Sudah hampir setahun, atau lebih baik genapkan sahaja setahun.

Ya, setahun lalu mengubah segalanya walaupun segala perbuatan dan kata-kata tidak pernah hilang dari ingatan. Tidak akan hilang sampai mati. Sampai mati, kawan [yang tidak semestinya menjadi kawan]!

Terima kasih Allah, menghilangkan, membuang dan melenyapkan sesuatu yang tidak baik.

Kawan datang dan pergi kan?

KOMA

Mungkin kau sudah lupa banyak perkara. Atau ia masih bergulung dalam jiwa kerana banyak lagi yang tidak terselesaikan.

Yang pasti, kau tak akan lupa kerana semuanya akan terjawab di ‘sana’ kelak.

Aku dengan bahagian aku.

Dan engkau dengan bahagian engkau.

Sama-sama kita lihat dan telan.

KOMA

Cerita lama masih tidak tersiapkan. Berharap, sebelum menjelangnya 2013 ia mampu disiapkan tanpa sekelumit resah.

Namun, cerita baru muncul.

Dengan kening berkerut dia membaca salinan-salinan yang dihantar kepadanya melalui emel.

Dialog-dialog syaitan diteliti satu persatu. Dengan hati yang lucu.

“Banyak betul duit dia. Entah-entah jual ‘body'”
“Laku lagi ke”

“Ada dia ajak awak buat perkara-perkara yang tidak senonoh?”

“Tidak, mungkin sebab saya budak-budak lagi.”

Dan berderetan lagi bual-bual manusia yang tidak tergamak dibacanya. Fitnah semakin bermaharajalela. Manusia, memang dengan segala kelemahan yang dibekalkan kepadanya terus-menerus bercakap, bercakap dan bercakap.

…Dan dia terus diam kerana tiada apa-apa lagi yang dia harap membuatkan dia akan bertembung dengan mereka, di dunia ini.

Aku tunggu engkau di Padang Mahsyar.

Jerit dia sekuat hati.

KOMA

Bila novel awak mahu disiapkan?

Ya, persoalan yang saya sedang usahakan. Semoga Tuhan ampuni segala dosa saya kerana saya tidak lagi mengharapkan apa-apa dari manusia.

*Sekadar catatan ‘racau’ setelah agak lama tidak berblog. 🙂

“Saya rasa mahu pergi pertemuan itu. Saja-saja,” kata gadis.

Jejaka menjawab, “tidak perlulah pergi. Hal yang sama sahaja. Lagipun, saya cemburu. Ramai sangat yang suka dengan awak.”

Dan gadis terdiam. Ternyata, hal di luar kawalannya iaitu, orang lain menyukai dirinya dijadikan hukuman buat dirinya.

“Jangan sampai saya jadi penipu… tidak memberitahu awak ke mana saya pergi supaya setiap perlakuan saya tidak disalaherti…” kata gadis di dalam hatinya.

KOMA

Pagi ini, dan hampir setiap pagi, saya suka mendengar saluran radio Xfm. Lagu-lagunya yang rancak. Bukan saya mahu menjadi remaja sangat, tapi ada satu ruangan yang saya tunggu : Brother Love.

Ha ha ha [gelakkan diri sendiri].

Brother Love ialah sebuah rancangan untuk remaja dalam aspek percintaan. Remaja, salah satu masalah yang melingkungi dunia mereka ialah soal cinta. Ia menjadi perkara terbesar dalam kehidupan mereka selepas kerjaya. Biasanya begitu. Hal utama, ialah mencari kerjaya dan kedua, mencari atau menangani cinta. Sudah pasti ruangan ini akan digunakan oleh mereka untuk meluahkan rasa cinta dan sebagainya.

Jadi, saya mendengar pelbagai kisah cinta : suka, duka, pilu, gembira, ragu dan segala hal berkaitan cinta dalam ruangan ini.

Brother Love menjadi perantara antara pasangan ini. Ada yang mengadu cinta tidak berbalas. Ada yang mahu meluah rasa cinta. Ada yang tidak berpuas hati dengan cinta. Dan pelbagai hal-hal cinta diutarakan.

