DSC_0594-Edit

“Semangat hilangkah?” tanya seorang kawan pejabat.

“Ya, agaknya. Sikit sahaja. Sekejap lagi oklah ni.”

Semangat dan cabaran saling beriringan.

Lif rosak. Pejabat di tingkat lima.

Ada demonstrasi di hujung jalan. Makanya, jalan sesak.

Begitu juga jika ada acara di PWTC. Akan ada kedengaran bunyi riuh serta tempat meletak kereta yang membungkam penuhnya.

Apatah lagi apabila hujan lebat. Air naik dan banjir melanda menenggelamkan apa sahaja. Berwaspada dengan ini.

Ini tidak termasuk lagi cabaran-cabaran dalaman, tentang rakan sekerja yang tidak sekerja. Tentang pemimpin yang tidak memimpin.

Itu cabaran yang kadang mematahkan semangat.

Cabaran yang menyebabkan diri dibakar. Hangus.

KOMA

“Saya cabar awak menghasilkan karya dalam tahun ini juga,” kata seorang kawan yang juga dalam bidang yang sama.

Cabaran yang menaikkan semangat.

Mahu serius atau main-main, terpulang kepada kamu kerana akhirnya kamu juga yang akan merasa sesuatu. Mungkin malu setelah berbelas-belas bengkel penulisan dihadiri, namun hasilnya masih ‘telur ayam’.

Ini pastinya cabaran yang membakar semangat atau terdiam kerana terbakar.

KOMA

“Saya mahu lihat, sejauh mana awak mahu berdiam diri dan berpegang dengan apa yang awak katakan hari ini,” katanya petang itu. Suatu waktu dahulu.

Ya, kata-kata begini juga merupakan cabaran.

“Saya akan buktikan,” jawab saya dalam hati. Terasa semangat mahu berubah itu mula menyala. Akan membakar atau terbakarkah nanti?

Begitulah, manusia cukup pantang apabila dicabar.

DSC_0798

Hari ini, Hari Jururawat Sedunia. Itupun saya tahu dari saluran radio Sinar FM.

Tapi entah kenapa, jururawat yang saya temui hari ini tidak langsung tersenyum tanda bangga dengan kerjaya mereka.

Jadinya, saya tinggalkan klinik panel itu dengan ubat dan slip cuti kecemasan.

Waktu ini saya tidak menangis walaupun berkali-kali berjumpa dengan doktor ini dan jururawat klinik ini yang lokek dengan senyuman.

Semoga demam ini kebah segera.

Penat dengan demam.

KOMA

Badan saya semakin panas. Tekak pula semakin pedih walau dua papan pil hijau seperti gula-gula Polo itu telah saya hisap.

Tidak mengapa. Mungkin badan saya benar-benar letih dan mahukan rehat yang cukup. Dan ‘hapus dosa’ yang telah saya buat.

Saya kira pada hari pertama demam, dengan meninggalkan novel berat saya akan mampu merehatkan minda. Rupanya tidak. Bukan novel berat yang melelahkan lagi demam itu. Tapi saya rasa memang badan saya dan mental saya lemah.

Jadinya semalam dan hari ini, saya ‘layan’ hal-hal yang berat ketika berada di rumah.

KOMA

Semalam saya menonton filem 1200 Degrees. Mungkin ini filem lama sebab ditayangkan di saluran Astro. Tentang dunia perundangan, penyiasatan dan konflik di antara manusia dan undang-undang.

Saya menangis ketika trem yang terkandas di dalam terowong tidak dapat di selamatkan. Dr. Sabine Fink juga membawa wataknya dengan cermat dan comel. Saya suka bila ada skrip tentang falsafah kemanusiaan dipaparkan. Katanya, kemanusiaan bermakna, manusia tidak akan terkorban untuk satu-satu perkara. Jadi, manusia boleh menentang undang-undang yang kebanyakkannya memenangkan dan melindungi pihak tertentu.

Dan hal ini saya temui juga di dalam novel Panggil Aku Melaju karya Rahmat Haroun Hashim yang saya kira karyanya itu banyak memperkatakan dan menyindir isu semasa yang menyebabkan orang Kuala Lumpur banyak yang berpenyakit mental [jika kamu perasan dan jika kamu tegar mengikut perkembangan terkini dunia politik dan birokrasi di negara kita].

Selepas filem 1200 Degrees, ada filem Bukit Kepong bakal dihidangkan. Oh, saya tidak sanggup melihat filem itu yang saya rasa akan menjadi trauma yang panjang buat saya seperti zaman-zaman sekolah dahulu.

