PULANG ke kampung sekali-sekala dalam keadaan yang tenang dan tidak terkejar-kejar amat menyelesakan. Apatah lagi keadaan jalan raya yang tidak begitu sesak, memang benar-benar membuatkan ‘mood’ dalam keadaan stabil. Perjalanan yang mengambil masa lebih kurang dua jam dirasakan begitu cepat. Eh, dah sampai pun!Sebenarnya istilah ‘balik kampung’ bagi penulis bukanlah istimewa sangat. Tidak bermakna juga penulis tidak seronok pulang ke kampung. Memang seronok. Apatah lagi sebulan sekali baru ada kesempatan menjenguk keluarga di kampung. Suasana kampung penulis tidak banyak berubah seperti bulan-bulan lepas, tahun-tahun lepas. Memang tidak banyak berubah. Rumah-rumah yang di bina berjajaran, kedai-kedai yang berpusat dan dikelilingi oleh pohon-pohon getah yang menghijau. Kenderaan yang tidak banyak. Kalau ada perubahan pun hanyalah bangunan sekolah, masjid, klinik, dewan orang ramai, pejabat pengurusan Felda dan pusat pengumpulan getah yang mungkin semakin besar dan cantik.Walau bagaimanapun, sesekali perasaan bangga menyelit di hati. Rancangan penempatan yang dilaksanakan oleh kerajaan Malaysia sejak awal pelaksanaan tanah rancangan di bawah pengurusan Felda pada tahun 1956, memang benar-benar berjaya mengubah taraf sosio-ekonomi masyarakat Melayu. Rumah-rumah peneroka yang dahulunya hanya ‘satu bentuk’ sudah jarang kelihatan.Kini, memasuki kawasan Felda seolah-olah berada dalam kawasan ‘elit’. Rumah pelbagai bentuk dan saiz kelihatan di sepanjang jalan. Satu lot kebun seluas lebih kurang 10 ekar dan lot kediaman seluas lebih kurang suku ekar yang disediakan oleh kerajaan memang benar-benar mencukupi jika dimanfaatkan sepenuhnya. Malah, tidak keterlaluan rasanya menilai peneroka Felda ‘lebih kaya’ daripada mereka yang bekerja di bandar dan makan gaji.Jalan raya juga semakin cantik dan lebar berturap. Tidak seperti 24 tahun yang lepas, ketika keluarga penulis mula-mula sampai di tanah rancangan ini. Jalan raya hanya boleh memuatkan sebuah kereta dan tidak berturap, hanya batu-batu merah yang kecil menghiasi jalan – jika panas, debu yang berterbangan boleh membuatkan penghidap asma masuk hospital kerana sesak nafas. Jika hujan, lecak yang terhasil begitu merah sehingga membuatkan penulis membasuh kasut sekolah lebih dari tiga kali cucian. Yang menariknya, batu-batu merah yang menghiasi jalan raya ini sangat sesuai dijadikan ‘buah’ untuk permainan ‘batu seremban’ dan juga ‘congkak tanah’.Sesekali melontar pandangan pada perubahan-perubahan ‘kecil’ itu, hati penulis berdetik lagi, tanah ini sebenarnya semakin gersang! Gersang bukan kerana tiada pembangunan yang mega tetapi gersang kerana perkembangan sosial yang melanda anak-anak Felda masa kini. Rumah sahaja nampak ‘elit’. Tingkahlaku segelintir anak-anak peneroka Felda (merujuk tepat kepada anak-anak peneroka di kampung penulis) amat memualkan. Jika dulu penulis cukup berbangga mengaku diri sebagai anak peneroka Felda. Orang pasti kagum dengan pencapaian anak peneroka Felda yang membanggakan. Apatah lagi pada masa itu, tidak ramai anak Felda yang dapat melanjutkan pelajaran sehingga ke menara gading.