Itu bukan soalnya. Bukan. Saya bukan mahu tahu sangat kisah cinta remaja, kerana saya pernah remaja.

Tetapi, saya suka mengkaji dan meneliti bahasa yang digunakan dan cara mereka mengekspresikan isu yang dihadapi. Brother Love sebagai orang tengah, juga saya teliti.

Ada kisah cinta yang berjaya diselesaikan. Ada juga hal yang semakin buruk berlaku.

Kesimpulan :

Ada hal yang boleh diberitahu : “awak, saya nak tanya betul-betul ni. Awak betul-betulkah sayangkan saya? Tidak ada orang lain?” tanya gadis.[babak 1]

Ada hal yang perlukah kita beritahu : “Saya nak beritahu, saya tidak sukakan awak. Saya dah cakap banyak kali. Tapi awak nak kejar saya lagi,” kata jejaka. [untuk babak lain]

Ada hal yang kita tidak perlukan orang tengah : “awak ni siapa? kenapa nak sibuk-sibuk selesaikan masalah kami?” marah lelaki itu kepada Brother Love. Dan gadis yang merancang perbualan juga kena tengking. [untuk babak satu lagi].

Pagi ini :

“Awak, saya nak tanya, awak ni beriman tak?” tanya gadis [apa punya soalan daaaa]

lelaki itu tidak tahu mahu jawab bagaimana.

“Awak sembahyang cukup tak?’ tanya gadis itu lagi.

“Biasalah, kadang tak cukup,” jawap lelaki itu dengan jujur. [biasalah? bahaya ni…mana boleh biasakan tak cukup waktu solat]

“Awak baik tak?” tanya gadis itu lagi.

“Baik itu terpulang pada orang menilainya,” jawab lelaki itu.

“Awak ada hasrat nak kahwin 4?” tanya gadis itu [saya syak gadis ini budak sekolah agama].

“Hahaha…tidak. satu sahaja,” kata lelaki itu dengan yakin.

“Oklah, brother harap korang kawan baik-baik,” kata Brother Love mengakhiri perbualan.

KOMA

Memberitahu atau tidak, semuanya berpaksi akal, hati dan pengalaman.

Bukan tergantung kepada sekuntum bunga : dan kamu mula mencabut setiap kelopak untuk mengetahui jawapannya.

Ada juga yang begitu.

Terpulang.

Semalam hujan. Cantik dalam dingin. Jatuh cinta untuk kali yang entah ke berapa. Hari ini saya tidak tahu sama ada hujan turun lagi atau tidak. Juga tidak tahu sama ada saya akan bernafas untuk berapa hela lagi. Semoga dipanjangkan umur buat saya dan semua.

KOMA

Hujan. Banyak tafsirannya.

Lebih kepada emosi : pilu, sedih dan emosi-emosi yang membawa kepada kepiluan hati.

Hujan itu air mata. Katanya. Saya biarkan sahaja kerana dalam jiwa ada banyak cerita tentang hujan.

Ia tidak terucap. Tidak tercatat.

Hujan tidak menentu sejak tahun lepas. Tidak ikut musim lagi. Banyak perkara jadi tidak menentu.

Nelayan yang biasa menyusun atur jadual untuk ke laut tiba-tiba runsing dengan permainan cuaca ini.–> Insya Allah, ada rezeki yang lain yang telah Tuhan sediakan untuk hamba-Nya yang sentiasa berdoa.

Penunggang motorsikal pula sudah tidak percaya kepada mentari yang cerah di pagi hari yang tiba-tiba dalam masa beberapa minit hujan turun tanpa wacana. –> Bawa sahaja baju hujan untuk menunjukkan keredhaan kita terhadap apa juga yang menghalangi perjalanan.

Melihat langit sudah menjadi satu tertib untuk memulakan perjalanan. –> Mulakan sahaja dengan doa. Insya Allah, dipermudahkan segala perjalanan tidak kira panas atau hujan.

Ahh..hujan lagi. Tergendala lagi segala agenda. –> Tidak mengapa, ada hikmah yang besar di sebalik ‘rehat’ ketika hujan.

