DSC_2299

Saya memilih ketam masak lemak cili api sahaja.

Bayangan terus kepada haiwan yang berjalan senget dan mempunyai pengepit yang berbahaya.

Mungkin juga bayangan kepada menu yang lazat berasaskan ketam. Ketam masak lemak misalnya. Atau isi ketam yang diinovasi memudahkan pelbagai jenis masakan dihasilkan.

Mungkin juga ada bayangan Pulau Ketam yang indah menyinggah benak kita.

Itulah ketam.

KOMA

Minggu lepas, saya banyak bercakap tentang ketam. Bukan kerana baru menikmati Mi Kari Ketam yang heboh dalam rancangan ‘berjalan-jalan-eh-terjumpa-makanan’ itu. Bukan juga mengimbas semula babak bibir luka kerana tidak tahu cara yang betul menikmati ketam masak lemak.

Bukan juga bising-bising tentang ketam yang mengejar anaknya jalan senget.

Oh. biarlah ketam mengajar anaknya jalan senget. Memang itu budaya ketam. Siapa kita untuk membetulkan ajaran-ajaran mak ketam kepada anaknya. Ia umpama ada-orang-luar-yang-mengajar-ajar kita-supaya-kita-hidangkan pizza-spageti sebagai makanan harian kepaada anak kita.

Saya bercakap tentang ketam dan tabiatnya yang suka mengepit dan hal ini menjadi metafora untuk sikap dengki dan khianat.

Cuba baca ini. ISTILAH “mentaliti ketam” (crab mentality) telah diperkenalkan pada mulanya oleh Datuk Dr. Jeffrey Kitingan.

Mungkin saya terlalu beremosi dalam hal ini apabila menganggap seorang kawan tidak berkongsi peluang yang baik kepada saya sebagaimana saya berkongsi segala hal dan peluang kepada beliau. Mungkin juga ia bukan hal besar yang perlu dibesarkan lagi.

Namun, ia tetap menganggu emosi sehingga terfikir beberapa perkara yang negatif.

Saya berharap hal ini akan berlalu seperti angin. Dan saya berharap, biarlah kita makan ketam dengan mengambil segala zat dan nutrisinya. Sifat buruk, jangan sampai melekat.

KOMA

Tidak dapat tanduk, telinga dipulas pula bagaimana?

Tanya seorang rakan lain.

Oh. Yang itu ada contoh lain. Ada cerita lain. Yang lebih menarik untuk dikongsikan. Suatu hari nanti. Barangkali. Apabila semuanya selesai dengan bersih.

Bagilah contoh. Desak kawan itu.

Okey…

Contohnya, engkau tak dapat musnahkan seseorang itu secara berdepan, maka engkau buruk-burukkan dia secara belakang. Buat fitnah. Gaduh-gaduhkan dia dengan kawan-kawannya…bla..bla..bla…

Okey cukup.

“Abah, papan lama ini boleh buat kayu api ni. Ambil ya, bah?” tanya saya kepada abah apabila melihat sudut di halaman rumah kami penuh dengan papan-papan dan kayu yang digunakan oleh abah ketika membuat rumah orang. Berlonggok dan semak.

“Nak buat apa?” tanya abah tanpa menoleh kepada saya.

Saya pun mencari-cari alasan. Untuk membersihkan halaman dan menyahkan papan-papan tersebut dari pandangan mata. Barang abah, jika sudah berkulat sekalipun, perlu tanya kepadanya untuk diubah tempat atau dibuang. Abah garang. Barang yang dicari tak dijumpai, habislah kami, satu rumah kena bebel.

“Buat kayu api lah. Boleh bakar ubi. Bakar lemang ke. Atau bakar saja-saja,” jawab saya.

Abah pandang saya. Katanya, “papan itu sudah lama di situ. Hati-hati ketika mengangkatnya. Bimbang ada musuh tersembunyi di bawahnya. Ular, semut, anai-anai, kala jengking. Haih…macam-macm lagilah.”

Sambung abah lagi, “kalau nak bakar, bakar sahajalah. Tak perlu cari alasan mahu memanggang ubi segala bagai. Lagipun papan tersebut hampir reput. Lemau. Tidak memberi kesan yang baik kepada makanan yang dipanggang.”

