Burung, benar-benarkah ia akan pulang ke dahan yang pernah dihinggapinya?

Atau memang ia akan pulang, cumanya dahan itu sudah tiada untuk dihinggapi.

KOMA

Semalam, mesyuarat di pejabat. Dan agendanya ialah menyatakan masalah yang dihadapi. Masing-masing menyatakan masalah perjawatan. Dan saya menyatakan masalah selainnya.

Mengimbau detik-detik ketika mula-mula masuk kerja, sehingga kekecewaan dan konflik yang dihadapi sehingga suara terketar.

Ia umpama membaca semula blog ini.

Dan sejarah-sejarah lama saya imbau melalui blog ini. Kerana dahulu, blog ini merupakan tempat saya membuang resah. Membuang marah. Blog ini juga menyimpan segala rasa dan cerita yang boleh saya semak semula.

Oh, rupanya banyak kisah yang berulang di sini. Banyak juga resah yang sama berulang-ulang. Ia memperlihatkan diri dua tiga tahun kebelakangan ini. Betapa, ia tergambar dengan teliti dan membentuk diri di sisi yang lain.

Ada azam yang masih tersimpan kemas. Ada impian yang sudah tuntas bertunas. Ada juga harapan yang tinggal harapan. Itu lumrah kehidupan. Dan saya belajar dari kesilapan.

KOMA

Terkesima seketika apabila seorang kawan pejabat menyatakan, “kita terlalu berharap sesuatu yang kita mahu di sini. Sepatutnya, kita ambil apa yang ada di sini untuk kita pelajari dan ambil iktibar.”

Ya, ia sama seperti “apa yang paling kita mahu, itulah yang tidak akan kita dapat.”

Kerana, Tuhan lebih tahu mana yang terbaik buat hamba-Nya.

Ya, saya pulang, melihat semula apa yang pernah saya mahukan. Dan apa yang telah saya tinggalkan.

“Abah, papan lama ini boleh buat kayu api ni. Ambil ya, bah?” tanya saya kepada abah apabila melihat sudut di halaman rumah kami penuh dengan papan-papan dan kayu yang digunakan oleh abah ketika membuat rumah orang. Berlonggok dan semak.

“Nak buat apa?” tanya abah tanpa menoleh kepada saya.

Saya pun mencari-cari alasan. Untuk membersihkan halaman dan menyahkan papan-papan tersebut dari pandangan mata. Barang abah, jika sudah berkulat sekalipun, perlu tanya kepadanya untuk diubah tempat atau dibuang. Abah garang. Barang yang dicari tak dijumpai, habislah kami, satu rumah kena bebel.

“Buat kayu api lah. Boleh bakar ubi. Bakar lemang ke. Atau bakar saja-saja,” jawab saya.

Abah pandang saya. Katanya, “papan itu sudah lama di situ. Hati-hati ketika mengangkatnya. Bimbang ada musuh tersembunyi di bawahnya. Ular, semut, anai-anai, kala jengking. Haih…macam-macm lagilah.”

Sambung abah lagi, “kalau nak bakar, bakar sahajalah. Tak perlu cari alasan mahu memanggang ubi segala bagai. Lagipun papan tersebut hampir reput. Lemau. Tidak memberi kesan yang baik kepada makanan yang dipanggang.”

Saya diam. Diam kerana binatang-binatang yang abah sebutkan itu menggugat keberanian dan semangat mahu membersihkan halaman. Diam, kerana abah tahu tentang papan dan kayu yang lemau dan kesan kepada yang lain.

KOMA

Saya, dan minggu ini bagai api.

Api yang menyala. Nengan nyalaan raksasa. Gagah dan panas. Baunya sangat panas. Semangat.

Bahan yang membuatkan ia berapi juga tak kurang hebat. Masih segar, baharu dan tidak lemau.

Saya, sedang mengumpul bahan api ini. Tidak kiralah ia kayu atau apa-apa sahaja. Dan tidak mahu bahan ini lemau sebelum api menyala.

KOMA

Minggu ini. Minggu kayu dan api.

