paulus1

Ini bukan gambar yang saya ambil.

“Kamu memilih mata lalat atau mata lebah?” tanya penceramah itu kepada salah seorang rakan sekerja kami.

“Mata lalat.” Jawabnya dengan yakin. Keyakinan seorang wanita.

“Kenapa?” tanya penceramah inginkan penjelasan.

“Kerana mata lalat banyak gunanya. Salah satunya, jahitan mata lalat yang ada di baju kurung saya ini,” jawab wanita itu lagi dengan keyakinan yang agak berkurangan sedikit. Mungkin.

Dan penceramah tergelak kecil. Mungkin juga itu jawapan yang tidak tersangkakan.

KOMA

Katanya, antara mata lalat dengan mata lebah, pilihlah mata lebah.

Kerana, mata lalat hanya mencari sesuatu yang buruk (najis, bau busuk dan lain-lain yang busuk dan buruk semata). Jika seekor lalat melalui sebuah taman yang dipenuhi dengan bunga-bunga yang wangi, lalat tidak akan peduli. Lalat hanya mahu mencari yang buruk-buruk dan busuk-busuk sahaja.

Berbeza dengan mata lebah yang memandang kecantikan, keindahan, wangi dan sebagainya. Di mata sang lebah hanya kecantikan. Jadi, lebah tidak akan memandang kebusukan dan keburukan.

Itu sifat semulajadi yang telah Tuhan tentukan buat lalat dan lebah. Tidak salah lalat, dan beruntunglah lebah. Tetapi, bukankah kita di seru untuk belajar daripada alam? Termasuk juga haiwan. Kerana alam dan haiwan juga ciptaan Tuhan.

KOMA

Dari aspek logik, saya setuju bahawa kita manusia boleh dikategorikan dengan mata lebah dan mata lalat.

Ada manusia yang hanya memnadang keburukan dan kesalahan orang lain sehingga kebaikan orang tidak terakukan.

Ada manusia yang hanya memandang kecantikan dan kebaikan sehingga melupakan keburukan dan kelemahan orang lain.

Bodohkah manusia yang hanya memandang kecantikan?

Apa pula istilah yang sesuai untuk mereka yang hanya menilai keburukan orang?

KOMA

Seorang kawan mengadukan hal kawannya, Ana. Katanya Ana telah menipunya.

Saya tanyakan, “berapa kali Ana menipu kamu?”

“Sekali. Tetapi ia memedihkan,” katanya dengan nada yang pilu.

Saya dengan lagak seorang kawan sejati kononnya mahu membela nasib kawan saya ini telah mengutuk-ngutuk dan memalukan Ana dengan kata-kata yang memilukan.

Benarkah tindakan saya atas dasar ‘membela’ kawan yang telah ditipu?

Ana dipinggirkan. Oleh saya dan kawan-kawan yang lain. Sehingga akhir semester, saya mendapat tahu hal yang sebenar. Ana menipu. Ya, dia memang menipu. Sekurang-kurangnya dia telah mendapat pengajaran dengan diasingkan oleh kawan-kawan.

Tetapi, kata-kata Ana selepas itu, menyatakan alasan dia menipu, sangat menyentap rasa. Saya silap tafsir. Ana salah. Tetapi saya terlebih salah kerana tidak menyelidik hal ini lantas menjatuhkan hukuman ke atas Ana mengikut emosi saya.

Ana maafkan saya. Katanya, apapun yang saya lakukan, dia tahu, bahawa saya tidak mengerti dan keliru.

Dan apa hak saya menjatuhkan hukuman ke atas Ana sedangkan saya hanya mendengar dari sebelah pihak sahaja?

KOMA

Kamu, usah memilih menjadi mata lalat yang hanya memandang kesalahan orang lain dan cuba menghukum orang lain berdasarkan emosi kamu.

Usah lakukan kesilapan yang sama seperti saya.