DSC_0405me

Dalam diri. Itulah.

Cinta dan benci, datang dan pergi. Terlalu banyak cerita yang ingin ditulis, tetapi ada sebahagiannya bukan untuk dikongsi.

Barangkali, seperti surat cinta, yang sifatnya terlalu peribadi. Tulus dan istimewa.

“Mak, mana semua surat-surat Ila?” tanya saya ketika menyelak alas katil. Bawah katil yang kosong, seperti kosongnya sebuah fail yang bernama ‘kenangan’.

“Sudah buang!” Mak jawab tanpa perasaan.

“Ala…orang nak buat rujukan manuskrip terbaru ni…”

KOMA

Banyak perkara dalam kehidupan ditangani dengan corak yang berbeza.

Ada yang boleh dicakapkan terus. Done!

Ada yang terpaksa dikias-ibarat-sindir-sinikal. Selesai juga setengah.

Ada yang tak terungkapkan. Simpan dalam hati dan doa sahaja ia berlalu pergi. Tidak selesai jika begini, kawan.

Segala rasa itu saya mahu bukukan dalam bentuk yang lebih ‘terpelajar’. Kerana saya pernah diajar untuk kurang ajar, dan kini saya mengerti, setiap perkara perlu dihalusi kembali.

Mungkin melalui surat.

“Itulah konsepnya. Sebagai contoh, saya tak suka babi. Okey, saya akan tulis surat kepada babi.”

“Tetapi, babi tak pandai baca.”

“Contoh sahajalah!”

 KOMA

Dihubungi seorang kawan lama. Kawan blog tentunya – Oh, benar, saya kira-kira sedari tahun pertama saya berblog, kawan yang terkumpul lebih banyak daripada kawan yang bersapa wajah setiap hari di sekeliling.

Kami bercerita tentang cinta dan benci. Cinta dan benci. Itu asas dalam jiwa manusia.

“Awak sudah lama tidak menulis blog.” Dia berkata lewat talian telefon.

“Oh? Saya ada tulis la. Hampir setiap bulan kalaupun bukan setiap hari seperti dalam blog rahsia saya.” Jawab saya.

Ada tawa kecil di hujung talian.

“Maksud saya, tulisan yang seperti dahulu. Awak yang dulu.” Dia bersuara lagi.

Dan kata-katanya membawa saya kepada pintu-pintu yang tersimpan di dalam blog ini. Pintu yang jika dibuka, penuh dengan cerita. Saya hanyut. Sehingga pada satu detik, saya merasakan, ya, mana saya yang dahulu? Yang menulis dari hati. Yang membuang segala rasa di sini?

Ia bagai surat-surat cinta kepada diri sendiri. mengingatkan diri tentang siapa kita dahulu, kini dan mungkin esok lusa.

“Emm..saya tulis biasa-biasa sahaja kot sekarang ini kerana yang rahsia, tentang rasa, semuanya ada di blog rahsia.” Jawab saya dengan gelak yang riang.

Riang kerana kami masih terikat dengan ‘tali-tali’ lama yang menemukan kami sebelum ini. Kisah dia, kisah mereka, menjadi sebahagian diri saya yang manis untuk dikenang.

Terlalu banyak yang ingin saya kembalikan di sini. Di blog ini. Walaupun bukan sepenuh rasa, tetapi saya merasakan blog ini adalah harta saya yang amat berharga – yang di dalamnya saya menemui diri yang pernah ada dan pernah hilang.

Tidak mungkinlah saya akan sama dengan saya yang dahulu. Namun, rasa yang ada, tidak ingin saya sia-siakan.

Terima kasih kawan yang selalu percaya kepada saya. Percaya kepada rasa yang pernah kita kongsikan bersama.

Insya Allah, saya akan tekun mengerjakan naskhah itu. Surat-Surat Kepada Mereka. Doakan.

Yang Benar,

Saya yang masih ada.

“Teruskan senyum (dan berblog), kerana ramai yang gembira kerananya.”

Itulah sebahagian isi nota kecil, yang berada di dalam sebuah bungkusan beg kertas kecil berwarna merah. Di dalamnya juga terdapat cenderahati dari negara matahari terbit itu.

Tidak ramai yang tahu saya suka magnet berhias. Dan kehadiran hadiah itu memaniskan hari.

