Jalan jem tahap ‘cipan’. Kereta merangkak-rangkak perlahan. Jam di tangan menunjukkan tepat jam8, 27 minit dan 55 saat. Kereta nasional Layla masuk ke kawasan parkir. Berkejar ke lif. Tit! pintu terbuka. Manusia berhimpit-himpit di dalam terkelip-kelip memandang Layla yang termengah-mengah.

Sreettt…..

(Layla pun tidak faham, mengapa harus ada bunyi Sreet…dalam babak ini)

8:33:41

“Layla!”

Suara bos memanggil dengan efek gema dari belakang.

Layla yang baru nak buka Facebook segera bingkas dari meja kerjanya.

Ketika melalui pintu pejabat menuju ke bilik bos, Rizal Gunx, yang berkepala botak dan obsess dengan Palestina itu mengusik, “bos nak ajak engkau pi tengok Dinosour di Pusat Sains Negara…jaga-jaga Layla…”

Layla mencebik. Langkah kaki semakin laju menuju ke bilik bos yang terkenal dengan ‘kepala angin’ nya itu.
Pintu diketuk.

“Masuk!” Suara garau itu menyentap tahap keberanian Layla.

Dia memulas tombol pintu dan menjengukkan kepalanya. Bos yang sedang membaca akhbar ditatap dengan rasa cuak.

“Bos…” Layla bersuara perlahan.

“Ini assignment baru. Saya mahu awak pergi ke tempat ini dan buat artikel mengenainya. Jurufoto tiada. Bawa kamera sendiri.”

Layla terkebil-kebil mendengar arahan itu. Langkah kali yang dihayun terasa berat. Mengenang peristiwa pagi tadi yang terlewat bangun, dan jam meja yang tidak berkokok seperti selalu, membuatkan Layla bertambah bengang.

“Kena kaver dinosaur ke?” Tanya Rizal Gunx lagi menambah panas di hati Layla.

“Tak, bos kata dalam pejabat ini ada alien. Dia syak engkau!” jerit Layla kepada Rizal. Rizal tarik muka.

“Sensitif la tu..’touching’ la tu?” sambung Layla lagi apabila melihat Rizal menarik muka masam.

Duduk di meja kerjanya, Layla berfikir lagi, “bagaimana mahu sudahkan assignment ini? Pelik betul la bos ni…”

“Kalau awak boleh buktikan Rizal Gunx ialah alien, saya naikkan pangkat awak ke gred 44.” Terngiang-ngiang suara bosnya yang garau itu.

Layla tersenyum seketika sambil memandang Rizal Gunx penuh makna. Terbayang-bayang figuranya berada di sebelah bilik bos dengan pangkat Ketua Editor dengan gred 44. Terbayang-bayang juga Mid Valley, yang menjadi puncak nafsu membeli-belahnya. Layla tersengih.

Rizal Gunx yang masih berdiri di pintu pejabat, merenung Layla penuh makna. Ada kerutan halus diwajahnya.

KOMA

Malam itu suasana gelap. Sengaja Layla tidak memasang lampu pejabat. Hasratnya untuk menyiasat Rizal Gunx malam itu kerana Rizal Gunx selalu bertugas waktu malam (Setahu Layla, kerana dia tidak begitu ambil tahu tentang Rizal walaupun hatinya memuji kekacakan Rizal).

Dengan perlahan, Layla mengatur langkah. Terjengket-jengket Layla memasuki bilik mesyuarat yang gelap dan berdiri di situ menunggu Rizal Gunx masuk ke pejabat.

“Dia selalu berada di pejabat sepanjang malam. Kata orang, Rizal kena hukum dengan bos sebab dia selalu layan ‘game’ bola semasa sedang bertugas. Itu yang dia kena datang pejabat waktu malam. Jaga pejabat.” Terngiang-ngiang suara Amin, kawan Layla di bahagian grafik.

Sedang berfikir-fikir, terdengar bunyi pintu dibuka. Layla memasang telinga. Tidak lama kemudian, kelihatan seseorang masuk dan duduk di sebelah meja Layla. Layla memicingkan mata. Kelihatan Rizal Gunx membuka komputer dengan segera. Tiba-tiba wajah Rizal menjadi serba hijau.

Layla panik. Dia memeluk tubuh seketika kerana giginya yang berketap mengigil.

Setelah gementarnya hilang, Layla memerhati Rizal lagi. Tangannya meraba kamera kompak untuk mengambil gambar Rizal yang kadang bertukar hijau, dan kadang bertukar merah. Tiada lagi perasaan takut. Fikirannya hanya terbayang gred 44, kerusi empuk, dan Mid Valley, pusat nafsunya.

