Racun. Masalah.

Penawar. Penyelesaian.

Tapi selalunya, racun itu benar-benarkah meracun dan penawar itu benar-benarkah memulihkan?

KOMA

Masalah kita, manusia memang banyak.

Kata alim, Allah sayang kita, sebab itu kita diuji.

Kata lucu, hidup tanpa masalah umpama makan nasi tanpa lauk.

Mungkin juga, ada kata falsafah mengatakan masalah itu umpama debu-lumpur yang memalit tubuh. Cuci atau biarkan.

Atau juga, masalah itu umpama rerumput kering di antara rerumput hijau. Pasti ada.

Dan kata-kata falsafah tentang kehidupan dan masalah yang begitu akrab, memang banyak.  Kerana falsafah itu lahir daripada manusia dan manusia mempunyai pemikiran dan pandangan yang berbeza tentang ruang lingkup kehidupannya. Semua tidak salah.

Yang salah apabila kita melihat masalah sebagai penamat kehidupan.

KOMA

Ya, saya ada banyak masalah. Tapi, saya takkan putus asa.

Ambil jalan mudah tidak semestinya tanpa fikiran yang panjang.

Seperti membuang nombor telefon lama yang sering mengganggu dengan cerita-cerita lama yang sudah dibuang tetapi masih mengekor dan membelengaskan diri.

Dan ia keputusan yang melegakan walaupun tidak menyelesaikan masalah.

Keputusan ini amat melegakan.

Seperti mengalihkan pandangan dari lumpur yang berdebu melemaskan, kepada rerumput yang hijau menyegarkan.

Hidup saya adalah pilihan saya.

Advertisements

Terkeliru antara ‘ruh’ atau ‘roh’.

Buka kamus dewan, maka diberitahunya kepada saya bahawa roh ialah perkataan dari bahasa Arab yang bermaksud, bahagian dalam manusia yang mempunyai daya fikir (berperasaan, berkemahuan), jiwa.

Mencari roh yang hilang tidak semudah mencari bulan di balik awan.

KOMA

Saya, ingin sekali menikmati malam dengan bulan yang terang benderang. Mahu menikmatinya selalu-selalu. Setiap masa. Setiap kali mata tertempa ke langit malam, saya mahukan bulan purnama di situ. Saya mahu menikmatinya kerana bulan begitu sempurna buat saya.

Bulan purnama, katanya merupakan bulan yang paling sempurna (14-15 haribulan setiap bulan). Bulan yang mengandungi kecerahan dan kecantikan hakiki. Sepenuhnya. Bulan purnama juga merupakan bulan yang menerbitkan kata-kata indah buat sang pencinta.

Tetapi bulan hanyalah bulan. Bulan yang mengambil cahaya matahari buat menimbulkan dirinya sendiri. Bulan yang selalu juga hilang kala awan melintas lalu. Bulan yang entah di mana kala hujan menyapa. Bulan yang kelihatan kecil dari bumi dengan cahaya yang gemilang juga adalah bulan yang sepi. Tanpa udara, tanpa bunyi, tanpa apa-apa.

Namun, siapalah kita mahu menyalahkan bulan yang kadang kurang bersinar menunjukkan jalan di gelap malam. Dan siapalah kita untuk merungut tentang bulan yang kadang berteduh di balik awan, sehingga kita di bumi ini pun tidak dapat menikmati keindahan malam tanpa bulan yang terang. Siapalah kita untuk mengungkit hal bulan yang menumpang cahaya mentari. Siapalah kita berbanding bulan yang telah dicipta begitu untuk tujuan-tujuan tertentu.

KOMA

Saya mencari roh yang hilang. Melihat bulan, sudah tentu ia tidak akan ketemu di situ.

Namun, melihat bulan seperti yang diceritakan di atas, memberi satu pengalaman lain buat saya.

