Facing The Harbour
Menghadap Ke Pelabuhan

Zurinah Hassan
RM 20.00 / RM 25.00 (Sabah & Sarawak)
ISBN: 9789830684888
Tahun terbit: 2010
Jumlah muka surat: 123 (tidak termasuk kulit)

No Resit : ITNM 001190

Membaca naskhah Facing The Harbour : Menghadap ke Pelabuhan karya Zurinah Hassan, ternyata membuang persepsi-persepsi klise tentang penulis wanita dan tema yang sering mereka bawakan.  Buku terbitan Institut Terjemahan Negara Malaysia setebal 123 muka surat (tidak termasuk kulit) ini, boleh dikatakan sebuah buku  terbaik tentang pemikiran seorang wanita mengenai kehidupan yang melingkunginya, dalam genre puisi.

Zurinah Hassan, seorang penerima anugerah S.E.A Write Award pada tahun 2004, merupakan seorang penulis yang prolifik. Banyak menulis puisi, cerpen dan rencana, namun, lebih tertumpu kepada penulisan puisi sehingga meghasilkan lebih kurang  14 buah buku yang kebanyakannya buku puisi.

Selain menulis, beliau juga turut aktif membaca puisi tardisional seperti syair, nazam dan gurindam di majlis-majlis rasmi dan acara-acara sastera dan budaya.

Pengalaman menulis sejak berusia 12 tahun menjadikan karya-karya beliau mengetengahkan persoalan universal dalam tulisannya.  Zurinah Hassan juga berpendapat penulis mempunyai kebebasan untuk memperkatakan pelbagai isu yang menjadi minatnya. Kerana itulah dalam buku ini, segala persoalan yang melingkungi kehidupan Zurinah, dirakam dalam bentuk yang indah, dan dengan diksi yang sederhana sehingga kita tidak perlu membuka kamus untuk mencari makna-makna perkataan yang sukar.

Buku Menghadap Ke Pelabuhan yang diterjemahkan ke dalam Bahasa Inggeris (Facing The Harbour)  memuatkan 48 buah puisi terbaik dari Zurinah, mengenai kehidupan dan pemerhatian beliau terhadap kehidupan.

Bagi saya, tidak ada yang sia-sia dan klise dalam puisi yang termuat di dalam buku ini seperti yang pernah didakwa sesetengah pihak bahawa Zurinah Hassan merupakan seorang penulis yang menulis hal-hal basi, dan hal-hal seputar perasaannya, rumah tangga dan beberapa hal remeh yang lain. Membaca puisi Zurinah tentang hal diri dan emosinya menafikan  dakwaan sesetengah pihak iaitu menulis tema cinta dan bisikan jiwa merupakan hal kecil yang tidak menyumbang apa-apa kepada dunia.

Sebagai contoh, puisi Ingatan Kepada Suatu Kasih yang Tidak jadi (Of A Love  That Never Happen) di muka surat 72 :

Kesilapannya

Kau tidak berdaya berterus terang

Dan aku tidak berdaya mentafsir

Kesilapannya

Kau membina harapan

Bagai mengatur gambar-gambar

Pada sebuah album yang indah

Sedang aku tidak pernah melihat

Gambar-gambar itu

Kesilapannya

Kita telah bertemu

Dalam mimpi yang menggembirakan

Tapi aku lebih gembira

Bila terjaga dari mimpi itu.

Puisi ini sungguh ringkas dengan menggunakan perkataan yang jelas. Ia tentang kesilapan yang berlaku  dalam perhubungan dua hala antara lelaki dan wanita. Turut dinyatakan pendapatnya dan falsafah tersendiri tentang cinta dan hubungan lelaki dan wanita dalam puisi lain seperti puisi Yang Pasti, Satu Percakapan Singkat dan Untuk Hidup Bersama. Puisi sederhana ini mengingatkan kita tentang sesuatu yang sering berlaku dalam hidup manusia.

Hal cinta kemudian membentuk peribadi dan seterusnya menyemai kasih sayang yang menjadi inti dalam sistem kekeluargaan.  Tidak lupa, hal ini turut dimuatkan dalam buku puisi Facing The Harbour ini. Beberapa puisi yang mengangkat tema kekeluargaan dan falsafah kasih sayang antara ahli keluarga  dinyatakan melalui puisi-puisinya seperti Satu Cerita Cinta, Kuali Hitam, Catatan Untuk Siti, Nyanyian Menidurkan Halini, Perkahwinan – Kata Seorang Perempuan, Seketika terkenang Padamu Mama dan Catatan Untuk Suami.

Mengambil contoh puisi Kuali Hitam yang menceritakan perbezaan kasih sayang antara dua zaman melalui subjek yang penting dalam dunia wanita iaitu Kuali. Beza zaman itu dinyatakan melalui perbezaan jenis kuali dan penjagaannya lalu dikaitkan denga falsafah kasih sayang antara ibu dengan anak-anak yang berbeza masa lalu dengan masa kini. Antara petikannya :

Kami tidak pernah menyedari,

Dan ibu pun  tidak peduli,

Dia hanya tahu merasa bahagia,

Melihat kami keriangan,

Menunggu sesuatu akan terhidang,

Dan tidak ada yang lebih membahagiakan dari melihat kami kekenyangan.

Walaupun ketika diri berada di rumah, Zurinah tidak pernah leka dengan apa yang ada dipersekitarannya sehingga menjadikan beliau seorang pemerhati yang polos dan terlihat kewanitaannya yang filosofikal. Pelbagai kritikan sosial, pandangan tentang permasalah diri dan beberapa nilai ditonjolkan melalui beberapa puisinya seperti Semut, Pisau,  Di Sebuah Kolam,  Hujan Di Kuala Lumpur, Mencari Ruang, Setelah menonton Roots, Alex Haley, Ayahku dan Willy Loman dan Seluang.

