HADIAH Sastera Kumpulan Utusan – ExxonMobil (HSKU) kali ke 25 tahun akan berlangsung pada 9 Julai ini di Panggung Sari Istana Budaya, Kuala Lumpur. HSKU yang dianjurkan oleh Kumpulan Utusan dengan penaja utamanya ExxonMobil, penaja lokasi Istana Budaya dan stesen penyiaran rasmi Astro merupakan penghargaan kepada penulis yang menghasilkan karya terbaik.

Untuk kategori cerpen, cerpen remaja dan puisi, penganjur menyediakan tiga hadiah utama dan enam hadiah penghargaan setiap satu kategori pada 9 Julai nanti.

Selain kategori ini, HSKU juga akan menyampaikan hadiah kepada pemenang kategori novel remaja dan penulisan rencana serta kajian sastera.

Tetapi sebagai sebuah penghargaan dan bukannya “pertandingan”, dalam HSKU tidak ada pemenang dan tidak ada yang kalah. Cuma yang terpilih menerima hadiah adalah yang paling menonjol dan yang tidak terpilih bukanlah tewas atau buruk.

Untuk mengukur tinggi rendah sesebuah karya sastera bukanlah semudah menyediakan skala 1 hingga 10 dan kita memilih salah satu daripadanya. Mengukur karya sastera bukan dengan angka, maka selain yang dipilih hadiah utama dan penghargaan, mereka yang berjaya menempatkan karya dalam senarai akhir juga penting untuk dihebahkan.

Bukanlah suatu yang mudah misalnya untuk menempatkan diri dalam senarai 20 terbaik daripada lebih seratus karya yang dinilai. Lalu yang berjaya dalam senarai ini juga satu kejayaan. Kejayaan ini diraikan dengan menyiarkan mereka yang dipilih dalam senarai akhir.

HSKU antara lain matlamatnya adalah untuk merakyatkan karya sastera di negara ini. Dengan itu majlis penyampaian hadiah kali ini selain dihadiri oleh tetamu kenamaan dan jemputan, peminat-peminat sastera juga dialu-alukan untuk menyertai acara di Istana Budaya ini. Seminggu sebelum acara, pihak penganjur akan mengeluarkan pas-pas percuma yang boleh didapati di Istana Budaya. Tunggu pengumuman seterusnya daripada penganjur.

Dipetik dari SINI.

KOMA

Senarai penuh pemenang HSKU 2009 yang diumumkan dalam Mingguan Malaysia, 4 Julai 2009 :