Kamera ‘on’… segera dipetik butang untuk mengambil gambar.

“tret..tret…” bunyi kamera.

Sekali lagi. Dua kali. Tiga kali…masih dengan bunyi yang sama.

Layla meraba kamera itu dalam gelap. Wajahnya berkerut. Dia menggigil. Wajah Rizal terus berwarna warni. Sekejap merah, sekejap kuning. Sekejap biru. Layla terus meraba. Terbayang wajah bos yang bersuara garau. Terbayang gred 44, kerusi empuk, dan Mid Valley, pusat nafsunya.

KOMA

“Macam mana dengan assignment yang saya beri? Semalam awak kata boleh beres dalam masa sehari?” tanya bos pagi itu, semasa Layla kelam kabut kerana lewat masuk ke pejabat. Jam mejanya masih tidak berkokok.

“Errr….err….Saya nampak, memang Rizal Gunx itu Alien bos. Wajahnya berubah warna semalam. Sekejap merah, sekejap biru, sekejap hijau…cuma semalam, saya tak sempat ambil gambar kerana terlupa bawa kamera,” jawab Layla sambil membayangkan kamera yang dibawanya malam tadi, kamera FM2 dengan ruang ‘filem’ yang kosong.

Layla menyumpah dalam hati. Macam mana dia boleh terambil kamera lamanya yang sudah boleh dihantar ke muzium itu?

“Baiklah, kerana mood saya okey hari ini, saya bagi tempoh lagi. Malam ini awak kena pastikan Rizal memang alien. Boleh? Saya tidak mahu alien itu mengambil alih syarikat ini dan seterusnya menjadikannya pusat alien antarabangsa. Saya terima e-mel dari anonymous, mengatakan duduk letak pejabat kita ialah tempat alien mendarat. Dan ganjaran besar untuk awak, jika kita berjaya nyahkan Rizal dari sini seterusnya membanteras kegiatan alien di negara kita.” Encik bos berkata lagi.

Layla mengangguk sambil senyum. Membayangkan gred 44, kerusi empuk, dan Mid Valley, pusat nafsunya.

“kerana pangkat, aku sanggup musnahkan engkau Rizal. Walaupun engkau kacak dan bergaya dengan motor barumu…aku tak kira….,” kata Layla dalam hati.

Keluar dari bilik bos, tiba-tiba lampu padam. Pejabat gelap seketika.

Yang terlihat hanya Rizal Gunx dengan wajahnya kembali berwarna –warni. Hijau. Kuning. Biru dan sekejap-sekejap merah. Mata Layla memandang Rizal berselang seli dengan skrin komputer yang bertukar-tukar warna.

“Cantik kan skrin saver komputer ni?” tanya Rizal apabila melihat Layla terkaku di belakangnya.

Layla hanya memandang skrin saver komputer itu yang sekejap-sekejap bertukar hijau. Kuning. Biru dan sekejap-sekejap merah.

Dari belakang juga, terdengar suara bos yang ketawa berdekah-dekah. Amin di sisi Layla juga ketawa berdekah-dekah. Rizal Gunx tersengih-sengih memandang Layla yang wajahnya juga mula bertukar jadi merah.

“Eeee…bodohnya aku….” jerit Layla dalam hati.

KOMA

Layla mula sedar, sikapnya yang gilakan pangkat selama ini dapat dihidu bosnya. Layla insaf. Selepas ini dia berjanji akan mengubah corak kerjanya. Datang awal dan buat kerja dengan ikhlas. Bukan kerana gred 44, kerusi empuk, dan Mid Valley, pusat nafsunya.

Versi Rizal Gunx

Versi Pelitaminyaktanah

Versi Hadi

Rizal bengang. Ketika perutnya memulas kelaparan, ketika itulah dia diminta menghantar beberapa cek dan wang tunai yang harus di masukkan ke dalam akaun seorang pelanggan syarikatnya. Rizal mengambil keputusan untuk pergi ke sebuah bank yang berdekatan dengan pejabatnya dengan anggapan, bank yang kecil tidak ramai pelanggan.

Tiba di bank, Rizal terus memakir motor kapcainya. Masuk sahaja ke dalam bank, Rizal menepuk dahi. Hampir semua kerusi penuh. Hendak tidak hendak, terpaksalah Rizal akur, hari ini hari gaji. Jadi, banyak urusan yang akan dilakukan di bank. Dia memerhati sekeliling, dan dengan lemah dia menuju ke tempat mengambil tiket. 0252. Rizal memerhati nombor pada kertas itu dan mengalih pula pandangan ke arah skrin hitam di bahagian atas kaunter.

