Sudah hampir setahun, atau lebih baik genapkan sahaja setahun.

Ya, setahun lalu mengubah segalanya walaupun segala perbuatan dan kata-kata tidak pernah hilang dari ingatan. Tidak akan hilang sampai mati. Sampai mati, kawan [yang tidak semestinya menjadi kawan]!

Terima kasih Allah, menghilangkan, membuang dan melenyapkan sesuatu yang tidak baik.

Kawan datang dan pergi kan?

KOMA

Mungkin kau sudah lupa banyak perkara. Atau ia masih bergulung dalam jiwa kerana banyak lagi yang tidak terselesaikan.

Yang pasti, kau tak akan lupa kerana semuanya akan terjawab di ‘sana’ kelak.

Aku dengan bahagian aku.

Dan engkau dengan bahagian engkau.

Sama-sama kita lihat dan telan.

KOMA

Cerita lama masih tidak tersiapkan. Berharap, sebelum menjelangnya 2013 ia mampu disiapkan tanpa sekelumit resah.

Namun, cerita baru muncul.

Dengan kening berkerut dia membaca salinan-salinan yang dihantar kepadanya melalui emel.

Dialog-dialog syaitan diteliti satu persatu. Dengan hati yang lucu.

“Banyak betul duit dia. Entah-entah jual ‘body'”
“Laku lagi ke”

“Ada dia ajak awak buat perkara-perkara yang tidak senonoh?”

“Tidak, mungkin sebab saya budak-budak lagi.”

Dan berderetan lagi bual-bual manusia yang tidak tergamak dibacanya. Fitnah semakin bermaharajalela. Manusia, memang dengan segala kelemahan yang dibekalkan kepadanya terus-menerus bercakap, bercakap dan bercakap.

…Dan dia terus diam kerana tiada apa-apa lagi yang dia harap membuatkan dia akan bertembung dengan mereka, di dunia ini.

Aku tunggu engkau di Padang Mahsyar.

Jerit dia sekuat hati.

KOMA

Bila novel awak mahu disiapkan?

Ya, persoalan yang saya sedang usahakan. Semoga Tuhan ampuni segala dosa saya kerana saya tidak lagi mengharapkan apa-apa dari manusia.

*Sekadar catatan ‘racau’ setelah agak lama tidak berblog. 🙂

DSC_0008Di sebalik jendela, saya terpesona dengannya. Tetapi bukan cinta. Kerana saya tidak pasti esok pesona ini mahu menemani saya lagi atau tidak. Sedang jika cinta, saya pasti dia ada!

Mempunyai semangat!

Ia bukan seperti mendapat duit yang banyak. Kerana tidak semua orang obses dengan duit. Setiap dari kita mempunyai pesona dan cinta kepada sesuatu. Kenali apakah ia dan mula mencatatnya sebagai salah satu sebab untuk kamu meneruskan hidup walau sepayah mana.

Pesona itu teruja kepada sesuatu. Berasa senang pada sesuatu. Mungkin ia kekal atau mungkin juga ianya hanya sementara. Itu tidak mengapa kerana tidak semua benda kekal di dunia. Senaraikan pesona apa yang membangkitkan rasamu, ia bermanfaat untuk kamu meneruskan ‘rasa’ dalam meniti perjalanan.

KOMA

Tapi cinta, usah disamakan dengan pesona. Sebetulnya, cinta, usah dikelirukan dengan pesona. Cinta itu lain.

Jika dikumpulkan definisi cinta, ia akan menjadi sebuah kamus yang maha besar. Sebuah rasa yang mempunyai pelbagai ungkapan dan persepi. Tidak ada salahnya.Tapi ia untuk siapa?

Cinta memang besar. Tidak juga ia datang sekali.

Pengertian cinta, paling hakiki, kamu tahu harus diletakkan di mana.

Entah kenapa saya masih merasakan bahawa kita sesama manusia hanya pesona. Bukan cinta. Kerana yang sayang dan suka kepada manusia, mungkin berubah dan tidak konsisten.