Kuliah budaya, teater, puisi, cerpen, gambar dan sebagainya.

Tapi mampukah saya menghidupkan api itu dan menghangatkan yang lain dengan nyalaan yang baik?

Pesan diri, jika sudah dapat kayunya, teruslah nyalakan api. Biar ia membakar dengan gagah. Jika lewat dan lewat, maka kayu tersebut akan lemau dan tidak mampu menyalakan api walau sekecil api mancis. Juga jika lewat, kayu tersebut akan menyimpan musuh yang bakal memadamkan segala api yang menyala.

dia

“Saya sedih sedikit pagi ini,” katanya memulakan ruang bicara maya kami.

“Mengapa?” tanya saya.

“Seorang jurugambar di tempat saya, datang ke meja saya. Dia kata ‘bulan ini kita main ping pong puas-puas‘. Saya tanya ‘kenapa‘. Dia menunjukkan surat tidak diperbaharui kontrak kerja,” jawab dia.

Sambung dia lagi, “saya fikir kenapa dia? Kerja dia bagus.”

“Mungkin bukan itu pertimbangan bagi ‘mereka’ yang membuat keputusan.” Saya berkata kepadanya dengan hati yang agak pedih juga sebenarnya.

Dan selepas itu perbualan kami tentang hal-hal yang kami fikir tidak sepatutnya berlaku, tetapi selalu berlaku. Sesuatu yang memisahkan hubungan majikan dan pekerja. Ada konflik di situ. Mungkin.

KOMA

“Saya fikir mahu berhenti kerja.” Itu dialog yang selalu benar saya ungkapkan kepada kawan-kawan dan sesiapa sahaja. Berulang.

“Habis itu, apa pula perancangan kamu?” tanya mereka.

Dan segala hal yang saya sendiri tidak pasti mampu melaksanakannya akan saya hamburkan. Saya mahu buat itu, buat ini dan macam-macam lagi.

Kedudukan saya di sini [ruang kerja ini] sudah selesa. Maksud saya tiada ancaman atau kemungkinan dibuang kerja selagi saya tidak melanggar peraturan dan hal-hal etika seorang pekerja.

Namun, saya masih beranggapan, apa yang saya lakukan tidak begitu memuaskan jiwa. Maksud saya, saya tidak begitu menghargai peluang kerjaya ini atas desakan-desakan kecil yang bila orang dengar akan kata, “eleh, itupun nak bising“.

“Kawan tadi bagaimana?” tanya saya kepada dia sekadar ingin tahu reaksi kawannya menerima surat ‘tidak disambung kontrak’ itu.

“Entah. Tidak nampak. Dia di kubikel sana,” jawabnya.

KOMA

Saya pernah menerima surat yang sama. Tiga tahun lalu, semasa di menara itu. Saya faham bagaimana rasanya apabila sesuatu yang tidak kita jangka, berlaku. Kalaupun kita jangka, ia tidak kita inginkan.

Mengapa dia? Mengapa saya? Mengapa tidak dia, atau dia?

Itu persoalan yang takkan Tuhan beri jawapannya, tanpa kamu berfikir bahawa setiap yang ditakdirkan ada ceritanya.

Jika kamu positif, ceritanya akan baik.

Jika kamu negatif, ceritanya akan pedih.

KOMA

Saya, belajarlah mensyukuri peluang yang ada dan ruang yang diberikan. Selagi hidup.

Meletak diri di sana, di tempat mereka yang ruang hidupnya [barangkali], direnggut walaupun secara perlahan, tidak pernah saya terbayangkan. Walaupun dalam keangkuhan, ada juga benak berkata,

“Saya tidak teruja bekerja di sini. Buanglah saya. Saya mampu hidup tanpa kerja ini”.

Aduhai Tuhan, usah dengar dan makbulkan kata-kata dan rungutan dari orang yang alpa itu.

Saya alpa dalam meletak diri di tempat mereka yang kehilangan nikmat.

shrek_013

“Kenapa guna gambar ini?” tanya dia.