Skrin yang memaparkan nombor warna merah itu menunjukkan angka 0230. Rizal mengambil tempat duduk di sebelah seorang makcik yang nampaknya sedang tekun berzikir menggunakan kiraan jemari sementara menanti gilirannya. Rizal terus mencongak-congak dengan jari, berapa nombor lagi yang perlu dilangkahi untuk sampai kepada nombor gilirannya. Oleh kerana Rizal memang lemah bab kira-mengira, maka dia mencampur-tolak angka-angka itu dengan jemarinya perlahan-lahan.

“Bagus, orang muda yang selalu ingat tuhan seperti awak ini. Teruskan berzikir. Semoga tuhan merahmatimu, nak…” kata mak cik di sebelahnya.

Rizal tergamam tetapi dia mengangguk-angguk senyum sambil jemarinya ligat mengira. Dia melihat kaunter bank sudah seperti kaunter menjual ayam golek akibat kelaparan yang menggila. Kemudian dia ternampak beg tangan seorang wanita yang sungguh comel seperti sebiji kek coklat kegemarannya. Dia mengalihkan pandangan kea rah seorang lelaki yang gempal. Perut lelaki yang berlapis-lapis bertukar menjadi burger istimewa yang selalu dinikmatinya ketika tengah malalm, pulang dari melepak dengan kawan-kawannya. Rizal menelan air liurnya.

Tiba-tiba, pintu bank dirempuh kasar. Tiga orang lelaki bertutup wajah dengan helmet menggamat suasana.

“Ini rompakan. Berdiri semua. Berdiri sebelah dinding sana!” jerit salah seorang daripada mereka.

Suasana bertambah gamat. Namun, tiada jeritan kedengaran kerana bimbang ditembak. Juga mungkin kerana masing-masing mungkin sudah terdedah dengan babak begini dalam drama Gerak-Gerak Khas. Rizal tergesa-gesa berlari ke arah dinding sehingga lupa perutnya yang kelaparan. Mungkin perut yang mengembang kosong tadi, sudah mengecut kerana ketakutan.

“Makcik, tolong bergerak ke arah dinding. Ini rompakan. Makcik nak kena tembak ke?” jerit seorang perompak lagi.

Makcik yang duduk di sebelah Rizal tadi rupanya masih duduk di situ dengan gaya yang cun. Kemudian, setelah diacu pistol ke kepalanya, makcik itu hanya tersenyum dan jalan melenggang ke sebelah Rizal yang sudah seperti mahu terkucil melihat pistol perompak itu yang besar dan berkilat. Walaupun Rizal digelar Rizal Gunx, namun dia cukup seram melihat pistol di hadapan matanya itu.

Sementara lelaki yang pertama mengaut duit dari kaunter, dua orang rakannya mengawal orang ramai yang mula panik apabila diacu-acukan ke pistol ke arah mereka.

“Ala, ini mesti geng Bang Ang Boom. Saja buat gempak,” bisik makcik itu ke telinga Rizal. Rizal tergamam.

Segera dia merenung sekeliling dan akhir sekali ke wajah mak cik yang penuh keyakinan itu. Makcik itu tersengih dan buat gaya cun bajet ada kamera sedang merakam aksi mereka menjadi tebusan di bank itu. Rizal teringat rancangan televisyen Bang Ang Boom yang suka mengenakan orang dengan pelbagai ragam itu. Rizal geleng kepala seperti tidak percaya. Namun, Rizal berharap semoga segalanya selesai segera kerana dia betul-betul lapar sehingga terasa mahu pengsan seperti sewaktu dia di perhimpunan sekolah sepuluh tahun yang lepas.

Mata Rizal mula berpinar lagi. Seketika, di depan matanya terpampang seekor ayam golek yang harum baunya. Tanpa berlengah Rizal menyambar ayam itu, menggigit dan mengunyah dengan penuh selera. Sosa yam golek yang kemerah-merahan memenuhi sekitar wajah dan bajunya.

Rizal betul-betul lapar sehingga tidak menghiraukan kekecohan yang melanda di sekelilingnya. Dia terhenti mengunyah apabila ada tangan kasar menarik kepalanya dari ayam golek itu. Telinganya dipiat beberapa kali dan Rizal kembali ke alam nyata.

“Cut….” terdengar jeritan kasar.

Rizal mengesat-ngesat matanya yang masih berpinar.

