Ini adalah hari untuk kita bertemu. Dan saya mahu menduga saudari. Sejauh mana…
Dan debaran demi debaran bermula.
Fasa singkat.
Penantian mengikat.
KOMA
Seingat saya, dalam kehidupan yang sehingga detik nafas ini, ada beberapa temu duga yang pernah saya hadiri. Sejak mula mahu mengenal erti kerja, sehingga mencari erti jejak langkah kehidupan. Semuanya beri pengalaman yang pelbagai. Pernah saya ceritakan di dalam FB semasa saya baru menyudahi sebuah temu duga yang ‘menyayat hati’ tidak berapa lama dahulu sehingga menyimpulkan : temu duga ialah untuk mencari orang-orang yang kita suka. Dan sehingga kini saya masih menyetujui itu.
Itulah satu-satunya temu duga yang paling ‘buruk’ yang pernah saya alami (juga kawan-kawan seangkatan yang lain) sehingga saya sempat membuat catatan mengenainya (ketika hati dilanda emosi).
Temu duga ialah :
- Temu duga ialah kita mampu bercakap-cakap tentang fikiran-fikiran yang mahu kita sampaikan. Tetapi itu hanya berlaku selepas temu duga.
- Temu duga ialah provokasi, bijak bercakap dan menguji sikap terhadap sesuatu. Sedikit benar ilmu yang kamu pelajari di sekolah/universiti akan diujipakai.
- Temu duga ialah penilaian : kamu gagal menyampaikan apa yang sepatutnya dan penemu duga gagal memahaminya.
- Temu duga bukan seperti sebuah puisi; Kamu rangkumkan seluruh kehidupan dalam bait-bait kata yang terpilih. Maka, jadilah ia sebuah puisi yang kamu fahami dengan jelas, tetapi tidak bagi penemu duga yang punya banyak tafsiran. Kamu salah atau mereka salah bukan lagi persoalannya. Pilihlah perkataan dan emosi yang jelas dan tekal untuk membayangkan siapa kamu.
KOMA
Catatan di atas saya tulis pada tahun 2011 ketika temu duga mahu dinaikkan gred. Kisah lama yang tak akan saya lupa sampai bila-bila.
Dan kini, tahun 2013, saya berhijrah ke organisasi baharu, yang sebelumnya melalui proses yang sama – temu duga.
Dan saya peroleh beberapa makna temu duga yang baharu. Antaranya;
“Temu duga ialah sesi menabur janji dengan harga paling murah dan berharap semurah itulah kamu akan mengotakannya kelak!”
KOMA
Ini cerita lain.
PRU 13 baru berakhir. Janji-janji yang disebut dan dilaung pekikkan semasa kempen perlu ditunaikan oleh parti yang memenangai pilihanraya.
5 tahun ini ataupun kurang daripada itu [saya percaya setiap hari akan menjadi perit bagi pemenang], setiap kata harus ditunaikan. Setiap janji harus dikotakan.
Inilah temu duga yang paling besar bagi pemenang.
Ini cerita sama.
Dan saya, di sini dengan tugas yang semakin saya sukai, mengingat semula janji-janji saya kepada majikan ketika saya menawarkan diri untuk diambil bekerja. Saya janji, dan insya-Allah, saya tunaikan.
🙂