“Saja. Mual dengan gambar-gambar yang saya ambil dengan kamera sendiri,” jawab saya.

“Mual? Mana mungkin seorang jurugambar mual dengan kamera dan gambarnya sendiri.” Katanya terkejut sungguh.

“Ala, sementara sahaja,” jawab saya.

KOMA

Mana mungkin jika kamu seorang petani, maka kamu akan bosan dengan cangkul-sabit.

Mana mungkin jika kamu seorang guru, maka kamu akan menghindar sekolah.

Mana mungkin jika kamu seorang juruteknik komputer, maka kamu bencikan komputer.

Mana mungkin jika kamu seorang tukang masak, maka kamu meluat dengan kuali.

Mana mungkin.

KOMA

24 jam. Tepat. [ Saya menghindar daripada kebiasaan.]

Mana mungkin saya mengelak jari-jemari mengetuk papan kekunci.

Mana mungkin saya menahan otak untuk berfikir tentang artikel dan penulisan .

Mana mungkin saya tidak mengepit buku atau apa jua bahan bacaan.

Mana mungkin saya tidak meluah rasa di blog ini.

[Bangkitlah…janji kepada encik bos tidak tertunai. Janji kepada PEN bagaimana pula?]

tree1“Esok malas la nak kerja. Bosan!” katanya ringkas.

“Suka hati kamu. Jangan sampai kamu termasuk dalam  jumlah 4,749 orang pekerja akan diberhentikan tahun ini,” jawab temannya sambil mengunyah kacang.

KOMA

Timbalan Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Yang Berhormat Tuan Haji Shabudin Yahaya, dalam satu kursus yang diadakan baru-baru ini, menjelaskan terdapat ‘pengangguran tidak ketara’ yang sering berlaku sehingga sesebuah organisasi dilihat tidak produktif.

Pengangguran tidak ketara ini juga dianalogikan sebagai pekerja berbudaya ‘Camel Trophy’, ‘Malboro’ dan ‘Salem High Country’. Kedengaran agak melucukan tetapi itulah hakikatnya. Budaya ini disamakan dengan sikap suka berjalan atau merayau-rayau ke meja kerja rakan pejabat yang lain, mengumpat dan memperkatakan tentang rakan sepejabat yang lain serta ada juga pekerja yang mengambil sikap endah tak endah dengan persekitarannya (tidak ambil tahu hal orang lain).

Dalam ertikata yang lain, berlaku ‘pengangguran tidak ketara’ walaupun bergelar pekerja.

Menurut beliau lagi, pekerja begini selalunya tidak akan ambil kisah dengan hadis nabi yang bermaksud;

“Rebutlah lima perkara sebelum datangnya lima perkara.iaitu masa sihat sebelum sakit, masa kaya sebelum datangnya masa sempit (miskin), masa lapang sebelum tiba masa sibuk, masa mudamu sebelum datang masa tua, dan masa hidup sebelum tiba masa mati.” (riwayat al-Hakim dan al-Baihaqi).

BACA SETERUSNYA…

rumah

Ini bukan gambar yang Salina ambil


“Tengok gambar hasil daripada lens kamu,” sapa Salina melalui ruang maya itu.

“Ini bukan hal lens yang mencantikkan gambar yang kamu ambil. Lens itu, bila jatuh ke tangan orang yang hebat seperti kamu maka hasilnya juga hebat,” balas saya mengagumi gambarnya dan merintih pada diri yang masih tidak tekal pada minat dan bakat sendiri.

KOMA

Dia, seorang Yang Berhormat (YB). Menjadi orang yang paling berpengaruh di tempat saya bekerja [menurut hemat saya].

Semalam, dan sebetulnya sama seperti hari-hari sebelumnya, dia menyuntik rasa kesepaduan antara kami. Pandangan hidupnya bermakna buat saya dan kakitangan yang lain.

Beberapa tahun lalu dia pernah menyarankan kod etika berpakaian bagi wanita agar tidak mengalami gangguan seksual. Cadangannya dibantah oleh rakan seperjuangannya sendiri yang mungkin juga suka seksualnya diganggu. Alasan mereka yang menolak kod etika berpakaian itu sangat dangkal.