KOMA

Hari itu, tim Bang Ang Boom kecoh. Cubaan mereka untuk mengenakan orang (mahu mengenakan pengurus bank itu dengan insiden rompakan) tidak berjaya kerana salah seorang pelakonnya (yang berlakon menjadi perompak) cedera teruk di bahagian lengan akibat ‘diratah’ oleh Rizal.

“Kan aku dah kata, ini semua lakonan sahaja…” kata mak cik itu masih dengan gaya ‘jobo’ kerana tidak tertipu dengan proram Bang Ang Boom itu.

“Itulah, buat lagi program bodoh macam ni…” sambut salah seorang pelanggan bank tadi. Rizal terkebil sambil mengelap mulutnya yang dipenuhi darah.

Versi Rizal Gunx

Versi Pelitaminyaktanah

Versi Suhaimi

Versi Nurish

Versi Salman

Versi Sharul

Semalam hujan. Cantik dalam dingin. Jatuh cinta untuk kali yang entah ke berapa. Hari ini saya tidak tahu sama ada hujan turun lagi atau tidak. Juga tidak tahu sama ada saya akan bernafas untuk berapa hela lagi. Semoga dipanjangkan umur buat saya dan semua.

KOMA

Hujan. Banyak tafsirannya.

Lebih kepada emosi : pilu, sedih dan emosi-emosi yang membawa kepada kepiluan hati.

Hujan itu air mata. Katanya. Saya biarkan sahaja kerana dalam jiwa ada banyak cerita tentang hujan.

Ia tidak terucap. Tidak tercatat.

Hujan tidak menentu sejak tahun lepas. Tidak ikut musim lagi. Banyak perkara jadi tidak menentu.

Nelayan yang biasa menyusun atur jadual untuk ke laut tiba-tiba runsing dengan permainan cuaca ini.–> Insya Allah, ada rezeki yang lain yang telah Tuhan sediakan untuk hamba-Nya yang sentiasa berdoa.

Penunggang motorsikal pula sudah tidak percaya kepada mentari yang cerah di pagi hari yang tiba-tiba dalam masa beberapa minit hujan turun tanpa wacana. –> Bawa sahaja baju hujan untuk menunjukkan keredhaan kita terhadap apa juga yang menghalangi perjalanan.

Melihat langit sudah menjadi satu tertib untuk memulakan perjalanan. –> Mulakan sahaja dengan doa. Insya Allah, dipermudahkan segala perjalanan tidak kira panas atau hujan.

Ahh..hujan lagi. Tergendala lagi segala agenda. –> Tidak mengapa, ada hikmah yang besar di sebalik ‘rehat’ ketika hujan.

KOMA

Masih mengingati hujan semalam. yang sungguh deras berjatuhan dari langit. Awan-awan mula menipis. Dan akhirnya mentari mencelah dengan hangatnya.

Ya, sejak setahun yang lalu…kisah hujan masih belum mampu saya tafsirkan dengan kata-kata dan cerita. Hujan turun dan terus turun. Saya masih buntu dan terus buntu. Sepertinya, titis air hujan dingin yang suci itu belum mampu menghilangkan karat yang bertampuk di hati dan turunnya ke jemari. Maafkan saya tuan yang setia menunggu.

Menikmati makanan yang jarang dijamah, burger. Bersama adik perempuan yang jarang bersua, Tata. Dengan buku berada di tangan masing-masing.

Usai menjamah makanan, saya mencuci tangan dan berdiri di sebelah rak buku saya.

“Pandang apa?” tanya Tata.

“Buku-buku kakak,” jawab saya.

“Mengapa?” tanya Tata agak pelik.

“Membandingkan buku yang berada di tangan awak dengan buku yang selama ini kakak baca,” jawab saya pula.

“Kenapa?” tanya Tata dengan penuh tanya.

Saya jawab, “kerana awak banyak membaca buku cerita. Kakak pula lebih suka buku sastera.”

Tata mengerutkan dahinya.

KOMA

Berdebat tentang sastera atau tidak sesebuah buku akan membuatkan penulis atau penggemar buku ‘cerita’ mencuka.

Hakikatnya, memang benar banyak beza antara buku sastera dengan buku cerita walaupun hadir dalam medium yang sama iaitu novel.

Ada novel yang hanya bercerita. Bla…bla…bla…tentang cinta, tentang kehidupan tentang alam dan sebagainya. Ceritanya baik dan menarik. Begitu juga novel sastera. Juga ada isu cinta, kehidupan, alam dan sebagainya.