Kepada Tuhan yang harus dicintai dengan tanpa was-was dan tanpa kompromi, tanpa rasa sedikit, tanpa rasa prejudis dan dengan yakin tanpa bantahan, itulah cinta.

KOMA

Saya obses dengan pelbagai perkara yang memungkinkan saya lupa kepada kesakitan.

Matahari, awan, bulan, alam terbentang luas, kamera, keluarga, penulisan, buku, diri sendiri…

Senaraikan sahaja, kerana ia mungkin menjadi sebab yang jitu mengapa kamu harus hidup.

Dan itulah jawapan kepada kawan-kawan yang merasakan saya tidak konsisten dalam hubungan sesama kawan.

Bezakan hubungan kita dengan kawan-kawan dan hubungan kita dengan Tuhan.

Saya kira itu boleh membantu kita menanam sifat redha dan ikhlas dalam berhubungan.

Dan usah rumitkan keadaan dengan yang bukan-bukan dan tidak-tidak.

Berkawan biar seribu, berkasih biar satu. Seribu itu untuk manusia. Satu itu untuk Dia.

Wallahua’lam.

DSC_0656-Edit

Rintihku di sudut itu,

“Aku masih di sini!”

Tuhan menjawab di ruang tiada bersudut,

“Aku masih di sini!”

Selamat menyambut bulan Ramadhan.

Semoga dipanjangkan umur yang berkat dan dilimpahi rahmat bertingkat.

DSC_0379-Edit

Gambar ini diambil ketika pertama kali berada di kawasan masjid semasa solat Jumaat. Waktu itu ada majlis perasmian yang perlu saya hadiri sebagai wartawan dan jurugambar. Ada rasa di situ melihat mereka berdoa.

PERMULAAN YANG PANJANG

Hidup adalah anugerah dan keajaiban. Kata dia.

Hidup adalah harapan, impian dan kenikmatan. Kata dia lagi.

Ya. Hidup untuk dinikmati. Dalam hidup punya impian dan harapan. Ada tujuan yang harus dipenuhi. Maka lahirlah sebuah kehidupan yang penuh keajaiban. Anugerah Tuhan yang sering kita kesampingkan.

Berfalsafah pagi-pagi setelah bangun dari perbaringan, merasakan diri amat kerdil. Namun, dalam kekerdilan ini ada suatu keajaiban, harapan dan impian yang harus dinikmati.

Ada orang kata, ‘biarkan sahaja’ hidup ini berjalan atas landasnya.

Ada pula yang menggeleng dan berkata, “jangan biarkan sahaja. Ada perkara harus kita rancang. Ada perkara harus disusun dengan baik.”

Saya setuju kawan.

Ada perkara yang di luar lingkungan batasan kita, biarkan sahaja. Itu kerja Tuhan dan takdir-takdir-Nya.

Ada perkara yang perlu kita rancang sehabis kudrat.

Maka, jika kamu biarkan sahaja hidup ini berjalan tanpa hati dan akal berkerjasama, makanya apa akan jadi dengan kata-kata yang kamu keluarkan setiap hari? Apa pula halnya dengan doa-doa yang kamu panjatkan kepada Tuhan Maha Besar?

KOMA

Saya pernah berkata tentang hidup yang perlu dicatat dalam apa juga bentuk pendokumentasian.

Kawan-kawan pun mengiyakan dan merasa mendokumentasikan perjalanan hidup bukanlah satu kerugian dan hal yang membuang masa.

Catatan itu boleh sahaja merupakan diari harian yang pernah saya ceritakan sebelum ini.

Boleh sahaja catatan itu kamu lakukan dalam bentuk yang lebih sempurna. Buku misalnya.

Jika ada jiwa yang berlegar, jika ada peristiwa yang mahu dirakam, medium dalam bentuk gambar dan video juga amat bermakna.

Lakukan apa-apa sahaja yang kamu selesa dan mampu. Asalkan ada catatan yang dapat kamu ingati dan sebarkan kepada yang lain.

