Burung, benar-benarkah ia akan pulang ke dahan yang pernah dihinggapinya?

Atau memang ia akan pulang, cumanya dahan itu sudah tiada untuk dihinggapi.

KOMA

Semalam, mesyuarat di pejabat. Dan agendanya ialah menyatakan masalah yang dihadapi. Masing-masing menyatakan masalah perjawatan. Dan saya menyatakan masalah selainnya.

Mengimbau detik-detik ketika mula-mula masuk kerja, sehingga kekecewaan dan konflik yang dihadapi sehingga suara terketar.

Ia umpama membaca semula blog ini.

Dan sejarah-sejarah lama saya imbau melalui blog ini. Kerana dahulu, blog ini merupakan tempat saya membuang resah. Membuang marah. Blog ini juga menyimpan segala rasa dan cerita yang boleh saya semak semula.

Oh, rupanya banyak kisah yang berulang di sini. Banyak juga resah yang sama berulang-ulang. Ia memperlihatkan diri dua tiga tahun kebelakangan ini. Betapa, ia tergambar dengan teliti dan membentuk diri di sisi yang lain.

Ada azam yang masih tersimpan kemas. Ada impian yang sudah tuntas bertunas. Ada juga harapan yang tinggal harapan. Itu lumrah kehidupan. Dan saya belajar dari kesilapan.

KOMA

Terkesima seketika apabila seorang kawan pejabat menyatakan, “kita terlalu berharap sesuatu yang kita mahu di sini. Sepatutnya, kita ambil apa yang ada di sini untuk kita pelajari dan ambil iktibar.”

Ya, ia sama seperti “apa yang paling kita mahu, itulah yang tidak akan kita dapat.”

Kerana, Tuhan lebih tahu mana yang terbaik buat hamba-Nya.

Ya, saya pulang, melihat semula apa yang pernah saya mahukan. Dan apa yang telah saya tinggalkan.

Advertisements

getimageaxdThis wonderful shot captures the movement of the children and water skillfully. The composition and colour palette is effective, and there’s an endearingly magical and joyful element that’s refreshing to witness.” (Judge’s comments)

Ini bukan gambar yang saya ambil. Ini gambar Tan Choon Wee, yang diangkat sebagai pemenang keseluruhan pertandingan Photographer Of The Year 2008 anjuran Digital Camera Magazine.

Kata pemenang ini ;

I’m a 57-year-old seasoned traveller from Singapore. I’ve been engaged with photography seriously for 25 years – it not only interests me, but it’s also my joy and passion, and I believe that if you feel it, you see it.

Gambar yang saya hantar, entah mana mereka campakkan. Memang wajar dicampak. Mungkin.

KOMA

Semasa saya mengikuti Kursus Fotografi Digital di Marang anjuran Angkatan Senifoto Selangor (ASFONS) tahun sudah, sebenarnya banyak perkara yang saya pelajari walaupun diri dibawa ke sana dengan hati yang separuh mati.

Gambar mewakili pelbagai cerita. Ambil gambar dengan jiwa. Ini salah satu ciri gambar yang baik selain aspek teknikal yang lain.

Ada satu gambar, yang dipuji fasilitator, katanya gambar itu boleh digunakan sebagai poster melawat negeri Terengganu. Bukan gambar penyu. Bukan gambar laut atau pulau. Bukan gambar keindahan alam.

Ia merupakan gambar anak-anak yang sedang mandi [ada yang berbogel] di tepian pantai, dalam keadaan yang sangat gembira. Anak-anak kampung itu, wajah yang jujur dan hati yang bersih, beri cerita yang besar kepada kami.

Dari situ, saya berlapar dan membutakan mata untuk yang lain-lain demi sebuah DSLR.

Nikon D80 ada dalam genggaman akhirnya. Tetapi mana cerita saya? Apa cerita yang saya rakam dan sebar melalui gambar-gambar yang saya ambil?

Hujah bela diri – Ini gambar saya. Kamu tidak faham cerita di sebaliknya? Tidak mengapa, biar saya sahaja yang mengerti dan faham.

KOMA

Dengan gambar kita memberi cerita. Ikut persepsi kamu cerita bagaimana mahu dilakar.

Dengan muzik atau apa jua bentuk seni, kita menyebar cerita. Terpulang kamu cerita bagaimana yang mahu dilagukan dan yang mahu kamu dengar.

Dengan tulisan kita berkongsi cerita. Tanya akal kamu, cerita itu untuk suka-suka atau untuk dihadam, menambah rencah hidup.

Dengan apa sahaja kamu akan bercerita dan memperoleh cerita. Buka panca yang lima itu. Tambah satu, akal dan iman.

Raih dan belajar cerita dari alam. Kamu tidak akan menyesali hidup.