Saya diam. Diam kerana binatang-binatang yang abah sebutkan itu menggugat keberanian dan semangat mahu membersihkan halaman. Diam, kerana abah tahu tentang papan dan kayu yang lemau dan kesan kepada yang lain.

KOMA

Saya, dan minggu ini bagai api.

Api yang menyala. Nengan nyalaan raksasa. Gagah dan panas. Baunya sangat panas. Semangat.

Bahan yang membuatkan ia berapi juga tak kurang hebat. Masih segar, baharu dan tidak lemau.

Saya, sedang mengumpul bahan api ini. Tidak kiralah ia kayu atau apa-apa sahaja. Dan tidak mahu bahan ini lemau sebelum api menyala.

KOMA

Minggu ini. Minggu kayu dan api.

Kuliah budaya, teater, puisi, cerpen, gambar dan sebagainya.

Tapi mampukah saya menghidupkan api itu dan menghangatkan yang lain dengan nyalaan yang baik?

Pesan diri, jika sudah dapat kayunya, teruslah nyalakan api. Biar ia membakar dengan gagah. Jika lewat dan lewat, maka kayu tersebut akan lemau dan tidak mampu menyalakan api walau sekecil api mancis. Juga jika lewat, kayu tersebut akan menyimpan musuh yang bakal memadamkan segala api yang menyala.

DSC_0482-Edit

28 September 2009

Sesudah raya. Juga sudah tiba ke penghujung tahun.

Jatuh mengenangkan target tahunan yang ‘suam-suam kuku’ dilaksanakan.

KOMA

Dalam hidup semua manusia akan rasa jatuh. Sakit. Pedih. Parah. Dan mungkin sebahagian hidup telah tiada di bawa arus ‘kejatuhan’. Gelap. Tiada cahaya. Tiada cerita.

Jatuh cinta, maka bangunkanlah cinta itu menjadi sebesar-besarnya hingga boleh membina dunia.

Kerana katanya, cinta boleh mengatasi dan mengubati derita-lapar-sakit-luka manusia.

Jatuh dari kejayaan, kekayaan, kepimpinan, kepercayaan, dan sebaginya – maka bangunkanlah juga kejatuhan itu agar ia menjadi sebuah kehidupan yang lengkap. Ceritanya akan bersambung sampai kita mati.

Kita manusia sama sahaja. Akan jatuh.

Bezanya, bagaimana kita bangun dari kejatuhan itu.

Itu bezanya manusia.

Itu bezanya kita, kawan!

DSC_0907-Edit

“Cikgu menjadi penyebab untuk saya bangun pagi dan menjawab soalan – mengapa saya harus ke sekolah.”

Itulah kata-kata seorang pelajar semasa Cikgu Rahman mengajar di sebuah sekolah di pedalaman. Cikgu Rahman kawan sekelas saya.

Tanya cikgu Rahman semula, “mengapa?”

“Kerana cikgu kacak dan bercakap dengan yakin. Jika cikgu menipu pun, saya akan percaya,” jawab pelajar itu.

KOMA

Setiap dari kita punya citarasa sendiri terhadap inspirasi yang perlu ada setiap hari.

Setiap pagi harus punya alasan mengapa perlu ke pejabat. Punya alasan mengapa harus hidup. Punya alasan mengapa harus kerja dan sebagainya.

Alasan itulah inspirasi.

Inspirasi boleh sahaja didapati dari apa sahaja dan sesiapa sahaja.

Jadi jangan perlekeh orang lain yang punya alasan tertentu mengapa mereka meminati sesuatu yang tidak kena dengan jiwa kita. Ingat, kita ini berbeza.

Tapi kalau sesuatu itu memudaratkan diri dan masyarakat sekeliling, perlu juga kita pertikaikan.

Hidup ini juga bukan sendiri-sendiri dan berjalan atas otak sendiri.

Mencari dan memberi inspirasi kepada orang lain akan mendapat pahala selagi ia bermanfaat.

Mungkin inspirasi itu ada dalam diri ibu bapa yang harus dikunjungi, dan dihubungi selalu. Suara mereka dan pandangan mata mereka memberi inspirasi untuk kita terus hidup.

Jika tiada…

Mungkin inspirasi itu datangnya dari kawan-kawan dan teman yang istimewa di hati dan di jiwa.

Jika tiada…

Inspirasi itu mungkin juga dari orang sekeliling yang tida kita kenali tetapi selalu berlegar di depan mata – jiran atau sesiapa sahaja yang memberi kesedaran dan semangat pada kita walau sedetik.

