DSC_3135

Tujuh tahun. Ya, tujuh tahun bukanlah satu jangkamasa yang singkat. Jika ada anak sudah bersekolah darjah satu. Begitulah. Dari lahir, belajar meniarap, mengengsot, merangkak, papah, bertatih, berlari, bersosial, membaca, dan akhirnya bersekolah!

Saya tahu ia bukan jangkamasa yang pendek untuk dilupakan begitu sahaja. Namun, seperti usia seorang kanak-kanak, ia masih sempat untuk melentur agar yang terzahir kelak, membawa kesan kepada kehidupan.

KOMA

“Sudah tujuh tahun. Ia bukan satu jangkamasa yang pendek. Awak tidak sayangkah tempoh yang lama itu? Jika awak kekal di sini, awak pasti dinilai untuk kenaikan pangkat dan gred.” Kata bos.

Sayang? Sayang untuk apa? Sekadar sayang, oh ini hanyalah cebis-cebis perjalanan menuju kematian. ya. Kita akan mati bos. Sayang tidak bawa ke mana. Hanya memenuhkan usia yang akan berlangsung – sehingga mati. Bermanfaat atau mudarat.

Maafkan saya. Kadang, bukan soal sayang dan masa yang saya fikirkan. Beberapa tahun ini kehidupan agak kosong [bukan saya tak cuba penuhkan. Saya cuba.]

Dan satu lagi, saya bukan jenis kerja untuk dapatkan pangkat atau kedudukan. Saya cuma mahu mencari berkat dan kegembiraan dalam melakukan sesuatu tugasan. Dan hal itu tidak saya temui di sini.

Dan saya bukan Yunus. Seperti Yunus yang pada mulanya merasa putus asa, kecewa, lalu meninggalkan kaumnya sehingga Allah memberi pengajaran atas sikapnya itu melalui Nun, seekor ikan paus yang menelan Yunus dan mengajar Yunus erti kegelapan. Mengajar Yunus agar terus tekal berdakwah dan tidak berputus asa dalam menyeru kebaikan kepada umatnya.

Ya, mudah kata, saya bukan Yunus. Saya bukan Yunus, nabi yang diuji kerana segala amanah terpanggung di pundaknya sebagai manusia pilihan Allah untuk menyebar dakwah Islamiah kepada kaumnya.

Saya tidak kecewa kerana tidak mampu ubah sekeliling. Saya kecewa kerana saya gagal dalam masa yang lama ini, saya gagal mencari diri sendiri.

KOMA

Ia bukan keputusan yang mudah bagi mereka yang sudah terlalu selesa. Tidak dalam pongah saya katakan saya bersyukur kerana berani ambil keputusan memilih jalan ini walapun saya tahu jalan ini merupakan jalan yang amat baru bagi saya. Pasti cabaran dan halangannya tidak sama dengan jalan lama. Namun, saya tekad memilih jalan ini.

Saya juga, tidak semberono memilih jalan ini sebelum saya kuatkan hati, buka minda dan seterusnya bertanya kepada beberapa rakan baik tentang hal ini.

Dan akhirnya, di sinilah saya – di ruang yang baharu, yang terhias rimbunan pohon buku yang saya idamkan dan impikan selama ini. Saya berharap inilah keputusan terbaik yang saya buat dengan tawakal kepada Allah sepenuhnya.

Selamat datang saya. Semoga jalan ini jalan yang memberi nafas dan jiwa baharu kepada saya tanpa menafikan sumbangan jalan lama yang banyak mengajar erti jatuh-bangun saya dalam kehidupan.

Saya, dalam perit pedih hati, dan kemudian bangkit berani, bukan lagi seorang wartawan. Saya kini Editor!

Burung, benar-benarkah ia akan pulang ke dahan yang pernah dihinggapinya?

Atau memang ia akan pulang, cumanya dahan itu sudah tiada untuk dihinggapi.

KOMA

Semalam, mesyuarat di pejabat. Dan agendanya ialah menyatakan masalah yang dihadapi. Masing-masing menyatakan masalah perjawatan. Dan saya menyatakan masalah selainnya.

Mengimbau detik-detik ketika mula-mula masuk kerja, sehingga kekecewaan dan konflik yang dihadapi sehingga suara terketar.

Ia umpama membaca semula blog ini.

Dan sejarah-sejarah lama saya imbau melalui blog ini. Kerana dahulu, blog ini merupakan tempat saya membuang resah. Membuang marah. Blog ini juga menyimpan segala rasa dan cerita yang boleh saya semak semula.

Oh, rupanya banyak kisah yang berulang di sini. Banyak juga resah yang sama berulang-ulang. Ia memperlihatkan diri dua tiga tahun kebelakangan ini. Betapa, ia tergambar dengan teliti dan membentuk diri di sisi yang lain.

Ada azam yang masih tersimpan kemas. Ada impian yang sudah tuntas bertunas. Ada juga harapan yang tinggal harapan. Itu lumrah kehidupan. Dan saya belajar dari kesilapan.

KOMA

Terkesima seketika apabila seorang kawan pejabat menyatakan, “kita terlalu berharap sesuatu yang kita mahu di sini. Sepatutnya, kita ambil apa yang ada di sini untuk kita pelajari dan ambil iktibar.”

Ya, ia sama seperti “apa yang paling kita mahu, itulah yang tidak akan kita dapat.”

Kerana, Tuhan lebih tahu mana yang terbaik buat hamba-Nya.

Ya, saya pulang, melihat semula apa yang pernah saya mahukan. Dan apa yang telah saya tinggalkan.

tangan

Yang susah ditanya dan sukar untuk dijawab. Mungkin juga itu soalan yang bernas atau yang menjawab tidak bijak.