KOMA

Masih mengingati hujan semalam. yang sungguh deras berjatuhan dari langit. Awan-awan mula menipis. Dan akhirnya mentari mencelah dengan hangatnya.

Ya, sejak setahun yang lalu…kisah hujan masih belum mampu saya tafsirkan dengan kata-kata dan cerita. Hujan turun dan terus turun. Saya masih buntu dan terus buntu. Sepertinya, titis air hujan dingin yang suci itu belum mampu menghilangkan karat yang bertampuk di hati dan turunnya ke jemari. Maafkan saya tuan yang setia menunggu.

Terkeliru antara ‘ruh’ atau ‘roh’.

Buka kamus dewan, maka diberitahunya kepada saya bahawa roh ialah perkataan dari bahasa Arab yang bermaksud, bahagian dalam manusia yang mempunyai daya fikir (berperasaan, berkemahuan), jiwa.

Mencari roh yang hilang tidak semudah mencari bulan di balik awan.

KOMA

Saya, ingin sekali menikmati malam dengan bulan yang terang benderang. Mahu menikmatinya selalu-selalu. Setiap masa. Setiap kali mata tertempa ke langit malam, saya mahukan bulan purnama di situ. Saya mahu menikmatinya kerana bulan begitu sempurna buat saya.

Bulan purnama, katanya merupakan bulan yang paling sempurna (14-15 haribulan setiap bulan). Bulan yang mengandungi kecerahan dan kecantikan hakiki. Sepenuhnya. Bulan purnama juga merupakan bulan yang menerbitkan kata-kata indah buat sang pencinta.

Tetapi bulan hanyalah bulan. Bulan yang mengambil cahaya matahari buat menimbulkan dirinya sendiri. Bulan yang selalu juga hilang kala awan melintas lalu. Bulan yang entah di mana kala hujan menyapa. Bulan yang kelihatan kecil dari bumi dengan cahaya yang gemilang juga adalah bulan yang sepi. Tanpa udara, tanpa bunyi, tanpa apa-apa.

Namun, siapalah kita mahu menyalahkan bulan yang kadang kurang bersinar menunjukkan jalan di gelap malam. Dan siapalah kita untuk merungut tentang bulan yang kadang berteduh di balik awan, sehingga kita di bumi ini pun tidak dapat menikmati keindahan malam tanpa bulan yang terang. Siapalah kita untuk mengungkit hal bulan yang menumpang cahaya mentari. Siapalah kita berbanding bulan yang telah dicipta begitu untuk tujuan-tujuan tertentu.

KOMA

Saya mencari roh yang hilang. Melihat bulan, sudah tentu ia tidak akan ketemu di situ.

Namun, melihat bulan seperti yang diceritakan di atas, memberi satu pengalaman lain buat saya.

Bulan yang begitu, cahaya yang terang atau dengan cahaya yang suram, tetap memberi makna kepada manusia di bumi. Tetap ada fungsi dan keistimewaan tertentu. Tetap melaksanakan tugasnya.

Roh yang dicari bukan terletak pada serinya paras wajah. Ia terletak pada hati. Dan tindakan yang dilaksanakan.

Mungkin juga catatan ini seperti tidak sampai kepada maksudnya.

Roh yang hilang.

Untuk diri yang selalu bimbang.

(Hakikat membimbangi tsunami dan gempa yang melanda Jepun. Hakikat membimbangi peperangan yang masih menngeluti umat Islam di seluruh dunia. Hakikat melihat diri manusia yang semakin hilang roh)

Ada doa untuk itu. Carilah hakikat diri.

Allah sayang kamu yang sayangkan diri.

(diterjemah dari karya Douglas Mallock)

 

Jika kau tak dapat menjadi meranti di puncak bukit

Jadilah aur dilembah, tapi jadilah aur teranggun di sisi bukit

Kalau bukan pokok, aur saja pun jadilah.

Jika kau tak boleh menjadi rimbun, jadilah rumput

Dan hiasilah jalan di mana-mana

Jika kau tak dapat menjadi haruan, jadilah sepat

Tapi jadilah sepat yang terlincah di dalam paya

Bukan semua boleh menjadi nakhoda,

lainnya harus mengikut sahaja

Pasti ada sesuatu untuk semua.