KATEGORI NOVEL REMAJA

1. Impuls Roh : Sri Rahayu Mohd Yusop [RM7000]

2. Silir Daksina : Md Nizar Parman [RM 4500]

3. Dayung Sudah Ditangan : Norziati Mohd Rosman [RM3000]

KATEGORI CERPEN REMAJA

Tiga hadiah utama, RM2500 setiap satu

1. Ayam Patah Kepak [Mingguan Malaysia, 7 Jun 2009] : Hafizah Iszahanid

2. Kasut Tutankhamun [Mingguan Malaysia, 19 april 2009] : Mohd Fudzail Mohd Nor

3. Puaka Pak Jaha [Mingguan Malaysia, 27 Disember 2009] : Nadia Khan

Hadiah Penghargaan, RM800 setiap satu

1. Es Teller di Pagi Raya (Ummu Hani Abu Hassan) Mingguan Malaysia, 20 September 2009

2. Fort Margherita (Mohd Ali Salim) Mingguan Malaysia, 16 Ogos 200

3. Hipertensi (Ilias Zaidi) Mingguan Malaysia, 1 Februari 2009

4. Khilaf (Wan Marzuki Wan Ramli) Mingguan Malaysia, 12 April 2009

5. Munsyi (Husna Nazri) Utusan Melayu Mingguan, 2, 9 dan 16 November 2009

6. Sanubari Seorang Anak (Siti Hajar Mohd Zaki) Mingguan Malaysia, 25 Januari 2009

KATEGORI CERPEN

Tiga hadiah utama, RM 3000 setiap satu

1. Akhir Parak Siang (Zaen Kasturi) Mingguan Malaysia, 29 Mac 2009

2. Embus-embus Iman di Indus (Adip MN Damanhuri) Mingguan Malaysia, 17 Mei 2009

3. Mahkota di Atas Jemala (Farahana Hussain) Al-Islam, Mac 09

Hadiah Penghargaan, RM800 setiap satu

1. Dari Fail Tribuhak (Ghazali Lateh) Mingguan Malaysia, 23 Ogos 2009

2. Falsampah (Serunai Faqir) Mingguan Malaysia, 25 Oktober 2009

3. Ketuanan, Maaf dan Seorang Binatang (Marsli N.O) Mingguan Malaysia, 22 Mac 2009

4. Kisah Sebatang Pokok (S. M. Zakir) Mingguan Malaysia, 28 Jun 2009

5. Narasi Cinta di Pulau Seribu Kubah (Mawar Shafei) Mingguan Malaysia, 18 Januari 2009

6. Tukang Sepatu dan Sahabat dari Bukit (Malim Ghozali PK) Mingguan Malaysia, 26 April 2009

KATEGORI PUISI

Tiga hadiah utama, RM 1000 setiap satu

1. Aroma (S.M Zakir) Mingguan Malaysia, 27 Disember 2009

2. Ingatan kepada Kawan ‘XXI’ (Zaen Kasturi) Mingguan Malaysia, 10 Mei 2009

3. Sekeping Lukisan di Kaki Lima (Mohamad Saleeh Rahamad) Mingguan Malaysia, 27 Disember 2009

Hadiah Penghargaan, RM500 setiap satu

1. Ayah adalah Hadiah Allah (Salman Sulaiman) Wanita, Jun 2009

2. Catatan Tentang Bukit (Husna Nazri) Mingguan Malaysia, 22 Mac 2009

3. Cerita Terpanggil-panggil, Penglipur Semakin Melara (Ariff Mohamad) Mingguan Malaysia, 4 Oktober 2009

4. Ego Sebutir Pasir (Fudzail) Mingguan Malaysia, 6 Disember 2009

5. Ingatan kepada Kawan ‘XXII’ (Zaen Kasturi) Mingguan Malaysia, 11 Oktober 2009

6. Seorang Tua di Kaki Tamadun (Fahd Razy), Mingguan Malaysia, 15 Februari 2009.

RENCANA SASTERA

Dua hadiah, RM1000 setiap satu

1.Bahasa Cinta Hamzah Fansuri, Mohd Hashim Osman : Mingguan Malaysia, 6 Disember 2009

2. Psikosomatik Yang Menyala, MAlim Ghozali PK : Mingguan Malaysia, 22 Februari 2009.

KOMA

Tiada pemenang dan tiada yang kalah.

Saya kira, kalaupun bukan kerana pertandingan dan imbalan, sesebuah karya yang mahu berjumpa dengan khalayak pembaca, harus dinilai.

Pertandingan, ada juri dan panel hakimnya.

Penerbitan pula, ada editor dan pembaca prufnya.

Tidak kira apa jua bentuk bahan bacaan, ia harus dinilai sebaiknya. Ditapis sebaiknya.

Paling penting, karya yang bernilai ini harus dipelbagaikan cara dan kewujudannya untuk bertemu pembaca. Mudah diperolehi di kedai buku. Ada tindakan susulan seperti didramakan atau difilemkan dan menjadi teks rujukan untuk pelajar sekolah dan universiti.

Tahniah buat kawan-kawan penulis yang berjaya membawa karya dan pemikiran mereka kepada khaayak pembaca.

DSC_0594-Edit

“Semangat hilangkah?” tanya seorang kawan pejabat.

“Ya, agaknya. Sikit sahaja. Sekejap lagi oklah ni.”

Semangat dan cabaran saling beriringan.

Lif rosak. Pejabat di tingkat lima.

Ada demonstrasi di hujung jalan. Makanya, jalan sesak.

Begitu juga jika ada acara di PWTC. Akan ada kedengaran bunyi riuh serta tempat meletak kereta yang membungkam penuhnya.

Apatah lagi apabila hujan lebat. Air naik dan banjir melanda menenggelamkan apa sahaja. Berwaspada dengan ini.

