s

Terkesima tatkala membaca mesej ringkas seorang teman penulis yang sederhana di kala rembang senja, sepulang dari pejabat beberapa minggu lalu.

Dia memberi beberapa bait puisi tentang cermin. Bukan untuk saya. Tetapi begitulah kami sejak akhir-akhir ini. Walau tidak pernah bersua atau mendengar suara, hubungan kawan tetap terjalin. Ia ikhlas tanpa prejudis. Dan kami saling bertukar pandangan tentang puisi. Tentang penulisan. Tentang kawan. Tentang cermin.

Beberapa hal tentang cermin membiak subur dalam fikiran.

Tentang diri, hidup, kerja, kawan- kawan dan keluarga.

Cermin itu, analoginya pelbagai dalam diri setiap manusia.

KOMA

Cerita seorang teman pejabat dan cerita saya juga tentang orang yang sama mengenai perilakunya yang tidak semenggah dengan teman-teman yang lain. Menjadi ‘gunting dalam lipatan’. Mengenakan orang lain setelah diri sendiri ‘cedera’. Maka, hal ‘cermin diri sendiri’ keluar dalam rongga perbincangan kami. Ada cerpen bakal menyusul, janji saya kepadanya setelah dia meminta saya memindahkan kisah itu dalam bentuk kreatif.

Cerita seorang teman penulisan tentang seorang teman penulis yang lain yang menjadi ‘duri dalam daging’ juga mengungguli pagi kami dalam bual bicara melalui telefon bimbit. Begitulah katanya, apa yang ditulis tidak menggambarkan peribadi penulisnya. Ya. kita sekadar menulis.

Dan apabila dia membicarakan hal ‘air muka’ yang menjadi cerminan diri seseorang, saya agak terdiam. Kerana hal itu jarang saya perhatikan dalam berkawan. Hanya mahu ikhlas berkawan. Dan saya harus lebih berhati-hati selepas ini. Bukan untuk tujuan apa-apa, sekadar untuk menenangkan silaturahim sesama rakan selepas ini.

Tulisan tangan sama ada kemas atau ‘cakar ayam’, sama ada penuh falsafah atau lelucon, tetap mencerminkan diri penulisnya.

Cara bekerja, sama ada tersusun mengikut jadual atau tunggang- langgang ikut suka hati, juga mencerminkan diri orang yang mengerjakannya.

Cara bercakap, melalui nada suara dan pemilihan perkataan yang dituturkan akan mencerminkan budi bahasa dan akhlak orang yang bercakap.

Begitu juga cara makan, cara memandang, cara berjalan, cara memasak, cara memegang, cara mengemas, cara memakai baju, cara memakai kasut, cara bersolek, cara memandu, cara memegang sesuatu…haih…semua cara yang kita aplikasikan dalam hidup seharian menjadi cerminan kepada orang lain.

KOMA

Ini tentang kawan yang saya kira tak perlu saya minta dia cermin dirinya sendiri. Cuma kawan, usah bertingkahlaku demikian dengan saya. Ia amat menjengkelkan dan memualkan.Usah teruskan. Belajar selarikan usia dengan akal.

Hari ini, status facebook saya – Selamat pagi. Terima kasih ‘bukan kawan’. Kebobrokan kamu menjadi cermin kepada saya.

Dan ia mencerminkan situasi yang kurang tenang untuk diri saya oleh mata kawan-kawan yang lain.

Advertisements