Kerana ada tugas berat, ada tugas ringan

Antaranya dibuat mana lebih berdekatan

Jika kau tak dapat menjadi bintang, jadilah bulan

Jika kau tak boleh menjadi jagung, jadilah keledek

Bukannya mengikut besar kau kalah ataupun menang

Jadilah dirimu yang terbaik.

Beza antara kita : Saya melihat dedaun kering itu sungguh indah dan menimbulkan satu fragmen yang dramatik dan melankolik. Kamu jawab, “sampah pun cantik?” –> betapa bezanya kita. Namun, kita masih boleh berkawan. Kerana dalam proses berkawan, perbezaan melengkapi persamaan.

Itu status yang saya buat di ruang Facebook saya hari ini. Memikirkan kawan.

Ya…semua tentang kawan. Kerana hidup ini dipenuhi dengan kawan. Penuh.

Jika tidak berkawan, tidak pula saya anggap kamu sebagai lawan.

KOMA

Status itu untuk seorang kawan yang benar-benar berbeza pemikirannya dengan saya. Saya mencongak-congak, adakah persamaan antara kami?

Bahasa, ya. Namun, dia tidak pandai bersastera dan berbahasa yang manis dan elok. Itu katanya. Maka saya jawab begini, ‘asal kamu tahu berbahasa dengan waras dan wajar’.

Budaya, ya. Kerana dia Melayu dan saya juga Melayu dengan kedaerahan yang berbeza. Timur dengan Selatan tetaplah boleh berkawan selagimana budaya itu tidak merencatkan hubungan.

Kegemaran. Oh, kami punya kegemaran yang berbeza.

Dan pelbagai perkara lagi yang membuatkan kami ‘bagai bumi dengan langit’.

Namun, apalah perbezaan itu bagi saya.

Dia tetap kawan yang baik. Kerana dia punya adab yang tinggi.

KOMA

Ada status lain yang ingin saya tulis. Tentang seorang kawan yang lain yang saya sendiri tidak faham budaya, bahasa dan dirinya sendiri. Jika dipanjangkan ia akan jadi gaduh dan saling tidak puas hati.

Saya ingin sahaja mendiamkan segalanya. Saya ingin mewajarkan keadaan. Ingin berkata apa yang saya buat bukan kerana ego atau saya bertindak mengikut rasa sendiri. Malah apa yang saya lakukan hari itu tidak berkaitan dengan kisah-kisah kami yang lalu.  Dia dengan bangga mengatakan saya bodoh sombong, selalu buat silap dan tidak meminta maaf.

Saya, mahu dia senaraikan perbuatan saya yang manakah yang salah dan perlu memohon maaf darinya.

Mari saya ceritakan satu kisah :

Keluarga saya selalu mengunjungi sanak saudara. Semasa berkunjung, kadang abah bawa jiran atau kawannya untuk memandu. Semasa tiba di rumah sanak saudara, perkara pertama yang kami lalui ialah budaya bersalam-salaman. Saya kagum dengan itu. Salam adalah permulaan silaturrahim.

Malahan, ‘orang luar’ yang kami bawa, akan disalami. Alasannya, “adab kita orang Melayu menyalami sesiapa sahaja yang berada dekat dengan diri.”

Biarpun orang yang disalami tidak dikenali atau tidak disukai, jabatan tangan tetap ada.

Kisah yang berlaku antara kita :

Saya datang bersama keluarga untuk bertemu dengan kamu. Saya datang kepada kamu dan menyerahkan barang yang mahu dipinjamkan.

Yang saya kesalkan di sini (yang menjadi suatu hal yang tidak kamu fahami dan apatah lagi saya), kamu tidak bertemu dengan keluarga saya yang menghantar saya bertemu dengan kamu. Kamu tidak menyalami ataupun memberi senyum mesra. Sekurang-kurangnya angkatlah tangan tanda sapaan.

Kamu fikirlah, berbeza bagaimanapun kita, saya tidak boleh terima jika kawan saya tidak beradab.

