DSC_0907-Edit

“Cikgu menjadi penyebab untuk saya bangun pagi dan menjawab soalan – mengapa saya harus ke sekolah.”

Itulah kata-kata seorang pelajar semasa Cikgu Rahman mengajar di sebuah sekolah di pedalaman. Cikgu Rahman kawan sekelas saya.

Tanya cikgu Rahman semula, “mengapa?”

“Kerana cikgu kacak dan bercakap dengan yakin. Jika cikgu menipu pun, saya akan percaya,” jawab pelajar itu.

KOMA

Setiap dari kita punya citarasa sendiri terhadap inspirasi yang perlu ada setiap hari.

Setiap pagi harus punya alasan mengapa perlu ke pejabat. Punya alasan mengapa harus hidup. Punya alasan mengapa harus kerja dan sebagainya.

Alasan itulah inspirasi.

Inspirasi boleh sahaja didapati dari apa sahaja dan sesiapa sahaja.

Jadi jangan perlekeh orang lain yang punya alasan tertentu mengapa mereka meminati sesuatu yang tidak kena dengan jiwa kita. Ingat, kita ini berbeza.

Tapi kalau sesuatu itu memudaratkan diri dan masyarakat sekeliling, perlu juga kita pertikaikan.

Hidup ini juga bukan sendiri-sendiri dan berjalan atas otak sendiri.

Mencari dan memberi inspirasi kepada orang lain akan mendapat pahala selagi ia bermanfaat.

Mungkin inspirasi itu ada dalam diri ibu bapa yang harus dikunjungi, dan dihubungi selalu. Suara mereka dan pandangan mata mereka memberi inspirasi untuk kita terus hidup.

Jika tiada…

Mungkin inspirasi itu datangnya dari kawan-kawan dan teman yang istimewa di hati dan di jiwa.

Jika tiada…

Inspirasi itu mungkin juga dari orang sekeliling yang tida kita kenali tetapi selalu berlegar di depan mata – jiran atau sesiapa sahaja yang memberi kesedaran dan semangat pada kita walau sedetik.

Jika tiada…

Mungkin juga melalui minat kita terhadap sesuatu. Makanya, kita punya alasan untuk teruskan hidup. Minat fotografi misalnya yang boleh menghiburkan kita dengan menatap gambar-gambar yang bercerita segala.

Juga mungkin melalui hobi membaca. Makanya, kita sering terinspirasi dengan kisah yang dibawa.

Juga apa sahaja hobi kamu, jadikan ia sebagai alasan untuk kamu tidak berasa bosan dengan hidup yang esok lusa mungkin tiada lagi nafas untuk kamu. Siapa tahu?

KOMA

“Saya suka tengok awak,” katanya suatu waktu dahulu.

“Kenapa? Saya bukan cantik pun,” jawab saya sambil agak tersipu.

“Bukan pasal cantik pun. Saya suka tengok awak bersemangat membaca dan bersemangat membuat kertas kerja,” jawab dia.

Hahhahaa…..

*Mana perginya semangat itu ya?

broga

67 keping gambar untuk hari ini, mungkin tidak berbaloi setelah ‘setengah mati’ mendaki Bukit Broga bersama teman-teman jurugambar. Dan gambar-gambar yang saya rakam tidaklah secantik gambar orang lain yang pernah ke sana.

368 keping gambar malam semalam, mungkin tidak berbaloi setelah seni dan sastera yang dipecah-pecahkan oleh sistem pendidikan Barat sejak dahulu menemui jawapan pada Malam Puisi Utusan. Jawapan kepada soalan – apakah beza penyair dan artis?

Untuk kedua-duanya, berbaloi jika jawapan yang diberikan adalah, kita mencuba dan jika boleh usah sebut hal ‘cincai-cincai’.

Ambil gambar usah cincai-cincai tetapi jangan terlalu terikat dengan peraturan dan segala macam teori.

Berpuisi, akan menjadi lebih baik jika kita mencuba dan terus mencuba mendeklemasikannya. Makanya, berbaloi jika orang gelar kita anak seni. Bukankah seni itu tidak seharusnya meminggir sastera yang dipenuhi makna dan estetikanya?