Ini tidak termasuk lagi cabaran-cabaran dalaman, tentang rakan sekerja yang tidak sekerja. Tentang pemimpin yang tidak memimpin.

Itu cabaran yang kadang mematahkan semangat.

Cabaran yang menyebabkan diri dibakar. Hangus.

KOMA

“Saya cabar awak menghasilkan karya dalam tahun ini juga,” kata seorang kawan yang juga dalam bidang yang sama.

Cabaran yang menaikkan semangat.

Mahu serius atau main-main, terpulang kepada kamu kerana akhirnya kamu juga yang akan merasa sesuatu. Mungkin malu setelah berbelas-belas bengkel penulisan dihadiri, namun hasilnya masih ‘telur ayam’.

Ini pastinya cabaran yang membakar semangat atau terdiam kerana terbakar.

KOMA

“Saya mahu lihat, sejauh mana awak mahu berdiam diri dan berpegang dengan apa yang awak katakan hari ini,” katanya petang itu. Suatu waktu dahulu.

Ya, kata-kata begini juga merupakan cabaran.

“Saya akan buktikan,” jawab saya dalam hati. Terasa semangat mahu berubah itu mula menyala. Akan membakar atau terbakarkah nanti?

Begitulah, manusia cukup pantang apabila dicabar.

jam copy

“Saya suka menerima surat cinta, kerana permulaan ayat pada surat sangat manis,” kata Natsuna.

“Natsuna yang disayangi….” sambung Soichiro.

“Ya. Betul. Saya paling suka bahagian itu. Tidak kira apapun isi kandungannya. Cukup dengan ayat pertama,” kata Natsuna.

Lagi-lagi melayan drama Jepun ini. Overtime.

KOMA

arenawati

Menjelangi Seminar Pemikiran Sasterawan Negara Arenawati [yang diminta oleh ahli panel agar gelarannya bukan di peringkat kebangsaan tetapi Nusantara], menemukan kekuatan sebenar seorang penulis yang lahir dari dendam yang mendalam terhadap penjajah dan kecintaan yang luhur terhadap khazanah warisan bangsanya.

Seingat saya, sepanjang seminar berlangsung, tiada karya ‘cinta’ Allahyarham Arenawati diceritakan. Mungkin ada hasil penulisan beliau tentang cinta. Tapi bukanlah cinta kekasih kepada kekasih semata.

Saya fikir, saya akan dapat mengunyah ayat-ayat manis penulis ini. Rupanya tiada yang manis kerana semua hasil karyanya ditulis berdasarkan semangat nasionalisme yang tinggi.

Beliau diibaratkan sebagai ‘super intelligent human being‘. Saya luluskan gelaran itu apabila meneliti karya-karya beliau yang dibedah melalui pelbagai aspek. Sangat menginspirasi. Penulis muda harus datang ke seminar ini. Harus, agar kamu tahu erti penulisan dan perjuangan dalam menulis, selain sibuk mencipta nama.

Apa yang saya dapat?

Semangat cinta. Cintakan perjuangan penulis yang menulis dengan ilmu dan semangat yang besar. Tanpa memikirkan imbalan yang akan diperolehi. Semata kerana dendam yang hanya boleh dilunasi dengan menghasilkan karya berbaur semangat cintakan bangsa, menyedarkan bangsa tentang cucuk-jarum bangsa penjajah serta menggali warisan peninggalan nenek moyang yang sangat berharga [budaya dan khazanah peribumi yang ingin dipecahbelahkan oleh penjajah].

Walaupun ada yang mempertikai bahawa Pak Arena terlalu mengagungkan Indonesia sebagai tanah tumpah darahnya, saya masih beranggapan itu bukan apa-apa kerana bagi saya dia tokoh penulis bersifat global dan mengenepikan sempadan geografi ketika berkarya. Apa sangatlah Malaysia dan Indonesia jika bangsanya sama sahaja?

“Kalau nak sangat baca hal-hal cinta, surat-surat cinta, bacalah Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck karya Hamka,” kata seorang rakan penulis yang ditemui di sana.

“Sudah baca. Memang terasa semangat cinta antara kekasih itu. Sangat manis dan bertatasusila,” jawab saya sambil mengenang kembali bait-bait ayat dalam surat cinta Zainudin kepada Hayati.