Ada beberapa berita tentangnya yang agak kurang sedap di dengar. Mungkin permainan politik dan juga kedunguan ‘sang’ wartawan menyampaikan berita.

Semalam, saya dan juga mungkin kawan-kawan yang lain perasan, antara dia dengan yang lain-lain, siapa yang menjadikan kami sebagai bahan teknologi dan siapa pula antara dia dengan yang lain-lain menjadikan kami sebahagian daripada ‘world view‘ untuk melaksanakan tugas dengan sebaiknya.

Saya kagum dengan YB yang seorang ini.

KOMA

“Malam ini, di televisyen ada cerita apa ya?” tanya dia yang punya aura seperti Bayu Adi Jata.

“Entah, mungkin Desperate Housewife,” jawab saya yang tidak punya aura Ariasha Cinta Castra.

KOMA

Malam tadi saya menonton sebuah dokumentari di Animal Planet. Tentang monyet yang dilatih untuk memetik kelapa. Lokasi di Sumatera.

Saya kagum. Bukan dengan isu yang dipaparkan tetapi cara ia digarap. Mungkin faktor teknologi yang kita tahu bangsa yang membuatnya itu sangat bijak dan berinovasi. Sudut merakam gambar yang baik, kesinambungan antara babak dan juga beberapa hal lain yang tidak mungkin saya jelaskan melalui bahasa ‘filem’ atau bahasa ‘penggambaran’.

Saya kagum. Saya pasti bukan teknologi semata yang menghasilkan sesuatu yang baik untuk tatapan dan pengetahuan. Ini bertitik tolak daripada world view orang yang merakamkannya.

Ini  kerana televisyen tempatan [yang bertaraf swasta] di sini juga pernah membuat liputan atau dokumentari isu yang sama. Tentang monyet yang dilatih memetik kelapa dan menjadi rakan paling baik kepada manusia, jika betul didikannya. Tapi paparannya tidak sebaik ini [yang saya tonton malam tadi]. Padahal orang yang membuat liputan dengan isu yang mahu dipaparkan adalah dari benua yang sama. Asia.

Kita perlu teknologi. Kita perlu pandangan hidup dengan acuan kita sendiri. Mungkin.

*Selamat menyambut ulangtahun kelahiran encik Bayu Adi jata.

“Tersentuh tak?” tanya saya kepada encik bos ketika menonton video klip ini.

“Hishh…budget besar ni,” jawabnya.

Saya pandang encik bos. Ternyata dalam banyak persamaan kami tetap berbeza. Apabila dia berbicara tentang teknik dalam sesebuah penggambaran filem atau video, saya bercerita tentang nilai yang terkandung di dalamnya. Tapi kami masih boleh bekerja bersama-sama.

Begitu juga hal-hal lain.

Kadangkala kita sengaja membesar-besarkan sesuatu hal seolah-olah wujud satu perbezaan yang besar dan tidak boleh disatukan lagi. Padahal ia tetap sama.

KOMA

Setiakawan.

Ia masih boleh diteruskan walaupun kamu sudah berpangkat dan tangga gaji kamu lebih tinggi dari kawan kamu. Nilai setiakawan tak akan mati jika kamu mahu memeliharanya.

Tahniah kepada kawan-kawan yang naik ke satu tingkat.

KOMA

Video klip di atas sangat menyentuh. Inspirasi. Saya temui di dalam blog ini.

Ia mengingatkan saya kepada bahasa isyarat yang telah saya pelajari suatu ketika dahulu. Juga mengingatkan saya pada dendam yang saya pegang sehingga membentuk diri saya pada hari ini. Terima kasih kepada penyumbang duka. Kerana duka dan tangis yang lahir dari perbuatan kamu, saya berjaya capai impian saya.

Jika saya tidak diuji oleh tuhan sedemikian rupa, sudah pasti saya bukan seperti saya pada hari ini.