Tangis saya seka, cuba mengemas rumah dan cuba melawan rasa lelah.

KOMA

Hari ini, saya menangis lagi. Bukan hal doktor yang tidak mesra pesakit tadi dan err…saya kira ubat batuk saya mungkin tersilap kerana ia berwarna merah dan seperti ubat batuk kanak-kanak sahaja. Tidak mengapalah, doktor kan lagi bijak daripada pesakit. Telan sahaja.

Menonton Oprah, dan membaca Kacip rupanya boleh merangsang mental yang sedang sakit.

Oprah dengan topik yang agak menarik iaitu, “bagaimana anda menangani usia 40, 50 dan 60 tahun”. Pengurusan mental di Barat saya lihat sangat baik dengan adanya siri Oprah yang banyak memberi input yang baik dalam pelbagai hal.

Pelbagai kisah yang membawa tangis bukan sahaja kepada mereka yang di dalam televisyen itu, malah saya yang menonton juga turut menangis merasai keperitan dan kemanisan dalam menangani hidup yang hanya sekali ini. Adakah kerana saya perempuan?

Bayangkan, seorang pensyarah yang mempunyai 7 orang anak akhirnya menemui ‘hidup’nya semasa usia 47 tahun iaitu bermain muzik. Tidak terlupakan seorang akauntan yang berjaya akhirnya beralih arah dengan perniagaan coklatnya pada usia 54 tahun.

Saya kira Pipiyapong juga begitu. Berkenaan hal pencarian hidup, bertukar-tukar kerja dan pengalaman-pengalaman yang jika dilihat sekali imbas sangat ringan, tetapi sebenarnya tidak.

Membaca halaman-halaman awal Kacip saya kira buku blognya itu bukanlah cebisan perasaan dan luahan yang ringan. Saya menangis membaca beberapa kisah yang saya kira kita selalu lupa dan buat-buat lupa tentang kesusahan masa lalu yang banyak mematangkan kita pada hari ini. Tentang kisah Bob, tentang Kuala Lumpur dan diri penulis serta pengalaman-pegalaman kerjanya.

Saya kira, saya tarik balik kata-kata yang menyebut harga RM20 tidak berbaloi dengan buku yang nipis itu dan penulisnya yang terkedu ketika diminta menurunkan tandatangan. Saya kira terkedu dan terkial-kial itu adalah kesan pengalaman hidupnya yang lampau.

Baru baca sehingga mukasurat 63. Jadinya tidak boleh ulas lebih-lebih.


Kerana isu ini, saya terlupa tentang encik D80 saya, cik Apple dan beberapa buku baru yang masih kesejukan kerana berbogel. “Liwat”, escapisme yang berbaloi untuk lupakan hal-hal lain.

Seperti biasa, masa kini, blog menjadi wadah terbaik dalam menyebar, mencungkil, menyiasat, memapar dan menggembar-gemburkan isu-isu semasa negara terutama yang berkaitan politik.

Buktinya, lihat sahaja dua tiga hari ini, laman utama (versi tempatan) wordpress diungguli dengan entri tentang kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim (DSAI).

Saya masih membaca dan membaca. Sedikit penilaian dan sedikit pendapat belum tentu mampu mengubah persepsi orang lain. Tapi saya percaya, kes kali ini bukan mudah seperti yang pernah terjadi sebelum ini. Percayalah, dengan kuasa yang semakin kuat ada pada rakyat, kes ini akan menjadi lebih rumit jika tidak diselesaikan dengan baik dan suci.

Maka secara mudahnya, saya terus membaca. Bukan kerana ia isu semasa yang boleh menyelewengkan fikiran saya dari memikirkan hal-hal kamera dan macbook yang belum saya terokai. Tetapi isu DSAI melibatkan percaturan antara kemanusiaan, moraliti dan politik.

Hasilnya ataupun kesudahannya yang bagaimana yang bakal dipaparkan kepada masyarakat secara umumnya dan generasi pelapis secara khasnya.

Memang benar, isu ini bagai fenomena. Seperti isu-isu lain yang bakal datang dan pergi. Bezanya, apa yang kita dapat dari fenomena itu? Serdak yang tidak memberi apa-apa kesan atau nilai yang memanusiakan diri sendiri.

Mudah kan? Ikut sahaja percaturan kemanusiaan dan moraliti yang pernah berlaku sebelum ini.

Begitu mudah sebagaimana mudahnya menyelesaikan masalah pengangguran dengan menuturkan kata;

“Itulah, lain kali baca NST, senang dapat kerja!”.

kita khalifah. Mempunyai peranan. Mainkan peranan sebaiknya atau biarkan begitu sahaja. Semua akan dihitung!