KOMA

“Wah, sampul surat cinta. Sudah lama tidak nampak sampul surat begini.”

Itu reaksi saya ketika Puan Nisah menyerahkan sampul surat berbunga berwarna biru muda itu kepada saya.

Di dalamnya, bukan surat cinta.

Suatu waktu dahulu, ketika usia menginjak remaja, sampul surat itu membawa banyak cerita. Tentang rotan. Tentang kawan. Tentang khianat. Tentang asmaraloka. Tentang jiwa. Tentang segala.

Sekurang-kurangnya, ketika gembira menerima ‘surat cinta’ dari Puan Nisah itu, saya terlupa bahawa saya juga menerima ‘surat cinta’ bersampul putih daripada pejabat yang meminta balasan tunjuk sebab dalam masa tujuh hari.

Saya akan balas.

dsc_0798psd

“Kotak atas almari itu mahu digunakan atau tidak?”

“Ya, saya mahu gunakannya. Mahu isi rahsia akal.”

Bila kita melakukan hal yang sama, orang akan berkata bahawa kita berfikir di dalam kotak. Orang juga akan minta kita keluar dari kotak untuk melihat dunia luar.

Kita bersetuju untuk keluar kotak. Maka, kita dengan sedaya upaya ‘melompat’ keluar dari kotak.

Apabila sudah berada di luar kotak, kita akan ternganga.

“Oh, dunia ini sungguh luas rupanya. Banyak bentuk, banyak warna, banyak rasa.”

Tapi, oleh kerana kita sudah terlalu lama berada dalam kotak, kita jadi kaku. Tidak tahu mahu bergerak ke mana. Tidak tahu menilai bentuk, warna dan rasa yang ada di dunia baru itu.

Kamu yang berada dalam kotak, kamu perlukan seseorang untuk memimpin langkah kamu. Jangan biar tersandung akar yang tertanam di bumi. Jangan terlalu mendongak ke langit. Kamu perlukan tangan yang tahu memimpin ke jalan yang betul. Agar kamu tidak tersesat.

Kamu yang telah berada di luar kotak, kamu harus memimpin dengan baik. Kamu juga harus tahu tentang baik dan tentang jahat. Kamu harus tahu tentang benar dan tentang palsu. Dengan itu pertimbangan kamu akan waras. Jangan matikan semangat mereka yang baru keluar dari kotak.

KOMA

Bengkel KJ Method dan Bengkel Bahasa Melayu Tinggi yang dianjurkan oleh PTS telah saya hadiri. Bengkel ini bermakna buat penulis muda dan penulis yang mahu menjadikan bukunya sebuah aset yang bermakna. Mungkin juga bengkel ini bakal mngeluarkan anda dari kotak. Secara ringkasnya topik yang disentuh;

  1. Tulis lima buku dalam masa yang singkat. Buku yang banyak ditulis beri banyak manfaat dari aspek pemasaran dan lain-lain.
  2. Usah guna linear logic. Tidak perlu ada sebab musababnya.
  3. Jangan abaikan aspek pengulangan. Pengulangan tidak membuang masa.
  4. Seperti artis yang mempunyai pengurus, penulis juga punya penerbit sebagai pengurus. Jadi, kriteria yang ditetapkan oleh penerbit harus diikuti.
  5. Guna konsep fail dan jalan cerita (file and storyline).
  6. Jangan tulis cerita yang tidak pernah/jarang orang tulis (untuk tujuan pemasaran).
  7. Gunakan bahasa Melayu tinggi.
  8. Untuk buku kreatif, gunakan teknik surah Yusuf.

Untuk Bengkel Bahasa Melayu tinggi, pujian diberi kepada PTS kerana berjaya mengekalkan label ‘8 tahun penerbitan berkualiti dalam bahasa Melayu’.

Ya, bahasa Melayu yang baik membolehkan karya atau penulisan kita di baca oleh semua bangsa yang tahu berbahasa Melayu dan tidak akan lapuk dek zaman berbanding bahasa Melayu cacamerba.

Saya masih belajar menulis dengan baik dan menggunakan bahasa yang baik.

Selamat menulis kepada saya.