Jika tiada…

Mungkin juga melalui minat kita terhadap sesuatu. Makanya, kita punya alasan untuk teruskan hidup. Minat fotografi misalnya yang boleh menghiburkan kita dengan menatap gambar-gambar yang bercerita segala.

Juga mungkin melalui hobi membaca. Makanya, kita sering terinspirasi dengan kisah yang dibawa.

Juga apa sahaja hobi kamu, jadikan ia sebagai alasan untuk kamu tidak berasa bosan dengan hidup yang esok lusa mungkin tiada lagi nafas untuk kamu. Siapa tahu?

KOMA

“Saya suka tengok awak,” katanya suatu waktu dahulu.

“Kenapa? Saya bukan cantik pun,” jawab saya sambil agak tersipu.

“Bukan pasal cantik pun. Saya suka tengok awak bersemangat membaca dan bersemangat membuat kertas kerja,” jawab dia.

Hahhahaa…..

*Mana perginya semangat itu ya?

DSC_0594-Edit

“Semangat hilangkah?” tanya seorang kawan pejabat.

“Ya, agaknya. Sikit sahaja. Sekejap lagi oklah ni.”

Semangat dan cabaran saling beriringan.

Lif rosak. Pejabat di tingkat lima.

Ada demonstrasi di hujung jalan. Makanya, jalan sesak.

Begitu juga jika ada acara di PWTC. Akan ada kedengaran bunyi riuh serta tempat meletak kereta yang membungkam penuhnya.

Apatah lagi apabila hujan lebat. Air naik dan banjir melanda menenggelamkan apa sahaja. Berwaspada dengan ini.

Ini tidak termasuk lagi cabaran-cabaran dalaman, tentang rakan sekerja yang tidak sekerja. Tentang pemimpin yang tidak memimpin.

Itu cabaran yang kadang mematahkan semangat.

Cabaran yang menyebabkan diri dibakar. Hangus.

KOMA

“Saya cabar awak menghasilkan karya dalam tahun ini juga,” kata seorang kawan yang juga dalam bidang yang sama.

Cabaran yang menaikkan semangat.

Mahu serius atau main-main, terpulang kepada kamu kerana akhirnya kamu juga yang akan merasa sesuatu. Mungkin malu setelah berbelas-belas bengkel penulisan dihadiri, namun hasilnya masih ‘telur ayam’.

Ini pastinya cabaran yang membakar semangat atau terdiam kerana terbakar.

KOMA

“Saya mahu lihat, sejauh mana awak mahu berdiam diri dan berpegang dengan apa yang awak katakan hari ini,” katanya petang itu. Suatu waktu dahulu.

Ya, kata-kata begini juga merupakan cabaran.

“Saya akan buktikan,” jawab saya dalam hati. Terasa semangat mahu berubah itu mula menyala. Akan membakar atau terbakarkah nanti?

Begitulah, manusia cukup pantang apabila dicabar.

s

Terkesima tatkala membaca mesej ringkas seorang teman penulis yang sederhana di kala rembang senja, sepulang dari pejabat beberapa minggu lalu.

Dia memberi beberapa bait puisi tentang cermin. Bukan untuk saya. Tetapi begitulah kami sejak akhir-akhir ini. Walau tidak pernah bersua atau mendengar suara, hubungan kawan tetap terjalin. Ia ikhlas tanpa prejudis. Dan kami saling bertukar pandangan tentang puisi. Tentang penulisan. Tentang kawan. Tentang cermin.

Beberapa hal tentang cermin membiak subur dalam fikiran.

Tentang diri, hidup, kerja, kawan- kawan dan keluarga.

Cermin itu, analoginya pelbagai dalam diri setiap manusia.

KOMA

Cerita seorang teman pejabat dan cerita saya juga tentang orang yang sama mengenai perilakunya yang tidak semenggah dengan teman-teman yang lain. Menjadi ‘gunting dalam lipatan’. Mengenakan orang lain setelah diri sendiri ‘cedera’. Maka, hal ‘cermin diri sendiri’ keluar dalam rongga perbincangan kami. Ada cerpen bakal menyusul, janji saya kepadanya setelah dia meminta saya memindahkan kisah itu dalam bentuk kreatif.