Bulan yang begitu, cahaya yang terang atau dengan cahaya yang suram, tetap memberi makna kepada manusia di bumi. Tetap ada fungsi dan keistimewaan tertentu. Tetap melaksanakan tugasnya.

Roh yang dicari bukan terletak pada serinya paras wajah. Ia terletak pada hati. Dan tindakan yang dilaksanakan.

Mungkin juga catatan ini seperti tidak sampai kepada maksudnya.

Roh yang hilang.

Untuk diri yang selalu bimbang.

(Hakikat membimbangi tsunami dan gempa yang melanda Jepun. Hakikat membimbangi peperangan yang masih menngeluti umat Islam di seluruh dunia. Hakikat melihat diri manusia yang semakin hilang roh)

Ada doa untuk itu. Carilah hakikat diri.

Allah sayang kamu yang sayangkan diri.

(diterjemah dari karya Douglas Mallock)

 

Jika kau tak dapat menjadi meranti di puncak bukit

Jadilah aur dilembah, tapi jadilah aur teranggun di sisi bukit

Kalau bukan pokok, aur saja pun jadilah.

Jika kau tak boleh menjadi rimbun, jadilah rumput

Dan hiasilah jalan di mana-mana

Jika kau tak dapat menjadi haruan, jadilah sepat

Tapi jadilah sepat yang terlincah di dalam paya

Bukan semua boleh menjadi nakhoda,

lainnya harus mengikut sahaja

Pasti ada sesuatu untuk semua.

Kerana ada tugas berat, ada tugas ringan

Antaranya dibuat mana lebih berdekatan

Jika kau tak dapat menjadi bintang, jadilah bulan

Jika kau tak boleh menjadi jagung, jadilah keledek

Bukannya mengikut besar kau kalah ataupun menang

Jadilah dirimu yang terbaik.

Beza antara kita : Saya melihat dedaun kering itu sungguh indah dan menimbulkan satu fragmen yang dramatik dan melankolik. Kamu jawab, “sampah pun cantik?” –> betapa bezanya kita. Namun, kita masih boleh berkawan. Kerana dalam proses berkawan, perbezaan melengkapi persamaan.

Itu status yang saya buat di ruang Facebook saya hari ini. Memikirkan kawan.

Ya…semua tentang kawan. Kerana hidup ini dipenuhi dengan kawan. Penuh.

Jika tidak berkawan, tidak pula saya anggap kamu sebagai lawan.

KOMA

Status itu untuk seorang kawan yang benar-benar berbeza pemikirannya dengan saya. Saya mencongak-congak, adakah persamaan antara kami?

Bahasa, ya. Namun, dia tidak pandai bersastera dan berbahasa yang manis dan elok. Itu katanya. Maka saya jawab begini, ‘asal kamu tahu berbahasa dengan waras dan wajar’.

Budaya, ya. Kerana dia Melayu dan saya juga Melayu dengan kedaerahan yang berbeza. Timur dengan Selatan tetaplah boleh berkawan selagimana budaya itu tidak merencatkan hubungan.

Kegemaran. Oh, kami punya kegemaran yang berbeza.

Dan pelbagai perkara lagi yang membuatkan kami ‘bagai bumi dengan langit’.

Namun, apalah perbezaan itu bagi saya.

Dia tetap kawan yang baik. Kerana dia punya adab yang tinggi.

KOMA

Ada status lain yang ingin saya tulis. Tentang seorang kawan yang lain yang saya sendiri tidak faham budaya, bahasa dan dirinya sendiri. Jika dipanjangkan ia akan jadi gaduh dan saling tidak puas hati.

Saya ingin sahaja mendiamkan segalanya. Saya ingin mewajarkan keadaan. Ingin berkata apa yang saya buat bukan kerana ego atau saya bertindak mengikut rasa sendiri. Malah apa yang saya lakukan hari itu tidak berkaitan dengan kisah-kisah kami yang lalu.  Dia dengan bangga mengatakan saya bodoh sombong, selalu buat silap dan tidak meminta maaf.