KOMA

Untuk malam itu, saya kagum seperti biasa dengan pemuisi negara yang benar-benar memberi persembahan terbaik. Marjan S, Marsli N.O, Datuk A. Samad Said, Shukri Abdullah, Zaen Kasturi, Rahman Shaari dan Pyan Habib.

Untuk artis, saya kira usah ketepikan hal sastera [estetika dan penghayatan] dalam bidang seni. Ia saling berkaitrapat. Jika kamu rasa tidak, makanya, akan jadi seperti malam tadi. Sangat beza diri kamu dengan pemuisi sebenarnya walaupun saya percaya sastera jika diadaptasikan sepenuhnya dalam karya seni (lagu-lagu), maka lagu kamu tidak akan jadi seperti sekarang – untuk paling kurang setahun, lagu yang kamu dendangkan tidak akan diingati orang lagi.

Untuk Siti Nurhaliza, puisi Rozais al-Anamy [Lelaki Yang Patah Sayap Kirinya] yang dideklamasikan sangat bagus dan baik. Dan Kumpulan Kopratasa adalah antara artis yang menggabungkan seni dan sastera dalam persembahan dan lagu-lagu mereka. Ada beberapa orang perseorangan (tokoh korporat) juga membaca puisi dengan cara tersendiri.

“Kalau mahu dengar puisi awak dideklemasikan, sila angkat telefon.” Sms saya kepada Rahimin memberitahu puisinya yang pernah menang sebelum ini bertajuk “Jika Kita Menjadi Kayu’ yang dibacakan oleh Pengarah Eksekutif Kumpulan Utusan, Mohd. Nasir Ali.

Dan si ‘kayu’ itu yang benar-benar didik oleh keluarga untuk bersifat merendah diri, masih tidak menjawab panggilan telefon saya. Keterlaluan juga saya menghadiahkan dia ‘bodo’. ‘Bodo’ tanpa ‘h’ yang saya berikan bukan marah atau hina. Geram sahaja tahu tak?

KOMA

Setahun yang lepas, saya kira pengembaraan selama tiga hari di Pulau Besar, mengelilingi pulau itu adalah yang paling meletihkan. Dan acara ‘jungle tracking’ seperti itu tidak saya lakukan lagi sehingga hari ini.

Saya ke Bukit Broga, dengan kawan-kawan jurugambar atas tujuan melihat-lihat tempat dan belajar bersama-sama. Ternyata hal yang saya fikir cincai-cincai itu berbaloi jika saya menghayatinya dengan lebih baik.

Sekembali dari Bukit Broga bersama teman-teman jurugambar, saya menyenaraikan perkara berbaloi dan tidak berbaloi dengan trip yang saya ‘benar-benar’ mahu menyertainya sejak mula ‘sifu bijaksana’ itu membuat cadangan.

Tertanya juga, untuk apa saya membuat senarai begitu? Mungkin juga untuk merenung hari ini dengan baik atau belajar banyak perkara baharu.

Berpenat dan hampir pengsan semasa pendakian. Berehat di dalam perjalanan pendakian hampir, err…berapa kali ye sifu? Saya minta maaf dan berharap mereka meninggalkan saya di bawah sahaja. Tapi, saya tidak ditinggalkan. Makanya, sangat terharu dengan segala kata-kata semangat yang telah diberikan buat saya yang sangat banyak karenah dan lemah ini.

Berbaloinya trip tadi. Saya berusaha sendiri memulakan perjalanan ke Bukit Broga. Saya sempat menghasilkan lebih kurang lima atau enam puisi sementara menunggu perjalanan di mulakan [sampai awal ke Putrajaya].

Juga berbaloi apabila percayakan orang lain daripada diri sendiri untuk ketika-ketika tertentu. Saya sangat tidak berdaya untuk meneruskan pendakian. Serius, bukan kerana lapar berdiet, tetapi kaki sedikit pedih dengan kasut yang tidak sesuai. Tetapi kawan-kawan tidak putus memberi semangat di setiap keluh-kesah dan turun-naik semangat saya, di setiap perhentian pendakian. Alhamdulillah, berkat percayakan mereka, saya sampai ke atas, kalaupun bukan ke puncak. Serius, benar-benar letih.

Tujuan kita mengambil gambar apa? Benar apa yang pernah sifu blogkan sebelum ini.

Insya Allah, saya akan lebih berfikir tentang apa yang saya laksanakan, sama ada mahu buat cincai-cincai atau menjadikan ianya lebih berbaloi.