Cerita seorang teman penulisan tentang seorang teman penulis yang lain yang menjadi ‘duri dalam daging’ juga mengungguli pagi kami dalam bual bicara melalui telefon bimbit. Begitulah katanya, apa yang ditulis tidak menggambarkan peribadi penulisnya. Ya. kita sekadar menulis.

Dan apabila dia membicarakan hal ‘air muka’ yang menjadi cerminan diri seseorang, saya agak terdiam. Kerana hal itu jarang saya perhatikan dalam berkawan. Hanya mahu ikhlas berkawan. Dan saya harus lebih berhati-hati selepas ini. Bukan untuk tujuan apa-apa, sekadar untuk menenangkan silaturahim sesama rakan selepas ini.

Tulisan tangan sama ada kemas atau ‘cakar ayam’, sama ada penuh falsafah atau lelucon, tetap mencerminkan diri penulisnya.

Cara bekerja, sama ada tersusun mengikut jadual atau tunggang- langgang ikut suka hati, juga mencerminkan diri orang yang mengerjakannya.

Cara bercakap, melalui nada suara dan pemilihan perkataan yang dituturkan akan mencerminkan budi bahasa dan akhlak orang yang bercakap.

Begitu juga cara makan, cara memandang, cara berjalan, cara memasak, cara memegang, cara mengemas, cara memakai baju, cara memakai kasut, cara bersolek, cara memandu, cara memegang sesuatu…haih…semua cara yang kita aplikasikan dalam hidup seharian menjadi cerminan kepada orang lain.

KOMA

Ini tentang kawan yang saya kira tak perlu saya minta dia cermin dirinya sendiri. Cuma kawan, usah bertingkahlaku demikian dengan saya. Ia amat menjengkelkan dan memualkan.Usah teruskan. Belajar selarikan usia dengan akal.

Hari ini, status facebook saya – Selamat pagi. Terima kasih ‘bukan kawan’. Kebobrokan kamu menjadi cermin kepada saya.

Dan ia mencerminkan situasi yang kurang tenang untuk diri saya oleh mata kawan-kawan yang lain.

dd4

Semasa pulang ke kampung baru-baru ini, halaman ibu agak kusam dan tiada serinya. Banyak pokok bunga yang layu dan tidak berbunga. Yang ada cuma pokok bunga Cina yang sentiasa senyum pada semua.

Kata ibu, biarkan, ini musim mereka tidak bersemangat. Usah buang, nanti apabila tiba ketikanya, ia akan hijau dan berbunga semula.

“Iyakah?” tanya saya sambil memandang ibu yang saya kira paling cantik di dunia.

“Eh, tak percaya pula,” jawab ibu sambil terus membersihkan saki-baki rumput kecil di sekeliling pasu bunga.

Kita juga begitu. Usah gundah, kerana semua yang ada dalam diri kita dan dunia ini ada pasang surutnya. Tiada yang konsisten. Itu kata ibu yang saya akui kebenarannya.

Saya menanti pasang dan mahu mengucapkan selamat tinggal kepada surut.

bb

“Dalam simpanan saya hanya ada beberapa buah buku motivasi. Itupun bukan saya beli. Ada orang beri dan ada yang didapati secara percuma ketika menghadiri majlis ilmu,” jelas saya kepada dia yang suka membaca buku motivasi. Mungkin.

Sambung saya lagi, “saya tidak boleh membaca buku motivasi. Bukan kerana saya sudah termotivasi. Tetapi entahlah, tidak boleh membaca buku seumpama itu lagi. Agak membosankan. Tetapi saya akan baca buku yang awak beri ini. Cuma bila masanya, itu saya tidak pasti.”

Dia hanya tersenyum.

KOMA

Mereka kata otak kita punya kemampuan yang luar biasa jika digunakan sepenuhnya. Bank memori kita punya kuasa minda yang kadang tidak terjangka oleh kita sendiri.

Kita perlu tahu, kuasai, percaya dan kaji sejauh mana otak kita bekerja setakat ini dan sejauh mana ia digunakan.

Saya tidak akan bercerita bagaimana otak kita bekerja.

KOMA

Dahulu, saya fikir saya tidak boleh melakukan sesuatu hal itu hanya kerana saya tidak punya ‘jalinan kimia’ (chemistry) dengan hal itu.

Saya pasti, saya silap tentang doktrin itu. Sebenarnya kita boleh melakukan apa sahaja dalam hidup.