Saya, mahu dia senaraikan perbuatan saya yang manakah yang salah dan perlu memohon maaf darinya.

Mari saya ceritakan satu kisah :

Keluarga saya selalu mengunjungi sanak saudara. Semasa berkunjung, kadang abah bawa jiran atau kawannya untuk memandu. Semasa tiba di rumah sanak saudara, perkara pertama yang kami lalui ialah budaya bersalam-salaman. Saya kagum dengan itu. Salam adalah permulaan silaturrahim.

Malahan, ‘orang luar’ yang kami bawa, akan disalami. Alasannya, “adab kita orang Melayu menyalami sesiapa sahaja yang berada dekat dengan diri.”

Biarpun orang yang disalami tidak dikenali atau tidak disukai, jabatan tangan tetap ada.

Kisah yang berlaku antara kita :

Saya datang bersama keluarga untuk bertemu dengan kamu. Saya datang kepada kamu dan menyerahkan barang yang mahu dipinjamkan.

Yang saya kesalkan di sini (yang menjadi suatu hal yang tidak kamu fahami dan apatah lagi saya), kamu tidak bertemu dengan keluarga saya yang menghantar saya bertemu dengan kamu. Kamu tidak menyalami ataupun memberi senyum mesra. Sekurang-kurangnya angkatlah tangan tanda sapaan.

Kamu fikirlah, berbeza bagaimanapun kita, saya tidak boleh terima jika kawan saya tidak beradab.

Oh ya, yang mengatakan kamu tidak beradab bukan saya. Tetapi orang yang tersinggung dengan ‘adab tinggi’ yang kamu tunjukkan. Katanya, ‘semacam benar kawan awak itu.” dan alasan saya, awak sibuk dan tergesa sehingga tidak sempat bertemu dengan keluarga saya. Jawab keluarga saya, “untuk tunjukkan adab, tidak perlu masa yang lama.”

Kamu ada buat salahkah kepadanya?

Atau apa?

Saya tidak nampak alasan apapun di situ.

Maaf. Ini penjelasan buat kamu yang nampaknya tidak faham apa yang berlaku. Dan dengan bongkak (bukan bodoh sombong), masih menyalahkan saya.

Sekarang, kamu tentu sudah faham. Ia bukan hal kecil.

Dan sudah-sudahlah. Jangan seperti tidak faham dan buat-buat tidak tahu.

Burung, benar-benarkah ia akan pulang ke dahan yang pernah dihinggapinya?

Atau memang ia akan pulang, cumanya dahan itu sudah tiada untuk dihinggapi.

KOMA

Semalam, mesyuarat di pejabat. Dan agendanya ialah menyatakan masalah yang dihadapi. Masing-masing menyatakan masalah perjawatan. Dan saya menyatakan masalah selainnya.

Mengimbau detik-detik ketika mula-mula masuk kerja, sehingga kekecewaan dan konflik yang dihadapi sehingga suara terketar.

Ia umpama membaca semula blog ini.

Dan sejarah-sejarah lama saya imbau melalui blog ini. Kerana dahulu, blog ini merupakan tempat saya membuang resah. Membuang marah. Blog ini juga menyimpan segala rasa dan cerita yang boleh saya semak semula.

Oh, rupanya banyak kisah yang berulang di sini. Banyak juga resah yang sama berulang-ulang. Ia memperlihatkan diri dua tiga tahun kebelakangan ini. Betapa, ia tergambar dengan teliti dan membentuk diri di sisi yang lain.

Ada azam yang masih tersimpan kemas. Ada impian yang sudah tuntas bertunas. Ada juga harapan yang tinggal harapan. Itu lumrah kehidupan. Dan saya belajar dari kesilapan.

KOMA

Terkesima seketika apabila seorang kawan pejabat menyatakan, “kita terlalu berharap sesuatu yang kita mahu di sini. Sepatutnya, kita ambil apa yang ada di sini untuk kita pelajari dan ambil iktibar.”