KOMA

Esok ke Seremban, mengambil gambar beberapa acara dan tempat menarik.

Harapkan kejang dan lecet kaki malam ini tidak berlarutan sehingga esok.

Selamat malam kawan-kawan. Err…dah masuk pagi pun.

b

DSC_0253

Sebahagian buku yang baru dimiliki. Akan saya baca tanpa pening memikirkan hal masa. Terima kasih kak Syarifah Khadijah yang menghadiahkan Kumpulan Cerpen dan Puisi Selingkar Kasih buat saya.


“Tahu tidak kenapa kita selalu kata, seronok ketika sekolah, tiada masalah, enjoy sahaja,” tanya saya kepada dia.

“Tidak tahu,” jawabnya bersahaja.

Saya syak dia malas mahu melayan pertanyaan saya kerana dia malas berfikir. Dia selalu kata, dia sudah malas berfikir kerana berfikir hanya memenatkan dan berfikir hanya diaktifkan ketika zaman sekolah.

Jadinya, saya beri jawapan. Bukan fakta, tetapi ikut logik akal saya.

Saya kira, kita melihat zaman persekolahan sebagai zaman yang paling menyeronokkan kerana pada tahap ini [kita telah dewasa], kita sering dihimpit pelbagai tekanan, cabaran, bebanan, tanggungjawab dan sebagainya yang tidak boleh terelakkan bukan?

Jadinya, kita rasa mahu kembali ke zaman itu. Zaman persekolahan yang menyeronokkan.

Padahal, ingatkah lagi perasaan kita pada zaman persekolahan dahulu? Bukan manis sangat pun.

Perkiraan saya juga, jika kita benar-benar mempercayai doktrin bahawa zaman yang paling menyeronokkan dalam hidup adalah zaman persekolahan, jadinya, kita perlu belajar dan hidup seperti zaman itu.

Dapat tangkap persoalan yang ingin saya hujahkan?

Kata kuncinya ialah jadual waktu. Semasa sekolah hidup kita penuh dengan jadual bukan? Jadual yang membolehkan kita menjalani hidup dengan lebih baik. Saya rasa.

Tentu ramai yang tidak bersetuju dengan alasan, ‘hidup hanya sekali, usah ikatkan diri dengan jadual waktu segala bagai’. Jalani sahaja hidup ini.

Ok, kalau begitu usah mengeluh kawan dengan hidup yang sekarang. Setiap zaman punya suka dukanya tersendiri. Jalani hidup dengan zaman apapun, kanak-kanak, pelajar sekolah, remaja, dewasa ataupun usia yang senja.

KOMA

Untuk hal yang sungguh-sungguh, kita akan lakukan apa sahaja. Untuk menunjuk pada orang lain ataupun untuk berbangga dengan diri sendiri.

Dua-dua tidak salah.

Hal terpenting, setiap apa yang diusahakan dengan sungguh-sungguh, tentu ada jalan melaksanakannya. Pengurusan dan jadual.

KOMA

Saya bersungguh-sungguh dalam hal penulisan.Penulisan untuk kerja rasmi semakin tidak berjadual dan tidak terurus. Makanya, saya harus menjadualkan hal itu demi kerana janji saya yang mahu bekerja bersungguh-sungguh ketika hari pertama berada di sini.

Saya bersungguh-sungguh dalam bidang penulisan di luar bidang kerja rasmi. Jadinya, saya perlu menjadualkan hal itu agar tidak bercempera dengan kerja rasmi [padahal sama bidang].

Terima kasih rakan penulis yang mapan dan baru bertatih kerana bersama-sama saya dalam mendaki puncak cita-cita dalam dunia penulisan. Saya sangat hargai itu.

Oh ya, saya bersungguh mahu manfaatkan buku-buku yang saya miliki. Jadinya, saya telah membuat senarai buku secara manual dengan ruangan bilangan, tajuk buku, pengarang, penerbit dan status buku [sama ada sudah dibaca, masih belum dibaca ataupun dipinjam oleh kawan]. Juga menguruskan hal buku dan isi kandungannya melalui cara yang tidak manual, Goodreads.