Membaca apa sahaja jenis buku. Menyanyi atau mendengar apa jua jenis muzik. Membuat apa sahaja jenis kerja. Berkawan dengan sesiapa sahaja. Makan apa sahaja. Minum apa sahaja. Buat apa sahaja.

Asalkan semua itu tidak memudaratkan diri dan iman kita.

Sebenarnya, saya fikir begini :

Kita selalu menolak atau tidak menyukai sesuatu atas dasar perkara itu tidak kena dengan jiwa kita. Hal itu tidak sesuai dengan diri kita. Lalu kita tinggalkan beberapa hal yang tidak kita gemar atas alasan tipis iaitu ‘hal itu tidak kena dengan jiwa kita’.

Sebenarnya, apa juga perkara mampu kita lakukan jika dilaksanakan pada TEMPAT dan MASA yang betul.

Saya bercakap tentang hal yang tidak memudaratkan diri dan sekaligus ianya beri manfaat yang kita sendiri tidak nampak.

Saya, tidak gemar membaca buku motivasi, tidak gemar mendengar lagu-lagu berentak keras dan tidak gemar makan makanan yang pedas-pedas.

Hakikatnya, saya rasa buku motivasi bukanlah sebosan mana.

Lagu-lagu ‘keras’, okey juga jika didendangkan saat jiwa mengantuk.

Makanan yang pedas sangat ada ‘ump’ jika di makan ketika tekak meloya.

KOMA

Pilihlah masa dan tempat yang sesuai untuk kita lakukan sesuatu yang pernah kita abaikan.

Istilahnya, ‘buat sesuatu pada masa yang tepat dan situasi yang betul’.

Saya terfikir, mengapa kadangkala semasa sekolah dahulu, ada beberapa subjek yang tidak ‘masuk’ dengan jiwa saya.

Saya tahu kini, bahawa saya boleh menjadi lebih cemerlang dari hari ini jika saya bijak mencari masa yang sesuai untuk menelaah subjek yang membosankan itu, dahulu.

Saya terfikir yang kita memerlukan jadual waktu yang baik untuk melaksanakan segala tugasan. Jadual itu pula tidak perlu dicatit dalam sebuah diari atau kertas. Cukup kita tahu apa yang perlu kita buat dan bila mahu melaksanakannya.

Kamu pula bagaimana?


paulus1

Ini bukan gambar yang saya ambil.

“Kamu memilih mata lalat atau mata lebah?” tanya penceramah itu kepada salah seorang rakan sekerja kami.

“Mata lalat.” Jawabnya dengan yakin. Keyakinan seorang wanita.

“Kenapa?” tanya penceramah inginkan penjelasan.

“Kerana mata lalat banyak gunanya. Salah satunya, jahitan mata lalat yang ada di baju kurung saya ini,” jawab wanita itu lagi dengan keyakinan yang agak berkurangan sedikit. Mungkin.

Dan penceramah tergelak kecil. Mungkin juga itu jawapan yang tidak tersangkakan.

KOMA

Katanya, antara mata lalat dengan mata lebah, pilihlah mata lebah.

Kerana, mata lalat hanya mencari sesuatu yang buruk (najis, bau busuk dan lain-lain yang busuk dan buruk semata). Jika seekor lalat melalui sebuah taman yang dipenuhi dengan bunga-bunga yang wangi, lalat tidak akan peduli. Lalat hanya mahu mencari yang buruk-buruk dan busuk-busuk sahaja.

Berbeza dengan mata lebah yang memandang kecantikan, keindahan, wangi dan sebagainya. Di mata sang lebah hanya kecantikan. Jadi, lebah tidak akan memandang kebusukan dan keburukan.

Itu sifat semulajadi yang telah Tuhan tentukan buat lalat dan lebah. Tidak salah lalat, dan beruntunglah lebah. Tetapi, bukankah kita di seru untuk belajar daripada alam? Termasuk juga haiwan. Kerana alam dan haiwan juga ciptaan Tuhan.

KOMA

Dari aspek logik, saya setuju bahawa kita manusia boleh dikategorikan dengan mata lebah dan mata lalat.

Ada manusia yang hanya memnadang keburukan dan kesalahan orang lain sehingga kebaikan orang tidak terakukan.