Sekolah Agama yang terletak bersebelahan masjid tidak terjaga sebaiknya. Pintu sekolah pecah, pagar terkuak, kerusi meja gelimpangan. Persoalan yang menerjah di fikiran penulis adalah berkisar tanggungjawab yang dimainkan oleh ustaz-ustazah dan masyarakat sekeliling.

Dewan Gerakan Persatuan Wanita dan Belia yang besar dan cantik menjadi tempat belia Felda melepak-lepak, menghisap rokok, ketawa bagai nak rak, mengganggu orang yang lalu lalang di jalan utama tidak mengira azan yang berkumandang dari masjid yang berhampiran. Pemandangan ini sudah pasti menyayat hati penulis kerana pada zaman penulis dahulu, jarang kelihatan belia melepak tanpa rasa malu pada orang yang lalu lalang.

Sesampainya di rumah, penulis menarik nafas lega. Lega kerana untuk seketika fikiran tak berkecamuk dengan persoalan-persoalan yang sukar untuk dijawab. Suasana di rumah agak riuh dengan perbualan-perbualan lazim. Setelah berehat seketika, pendengaran penulis dikejutkan dengan bunyi yang agak bising datangnya daripada jalan raya di hadapan rumah yang jaraknya tak sampai 50 meter. Kecoh dan riuh dengan bunyi motosikal dan juga bunyi riuh rendah gelak ketawa penunggangnya.

Perasaan ingin tahu kuat menerjah di benak. Lalu penulis mengintai dari tingkap semata-mata ingin berkongsi ‘kemeriahan’ yang mengganggu suasana tenang petang itu. Melalui celahan tingkap, kelihatan beberapa orang belia (anak peneroka – generasi kedua peneroka Felda) sedang menunggang motosikal dengan bergayanya sambil membuat aksi-aksi ala mat rempit. Dua tiga orang belia lagi sedang memerhati rakan belianya mempersembahkan bakat ‘merempit’ sambil pinggang dipeluk erat oleh beliawanis yang berpakaian seksi menampakkan sebahagian punggung dan pusat. Penulis diam tak terkata. Setelah kumpulan belia-beliawanis ‘berbakat’ tadi hilang dari pandangan, penulis masih terpaku di tingkap. Masih mencari-cari jawapan untuk soalan-soalan yang pelbagai yang baru menerjah ke fikiran.

Tidak sampai 10 minit, kedengan lagi bunyi beberapa buah motosikal. Walaupun tidak seriuh tadi, penulis tetap menunggu. Seperti yang diduga, ‘kumpulan’ kedua ini juga membawa cerita yang sama cuma pelakunya yang berbeza. Penunggang motosikal kali ini terdiri daripada beliawanis yang berpakaian ‘separuh buka separuh tutup’ (banyak terbuka daripada tertutup). Dengan kadar tunggangan yang perlahan, kumpulan ini kelihatan begitu gembira, tersengih-sengih sambil mengibar-ngibarkan rambut ala ‘rejoice’. Adik penulis yang tiba-tiba muncul di sebelah memberitahu bahawa mereka sedang ‘membuat pameran dan melelong’ diri. Mungkin kenyataan itu agak keterlaluan tapi itulah yang berlaku. Waktu siang mereka akan ‘round’ satu kawasan Felda manakala waktu malam pula mereka akan disorong ke sana ke mari oleh lelaki yang bukan sahaja dari kawasan yang sama malah ada yang datang dari kawasan luar. Aktivi yang dilakukan sudah pasti berteraskan maksiat. Yang menyedihkan, menurut adik penulis, mereka yang terlibat masih bersekolah malah ada yang telah mengandung walaupun baru berumur 13 tahun.

Penulis terdiam lagi. Masih bingung dengan peristiwa yang membongkar kegiatan belia Felda masa kini. Lebih dahsyat dari belia di bandar. Bukan sedikit kes-kes salah laku sosial dan jenayah yang melibatkan anak-anak peneroka Felda. Mungkin inilah salah satu kesan akibat ibu bapa yang terlalu liberal pada anak-anak. Memang bagus untuk bersikap liberal demi kemajuan pemikiran anak-anak namun sebagai masyarakat Melayu dan Malaysia yang pada asasnya beragama Islam, liberal itu ada batasnya terutama yang melibatkan akidah dan akhlak.

