“Abah, papan lama ini boleh buat kayu api ni. Ambil ya, bah?” tanya saya kepada abah apabila melihat sudut di halaman rumah kami penuh dengan papan-papan dan kayu yang digunakan oleh abah ketika membuat rumah orang. Berlonggok dan semak.

“Nak buat apa?” tanya abah tanpa menoleh kepada saya.

Saya pun mencari-cari alasan. Untuk membersihkan halaman dan menyahkan papan-papan tersebut dari pandangan mata. Barang abah, jika sudah berkulat sekalipun, perlu tanya kepadanya untuk diubah tempat atau dibuang. Abah garang. Barang yang dicari tak dijumpai, habislah kami, satu rumah kena bebel.

“Buat kayu api lah. Boleh bakar ubi. Bakar lemang ke. Atau bakar saja-saja,” jawab saya.

Abah pandang saya. Katanya, “papan itu sudah lama di situ. Hati-hati ketika mengangkatnya. Bimbang ada musuh tersembunyi di bawahnya. Ular, semut, anai-anai, kala jengking. Haih…macam-macm lagilah.”

Sambung abah lagi, “kalau nak bakar, bakar sahajalah. Tak perlu cari alasan mahu memanggang ubi segala bagai. Lagipun papan tersebut hampir reput. Lemau. Tidak memberi kesan yang baik kepada makanan yang dipanggang.”

Saya diam. Diam kerana binatang-binatang yang abah sebutkan itu menggugat keberanian dan semangat mahu membersihkan halaman. Diam, kerana abah tahu tentang papan dan kayu yang lemau dan kesan kepada yang lain.

KOMA

Saya, dan minggu ini bagai api.

Api yang menyala. Nengan nyalaan raksasa. Gagah dan panas. Baunya sangat panas. Semangat.

Bahan yang membuatkan ia berapi juga tak kurang hebat. Masih segar, baharu dan tidak lemau.

Saya, sedang mengumpul bahan api ini. Tidak kiralah ia kayu atau apa-apa sahaja. Dan tidak mahu bahan ini lemau sebelum api menyala.

KOMA

Minggu ini. Minggu kayu dan api.

Kuliah budaya, teater, puisi, cerpen, gambar dan sebagainya.

Tapi mampukah saya menghidupkan api itu dan menghangatkan yang lain dengan nyalaan yang baik?

Pesan diri, jika sudah dapat kayunya, teruslah nyalakan api. Biar ia membakar dengan gagah. Jika lewat dan lewat, maka kayu tersebut akan lemau dan tidak mampu menyalakan api walau sekecil api mancis. Juga jika lewat, kayu tersebut akan menyimpan musuh yang bakal memadamkan segala api yang menyala.

Advertisements