Ya, ia sama seperti “apa yang paling kita mahu, itulah yang tidak akan kita dapat.”

Kerana, Tuhan lebih tahu mana yang terbaik buat hamba-Nya.

Ya, saya pulang, melihat semula apa yang pernah saya mahukan. Dan apa yang telah saya tinggalkan.

Setiap nafas yang berlingkar dengan urat dan bertemu di sendi adalah fikiran dan hati yang saling tegah-menegah. Ada rasa yang saling bertingkah. Adalah pilihan yang saling memilih.

KOMA

Semakin umur kita meningkat, semakin banyak pilihan harus kita buat.

Tidak juga. Semasa kecil sedari kanak-kanak yang tidak perlu keluar bekerja, yang tidak perlu runsing memikirkan harga rumah yang naik, tol di sana-sini, minyak kereta dan perbelanjaan harian juga..masih banyak perkara yang berlegar di fikiran mereka.

Kanak-kanak atau orang dewasa sama-sama punya banyak masalah dan konflik yang harus mereka fikirkan.

KOMA

“Amat kelakar apabila awak meminta saya berbaik dengan dia, sedangkan saya tidak pernah rasa yang saya bergaduh dengan dia.” Itu kata saya dalam hati.

Kadang, kita perlu tangani. Jangan abaikan.

Salam Syawal kawan-kawan yang saya hargai.

[entri ‘warm-up’ setelah beberapa bulan mengabaikan blog]

Saya melihat sudut itu sesuai untuk saya mengambil gambar. Bersama seorang kawan, kami sama-sama menuju ke bahagian yang kelihatan hampir separuh tasik dengan dahan dan ranting kering yang menarik. Tiba-tiba pandangan saya tertempa kepada seorang pemancing ikan yang meminta saya berganjak dari kawasan itu dengan isyarat tangannya. Berkali-kali beliau meminta saya pergi dari situ dengan gaya tangan yang di gerak-gerakkan umpama mengibas nyamuk.

Dengan perasaan masih tertanya-tanya, saya dan kawan mula beredar.

Kami melalui kawasan pemancing yang membuat isyarat tangan tadi. Senyum berbalas senyum.

“Kawasan yang awak pergi tadi ada ular. Ular itu melalui sini dan terus menuju ke sana. Itu yang kami minta awak berdua beredar,” katanya.

Saya amat terkejut.

KOMA

Dalam kehidupan, yang saya lihat mungkin sahaja bukan pada masa kini, malah telah berlangsung sejak manusia diciptakan, terjadi hal yang sama.

Di antara kepentingan sendiri dengan kepentingan yang lain, sering menimbulkan konflik.

Kita mahu yang baik-baik untuk orang lain, tetapi tidak mahu pula melibatkan diri dan kepentingan kita.

Kita mahu masalah itu segera selesai. Namun, kita sendiri tidak bertindak. Apatah lagi jika ia melibatkan diri sendiri yang akan kerugian atau terkesan dengan hal tersebut.

Hal ini jelas kepada sesiapa juga. Paling nyata, berlaku kepada mereka yang mempunyai kuasa. Pemimpin.

Mahu memberikan yang terbaik buat rakyat, sedang diri juga tidak mahu terkena tempias rugi.

Contoh jelas : Mahu mengurangkan tabiat merokok, minum arak dan berjudi di kalangan rakyat. Tetapi kerajaan tidak pula mahu menyekat kemasukan anasir-anasir tersebut.

Barangkali, begitu sehingga kita seakhirnya diam.

Kamu menang. Saya juga tidak kalah.

KOMA

“Teruk betul mereka itu. Ini soal nyawa. Ular. Apalah salahnya jbersuara sedikit, bahawa di tempat kita tadi ada ular. Sanggup guna bahasa isyarat meminta kita beredar, tanpa suara. Agar kerja-kerja memancing mereka tidak terganggu,” kata saya kepada kawan itu.