Oh ya, yang mengatakan kamu tidak beradab bukan saya. Tetapi orang yang tersinggung dengan ‘adab tinggi’ yang kamu tunjukkan. Katanya, ‘semacam benar kawan awak itu.” dan alasan saya, awak sibuk dan tergesa sehingga tidak sempat bertemu dengan keluarga saya. Jawab keluarga saya, “untuk tunjukkan adab, tidak perlu masa yang lama.”

Kamu ada buat salahkah kepadanya?

Atau apa?

Saya tidak nampak alasan apapun di situ.

Maaf. Ini penjelasan buat kamu yang nampaknya tidak faham apa yang berlaku. Dan dengan bongkak (bukan bodoh sombong), masih menyalahkan saya.

Sekarang, kamu tentu sudah faham. Ia bukan hal kecil.

Dan sudah-sudahlah. Jangan seperti tidak faham dan buat-buat tidak tahu.

Benar-benarkah berkawan itu apabila ia bermula, ia tidak akan terputus?

Dan apabila ia terputus, adakah ia perlu bermula semula ataupun sambung sahaja yang telah terputus?

KOMA

Semakin dewasa, semakin dibanjiri dengan konsep berkawan-kawan nan seribu.

Ah, betapa semasa kecil, kita hanya fikir perlu kawan untuk hidup. Bagaimana adik-adik saya, tidak mahu meneruskan pelajaran di sesebuah institusi hanya kerana’ tidak punya kawan’ yang boleh sama-sama belajar di sana.

Saya katakan sahaja, ‘jangan terlalu setia kepada kawan. Ia datang dan pergi. Ia mengajar kita erti berperi.”

Pernah juga, adik berkata, “dia sudah berubah. Dahulu, semasa sekolah, dia tidak begini.”

“Sudah berapa lama kamu terpisah?” tanya saya.

“Lebih kurang 10 tahun,”

Saya diam.

“Kamu harus bermula semula. Dengan umur yang semakin meningkat dan dengan kematangan yang semakin menebal,” jelas saya kemudiannya.

Ya, ia bukan menyambung apa yang pernah dikecapi dahulu, tetapi bermula semula.

Betapa, kawan-perkawanan itu bukan mengira tempoh masa kamu berkawan. Kerana ia perlu dikemaskini setiap ketika.

“Seperti kemaskini status Facebook, supaya semua kawan tahu bagaimana kita setiap hari?” tanya adik lagi.

Saya angguk. Mungkin juga begitu.

Semasa kecil dan setelah dewasa, ia berbeza.

Jadi, jangan berharap kawan kamu yang pernah mengelap ais krim yang mencomoti bibir kamu ketika kamu kecil dahulu, akan mengelap comot itu ketika kamu telah dewasa.. Mungkin juga, orang yang sama yang pernah mengelap comot itu juga, bisa sahaja mentertawakan kecomotan kamu.

KOMA

Kawan, kita pernah berkawan semasa kecil.

Ia tidak bermakna kamu faham saya apabila saya dewasa.

Kita sentiasa berubah.

Setiap nafas yang berlingkar dengan urat dan bertemu di sendi adalah fikiran dan hati yang saling tegah-menegah. Ada rasa yang saling bertingkah. Adalah pilihan yang saling memilih.

KOMA

Semakin umur kita meningkat, semakin banyak pilihan harus kita buat.

Tidak juga. Semasa kecil sedari kanak-kanak yang tidak perlu keluar bekerja, yang tidak perlu runsing memikirkan harga rumah yang naik, tol di sana-sini, minyak kereta dan perbelanjaan harian juga..masih banyak perkara yang berlegar di fikiran mereka.

Kanak-kanak atau orang dewasa sama-sama punya banyak masalah dan konflik yang harus mereka fikirkan.

KOMA

“Amat kelakar apabila awak meminta saya berbaik dengan dia, sedangkan saya tidak pernah rasa yang saya bergaduh dengan dia.” Itu kata saya dalam hati.

Kadang, kita perlu tangani. Jangan abaikan.

Salam Syawal kawan-kawan yang saya hargai.

[entri ‘warm-up’ setelah beberapa bulan mengabaikan blog]