Saya tidak akan jadikan masalah kesihatan sebagai alasan mengapa saya masih gagal menyediakan soalan-soalan yang diperlukan untuk skrip dokumentari ini.

Lega bila encik bos mengatakan bahawa sebenarnya paling susah ialah menyediakan soalan. Tapi itu tidak bermakna saya boleh lepas tangan dan membuat soalan-soalan yang tidak bagus untuk dimasukkan dalam sesi wawancara nanti.

Ini tugas wartawan. Menyediakan soalan yang bermakna untuk jawapan yang bermakna.

Soalan amat penting bagi wartawan untuk mencari jawapan atau maklumat tentang apa yang sedang dibincangkan.  Kata encik bos, soalan biarlah merangkumi semua data yang kita perlukan. Tak perlu tanya soalan yang sudah ada jawapannya.

Sebagai contoh katanya, jika kamu bertemu dengan Tun M, apakah soalan yang ingin kamu tanyakan.

Saya diam. [Sebenarnya saya jawab soalan encik bos. Dan soalan yang akan saya tujukan buat Tun M memang tidak bagus dan terlalu biasa untuk didengari. jadi saya tidak akan paparkan di sini].

Encik bos kata, jika dia diberi peluang tanya soalan, dia akan tanya Tun begini;

“Mana yang lebih sukar? Mengawal kenderaan ketika kelajuan 200km/j atau mentadbir negara?”

Saya terdiam.

Memang benar soalan yang bernas dan padat akan mendapat jawapan yang juga bernas dan padat. Beberapa peristiwa soal-jawab mula berkampung dalam fikiran saya. Soalan wartawan kepada golongan artis, ahli politik, orang kampung, pelajar sekolah, pemimpin dan sebagainya. Semuanya perlu ada strategi tersendiri dan seni yang unik agar tidak wujud istilah “soalan bodoh’ dan ‘jawapan tidak relevan.’

Saya suka jawapan untuk soalan ini.

AADK, mufti, USIM, pengamal rawatan Islam, penagih dadah, pakar kaunseling dan pakar Naturopati – Soalan apakah yang perlu saya ajukan?

 ila-453.jpg

Mereka suka tonton Teletubbies

Semalam, ketika lengan masih membengkak, dan kepala masih pening menerima air dan darah baru, saya berusaha memujuk hati menonton sesuatu yang cuba saya ketepikan.

“hei kawan, awak wartawan, harus tahu every little things yang berlaku di sekeliling awak”, kata seorang teman yang bengang apabila saya tidak mahu membicarakan tentang dunia hiburan tanah air.

Every little things itu boleh sahaja ditukar kepada ‘ setiap perkara’.

“Ya, saya wartawan, tapi saya tidak boleh paksa hati untuk bercerita dengan banyak tentang dunia hiburan dengan terperinci”, saya jawab sambil lewa.

Tapi, malam tadi saya cuba paksa diri melupakan discovery channel semata-mata mahu membuktikan saya wartawan yang mengambil tahu tentang semua perkara.

Saya tonton Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2007 (ABPBH).

Sehabis buletin utama yang jarang-jarang saya percaya kebenarannya, saya duduk terpaku. Dengan keadaan badan yang lemah. Mungkin darah lama dan baru masih bermasam muka di dalam tubuh saya. Mungkin juga air yang baru dipaksa masuk belum boleh menstabilkan paru-paru saya ini.

ABPBH bermula dengan persembahan dari Datuk Siti Nurhaliza yang sangat merah. Menawan dan tetap menawan seperti selalu. Saya suka dia.

Sehabis persembahan merah itu, dua orang pengacara yang muncul memulakan majlis membuatkan saya ternnganga sambil mengerutkan kening. Dua wanita itu membebel, mengarut, dan memualkan.

Saya ambil alat kawalan jauh televisyen dan buka Animal Planet Channel. Dua ekor cimpanzi sedang melompat-lompat dan menggaru punggung.

Saya paksa otak supaya jangan membayangkan persamaan antara yang di ABPBH itu dengan apa yang saya tonton ini. Saya cuba.

Hei kawan yang memaksa saya mengambil tahu semua perkara;

“Kadang kala banyak perkara yang harus kita elak untuk ambil tahu supaya fikiran kita tidak dijamah dosa. Dan biarkan Malaikat berehat sambil mencatat kebaikan dengan senyum yang panjang, dengan hanya melakukan apa yang kita suka!”

*Jika mahu tahu siapa yang menang malam itu, baca sahaja berita arus perdana atau majalah hiburan. Anda tidak akan temui jawapan di sini.

Saya agak marah dengan apa-apa jua perkara yang tidak sepatutnya berlaku, yang berkaitan dengan kemalangan NURI baru-baru ini.

Saya ada menerima email, tajuknya “GAMBAR REAL NAHAS HELICOPTER NURI……!! JGN TENGOK KALAU TAK BERANI!!!!!”…Tapi, itu bukanlah gambar sebenar nahas Nuri.

Bukan persoalan benar atau tidaknya gambar itu, tapi soal kewajaran untuk mengforwardkan kepada rakan-rakan lain. Saya tak tergamak untuk forward email tersebut kepada orang lain kerana saya tak mahu melukakan hati sesiapa, di samping isu palsu/benar gambar tersebut.

Saya pasti itu bukan gambar sebenar kemalangan nuri [kalau benar pun, tak wajar di sebarkan kepada umum].

Dan kemenyampahan melampau itu berlanjutan akibat pertanyaan para wartawan kepada keluarga mangsa;

“tanda-tanda pelik sebelum meninggal?”

Apa punya mazhab la tanya soalan camni.