Sebagai contoh bait-bait dalam puisi Semut yang  dikaitkan dengan kehidupan manusia ;

Sedang aku leka,

Terdengar semut berkata,

“Janganlah lupa semut cuma haiwan

Sekadar tahu menyampai berita yang benar sahaja

Tidak secanggih manusia

Kerana manusia adalah makhluk tuhan

Yang memiliki kepandaian

Untuk mereka-reka cerita

Dan menyebar dusta.”

Zurinah juga pernah menyatakan bahawa sastera adalah budaya, jati diri dan akar bangsa. Beberapa puisi tentang hal ini turut dimuatkan apabila melihat masyarakat terlalu leka membina dan mengejar kebendaan sehingga  lupa seketika kepada akar bangsa ini. Buku ini memuatkan beberapa puisi yang berkaitan dengan jati diri bangsa seperti puisi Menghadap Ke pelabuhan, Iklan TV dan Globalisasi.

Dalam puisi Iklan TV, Zurinah membawa pesan tentang  iklan-iklan yang mempromosi produk dari Barat yang kebanyakannya memecah tembok ketimuran masyarakat Malaysia. Di sebut tentang Kentucky yang menakluk selera bangsa, Malboro Country yang mempengaruhi anak-anak untuk merokok (pada waktu ini iklan rokok masih belum diharamkan oleh kerajaan Malaysia), iklan dari Paris tentang fesyen yang memakaikan anak-anak bangsa dengan baju ilusi, dan iklan Breakaway yang membuka pagar batas kesantunan anak-anak muda. Di akhir puisi, Zurinah menyatakan :

Kadang-kadang kami marah

Kerana terlalu banyak iklan

Memecah keasyikan

Perlahan-lahan kami fahami juga

Kuasanya mencorakkan rancangan

Dan menyusun jadual tayangan

Yang kemudian mempengaruhi agenda kehidupan

Biasanya kami leka

Ketika wajah negara

Dan watak bangsa

Diadun oleh tangan sang penaja

Penulis juga tidak lupa mengabdikan gambaran zaman yang melingkunginya melalui puisi-puisi yang ditulis. Perjalanan yang dilalui dirakam dan diadun dengan pemerhatian yang jitu sehingga terhasil puisi tentang  tempat-tempat yang pernah dikunjungi . Antara puisi yang merakam geografi atau nama tempat ialah Banjir Kilat, Janda Baik, Operasi  Memberkas Pengemis Di Ibu Kota, Bas Stand Klang, Sungai Klang, Kota Melaka, Di Sebuah Kolam, Di Perhentian Bas, Bukit Nanas, Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Shah Alam, Kuala Muda, dan Seorang Nenek Di Kuala Lumpur. Walaupun puisi-puisi ini menggunakan nama tempat atau kawasan serta peristiwa sebagai tajuk dan bayangan cerita, masih terdapat cerita disebaliknya tentang kehidupan dan hubungan manusia dengan alam di dalamnya.

Pandangan peribadi penulis tentang kewanitaan (feminisme) juga dimuatkan dalam buku Facing The Harbour ini. Antara puisi yang mengangkat isu kewanitaan ialah Pesanan Puteri Gunung Ledang, Pelayaran Hang Li Po, Surat Teja Kepada Tuah, Salam Perempuan Dari Penjara, Catatan Untuk Siti dan Perkahwinan.

Zurinah punya pendapat peribadi tentang hal-hal sejarah yang berkaitan dengan diri wanita yang sehingga kini sejarah lama itu berulang-ulang. Sebagai contoh dalam beberapa rangkap puisi  Pesanan Puteri Gunung Ledang Kepada Sultan Mahmud yang berbaur feminisme dan feudalisme  sebagai ingatan buat pemimpin dan wanita masa kini:

Tun Mamat

Sebenarnya aku memberi isyarat ini

Kerana aku tidak sudi menjadi permaisuri sultan

Dan hidup bercerminkan kekeruhan

Aku bukan Tun Fatimah

Yang pandai memafkan kezaliman

Aku bukan Tun Kudu

Yang tahu merelakan paksaan

Cukuplah dengan Puteri Hang Li Po

Yang terbungkus menjadi persembahan

Dan terseungkurnya Tun Teja

Ketika menangkap bayang-bayang cinta

Biarlah Gunung Ledang berdiri mengingatkan

ada bunga tidak dapat digubah sesedap titah

seorang perempuan pun adakalanya berhak memiliki kebebasan

Seorang sultan pun adakalanya harus tunduk kpada kekalahan.

Dengan terbitnya buku Facing The Harbour (dwi bahasa), karya Zurinah Hassan, saya percaya dunia sastera semakin kaya dan rencam, malahan tersebar ke pelusuk negara dengan usaha yang bukan sedikit oleh ITNM.  Sudah pasti deretan puisi ini boleh dibanggakan kerana ia menceritakan pemikiran dan fitrah seorang wanita dengan begitu tulus dan jujur.

Memiliki buku ini, seolah melihat diri dalam cermin. Kejujuran pemikiran dan jiwa rasa penulis dalam dirasai kerana bagi saya puisi yang baik bukan sahaja terletak pada cerita yang dibawa, tetapi juga bahasa yang digunakan. Pengarang memperkenalkan dunia kewanitaan, dunia seorang manusia di negara yang kecil ke persada yang luas. Menggunakan bahasa yang sederhana tetapi tepat pada konteks dan  makna yang didukung. Dengan ilustrasi yang menarik, buku ini merupakan naskhah terbaik tentang dunia wanita.

Selamat meneroka dunia kami, dunia wanita!