Jika sudah kehabisan nafas dan mencungap menuju ke titik tujuan, berhentilah seketika.

Tiada apa yang mengejar kamu. Tiada siapa mengejar kamu.

Berehat.

Baiknya hati Melayu itu tak terbandingkan
Segala yang ada sanggup diberikan
Sehingga tercipta sebuah kiasan:
“Dagang lalu nasi ditanakkan
Suami pulang lapar tak makan
Kera di hutan disusu-susukan
Anak di pangkuan mati kebuluran”

[petikan sajak Melayu oleh Usman Awang]

Terima kasih kawan kerana menyusahkan saya dengan tidak memulangkan barang yang kamu pinjam sehingga saya ‘merempat’ meminjam barang yang sama dengan orang lain.

TERIMA KASIH!

“Saya tidak mahu diganggu. Semak!” – Ini pesanan ringkas (SMS) kepadanya yang tidak saya hantar demi menjaga hati seorang kawan.

Mendongak ke langit. Dan awan mula berbicara rahsia alam.

Satu perkataan jika tidak difahami melalui sebutan yang betul akan menimbulkan salah faham. Sebab itu sistem pesanan ringkas (SMS) selalu mendatangkan musibah pemahaman bahasa.

Sebagai contoh, bila saya taip ‘jangan ganggu saya’, ia bermakna saya sedikit ‘semak’ dengan kehadiran sms kamu. Dan sebagai seorang kawan, kamu seharusnya memahami keadaan saya yang tidak mahu diganggu.

Atau kamu tidak faham makna ‘semak’?

SEMAK menurut Kamus Dewan Edisi Ketiga;

  1. Semak – Tumbuh-tumbuhan yang kecil-kecil dan rendah-rendah, belukar.
  2. Semak – Kusut fikiran, perasaan dan lain-lain.
  3. Sémak – Mendengarkan atau memerhatikan ( percakapan, bacaan orang) dengan teliti.

Dan ‘semak’ yang saya maksudkan ialah ‘semak’ dalam definisi yang kedua. Harap kamu faham bahasa Melayu!

Pesanan : Jangan semakkan fikiran dengan benda remeh begini. Mari lapangkan fikiran.

“the back view is nice. Because you’re seeing the person off. It gives you a warm and assuring feeling.”

der·ri·ère maknanya from behind

Saya pernah beritahu yang saya suka sangat dengan drama jepun Over Time. Sangat suka. Banyak aspek yang saya suka dalam drama itu. Bukan sahaja watak-wataknya yang cantik dan kacak.

Aspek fotografi. Ya, watak utamanya, Soichiro sebagai seorang wartawan dan fotografer yang membawa jiwa yang berapi ketika mengambil gambar. Di pindahkan ke jabatan atau unit keluarga hanya kerana dia mengenepikan nilai kewartawanan dan diganti dengan nilai kemanusiaan ketika melihat Natsuna yang cedera menjadi bahan rebutan jurukamera.

Saya suka aspek falsafah cinta dan persahabatan yang dipaparkan melalui penghayatan watak-wataknya dan juga skripnya yang bermakna.

Yang sukar saya lupakan ialah kecenderungan Soichiro mengambil gambar dari sudut pandangan belakang. Menghantar Natsuna sehingga di tren. Melihat Natsuna dari pandangan belakang sesuatu yang melegakan bagi Soichiro.

Saya aplikasikan hal ini dalam kehidupan. Jika seseorang menghantar saya pulang, saya gemar melihat orang yang menghantar [sama ada dirinya atau keretanya] sehingga hilang dari pandangan. Ada suatu rasa di situ.

Dan saya juga pernah ditegur oleh seorang teman apabila meletak telefon terlalu cepat. Katanya itu kurang beradab. Sedangkan saya menganggap itu tiada apa-apa nilai kerana perbualan antara saya dan dia atau sesiapa sahaja bukan bertentang mata.

Kata teman saya, jika saya menerima panggilan, adalah lebih beradab jika saya menunggu si pemanggil meletak telefon dahulu.

Saya terkesima. Tidak pernah terfikir tentang adab itu. Dan apabila saya kaitkan menghantar seseorang dengan pandangan mata kita sama juga dengan menunggu seseorang yang lain di talian telefon untuk meletak telefonnya sebelum saya. Dan perasaan itu mula bercantum.

Kata Soichiro, mengambil gambar melalui sudut pandangan belakang mempunyai pelbagai cerita. Hanya kita yang memandang yang boleh mentafsir pandangan mata kita. Dan Natsuki memberi ilham untuk Soichiro membukukan gambar-gambar itu dalam sebuah buku yang diberi tajuk Le derriere…

When I’m feeling small
When it’s cold outside
I don’t know who I should believe
And when I needed someone

special just by my side
Who was there?….