel ini! Untuk ulasan yang lebih baik, baca blog ini.

 no-name.jpg

Kisah ini adalah kisah berkenaan sesiapa sahaja yang berada di sebelah kiri dan kanan saya semasa saya berada dalam bas.

Dah hampir sebulan saya menjadikan bas sebagai pengangkutan utama ke tempat kerja. Rapid Kl, Metro bus, SJ bus. Macam-macam perkara juga yang saya temui. Tak kalah dengan komuter.

Pagi tadi, seorang pelajar berbangsa Cina duduk di sebelah saya. Dia dalam keadaan tergopoh-gapah membuka fail, mengeluarkan kalkulator dan sebatang pen.

Lembaran kertas yang terpampang mengandungi angka-angka dan simbol-simbol seperti ÷ ⁄  × − √ ∞ ½ dan sebagainya..dan sekaligus mengingatkan saya kepada keputusan subjek matematik saya yang separuh nafas dahulu.

Pelajar tersebut terus menulis-nulis jawapan dengan agak laju. Mengetik-ngetik kalkulator dan sesekali tangan kirinya menggayakan sesuatu yang saya tak duga. Tangan kirinya digenggam dan mulutnya mengucapkan “yes”…”yes”…tanda dia berjaya menyelesaikan masalah pengiraan tersebut.

Agak pelik kan? kelakar pun ada. Tapi saya sikit terganggu apabila semasa dia mengira, suaranya kedengaran menghafal formula-formula pengiraan dan semasa dia menulis, juga dia membaca apa yang ditulis.

Dia memang genius dan bijak. Dia juga pelajar harapan bangsanya. Cuma saya pening.

Mungkin keadaan ini lebih baik dari kejadian yang sebelumnya, yang berlaku hari-hari sebelum hari ini.

Seorang  pemuda sebangsa dengan saya, membuka mp3 di telefon bimbit dengan volume yang agak kuat. Sedangkan bas juga memutarkan lagu-lagu dengan kuat. Bayangkan lah.

Saya tidak kisah siapa pun kamu yang duduk bersebelahan dengan saya sama ada sebelah kiri atau kanan. Saya berharap agar kamu berkelakuan baik dan harmoni. Kerana kesejahteraan di dalam bas bakal melahirkan perasaan yang baik untuk kita sepanjang hari.

Dan kamu..kamu yang berkelakuan seperti beruk, jangan cuba-cuba nak membuat gangguan seksual kepada saya!

Sabtu dan ahad merupakan hari yang baik untuk melangsaikan kerja-kerja rumah; membeli barang dapur, membetulkan apa-apa yang rosak, mengemaskini jadual harian, merehatkan otak dan sebagainya. Itu adalah rutin warga bandar yang 5 daripada 7 hari dalam hidupnya dipersembahkan kepada kerja-kerja pejabat.

Kepada mereka yang tidak bijak membahagikan kerja pejabat atau terlalu sibuk mengalahkan pak menteri, kerja pejabat akan dibawa ke rumah. Maka, anak dan isteri/suami pun menarik muka melihat ibu/isteri/suami masih bergelumang dengan segala bagai kertas dan ber’peluk’ dengan lap top sepanjang hari minggu.

Berbalik kepada hari minggu untuk bersantai dan melunaskan segala kerja rumah yang terbengkalai, sudah pasti dua hari yang ada itu digunakan sebaiknya -menjahit butang baju yang tertanggal. Membasuh pakaian, mengemas rak pakaian atau buku, mengemas keseluruhan rumah, mencantas atau mengemas taman bunga di sekeliling rumah, membersihkan tempat membuang sampah, membeli barangan dapur, membeli belah keperluan peribadi dan sebagainya.

ITU Lumrah yang berlaku sejak dahulu, sejak Isnin-Jumaat dihabiskan dipejabat [mungkin Jumaat dan sabtu juga bagi negeri di sebelah pantai timur].

Tetapi kenapa peniaga kita tak ambil peluang mengaut keuntungan dan beribadah [melalui perniagaan] pada hari itu?

eee, saya geram, hasrat untuk membeli barangan di kedai Melayu di kampung saya [Tampin] tak kesampaian. Berderet kedai Cina…semua beroperasi dengan senyum hingga ke telinga sebab kedai Melayu semua tutup.

Peniaga Melayu harus banyak belajar. Bukan sahaja  mengaplikasi cara Nabi berniaga pada zaman dahulu malahan juga belajar cara peniaga Cina mengekalkan perniagaan mereka.

 sk_01_big.jpg

Bahasa Melayu dan Bahasa Malaysia. Kedua-duanya mempunyai makna yang berbeza sekaligus memberi kesan yang berbeza dalam banyak perkara. Saya tidak akan berbicara tentang sejarah dan rasional bahasa Melayu dikekalkan kerana itu tak akan mengubah apa-apa, dan saya pasti orang yang mengubah istilah ini lebih tahu tentang bahasa Melayu [agaknya].

Dua hari lepas di dalam sebuah komuter…

“eh keluar la dulu, orang yang kat dalam ni nak keluar susah” kata lelaki Melayu.

“Ko la keluar. Aku bayar tau” kata lelaki Indonesia.

Keadaannya mudah sahaja. Komuter yang sesak bertambah padat apabila penumpang berasak-asak untuk memenuhi ruang yang ada. Pintu komuter yang kecil [komuter jenis yang mempunyai satu pintu sahaja, dan bukannya dua pintu yang terletak dibahagian tengah badan komuter], menyusahkan proses keluar masuk penumpang apatah lagi dalam keadaan sesak.