Saya bersungguh-sungguh dalam bidang fotografi. Jadinya, saya perlu menjadualkan hal itu dan menguruskan hal yang bersangkutan dengannya – tutorial tentang hal-hal fotografi, peralatan fotografi dan jiwa fotografi.

Saya, bersungguh-sungguh mahu hidup.

Dia menyampuk, “jadi jangan asyik kata tidak mahu hidup lagi. Jangan abaikan ubat. Jangan sakit hati. Jadualkan dan uruskan hidup dengan sebaik-baiknya.”

“Iya, Iya…” jawab saya malu dengan diri sendiri.

KOMA TERAKHIR [ Beerti noktah untuk entri yang panjang ini].

Kamu, kononnya sering mahu kembali ke zaman anak-anak kecil dahulu. Mahu hidup dengan tiada payahnya.

Sama sahaja kawan. Dahulu atau sekarang. Semuanya ada percaturan dan jadual. Ada susah dan ada senang.

Sama ada mahu teruskan atau berhenti.

Sama ada mahu menjadi pencetus atau pengikut, bersungguh-sungguh itu penting.

getimageaxdThis wonderful shot captures the movement of the children and water skillfully. The composition and colour palette is effective, and there’s an endearingly magical and joyful element that’s refreshing to witness.” (Judge’s comments)

Ini bukan gambar yang saya ambil. Ini gambar Tan Choon Wee, yang diangkat sebagai pemenang keseluruhan pertandingan Photographer Of The Year 2008 anjuran Digital Camera Magazine.

Kata pemenang ini ;

I’m a 57-year-old seasoned traveller from Singapore. I’ve been engaged with photography seriously for 25 years – it not only interests me, but it’s also my joy and passion, and I believe that if you feel it, you see it.

Gambar yang saya hantar, entah mana mereka campakkan. Memang wajar dicampak. Mungkin.

KOMA

Semasa saya mengikuti Kursus Fotografi Digital di Marang anjuran Angkatan Senifoto Selangor (ASFONS) tahun sudah, sebenarnya banyak perkara yang saya pelajari walaupun diri dibawa ke sana dengan hati yang separuh mati.

Gambar mewakili pelbagai cerita. Ambil gambar dengan jiwa. Ini salah satu ciri gambar yang baik selain aspek teknikal yang lain.

Ada satu gambar, yang dipuji fasilitator, katanya gambar itu boleh digunakan sebagai poster melawat negeri Terengganu. Bukan gambar penyu. Bukan gambar laut atau pulau. Bukan gambar keindahan alam.

Ia merupakan gambar anak-anak yang sedang mandi [ada yang berbogel] di tepian pantai, dalam keadaan yang sangat gembira. Anak-anak kampung itu, wajah yang jujur dan hati yang bersih, beri cerita yang besar kepada kami.

Dari situ, saya berlapar dan membutakan mata untuk yang lain-lain demi sebuah DSLR.

Nikon D80 ada dalam genggaman akhirnya. Tetapi mana cerita saya? Apa cerita yang saya rakam dan sebar melalui gambar-gambar yang saya ambil?

Hujah bela diri – Ini gambar saya. Kamu tidak faham cerita di sebaliknya? Tidak mengapa, biar saya sahaja yang mengerti dan faham.

KOMA

Dengan gambar kita memberi cerita. Ikut persepsi kamu cerita bagaimana mahu dilakar.

Dengan muzik atau apa jua bentuk seni, kita menyebar cerita. Terpulang kamu cerita bagaimana yang mahu dilagukan dan yang mahu kamu dengar.

Dengan tulisan kita berkongsi cerita. Tanya akal kamu, cerita itu untuk suka-suka atau untuk dihadam, menambah rencah hidup.

Dengan apa sahaja kamu akan bercerita dan memperoleh cerita. Buka panca yang lima itu. Tambah satu, akal dan iman.

Raih dan belajar cerita dari alam. Kamu tidak akan menyesali hidup.

buntu

Antara kamu berdua, perlukan pilihan dari saya. Perlukah saya memilih sedangkan kamu berdua ada di hati. Yang paling dalam. Cuma masa yang kadang saling bertelagah membuatkan saya rimas dan tak mampu mencintai kamu berdua. Saya tewas.

spekSaya cinta ‘menulis’. Virus ‘M’ bunuh dia.

cover

Saya cinta ‘fotografi’. Virus ‘M’ bunuh dia.