Ada manusia yang hanya memandang kecantikan dan kebaikan sehingga melupakan keburukan dan kelemahan orang lain.

Bodohkah manusia yang hanya memandang kecantikan?

Apa pula istilah yang sesuai untuk mereka yang hanya menilai keburukan orang?

KOMA

Seorang kawan mengadukan hal kawannya, Ana. Katanya Ana telah menipunya.

Saya tanyakan, “berapa kali Ana menipu kamu?”

“Sekali. Tetapi ia memedihkan,” katanya dengan nada yang pilu.

Saya dengan lagak seorang kawan sejati kononnya mahu membela nasib kawan saya ini telah mengutuk-ngutuk dan memalukan Ana dengan kata-kata yang memilukan.

Benarkah tindakan saya atas dasar ‘membela’ kawan yang telah ditipu?

Ana dipinggirkan. Oleh saya dan kawan-kawan yang lain. Sehingga akhir semester, saya mendapat tahu hal yang sebenar. Ana menipu. Ya, dia memang menipu. Sekurang-kurangnya dia telah mendapat pengajaran dengan diasingkan oleh kawan-kawan.

Tetapi, kata-kata Ana selepas itu, menyatakan alasan dia menipu, sangat menyentap rasa. Saya silap tafsir. Ana salah. Tetapi saya terlebih salah kerana tidak menyelidik hal ini lantas menjatuhkan hukuman ke atas Ana mengikut emosi saya.

Ana maafkan saya. Katanya, apapun yang saya lakukan, dia tahu, bahawa saya tidak mengerti dan keliru.

Dan apa hak saya menjatuhkan hukuman ke atas Ana sedangkan saya hanya mendengar dari sebelah pihak sahaja?

KOMA

Kamu, usah memilih menjadi mata lalat yang hanya memandang kesalahan orang lain dan cuba menghukum orang lain berdasarkan emosi kamu.

Usah lakukan kesilapan yang sama seperti saya.

lampu

“Gambar di dalam dewan semua gagal. Flash sekejap boleh, sekejap tidak boleh,” kata saya kepada seorang teman.

“Kenapa tidak pakai flash saya?” jawab dia.

“Saya lupa awak ada flash.”

Tapi sebenarnya jawapan itu bukan betul. Sebenarnya, saya fikir apa yang saya ada sudah cukup. Tidak perlukan bantuan sesiapa.

KOMA

Kadangkala bila kita merasa diri kita sudah lengkap serba serbi, kita akan lupakan kawan-kawan.

Padahal, apa yang melengkapi diri kita sebenarnya belum cukup.

Kerana itu Tuhan mencipta kita dengan pelbagai-bagai agama dan bangsa, kaya dan miskin, hitam dan putih. Untuk saling melengkapi.

Seperti juga malam dan siang, terang dan gelap.

“Tersentuh tak?” tanya saya kepada encik bos ketika menonton video klip ini.

“Hishh…budget besar ni,” jawabnya.

Saya pandang encik bos. Ternyata dalam banyak persamaan kami tetap berbeza. Apabila dia berbicara tentang teknik dalam sesebuah penggambaran filem atau video, saya bercerita tentang nilai yang terkandung di dalamnya. Tapi kami masih boleh bekerja bersama-sama.

Begitu juga hal-hal lain.

Kadangkala kita sengaja membesar-besarkan sesuatu hal seolah-olah wujud satu perbezaan yang besar dan tidak boleh disatukan lagi. Padahal ia tetap sama.

KOMA

Setiakawan.

Ia masih boleh diteruskan walaupun kamu sudah berpangkat dan tangga gaji kamu lebih tinggi dari kawan kamu. Nilai setiakawan tak akan mati jika kamu mahu memeliharanya.

Tahniah kepada kawan-kawan yang naik ke satu tingkat.

KOMA

Video klip di atas sangat menyentuh. Inspirasi. Saya temui di dalam blog ini.

Ia mengingatkan saya kepada bahasa isyarat yang telah saya pelajari suatu ketika dahulu. Juga mengingatkan saya pada dendam yang saya pegang sehingga membentuk diri saya pada hari ini. Terima kasih kepada penyumbang duka. Kerana duka dan tangis yang lahir dari perbuatan kamu, saya berjaya capai impian saya.

Jika saya tidak diuji oleh tuhan sedemikian rupa, sudah pasti saya bukan seperti saya pada hari ini.