Jadi apa bezanya?

Bezanya pada bahasa yang digunakan.

Tahukah, penulis yang baik ialah penulis yang mampu bercerita dengan bahasa yang baik, betul dan mudah. Mampu menyampaikan cerita dengan keindahan bahasanya. Mampu mengungkap emosi dengan pemilihan perkataan yang tepat pada konteksnya. Mampu membina pengetahuan dan memperkaya kosa kata pembacanya. Itulah karya sastera.

Mohon kefahaman. Sastera bukanlah bermakna menggunakan ayat yang puitis segala bagai sehingga menyukarkan pembaca. Sastera ialah kebolehan berbahasa dengan baik, halus, mudah dan betul pada konteksnya.

Berbahasa dengan baik dalam menyampaikan ceritanya, menjadikan masyarakat pembacanya tahu budi bahasa. Tahu menjaga bahasa. Tahu mencintai bahasanya.

Ini bukan soal bahasa sahaja. Ini soal kelangsungan idea penulis.

Menggunakan bahasa yang standard [Bahasa Melayu Tinggi], menjadikan karya lebih tahan lama. Dibaca oleh segenap lapisan masyarakat tanpa mengira bangsa, latar belakang pendidikan atau umur. Serta menjadikan karya tersebut mempunyai nilai yang tinggi dalam pasaran kerana sasarannya ramai.

Karya yang bersastera dengan bahasa yang baik ialah karya yang MAHU dibaca.

Menggunakan bahasa pasar, bahasa kesat ataupun bahasa campur-aduk Melayu dan Inggeris membuatkan karya itu akan hanya menjadi karya yang bercerita pada waktu itu sahaja kerana pada zaman akan datang, karya itu lapuk dan tidak mampu dibaca oleh generasi seterusnya. Sasarannya pula sangat terhad. Tertumpu pada golongan tertentu sahaja kerana golongan yang terpelajar, bangsa lain serta perbezaan umur pembaca menjadikan karya itu sukar dihadam.

Malah, karya yang tidak bersastera MALU untuk dibaca.

Bukankah apa yang dibaca menggambarkan pembacanya?

Ya, kali ini saya bercakap soal bahasa dalam karya.

KOMA

“Merugikan duit awak sahaja,” jelas saya kepada Tata.

“Kenapa pula?” tanya Tata

Buku umpama suis. Suis yang boleh digunakan dan memberi ‘cahaya’ kepada kamu. Itulah buku yang saya label sebagai buku sastera.

Buku umpama suis. Suis yang tidak boleh digunakan. Hanya menghiasi dinding. Itulah buku yang saya labelkan sebagai buku cerita.

“Langit petang dengan sinar mentari yang menjingga sangat cantik. Langit malam yang masih nampak kebiruannya kelihatan bersih dan tulus dengan bulan sabit yang ‘tajam’, bintang sebutir, lampu di sisi  jalan yang menyinar. Terasa mahu mengambil gambar,” kata saya lewat perbualan maya, kepadanya.

Saya tahu dia sedang membayangkan kata-kata itu.

Sambung saya lagi, “cermin kereta yang dipenuhi titis hujan petang tadi, masih belum kering. Titisnya berwarna emas apabila disinari lampu di sisi jalan.”

Saya pasti dia sedang membayangkan kata-kata itu.

Dan sekiranya dahinya masih berkerut membayangkan cerita yang saya citrakan melalui tulisan, maka saya gagal di situ. Gagal membawa keindahan mentari senja sesudah hujan mendingin kepadanya.

KOMA

Saya bercerita dengan kawan-kawan, atau sesiapa sahaja dengan tulisan. Berkisah dan bertukar pandangan dengan tulisan. Artikel yang saya tulis, saya pasti memberi kesan kepada pembaca walau sebesar zarah kebaikan. Namun, ada juga tulisan saya yang kurang difahami, malah menimbulkan keraguan, ketidakselesaan rasa serta yang paling saya takuti menimbulkan salahfaham.

Makanya, di situ, saya gagal bercerita. Gagal kerana apa yang ingin saya ceritakan tidak sampai maksudnya kepada pembaca. Gagal dan kecewa apabila rasa yang ingin disampaikan, yang maksudnya baik, menjadi tidak baik pada pemahaman orang lain.

Tulisan saya, apabila ia dalam simpanan, maka ia menjadi hak saya untuk mempertahankannya bagaimanapun. Tetapi apabila telah diterbitkan dan dipaparkan kepada umum, ia menjadi hak umum untuk mengkritiknya atau memandangnya dari sudut apapun.