Dia hanya diam. Barangkali memikirkan kata-kata-kata saya.

Dan saya juga memikirkan hal tadi berkali-kali.

Kamu menang. Saya pula, tidak kalah.

Assalamualaikum, kawan.

Apa khabar kamu di sana? Sudah serasikah dengan tempat barumu?

Saya di sini biasa-biasa sahaja. Seperti janji kita dahulu. Supaya saya jangan sedih-sedih dan kamu juga jangan kekok memulakan hari barumu di sana.

Angin di sini masih seperti selalu. Kadang hembusannya kencang menerbangkan sebahagian rambut di sisi kening. Kadang ia lesu berhembus sehingga tidak terasa hadirnya.

Mentari juga, kadang ia panas. Memberi harapan dan segunung impian. Tiba-tiba pula ia menghilang.

Hujan yang dahulunya saya kagumi sehingga leka berteleku di jendela, juga hadir kadangkala. Mungkin rindukan kamu yang juga suka pada titits-titisnya. Indah. Dan dari atas ini, kita bersedia dengan kamera, merakam gelagat manusia yang kadang bergembira dengan titis-titisnya dan kadangkala cemuh mencuka merasa sukarnya dengan kehadiran hujan.

Pelangi. Hari itu pelangi muncul. Tanpa sangsi. Mungkin mahu juga mewarnai hari kamu. Tapi, saya telah ceritakan hal sebenar kepadanya bahawa kamu tiada lagi di sini kawan. Pelangi tiba-tiba menghilang. Entahkan merajuk entahkan apa. Tidak pula dia mahu memikirkan saya yang turut mendamba warna-warninya.

Bulan. Ia indah seperti biasa. Apatah lagi dalam keadaan begini. Waktu begini. Mengambang penuh kerana ia memang waktu untuk sang bulan memancarkan cahayanya dengan gemilang. Kita merenung bulan yang sama walau dari tingkap yang berbeza.

Bintang masih begemerlapan seperti biasa. Menjadi selimut yang paling indah buat kita.

Awan-awan yang setiap hari melintasi langit kita, masih ada. Melintasi bumbung rumah kita dan tersenyum. Kadang saya rakam dalam kamera betapa indahnya awak-gemawan itu. Yang seringkali juga bermain-main dengan mentari. Sehingga kita yang di bawah ini sangsi sama ada mendung sedang berarak membawa hujan, ataupun mentari masih di sana, menyinar alam.

Pokok-pokok yang menghiasi laman taman kita, sudah besar mengikut aturan kejadiannya. Masa kamu pergi, pepohon bermacam jenis itu hanya separas dada. Kini, ia meningkat keparas bahu. Bermakna, agak lama juga kamu tiada di sini.

Apa lagi yang ingin saya khabarkan kawan?

Semua yang saya ceritakan masih di sini. Tanpa sangsi.

Auntie penjual surat khabar masih dipenjuru itu. Kedai mamak masih biasa-biasa. Bising dengan kecoh-riuh pengunjungnya. pasar malam meriah dan lelah. Surau dan masjid masih setia mengejutkan kita di kala subuh dan mengingatkan kita setiap lima waktunya. Burung-burung masih riang ke sana sini dan kadangkala meninggalkan ‘khazanah’ mereka di bumbung kereta kita.

Semua masih di sini. Dengan seri.

Semua masih begini. Tanpa kamu di sisi.

Yang Benar,

Zalila Isa

KOMA

Assalamualaikum, kawan.

Angin di sini, tidak sama seperti kelmarin.

Mentari hari ini sebenarnya tidak sama seperti semalam.

Hujan dingin. Pelangi tidak berwarna. Bulan suram. Bintang tiada gemerlapan. Awan berantakan. Pepohon tidak lagi menghijau.

Mereka yang hadir di sekeliling kita terasa tiada dalam ada.

Saya rasakan itu. Tanpa kamu.

Yang benar,

Kawanmu yang tertinggal di sini.