Benarkah duka dan tangis menyumbang banyak pengalaman untuk hidup berbanding tawa gembira?

Jika sudah kehabisan nafas dan mencungap menuju ke titik tujuan, berhentilah seketika.

Tiada apa yang mengejar kamu. Tiada siapa mengejar kamu.

Berehat.

Mulan: You shouldn’t have to go!
Fa Li
: Mulan!
Mulan: There are plenty of young men to fight for China!
Fa Zhou: It is an honor to protect my family and my country.
Mulan: So you’ll die for honor.
Fa Zhou: I will die doing what’s right!
Mulan: But you…
Fa Zhou: I know my place. It is time you learn yours.

mulan32.jpg

Di atas ini adalah dialog antara Mulan dan bapanya, Fa Zhou. Dialog ini tercetus apabila Mulan berasa tidak puas hati dengan tindakan bapanya menerima watikah dari maharaja untuk berkhidmat sebagai askar untuk menentang Shang Yu. Sedangkan Fa Zhou telah berkhidmat menentang musuh sebelum ini sehingga menyebabkan kecederaan pada kakinya.

Namun, Fa Zhou mempunyai alasan sendiri mengapa dia harus menerima watikah itu. Padanya, berkhidmat kepada negara merupakan kemuliaan bagi seorang lelaki untuk melindungi negara dan juga keluarganya. Namun pendirian itu tidak difahami oleh Mulan.

Dan kata-kata terakhir Fa Zhou itu membuatkan Mulan tersentak dan mula sedar tanggungjawabnya sebagai seorang anak.

Seperti Mulan, saya juga mula belajar sesuatu melalui dialog itu – “it is time you learn yours!”.

Betapa selalunya kita tidak tahu malah tidak pernah sedar tanggungjawab kita sebagai seorang anak, kakak atau abang, ibu atau bapa, ataupun sebagai pekerja, kawan mahupun anggota masyarakat. Asyik sibuk dengan peranan orang lain. Asyik hidup dengan mengkritik orang lain.

Sesekali renung dan imbas semula, apakah yang dah kita buat selama ini yang boleh dibanggakan? Ataupun berapa banyak perkara yang telah kita laksanakan yang boleh dijadikan bekalan di akhirat kelak?

HIDUP HANYA SEKALI

 

 

ila042.jpg

Saya geram dan marah dengan apa yang berlaku seminggu dua ni. Bukan sahaja geram, marah, sakit hati, tapi segala macam rasa yang tak sihat, wujud dalam diri. Bosan! tak tahu lagi nak buat apa.

Menghadirkan diri ke bengkel yang selama ini di nanti-nantikan juga seolah-olah melangkah ke alam kematian. Jiwa yang mati, senyum pun mati. Sehingga nikmat untuk menuntut ilmu terhapus sama sekali.

Paling saya kesalkan, saya terlalu mengikut kata hati sulung yang sememangnya keras kepala sehingga wajah saya juga tidak menunjukkan seri seperti selalu. Kenapalah saya begini…takkan kerana hal-hal yang kecil (padahal besar)…saya terus patah semangat..

Dalam perjalanan pulang dari Terengganu (perjalanan dari Kuala Terengganu ke Kuala Lumpur yang tidak dirancang), saya duduk bersebelahan dengan seorang peserta bengkel. Perjalanan yang memakan masa hampir 7 jam di sulami dengan cerita-cerita peribadi (yang tak terlalu peribadi).

Saya sangkakan hidup saya sahaja yang diselubungi masalah pelbagai. Rupa-rupanya teman saya tu juga lagi bermasalah. Saya akui masalah dia lagi besar, melibatkan hidup dan mati, nikmat hidup yang tiada terasa wujudnya.

Dalam perbualan itu juga dia ada menceritakan detik-detik kesedaran yang dialaminya. katanya;

Dalam hidup hanya ada tiga perkara yang amat penting –

1. Buatlah apa yang disuruh olehNya, dan jangan lakukan apa-apa jua perkara yang dilarang olehNYa.

2.Niat hendaklah ikhlas dan betul

3. Jangan merungut.

Jika saya kupas melalui pengalaman dan nilai diri saya sendiri, memang benar, banyak perkara yang saya terlepas pandang dan banyak perkara yang saya lakukan tanpa menyedari kesannya dalam hidup saya.