Harapan penulis, agar segala apa yang ditulis memberi kesan yang baik-baik walau bagaimana cara sekalipun tulisan itu dicitrakan oleh pembaca.

KOMA

Saya melihat mentari senja itu lagi. Cantik. Tidak tergambar dengan kata-kata.

Maka, saya capai kamera, dan mula ‘menembaknya’ bertubi-tubi. Tidak terakam juga cantiknya apabila setting pada kamera tidak dijaga. Warnanya tidak begitu asli. Memandang gambar tersebut tidak rasa hangat dan bangganya mentari memiliki cahaya yang gemilang.

Maka, saya ambil pensil, dan mula melukis, mewarna. Juga gagal.

Maka, saya simpan sahaja dalam hati segala keindahan mentari hari ini.

Kerana, jika terus menerus, saya memaksa diri untuk menggambarkan mentari itu, dengan cahaya yang gemilang, saya bimbang. Bimbang diri sendiri merana. Merana kerana gagal menyampaikan rasa indah dan syukur itu. Lebih merana jika yang membaca tulisan, menatap gambar dan menilik lukisan saya, akan salah faham.

Tapi kawan, jika kamu menggunakan rasa hati yang putih tanpa prejudis, tanpa saya tulis, rakam atau lukis, ia tetap mentari di mata hati kamu. Tetap mentari. Bukan selainnya.

DSC_0907-Edit

“Cikgu menjadi penyebab untuk saya bangun pagi dan menjawab soalan – mengapa saya harus ke sekolah.”

Itulah kata-kata seorang pelajar semasa Cikgu Rahman mengajar di sebuah sekolah di pedalaman. Cikgu Rahman kawan sekelas saya.

Tanya cikgu Rahman semula, “mengapa?”

“Kerana cikgu kacak dan bercakap dengan yakin. Jika cikgu menipu pun, saya akan percaya,” jawab pelajar itu.

KOMA

Setiap dari kita punya citarasa sendiri terhadap inspirasi yang perlu ada setiap hari.

Setiap pagi harus punya alasan mengapa perlu ke pejabat. Punya alasan mengapa harus hidup. Punya alasan mengapa harus kerja dan sebagainya.

Alasan itulah inspirasi.

Inspirasi boleh sahaja didapati dari apa sahaja dan sesiapa sahaja.

Jadi jangan perlekeh orang lain yang punya alasan tertentu mengapa mereka meminati sesuatu yang tidak kena dengan jiwa kita. Ingat, kita ini berbeza.

Tapi kalau sesuatu itu memudaratkan diri dan masyarakat sekeliling, perlu juga kita pertikaikan.

Hidup ini juga bukan sendiri-sendiri dan berjalan atas otak sendiri.

Mencari dan memberi inspirasi kepada orang lain akan mendapat pahala selagi ia bermanfaat.

Mungkin inspirasi itu ada dalam diri ibu bapa yang harus dikunjungi, dan dihubungi selalu. Suara mereka dan pandangan mata mereka memberi inspirasi untuk kita terus hidup.

Jika tiada…

Mungkin inspirasi itu datangnya dari kawan-kawan dan teman yang istimewa di hati dan di jiwa.

Jika tiada…

Inspirasi itu mungkin juga dari orang sekeliling yang tida kita kenali tetapi selalu berlegar di depan mata – jiran atau sesiapa sahaja yang memberi kesedaran dan semangat pada kita walau sedetik.

Jika tiada…

Mungkin juga melalui minat kita terhadap sesuatu. Makanya, kita punya alasan untuk teruskan hidup. Minat fotografi misalnya yang boleh menghiburkan kita dengan menatap gambar-gambar yang bercerita segala.

Juga mungkin melalui hobi membaca. Makanya, kita sering terinspirasi dengan kisah yang dibawa.

Juga apa sahaja hobi kamu, jadikan ia sebagai alasan untuk kamu tidak berasa bosan dengan hidup yang esok lusa mungkin tiada lagi nafas untuk kamu. Siapa tahu?

KOMA

“Saya suka tengok awak,” katanya suatu waktu dahulu.

“Kenapa? Saya bukan cantik pun,” jawab saya sambil agak tersipu.

“Bukan pasal cantik pun. Saya suka tengok awak bersemangat membaca dan bersemangat membuat kertas kerja,” jawab dia.

Hahhahaa…..

*Mana perginya semangat itu ya?

Sebelum itu, baca ini dahulu.

Petang itu gadis sangat letih. Seminar begini memang membosankan.