KOMA

Melihat gambar-gambar dalam simpanan sepanjang dua tiga tahun ini mengundang banyak cerita yang ingin dikongsi kepada umum. Mungkin cadangan seorang teman agar saya membuat satu catatan dan puisi bergambar dapat direnung kembali.

Hidup ini mudah dan menarik. Hargai diri sebagai satu keajaiban dan anugerah. Pesan seorang kawan berkali-kali.

Saya teruja. Dengan doa segala urusan dipermudahkan hari ini. Amin.

lampu

“Gambar di dalam dewan semua gagal. Flash sekejap boleh, sekejap tidak boleh,” kata saya kepada seorang teman.

“Kenapa tidak pakai flash saya?” jawab dia.

“Saya lupa awak ada flash.”

Tapi sebenarnya jawapan itu bukan betul. Sebenarnya, saya fikir apa yang saya ada sudah cukup. Tidak perlukan bantuan sesiapa.

KOMA

Kadangkala bila kita merasa diri kita sudah lengkap serba serbi, kita akan lupakan kawan-kawan.

Padahal, apa yang melengkapi diri kita sebenarnya belum cukup.

Kerana itu Tuhan mencipta kita dengan pelbagai-bagai agama dan bangsa, kaya dan miskin, hitam dan putih. Untuk saling melengkapi.

Seperti juga malam dan siang, terang dan gelap.

bengkel1

Lakaran jiwa semasa mengikuti Bengkel Penulisan Cerpen oleh PEN di Port Dickson pada 12-14 Disember 2008

“Mahu ke mana?”

“Syurga.”

“Syurga?”

“Ya!”

“Tahu jalan ke sana?”

“Tidak.”

“Jadi?”

“Redah sahaja.”

“kita akan sesat.”

“Hadapi sahaja.”

“Bukankah lebih baik kira rancang perjalanan ini.”

“Hey kawan, perjalanan ke syurga tiada dalam peta dunia atau google maps.”

“Oh tidak. Saya tidak mahu sesat.”

“Jangan takut, Tuhan ada.”

*Saya bercuti sehingga Selasa ini. Harap maklum.

Sejarah, jika diimbas menjadi sakit yang menyakitkan.

Dulu, abah garang. Saya benci dia. Sangat benci.

Saya benci bila abah tidak izinkan saya menyertai pasukan hoki sekolah. Padahal abah tahu saya memang minat hoki satu ketika dahulu. Saya benci apabila abah marah-marah ketika saya balik lewat walaupun abah tahu saya aktif dengan persatuan dan abah juga tahu yang saya merupakan pustakawan sekolah sejak darjah enam sehingga tingkatan enam. Jadi saya doa agar abah mati cepat. Supaya saya boleh main hoki dan berada di perpustakaan sehingga malam.

Saya benci bila abah datang ke tapak perkhemahan semata-mata untuk pastikan saya berada di situ dan tidak bercampur dengan pelajar lelaki. Jadi saya doa agar tuhan hantar abah ke tempat yang jauh. Supaya saya boleh pergi ke mana-mana sahaja tanpa pengawasan daripada abah.

Saya benci bila abah bersusah menemani saya ke bandar. Sentiasa berada di belakang saya, mengekori saya walaupun semasa saya mahu membeli baju dalam dan seluar dalam. Jadi saya berdoa agar kaki abah patah, dan tidak memalukan saya dengan menemani saya ke bandar.

Saya benci bila abah piat telinga saya ketika saya keluar rumah, tanpa memakai tudung dan berlumba motor dengan kawan-kawan di kampung.

Saya benci bila abah lempang muka saya bila saya langgar lari anak orang walaupun abah tahu budak yang kena langgar tu yang salah kerana bermain galah panjang di tengah jalan. Saya mohon agar tuhan patahkan tangan abah yang melempang muka saya ketika itu.

Saya benci apabila abah berhentikan pekerjanya bila mendapat tahu saya bercinta dengan lelaki itu. Tuhan, tolonglah, ambil nyawa abah cepat-cepat kerana membunuh cinta saya pada lelaki itu.