Benarkah duka dan tangis menyumbang banyak pengalaman untuk hidup berbanding tawa gembira?

Kerana isu ini, saya terlupa tentang encik D80 saya, cik Apple dan beberapa buku baru yang masih kesejukan kerana berbogel. “Liwat”, escapisme yang berbaloi untuk lupakan hal-hal lain.

Seperti biasa, masa kini, blog menjadi wadah terbaik dalam menyebar, mencungkil, menyiasat, memapar dan menggembar-gemburkan isu-isu semasa negara terutama yang berkaitan politik.

Buktinya, lihat sahaja dua tiga hari ini, laman utama (versi tempatan) wordpress diungguli dengan entri tentang kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim (DSAI).

Saya masih membaca dan membaca. Sedikit penilaian dan sedikit pendapat belum tentu mampu mengubah persepsi orang lain. Tapi saya percaya, kes kali ini bukan mudah seperti yang pernah terjadi sebelum ini. Percayalah, dengan kuasa yang semakin kuat ada pada rakyat, kes ini akan menjadi lebih rumit jika tidak diselesaikan dengan baik dan suci.

Maka secara mudahnya, saya terus membaca. Bukan kerana ia isu semasa yang boleh menyelewengkan fikiran saya dari memikirkan hal-hal kamera dan macbook yang belum saya terokai. Tetapi isu DSAI melibatkan percaturan antara kemanusiaan, moraliti dan politik.

Hasilnya ataupun kesudahannya yang bagaimana yang bakal dipaparkan kepada masyarakat secara umumnya dan generasi pelapis secara khasnya.

Memang benar, isu ini bagai fenomena. Seperti isu-isu lain yang bakal datang dan pergi. Bezanya, apa yang kita dapat dari fenomena itu? Serdak yang tidak memberi apa-apa kesan atau nilai yang memanusiakan diri sendiri.

Mudah kan? Ikut sahaja percaturan kemanusiaan dan moraliti yang pernah berlaku sebelum ini.

Begitu mudah sebagaimana mudahnya menyelesaikan masalah pengangguran dengan menuturkan kata;

“Itulah, lain kali baca NST, senang dapat kerja!”.

 0711290646271in_step_with_mom.jpg

Kalau aku punya kuasa, aku nak tendang tren komuter tu ke dalam air terjun Niagra. Tapi kaki aku ada besi, dan pagi ini kaki aku sakit, kerana kasut tumit tinggi ini.

Tak perlu bagi kuasa yang besar-besar seperti watak-watak dalam drama bersiri heroes, cukuplah bagi aku kekuatan untuk bersuara dengan lantang sehingga sesiapa yang mendengar akan mengikut kata-kata aku;

“hoiiiiiiii, dah penuh laaa, takkan nak tolak-tolak dan himpit-himpit lagi. Akal kau kat mana kau campakkan? Tunggu tren seterusnya!”

Kalau aku punya kuasa, aku ambil mikrofon dari tangan dia, Yang diPertua. Aku akan berdiri di hadapan mereka, kawan-kawan sepejabatku. Tegak dan yakin. Mungkin juga aku akan hiasi wajah dengan keletihan dan sesak nafas yang masih belum hilang.

Tak perlu kuasa besar-besar seperti spiderman atau superman. Cukuplah beri aku peluang untuk menerangkan kepada mereka kenapa aku lambat hadir ke perhimpunan bulanan hari ini.

 

Selamat Hari Raya bagi teman-teman yang masih berselimutkan CUTI HARI RAYA

12 hari merupakan cuti paling lama saya ambil untuk meraikan hari raya. Akibatnya saya menyesal, kerana terlalu bosan, penat, dan letih memikirkan jadual kerja yang bertangguh.

Hari ini saya mula bekerja.

Pagi dimulakan dengan solat subuh. Alhamdulillah. Hujan turun agak lebat. Alhamdulillah, bukankah itu rahmat yang kita sendiri malas nak cari apa rahmatnya.

hujan.jpg

Hujan itu melecehkan bagi manusia yang tak berfikir panjang seperti saya.