Penumpang yang berada di pintu, tidak mahu keluar kerana takut tak dapat masuk, sedangkan penumpang yang mahu keluar tidak dapat keluar kerana penumpang yang berada di bahagian pintu tidak mahu memberi laluan. Faham tak?

Lelaki Melayu yang bercakap dalam bahasa Melayu yang mudah, telah meminta lelaki Indonesia ini keluar dahulu agar dia dapat keluar dengan selesa. tetapi lelaki Indonesia tidak faham bahasa Melayu Malaysia kerana dia sangka kan, lelaki Malaysia ini menghalau dia keluar.

Saya pun tak faham kenapa lelaki Indonesia ini tak faham Bahasa Melayu. Oh, Mungkin dia sangka Bahasa MALAYSIA nya dah cukup baik.

Satu lagi kes bahasa Melayu yang ingin saya kongsikan ialah secebis babak dari rancangan 360 yang memaparkan isu warga asing nigeria/afrika selatan yang berkampung di Metro Prima, Kepong.

Warga asing ini berkata mereka tidak pernah mengacau penduduk tempatan. Penduduk tempatan yang prejudis tak tentu hala. Mereka hanya bertanya soalan dalam bahasa Inggeris yang mudah iaitu ‘how are you?”, tapi penduduk tempatan yang tidak tahu bahasa Inggeris menganggap soalan mudah itu sebagai satu ancaman kepada mereka. Tapi, bila warga asing ini bercakap dalam bahasa Melayu, penduduk tempatan jadi tidak takut dan boleh berbual dengan mereka.

Warga asing ini menyarankan agar penduduk tempatan pandai menyesuaikan diri dengan warga asing seperti mereka dan belajar banyak bahasa. Dan kenyataan ini ditempelak oleh Mazidul kerana yang sepatutnya menyesuaikan diri ialah warga asing seperti mereka yang merupakan puak minoriti.

Susah benarkah memahami bahasa Melayu? Memang sukar jika masyarakat Melayu sendiri segan berbahasa Melayu. Ditambah lagi dengan pemerkasaan bahasaInggeris, ke mana kah nanti bahasa Melayu akan bertapak?

Susah benarkah memperkasa bahasa Melayu sebagai identiti bangsa Melayu? Kenapa produk dan negara kita tidak semaju negara lain? Kerana apa yang ada di negara kita sama sahaja di negara lain. Kita tak punya identiti. Membuang jatidiri dan budaya bangsa dan mengambil budaya luar sebagai landasan untuk bergerak.

Mengapa kita perlu berbahasa Inggeris untuk ke luar negara? ya, untuk hidup di negara luar, kita perlu tahu budaya dan bahasa mereka.

Mengapa kita perlu berbahasa Inggeris sempena tahun melawat Malaysia? Bukankah Pelancong dan warga luar yang melawat Malaysia yang seharusnya bercakap dalam bahasa Malaysia?

Sebagai warga asing tidak kira dari mana pun, ya, anda hanya mencari rezeki di sini, [walaupun ada yang hidup mewah berbelas tahun di Malaysia sebagai pendatang haram, lebih kaya dari warga tempatan sendiri], mereka seharusnya tahu berbahasa Melayu…bukan berbahasa Malaysia.

Apa jatidiri, ketamadunan, peradaban bangsa dan ‘bangsa angkasa’ kita? bahasa? budaya?

Bahasa Inggeris tidak salah. Malah banyak manfaatnya jika kita tahu banyak bahasa. Tapi tidak perlu sampai berbahasa Inggeris untuk mengajar sains dan matematik. Itu bukan permulaan yang baik untuk memandaikan masyarakat Malaysia dengan bahasa Inggeris.

Ingat lagikah peristiwa Bahasa Melayu diangkat menjadi bahasa kebangsaan? Dan ingat lagikah apa yang berlaku pada 28 oktober 1971?

oh ya, sejarah hanya sejarah!

Pening!

Mungkin disebabkan sejak akhir-akhir ini gegendang telinga sentiasa disumbat earphone. Saya tahu ada kesan pada sistem pertahanan badan manusia jika terlalu terdedah kepada gelombang radio (aktif).

Fikiran pecah. Pecah beku.

Artikel masih tak dibuat. Langsung tak buat. Idea mendingin.

Malam tadi nafsu membuak untuk menonton televisyen. Oleh kerana perut semakin buncit berlemak dan punggung melebar, hanya duduk di sofa dan mata tidak berkedip menonton. Alat kawalan jauh kehabisan bateri. Hasrat untuk menukar rangkaian tv terbantut. JANGAN TIDUR LAGI – kata Adlin Aman Ramli dan Azwan Ali.

Otak tiba-tiba mencerna kembali. Cair dan larut dalam aliran- hati-akal-jiwarasa. Topiknya lagi-lagi tentang remaja perosak bangsa dan agama – berkaitan fesyen berpakaian remaja yang terikut-ikut budaya barat. Telinga ditebuk sehingga berlubang sebesar satu sen, fesyen rambut emo, bertindik dan macam-macam lagi.

Bila ditanya mengapa berpakaian sebegitu? Jawabnya saja suka-suka, ikut fesyen terkini.

Bila ditanya mak dan abah tak kisah ke? Jawabnya, ada yang kisah dan ada juga jawapan dari remaja ini yang mengatakan ibu bapa mereka menyokong apa yang mereka lakukan. what??? (eh, lupa pula azam nak guna Bahasa Malaysia (MELAYU) sepenuhnya)

Apa????? Kalau 8 daripada 10 remaja memberi jawapan bahawa keluarga mereka memberi sokongan dengan habit buruk mereka tu, tak dapat saya bayangkan identiti Melayu di masa hadapan..ataupun tak sempat tengok sebab kiamat semakin dekat kan?