ila-453.jpg

Mereka suka tonton Teletubbies

Semalam, ketika lengan masih membengkak, dan kepala masih pening menerima air dan darah baru, saya berusaha memujuk hati menonton sesuatu yang cuba saya ketepikan.

“hei kawan, awak wartawan, harus tahu every little things yang berlaku di sekeliling awak”, kata seorang teman yang bengang apabila saya tidak mahu membicarakan tentang dunia hiburan tanah air.

Every little things itu boleh sahaja ditukar kepada ‘ setiap perkara’.

“Ya, saya wartawan, tapi saya tidak boleh paksa hati untuk bercerita dengan banyak tentang dunia hiburan dengan terperinci”, saya jawab sambil lewa.

Tapi, malam tadi saya cuba paksa diri melupakan discovery channel semata-mata mahu membuktikan saya wartawan yang mengambil tahu tentang semua perkara.

Saya tonton Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2007 (ABPBH).

Sehabis buletin utama yang jarang-jarang saya percaya kebenarannya, saya duduk terpaku. Dengan keadaan badan yang lemah. Mungkin darah lama dan baru masih bermasam muka di dalam tubuh saya. Mungkin juga air yang baru dipaksa masuk belum boleh menstabilkan paru-paru saya ini.

ABPBH bermula dengan persembahan dari Datuk Siti Nurhaliza yang sangat merah. Menawan dan tetap menawan seperti selalu. Saya suka dia.

Sehabis persembahan merah itu, dua orang pengacara yang muncul memulakan majlis membuatkan saya ternnganga sambil mengerutkan kening. Dua wanita itu membebel, mengarut, dan memualkan.

Saya ambil alat kawalan jauh televisyen dan buka Animal Planet Channel. Dua ekor cimpanzi sedang melompat-lompat dan menggaru punggung.

Saya paksa otak supaya jangan membayangkan persamaan antara yang di ABPBH itu dengan apa yang saya tonton ini. Saya cuba.

Hei kawan yang memaksa saya mengambil tahu semua perkara;

“Kadang kala banyak perkara yang harus kita elak untuk ambil tahu supaya fikiran kita tidak dijamah dosa. Dan biarkan Malaikat berehat sambil mencatat kebaikan dengan senyum yang panjang, dengan hanya melakukan apa yang kita suka!”

*Jika mahu tahu siapa yang menang malam itu, baca sahaja berita arus perdana atau majalah hiburan. Anda tidak akan temui jawapan di sini.

Advertisements