Mandi : sejuk. Lepas mandi keringkan badan dengan tuala cepat-cepat sebab sejuk sangat, tak sempat nak lumur badan ngan losyen sebab cepat-cepat sarung baju.

Baju : nipis, so kena solek cepat-cepat sebab sejuk.

Bersolek : pakai lipstik dan maskara cepat-cepat sebab baju kurung yang dipakai agak nipis, sejuk. Lipstik comot, maskara serabai. Alahai…. kan bagus kalau jadi lelaki saat begini, tak perlu bersolek.

Hujan : lecak, becah, lecah [air hujan yang bertakung]. Kasut agak basah memijak lecak di mana-mana, kain baju kurung diangkat paras betis supaya kain tak menyapu lantai/jalan yang basah.

Komuter : LAMBAT je memanjang. Selalu kalau tak hujan, 7.33 pagi masih sempat berlari sampai pejabat dari KTM KL. Tapi, kerana hujan, langkah kaki agak perlahan sambil menjinjit kain yang menyapu lecak, dan tangan kanan memegang payung.

8.09 pagi : LEWAT.

Meja kerja masih sama. Cuma kerja agak banyak. Artikel untuk bulan ni cuma satu je yang sudah dihantar. Minggu ni nak buat lagi dua atau tiga cukupkan kuota. Sempat ke?

Oleh kerana minggu lepas kerani dari Dewan Bahasa dan Pustaka telefon, maka, surat tawaran ke simposium anjuran DBP, saya cari dulu. Jumaat ini saya akan ke Kuantan untuk menghadiri simposium itu.

Buka komputer. Buka blog yang dirindui…Aduhai, banyaknya komen dari pengunjung. PENING, bila masih ada yang pertikaikan isu Lagu Rasa Sayang.

Buka e-surat. PENING, banyaknya email.

Buka blog balik, balas komen apa yang patut. Jenguk blog kawan-kawan [yang terpilih] dan tulis entri baru untuk blog ini.

Puasa sebulan mengajar saya supaya tak perlu sarapan pagi. Patut la saya lapar sangat, saya belum sarapan lagi.

Tarik nafas, hembus perlahan. Buat tiga kali.

Itu yang saya pernah dengar dari pakar motivasi Datuk Fadzillah Kamsah.

OK, saya nak pergi minum dulu, dan kemudian merancang apa yang harus saya dahulukan untuk minggu ini.

*Aduhai….buku diari harian tertinggal….

Dua tiga minggu ni kepala saya pening! Selain pening kerana kerja di pejabat yang tak berapa banyak, saya juga pening memikirkan hala tuju dan masa depan adik-adik saya untuk memilih kerjaya mereka.

1. Ita – lepasan STPM aliran perdagangan dan ekonomi, STPM 4p (1A 3B).

2. Ijal – lepasan SPM aliran sains tulen.

Saya tanya diorang nak jadi apa? Mereka kata ‘tak tahu’! terlalu banyak kursus yang ditawarkan dan mereka pening nak pilih yang mana satu. Camna tak pening, cita-cita pun tak jelas.

misi.gif

Saya cadangkan ita memohon kursus “buissnes management” kat UM dan kursus kejururawatan. Yang lelaki lak saya cadang (dan dia dah apply) kursus diploma kejuruteraan awam/ mekanikal.

cikgu-cun.jpg

Tapi saya nak Ita jadi cikgu je. Dan Ijal ambik teknologi animasi. Alasannya :

1. Saya bercadang nak bukak TASKA atau pusat tuisyen, jadi boleh la ambil cikgu free ..hikhikhikhik

2. Saya minat sesangat tengok filem animasi. Kalau adik saya masuk bidang ni saya boleh tumpang sekaki bagi idea sebab di  kepala saya ni banyak idea tentang animasi walaupun saya bukan pakar IT.

Berdasarkan potensi semasa dan kehendak bidang pekerjaan, kursus apakah yang paling sesuai dan diperlukan sesangat masa kini ek?