Di sebuah kampung tinggal seorang lelaki tua yg sudah bertahun-tahun kematian isteri. Dengan arwah isterinya itu dulu dia dikurniakan tiga orang anak lelaki.

Semuanya sudah remaja. Anak pertama bernama Anis, kedua bernama Harben dan ketiga bernama Amsal. Akan ketiga-tiga ini yang paling disayangi ialah Harben. Sayangnya dengan Harben langsung tidak diberinya keluar rumah. Si polan ini sayang juga dengan Anis.

Kadang-kadang di bawanya juga keluar rumah, ke pekan, ke penambang (jetty) dan ke sekitar kampung. Almaklum anak yang ketiga iaitu Amsal kadang-kadang langsung tak diendahnya. jadi merayau-rayau lah si anak ini ke sekitar kampung dan sampai ke pulau seberang. Kurus kering badannya kerana jarang diberi makan.

Hendak dijadikan cerita, suatu hari yang mendung raja yang memerintah kampung itu dari pulau seberang telah memanggil si polan ini pergi mengadap. Susah hati lah si polan ini sebab badannya sudah tua, terpaksa pulak mengayuh selat nak ke pulau tersebut. Lagi pula musykil hatinya. Apa yang dimahukan si Raja itu.

Maka dipanggilnya si Harben.”Harben, tolong hantar ayah ke pulau seberang. Tuanku Raja memerintahkan ayah mengadap..boleh ya nak?” Apa yang dijawab Harben?

“Minta maaf lah ayah. Masalahnya Harben tak pernah
keluar rumah jadi macamana Harben nak hantar ayah ke sana sebab Harben tak tahu jalan. Kalau mahu, Harben hantar sampai depan pintu saja lah, ye ayah?” Mendengar jawapan si Harben sedihlah hati si polan ini kerana anak yang disayanginya tidak boleh diharap. “Baiklah kalau begitu”
jawabnya sedih.

Dipanggilnya pula si Anis.”Anis, tolong hantar ayah ke pulau seberang.

Tuanku Raja memerintahkan ayah mengadap..boleh ya nak?” Apa yang dijawab Anis?

“Minta maaf lah ayah. Masalahnya Anis tak pernah keluar dari kampung ni jadi macamana Anis nak hantar ayah ke sana sebab Anis tak tahu jalan. Kalau mahu, Anis hantar sampai hujung kampung sajalah, ye ayah?”

Mendengar jawapan si Anis itu sedihlah hati si polan ini kerana anak yang disayanginya ini pun tidak boleh diharap juga.”Baiklah kalau begitu” jawabnya sedih. Dipanggilnya pula si Amsal. “Hei Amsal, tolong hantar ayah ke pulau seberang. Tuanku Raja memerintahkan ayah mengadap..” Lalu Amsal menjawab, “Baiklah ayah” tanpa sebarang alasan.
Menyesallah dihatinya kerana tidak menyayangi anaknya Amsal akan tetapi dia sanggup melakukan apa saja untuk ayahnya.

Lalu pergilah si polan mengadap Raja. Harben menghantar di pintu pagar rumah, Anis menghantar sampai ke penambang dan si Amsal mengikut ayahnya mengayuh kolek. Sedang mengayuh itu, tidak semena-mena ribut melanda dan hujan lebat pun turun.

Terkial-kiallah mereka mengayuh dan disebabkan si polan yang dah tua dan si Amsal yang kurus kering karamlah mereka berdua terkubur di lautan.

Sekian adanya.

APA PENGAJARAN CERITA INI .

Adapun anak-anak si polan ini ialah sebenarnya kehidupan lelaki tua ini.

Harben ialah HARTA-BENDA,
Anis ialah ANAK-ISTERI, dan
Amsal ialah AMAL-SOLEH.

Lazimnya manusia sayang kepada Harben dan Anis tapi tidak pada Amsal. Di mana bila manusia itu mati iaitu pulang kerahmatullah (mengadap Raja) yang dapat dibawanya hanyalah Amsal. Harben tinggal dipintu pagar dan Anis tinggal di penambang (di tepi kubur).Oleh itu dalam kita mengejar cita-cita di dunia ni jangan lah lupa dgn akhirat dan rukun Islam yang lima.

Sama-samalah kita mendapat kesenangan di dunia dan di akhirat.

*sebuah lagi kisah yang di copy-paste dari email