Penyapu dan berus sabut. Bentuknya beza kan? Namun, kedua-dua benda ini berasal dari sumber yang sama. Pokok kelapa.

Penyapu lidi dan berus sabut. Bentuknya beza kan? Namun, kedua-duanya berfungsi membersihkan kotoran.

Kita sesama manusia. Bentuk fizikal yang sama dan sempurna. Asalnya dicipta dari tanah. Berkembang biak dengan hanya setitis mani.

Kita sama sahaja. Tapi kenapa perbezaan yang kecil memisahkan kita?

Oh ya, kita dikurnia akal dan hati. Itulah puncanya kenapa kita beza amat.

Tapi kita kan khalifah Allah di muka bumi ini. Selagi kita tahu fungsi kita, itu sudah baik!

Kita manusia. Punya peranan. Membersih hati dan akal. Membersih noda dan dosa. Sebab tujuan kita sebagai manusia adalah menuju syurga. Yang dikatakan terlalu indah dan manis untuk diluahkan dengan kata-kata.

“APAKAH Engkau akan menjadikan manusia yang akan melakukan kerosakan dan pertumpahan darah di dalamnya, sedangkan kami sentiasa bertasbih dan menyucikan Engkau,” demikian pertanyaan malaikat kepada Allah kerana terkejut dengan pengisytiharan-Nya yang mahu menciptakan Adam dan keturunannya sebagai khalifah di bumi.

Seorang manusia boleh diumpamakan seperti sepohon pokok. Dari benih, ia bercambah menjadi tunas yang lembut yang boleh dibentuk dan cantik untuk dipandang. Apabila semakin besar, daun yang menghijau dan rendang serta pucuk daun yang segar kadangkala boleh menjadi tempat berteduh dari pancaran terik sang suria bagi manusia dan binatang. Seterusnya batang dan ranting yang kukuh dan mantap menjadi tempat bermain sang tupai, monyet dan juga binatang-binatang kecil yang lain. Juga menjadi tempat bagi manusia merehatkan badan dengan bersandar pada batangnya. Perdu akar yang berselirat dan mencengkam bumi pula menjadi alas untuk manusia merehatkan kepala. Manakala bunga-bunga yang memutik menjadi perhiasan alam paling indah dan sumber madu bagi sang lebah. Buah-buah yang masak meranum pula menjadi bekal dan sumber makanan bagi manusia dan juga binatang. Betapa sang pokok begitu bermakna dan berguna dari hujung akar hingga ke hujung pucuk daun yang muda.

Bagaimanapun, apa yang berlaku apabila ia semakin tua? Daun-daun semakin mengering dan kontang sehingga mudah terlerai dari ranting-rantingnya. Gugur satu persatu dan menjadi sampah yang berterbangan ke mana-mana. Jika tidak melayang pun, daun-daun itu pasti mereput dan akhirnya hancur di atas bumi. Batang dan rantingnya yang kering mungkin berguna untuk dijadikan kayu api. Bagaimanapun, ada juga daun-daun kering yang masih boleh diguna semula untuk dijadikan perhiasan.

Bagaimana pula dengan kita? Adakah tergolong dalam kategori daun yang kering melayang ataupun daun yang boleh digunakan semula dan disimpan selama-lamanya? Jadilah warga tua yang berguna dan ‘berisi’, kerana ‘isi’ tersebut boleh dikongsi bersama generasi muda untuk mereka meneruskan hidup. Janganlah jadi warga tua yang mensia-siakan hari-hari terakhirnya. Seperti pepatah lama “Bak keris tersisip di dinding, bak pedang tajam tersarung”. Bukankah ‘manusia mati meninggalkan nama’?. Sebaiknya tinggalkanlah nama yang baik demi keturunan kita. Bagi warga emas yang beragama Islam, yang telah melakukan jenayah tidak kira kecil atau besar, masih sempat untuk anda bertaubat.

Daripada Abu Musa Abdullah Bin Qais al-Asy´ari r.a., Nabi Muhammad s.a.w bersabda yang bermaksud:

“Sesungguhnya Allah Taala membuka tangan-Nya (meluaskan rahmat-Nya) pada waktu malam untuk menerima taubat orang-orang yang membuat kesalahan pada waktu siang dan juga membuka tangan-Nya pada waktu siang untuk menerima taubat orang-orang yang berbuat kesalahan pada waktu malam. Demikian adalah terus-menerus sehingga terbit matahari dari arah barat (hampir kiamat), setelah itu tidak diterima lagi taubat sesiapa.” (Riwayat Muslim)