Tingkap dibiarkan terbuka. Tapi bukan untuk menyaksikan ragam-ragam belia-beliawanis Felda, cuma sekadar membiarkan angin petang bebas masuk menyegarkan ruang kediaman. Tiba-tiba wujud keinginan untuk meronda-ronda kawasan kampung yang lama ditinggalkan. Penulis berkereta meninjau kawasan sekeliling. Bukan mencari kelemahan atau keburukan. Sekadar melihat pengurusan Felda terhadap kawasan seliaannya.

Sebenarnya bukan sedikit usaha Felda dan kerajaan menaiktaraf pembangunan ekonomi dan sosial peneroka yang mendiaminya. Sejak tahun 1960, Felda atau Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan telah memegang peranan membuka kawasan tanah yang terpencil dan mengumpulkan serta menempatkan rakyat yang miskin (yang tidak bertanah) dalam satu kawasan yang dinamakan tanah rancangan Felda. Pemilihan peneroka juga tidak sebarangan. Hanya mereka yang berkelayakan yang dipilih untuk menetap dan mengerjakan tanah yang telah disediakan seluas lebih kurang 10 ekar yang ditanam dengan tanaman getah atau kelapa sawit. Walau bagaimanapun, kerajaan pusat telah menghentikan kemasukan peneroka di rancangan Felda melalui dasar yang diputuskan oleh Y.A.B. Perdana Menteri pada 26 Disember 1989 melalui memorandum Y.B. Menteri Kemajuan Tanah dan Kemajuan Wilayah. Keputusan ini dibuat untuk memberi perhatian yang serius kepada tanah rancangan Felda yang telah sedia ada.

Misi utama Felda membangunkan tanah rancangan dan menempatkan peneroka telah mencapai kejayaan yang membanggakan. Sehingga Julai 2004, seramai 70,00 peneroka daripada 103,156 keluarga peneroka telah menerima hakmilik masing-masing daripada Kerajaan Negeri. Kira-kira 30 % lagi sedang berusaha untuk menyelesaikan bayaran balik kos pembangunan dan akhirnya akan mendapat hak milik (sumber: http://www.felda.net.my)

Felda juga menyediakan pelbagai program untuk memenuhi matlamatnya meningkatkan taraf sosioekonomi dan kualiti hidup peneroka. Kepimpinan peneroka digerakkan melalui Jawatankuasa Kemajuan Rancangan (JKKR) dan Gerakan Perstuan Wanita (GPW). Walaupun peneroka telah diberikan tanah kebun untuk di usahakan, pendapatan yang diperolehi kadangkala tidak mencukupi. Oleh itu, Felda telah melaksanakan Projek Satu Wilayah Satu Industri (SAWARI) dan IKS-TANI agar bebanan ekonomi yang ditanggung dapat dikurangkan.

Bukan itu sahaja, beberapa skim juga diadakan bagi membantu aspek kewangan peneroka Felda seperti Skim Insentif Usahawan Felda, Skim Bantuan Aktiviti Pertanian Luar Bandar dan Bantuan Membesarkan Rumah Peneroka. Bagi anak-anak peneroka pula, Felda telah menyediakan Program Latihan Kemahiran dan Asrama Semai Bakti. Majlis Belia Felda Malaysia juga diwujudkan bagi meningkatkan kesejahteraan belia melalui kursus dan seminar-seminar yang dijalankan. Melalui program-program sebegini, pembinaan sahsiah dan disiplin yang sihat dapat diterapkan kepada belia Felda. Felda juga banyak membantu anak-anak peneroka melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih baik. Buktinya pihak kerajaan dan pengurusan Felda tidak teragak-agak untuk membiayai lebih daripada 12,000 anak peneroka ke Pusat Pengajian Tinggi Awam dan Swasta. Apa yang lebih membanggakan, seramai 69 anak peneroka telah mengikuti kursus Aircraft Maintenance Engineer dengan Malaysia Airlines System (MAS) dengan pembiayaan oleh Felda.