Penceramah masih bersuara lantang walau sudah ada pelajar yang terhangguk-hangguk dan terlentok dengan lena.

KOMA

Jejaka memandang gadis. Ada suatu rasa yang membuak dalam jiwa jejaka. Gadis tidak tahu akan hal itu.

KOMA

Tengah hari itu, kira-kira pukul 12.30, jejaka mendekati gadis. Jejaka mempelawa gadis makan. Gadis memandang wajah jejaka. Antara percaya dengan tidak, gadis tersenyum dan menerima ajakan jejaka.

AJK yang lain sudah pun mengambil tempat masing-masing. Bermacam lauk terhidang. Antaranya kari ayam yang memang menjadi kegilaan gadis.

KOMA

Gadis menatap kari ayam itu dengan perut yang mula terasa dengungan keroncongnya. Walau bagaimanapun, dia tidak mahu kelihatan gelojoh di mata jejaka yang duduk bertentangan dengannya.

Hidung gadis menangkap bau kari ayam itu dengan baik. Aromanya sungguh mendebar rasa. Teringat masakan ibu di rumah. Gadis tidak tahu, lauk yang sama juga menjadi kegemaran Pak Berahim.

KOMA

Pak Berahim terkelip-kelip memandang gadis. Tetapi gadis tidak langsung memandang wajah tua itu. Gadis hanya senyum memandang lauk kari ayam yang masih berwap kerana baru diangkat dari periuk.

Dada Pak Berahim semakin sesak. Matanya kabur. Ada sedikit titis-titis jernih berbaur kari menghiasi wajah tuanya. Bayang-bayang Pak Jenal, isterinya yang comel tetapi comot serta anak-anaknya seakan melambai-lambai dan menjadi slide-show satu persatu diruang matanya.

KOMA

Gadis masih termangu di hadapan nasi yang tidak berlauk. Direnungnya lauk pauk yang menghiasi meja itu. Lauk kari ayam, sayur campur, telur dadar, ikan masin, Daging masak paprik dan sup tulang lembu. Wajahnya diangkat semula. Merenung jejaka.

Jejaka menghulur sudu dan garfu. Gadis menolak. Menunjuk isyarat jemari.

Jejaka hanya senyum. Juga meletak sudu dan garfu ke tepi. Air basuhan tangan dihulur kepada gadis. Gadis mencuci tangannya dengan rapi. Doa dibaca dengan perlahan..

doa18.gif

KOMA

Pak Berahim menggagahkan tangannya untuk melambai gadis. Tapi tangannya begitu lemah. Terasa kaku. Kepanasan yang membakar tubuhnya menyebabkan Pak Berahim tidak mampu berbuat apa-apa.

Kepalanya bagaikan pecah. Kakinya sudah tidak merasa apa-apa. Air matanya mengalir lagi. wajah anak-anaknya kembali bermain di mata. Dia menangis semahu-mahunya. Menyesal dengan prejudis yang dilempar pada Pak Jenal. Segalanya sudah terlambat.

Kini, Pak Berahim hanya berharap pada Gadis. Jika dia mampu menarik perhatian Gadis, maknanya dia masih boleh balik ke rumah dengan dayanya yang ada. Berjumpa anak isterinya. Dan memulakan hidup dengan lebih berhati-hati. Dia berjanji itu. Jika Gadis melihat kelibatnya.

Ketika sedang berkira-kira dengan nasibnya, Pak Berahim melihat Gadis mula memegang sudu.

KOMA

Gadis mula mengambil lauk kari ayam yang terhidng di hadapannya. ketika itulah dia terpandangkan Pak Berahim yang lemah terkulai. Gadis terkejut. Ada kerut diwajah gadis yang Pak Berahim sendiri tidak dapat tafsir apakah maknanya.

Gadis terdiam. Jejaka bertanya, mengapa. Gadis masih terdiam.

Sudu yang berisi kuah kari ayam masih dipegangnya.

KOMA

Pak Berahim bersyukur Gadis telah melihatnya. Melihatnya dalam keadaan yang daif dan tidak berdaya. Harapan Pak berahim berbunga kembali.

Tiba-tiba…

Kisah ini adalah sequel daripada kisah Jika Itu Yang Tersurat.

Alam persekolahan, yang terikat dengan pakaian seragam dan buku teks yang pelbagai, ditambah lagi dengan silibus yang perlu dipatuhi serta peperiksaan yang mencengkam jiwa.

Dan kini itu semua tiada. Melangkah ke suatu tempat yang asing menggerunkan jiwa kecil gadis. Tawaran melanjutkan pelajaran di institusi itu menumpahkan air matanya, air mata keluarganya juga.

