“Kecil hati. Rasa nak sambung semula kontrak ‘gaduh’.” Sms saya kepada dia setelah menggeledah blog dia. Membaca catatan perasaannya yang tidak puas hati kepada saya. Dia jawab, “tidak perlu ambil pusing sangat catatan itu. Kita manusia biasa kan? Ada masa salah dan silap.” — Kami baru berbaik dua hari lepas setelah hampir setahun berkonfrontasi.

Status FB saya. Itulah dia.

Kami berbaik semula yang entah kenapa, sehingga kini saya masih belum mengerti, kami sebenarnya kenapa?

Gaduh, elok, gaduh, elok.

Minyak dan air. Mungkin itu simbolik antara saya dengan dia.

Dan kita terus bergaduh lagi. Untuk hal yang mana, saya pun tidak pasti.

Saya dan awak umpama minyak dan air. Kita boleh bersama di dalam satu bekas. Tetapi, tidak mempengaruhi antara satu sama lain. Mungkin juga.

Saya tahu kewujudan awak. Awak rasa kewujudan saya. Tetapi, untuk menyelami rasa antara kita berdua : awak faham saya, dan saya tahu isi hati awak, saya fikir menemui jalan buntu.

Namun, saya lebih rasa seperti : Saya di dalam rumah. Dan awak di halaman sana. Kuncinya, entah mana kita campakkan ketika hati bergetar dengan emosi.

KOMA

Untuk membuka semula pintu itu, saya cuba mengenali semula proses kami berkawan melalui blog yang banyak menyimpan cerita antara saya dengannya.

Satu persatu. Sehingga mata pun enggan lelap. Ya, saya menghabiskan separuh malam saya dengan memikir semula tentang saya dengan dia.

Banyak betul catatan tentang saya. Konsisten. Seperti mana sapaan-sapaannya lewat sms setiap pagi.

Blog saya? Entah. Yang ada hanya dendam. Saya cuba mencari kisah manis yang boleh saya bawa dalam perjalanan yang mahu kami mulakan semula ini. Hampir tiada.

“Kerana yang manis, ada dalam jiwa saya.” –> Hujah bela diri yang klise daripada saya untuk menegakkan ego sendiri.

KOMA

“Takkan tiada satupun hal-hal yang manis yang awak ingat tentang saya,” katanya.

Saya tidak berani menentang matanya.

Dalam hati. Ada.

SELAMAT BERKAWAN.

bi

“Anak kedua dalam keluarga?” tanya seorang kawan.

“Ya. Mengapa?” tanya saya kehairanan.

“Selalunya, anak kedua dikaitkan dengan unsur ‘penawar dan racun’.” Dia menjawab telus.

Saya kira anak kedua yang digelar ‘angah’ memang selalu menjadi racun dan penawar dalam keluarga. Perangainya pelik-pelik dan kadangkala menghiburkan.Tetapi saya lebih rasakan bahawa dalam diri setiap manusia ada unsur itu. Bukan khusus untuk ‘angah’ sahaja. Benar. Serius.

Saya tidak berapa suka bercerita hal-hal begini yang memperkata tentang sikap dan tingkahlaku melalui bulan kelahiran, kedudukan dalam keluarga, tapak tangan, anggota badan atau apa sahaja.

Terasa peribadi di selongkar.

Tetapi, baik juga mengetahui hal-hal begini untuk tujuan-tujuan tertentu. Contohnya, untuk tujuan berkawan.

Untuk hal-hal lain juga ada racun dan penawar. Ada dalam setiap perkara dan benda.

Makanan, boleh jadi racun dan penawar.

Cinta, ada racun dan penawar.

Penulisan, boleh menjadi racun dan penawar.

Hiburan, kadang menjadi racun, dan kadang menjadi penawar.

Politik, katanya banyak racun dari penawar.

Jiwa, ada racun dan penawar.

Jadinya, jika kamu diracuni, maka carilah penawarnya dalam diri. Pasti ada.

KOMA

Kata ibu, kawan itu umpama racun dan penawar.

Perlu kedua-duanya untuk hidup.

Racun, untuk mengetahui apa yang tidak boleh dalam berkawan.

Penawar, untuk mengetahui apa yang perlu dalam berkawan.

Ya, saya kira kawan-kawan yang ada sekarang ada yang bersifat racun dan ada juga yang bersifat penawar. Saya kawan kesemuanya. Yang ada dua-dua sifat ini, untuk saya belajar dan meneruskan hidup.

Tapi kawan, jika kamu diracuni, ia membimbangkan saya apatah lagi jika saya tidak mampu menjadi penawarnya.

Maaf. Saya juga beku.

dd4

Semasa pulang ke kampung baru-baru ini, halaman ibu agak kusam dan tiada serinya. Banyak pokok bunga yang layu dan tidak berbunga. Yang ada cuma pokok bunga Cina yang sentiasa senyum pada semua.

Kata ibu, biarkan, ini musim mereka tidak bersemangat. Usah buang, nanti apabila tiba ketikanya, ia akan hijau dan berbunga semula.

“Iyakah?” tanya saya sambil memandang ibu yang saya kira paling cantik di dunia.

“Eh, tak percaya pula,” jawab ibu sambil terus membersihkan saki-baki rumput kecil di sekeliling pasu bunga.

Kita juga begitu. Usah gundah, kerana semua yang ada dalam diri kita dan dunia ini ada pasang surutnya. Tiada yang konsisten. Itu kata ibu yang saya akui kebenarannya.

Saya menanti pasang dan mahu mengucapkan selamat tinggal kepada surut.

“Ini main-main atau betul-betul? ” tanyanya serius.

“Betul, saya main-main,” jawab saya serius.

Kadangkala, apa yang kita tuturkan mudah disalaherti. Itu namanya manusia, punya rasa dan jiwa serta akal yang berbeza dari yang lainnya.

Kadangkala, bahasa yang kita gunakan memaksudkan ‘itu’. Namun, orang yang mendengar, memaknakan ‘ini’.

Yang terhasil nanti salah faham-masam muka-tidak bertegur sapa.

Setiap apa yang diluahkan selalunya mempunyai amanat. Jika main-main, jangan lupa beritahu bahawa ‘ini hanya gurauan’.

Saya, belajar-belajarlah menggunakan ayat dan kata-kata yang betul dan memahami siapa yang dilawan bercakap. Jika bertentang mata pula, belajar-belajarlah memahami bahasa badan, agar apa yang disampaikan tidak lari dari lorong yang ditetapkan.

Mungkin perahu yang saya dayung itu telah terlajak. Bagaimana mahu mengundurkannya?

Hidup yang penuh lompang, itulah kehidupan sebenarnya. Jangan harapkan kesempurnaan.

Perlu wawasan yang baru atau sekadar meneruskan warisan lama?

Jika yang lama memudaratkan dan tidak relevan, apa salahnya cuba wawasan yang baru.

Peraturan dan percaturan harus betul.

Peraturan berkasih-cinta dan peraturan berkawan-akrab, adalah dua entiti yang berbeza.

Harus tahu itu!