Setelah mencapai usia 50 tahun, Felda juga berhak berasa bangga dengan pencapaiannya hari ini dalam membantu peneroka Felda dan generasi pewarisnya terlibat dalam aktiviti ekonomi yang menguntungkan. Felda bukan sahaja berjaya dalam aspek pembangunan tanah dan perladangan malah telah mula meluaskan rangkuman ekonominya melalui penyelidikan R&D dan perniagaan.

Melalui Felda Herbal Corporation Sdn.Bhd.(FHC), Felda mula mengorak langkah dengan menceburi bidang perniagaan produk berasaskan Herba di bawah jenama BioFeld melalui kaedah jualan langsung berbilang tingkat atau Multi Level Marketing (MLM). Felda Agricultural Services pula menguruskan keperluan R&D dan bekerjasama dengan pihak-pihak lain untuk memperluaskan pemasaran dan penyelidikan produk berasaskan herba. Felda juga tidak ragu-ragu untuk membuka tanah yang akan menghasilkan tumbuh-tumbuhan herba.

Pembinaan Loji Janakuasa Biomass di Felda Sahabat, Sabah, yang mula beroperasi pada Oktober tahun 2006 juga merupakan hasil R&D yang boleh dibanggakan. Dengan kos RM38 juta, loji itu dapat menjana tenaga eletrik menggunakan 100% tandan sawit dan mempunyai kapasiti maksimum 7.5 megawatt. Selain berupaya mengurangkan kos melupuskan tandan kosong kelapa sawit, loji berkenaan juga lebih menjimatkan berbanding penggunaan jana kuasa diesel.

Mengenang kembali sejarah dan kemudahan yang telah disediakan oleh Felda membuatkan penulis tertanya-tanya. Adakah apa yang digariskan oleh Felda tidak kesampaian maksudnya ataupun ada halangan-halangan lain yang melanda sehingga segelintir belia Felda masih terkapai-kapai dalam aspek pendidikan dan juga terlibat dengan gejala negatif. Malah, terdapat juga peneroka yang masih berada di takuk lama. Rumah yang disediakan oleh Felda semakin daif dan anak-anak pula terlibat dengan gejala kurang sihat. Penulis menekankan kepada belia Felda memandangkan kemudahan, peluang dan prasarana yang disediakan oleh Felda memang menguntungkan bagi sesiapa yang bijak menggunakannya.

Setelah puas menyelongkar segenap ruang kawasan Felda ini, penulis singgah di sebuah kedai runcit yang telah wujud sejak berbelas tahun yang lalu. Pada masa itu, penulis baru berusia belasan tahun dan kedai runcit ini (masih bergelar runcit) menjadi tempat persinggahan penulis untuk membeli ‘jajan’ (snek ringan) dan gula-gula. Sekadar melihat-lihat dan membeli makanan ringan, penulis menjadi ragu seketika. Kebanyakan makanan ringan yang terdapat di kedai ini tidak mempunyai tanda halal yang disahkan oleh Jakim. Malah terdapat juga beberapa barangan keperluan rumah yang diragui kehalalannya. Menjenguk ke kedai sebelah dan dua tiga buah kedai sederet itu, memang jelas, masyarakat masih tidak mengambil berat soal halal-haram sesuatu produk. Jika tidak, mengapa produk seperti itu masih berleluasa dipasaran?

Penulis tidak mahu memanjangkan isu halal haram itu di dalam artikel ini. Mungkin artikel seterusnya akan membongkar isu halal-haram sesuatu produk yang dipasarkan di kawasan kampung-kampung.