Hari itu, gadis menerobos sempadan dunianya. Rumah kecil itu ditinggalkan. Dan memasuki dunia yang semakin luas.

Gadis termangu memerhati ibu dan bapanya yang semakin jauh berada di dalam perut kereta. Dan kenderaan itu semakin jauh dan kelam pada pandangan yang dipenuhi air yang jernih. Kolam mata tidak bergerak. Takut airnya tertumpah.

KOMA

Seorang perempuan sedang muram bersandar di tepi tiang. Dia adalah gadis itu. Gadis yang baru pertama kali tiba di Kuala Lumpur. Kota yang penuh dengan keindahan, kesibukan dan segala macam ke…an lagi.

Gadis itu tidak berteman. Beg-beg besarnya masih berada di hujung kaki. Dan bantal berbentuk beruang itu juga masih enak melentok dalam pelukan.

KOMA

Minggu pertama berada di kalangan bijak pandai membuatkan gadis sedikit gugup. Proses pendaftaran, suaikenal dengan pelajar senior serta sesi pengenalan kepada subjek yang bakal dikorek isi ilmunya, berakhir dengan baik.

Banyak perkara baru yang ditemui si gadis.

Orang KL makan nasi lemak tengah malam, sedangkan di tempatnya, sebuah kampung terpencil, nasi lemak hanya wujud di pagi hari. Dinikmati bersama kokokan ayam jantan seiring terbitnya sang suria.

Malam adalah waktu untuk berehat bagi manusia sepertinya, seorang gadis dari kampung yang memperuntukkan malam untuk bersama keluarga, bergurau senda dengan adik kakak. Dan malam merupakan masa yang bermakna bagi si gadis menganyam mimpi indah, memuntahkan impian dan harapan dalam angan-angan ketika mahu melelapkan mata.

Malam itu, dalam kesibukan kota, gadis dibawa mengenal manusia. Dan gadis terpana. Mengelilingi KL seperti mengelilingi dunia. Segala macam perkara ditemui.

KOMA

Dia hanyalah gadis kampung. Yang selalu ditegah berkelah, mandi manda diluar garis sempadan rumahnya. Juga ditegah ke kota kecil berdekatan kampungnya. Apatah lagi berkhemah atau berkeliaran dipusat membeli belah bagi menghayati secebis kehidupan remaja.

Dia hanya gadis. Suci. Beerti.

KOMA

Kekangan abah ada benarnya. Terhasil gadis sebagai perempuan yang ada nilainya.

Kehadirannya di kota besar itu, menuntut ilmu, mencambah suatu perasaan yang tidak ternilai. Alhamdulillah, berkat didikan ayah bonda, gadis sentiasa tahu siapa dirinya, peranannya dan tahu dengan akal yang waras ke mana kakinya melangkah, ke mana bicaranya tertumpah, ke mana pandangannya menerjah.

Gadis juga tahu dirinya yang kecil mampu dibilas oleh ombak debu sang kota yang tidak mengenal siapa. Gadis tahu itu. Kerana itu, semasa sang jejaka mempelawanya keluar bersiar, dia menolak. Sangat menolak. Dan jejaka semakin terpana.

KOMA

Semester pertama berlalu dengan baik. Gadis pulang bercuti. Rangkulan bonda menumpah sekolam air suci.  Cerita itu ini mengundang reaksi. Dan cerita itu menjadi lipurlara si cilik yang diam-diam kagum dengan kakaknya yang berjaya menerobosi dunia mereka yang tersendiri.

Wajah dan jiwa lembut gadis menjadi cahaya yang menerangi hati bondanya. Si ayah hanya tersenyum. Ternyata gadis, anak yang boleh dipercayai. Anak yang bakal memimpin mereka ke syurga. Menemani ruang gelap alam mereka yang lain dengan keindahan peribadinya. InsyaAllah. Itu doa si ayah bertalu-talu…dalam kegelapan malam agar gadis sentiasa berjalan di laluan yang sebetulnya. Agar gadis menjadi haruman syurga kepada mereka sekeluarga di dunia dan akhirat.

KOMA

Semester baru akan bermula. Gadis berdiri di sisi keluarga dengan yakin. Tiada lagi air mata. Gadis meneruskan langkah dengan yakin. Tempat itu akan menjadi gedung kepadanya menambat segala ilmu untuk dicerna dalam jiwa dan disebarkan ke pelusuk benua. Suatu hari kelak. Itu janjinya.

Akan bersambung…