Saya benci bila abah buat tidak tahu semasa saya mahu memohon ke tingkatan enam. Abah kata saya hanya membuang duit dengan menyambung belajar. Tuhan, kenapa abah tidak percayakan kemampuan saya? Ya, saya tahu saya kerap mengecewakan abah dalam peperiksaan sebelum ini. Tuhan, saya benci abah!

Saya benci bila abah tutup televisyen semasa kami sedang menonton cerita Cina atau Hindustan sepanjang hari. Dan paling benci bila abah kata mahu pecahkan televisyen itu jika kami masih leka. Jadi saya berdoa agar tuhan butakan mata abah.

Itu dahulu.

Kini saya BENCI. Sangat Benci pada diri sendiri kerana tidak cuba memahami abah dan tindakan-tindakannya suatu ketika dulu. Saya benci diri sendiri kerana suatu waktu dahulu saya pernah berdoa;

” Tuhan, aku benci dengan abah. Tolong pendekkan umur abah supaya dia tidak menyeksa dan menyekat kebebasan aku lagi. Patahkan kaki abah agar dia tidak perlu mengekori ke mana aku pergi. Butakan matanya agar dia tidak nampak aku keluar rumah tanpa bertudung dan tidak nampak aku bercinta dengan pekerjanya.”

Semalam, abah datang ke rumah saya. Abah kata tak larat jalan jauh-jauh. Kaki abah dah tak sihat. Saya menangis. Saya mahu abah sihat. Dalam bilik, ketika abah berehat di ruang tamu sambil menonton cerita P. Ramlee, saya berdoa;

“Tuhan, jangan ambil nyawa abah seawal ini. Tuhan, Aku tahu Kau maha sempurna, lupakan permintaan aku yang dulu-dulu. Tuhan, terangkan matanya supaya dia boleh lihat anaknya ini berjaya dan menggembirakan hatinya dengan senyuman dan akhlak yang paling baik yang pernah dia ajarkan semasa aku kecil dahulu.”

Air mata saya tidak mahu berhenti.

“Tuhan, sembuhkan kaki abah agar dia boleh mengikut ke mana anaknya ini pergi. Menemani tiap langkah anaknya. Menasihati anaknya di setiap kejatuhan dan kelukaan sepanjang jalan yang dilalui”

“Tuhan, kuatkan daya ingatan abah supaya dia sentiasa ingat bahawa aku adalah anaknya yang masih memerlukan renungan matanya, kekuatan tangannya untuk memimpinku dan kekuatan kakinya untuk menemani langkahku”

“Tuhan, jangan enggan mendengar doaku kali ini. Ini adalah doa yang betul-betul. Tuhan, padam semua doaku untuk abah semasa umurku masih hingusan, kerana pada waktu itu aku sangat dungu dalam menilai kasih sayang abah”

*Entri ini sebenarnya untuk hari bapa. Tapi semalam saya pilu melihat abah yang semakin uzur di mamah usia. Semoga abah dan emak panjang umur. Amin…

Semalam petang rumah jiran saya dimasuki pencuri. Pencuri bukan memasuki rumah beliau, tetapi memecah masuk rumah beliau memandangkan mangga yang berkunci di gril pintu beliau telah dipecah-ranapkan.

Tiada barang yang hilang kecuali pembancuh/pembuat kopi (coffee-maker). ???

Kata jiran saya yang berbangsa India ini;

saya rasa pencuri ni berbangsa India la

camna u tahu?”

sebab dia ada ‘kacau’ (terbalikkan bingkai gambar) itu gambar tuhan i. Kalau bangsa lain aaa, takkan kacau gambar tu sebab diorang tak tahu makna kesucian tuhan i. Hanya orang India yang akan rasa semacam bila nampak gambar ini” katanya sambil menunjukkan gambar tuhannya di hadapan saya.

owhhh” …

* Pencuri tersebut adalah coffee addicted.

*Adakah polis di Malaysia guna kaedah yang sama untuk menyiasat kes-kes jenayah? Mungkin…….