Ia manis dan wajar apabila diselitkan di wiper kereta saya.

Manis, kerana ia mengingatkan saya tentang contengan-contengan nakal berbentuk hati yang dilukis di cermin kereta oleh entah siapa suatu waktu dahulu.

Ia wajar kerana persekitaran yang berhalangan memungkinkan hadiah itu tidak diberi secara terus ke tangan saya.

KOMA

Amat tertarik dengan entri seorang kawan yang merupakan jurufoto majlis perkahwinan. Acaii Jawe. Ia berkenaan dengan konsep ‘datang dan pergi’. Sesuatu yang datang, seperti majlis perkahwinan, adakah akan diisi dengan sesuatu yang sia-sia? Adakah mahu di tinggalkan dengan sia-sia tanpa sebarang tanda atau kenangan?

Maka dengan itu, gambar yang terakam haruslah tidak dipersia.

Amat tertarik dengan kisah seorang teman. Tentang cinta. Tentang hidup. Tentang jiwa-akal. Adakah kenangan itu amat berharga? Perlukah ia diingati selalu? Patutkah ia dirakam? Jika perlu untuk apa? Bagaimana pula caranya?

Jika begitu, mulalah menulis kawan. Kerana dengan bahasa yang bagaimanapun, ia harus jadi tanda. Tanda sebuah cerita. Sebuah cerita yang kita bawa. Walau bukan di jiwa dan dada. Ia tetap ada dalam diri kita.

KOMA

Kadangkala, kita tidak perasan sesuatu itu datang kepada kita.

Kita perasan dan sedar kehadirannya setelah ia mahu pergi.

Pergi dan datang. Kadang tidak datang kembali.

Mahu diingati atau lupakan sahaja?

Kawan, walau kehadiran kamu tidak saya sedar bila ia datang, saya terasa jika kamu tiada. Terasa.

Tiada apa lagi perlu ditinjau. Hanya matahari, yang juga kadang ada kadang tiada.

kaktus

“Gambar kaktus yang berbunga kembang, telah terpadam dari kamera,” adu saya pada dia beberapa hari lalu.

“Lain kali boleh ambil gambar lagi bukan?” jawab dia memujuk.

Sebenarnya bunga kaktus itu hanya berkembang sekali. Dan selepas itu bunganya akan gugur. Kena tunggu bunga baru muncul.

Mujur, gambar itu sebenarnya bukan terpadam, cuma salah letak sahaja. Jadinya, saya sempat merakam saat bunga itu kembang. Tidaklah cantik mana, tetapi manis buat saya. Kerana ada cerita di situ.

KOMA

“Dalam fotografi, banyak perkara boleh kita belajar. Itu kamu cari sendiri,” kata saya kepada seorang sepupu  yang mula meminati bidang fotografi dan bertanya itu ini kepada saya.

Dia menggunakan kamera Canon. Jadi, saya yang memang tidak begitu bijak dengan jenama itu, hanya tunjukkan apa yang termampu.

“Sebagai jurugambar, kamu harus tahu kelebihan kamu di mana. Adakah dengan mengambil gambar perkahwinan, potret, pemandangan, abstrak dan lain-lain lagi. Macam saya, saya tidak suka ambil gambar perkahwinan,” kata saya.

Sambung saya lagi, “sebab itu kadang kita tengok, ada gambar kita yang cantik, dan ada yang tidak begitu berjiwa. Maknanya yang cantik itulah kecenderungan kita. Saya rasa saya suka ambil gambar potret.”

Dia hanya mengangguk-angguk. Sama ada faham atau tidak saya tidak tahu.

Saya juga mengangguk-angguk. Sama ada yakin dengan fakta yang saya kemukakan atau itu hanya hujah sendiri.

KOMA

Bercakap mengenai kamera DSLR, terutama yang besar-besar dan mahal-mahal, saya lihat ramai yang sudah memilikinya atau mampu memilikinya. Teknologi sentiasa laju berlari.

Namun, ramai juga yang tidak mampu memilikinya kerana ia bukan keperluan hidup. Mungkin.

Saya seorang wartawan merangkap jurugambar, pada mulanya menganggap memiliki kamera DSLR sesuatu yang membanggakan. Memang membanggakan apatah lagi apabila keluar bertugas, bilangan jurugambar wanita yang turut sama berebut-rebut mengambil gambar boleh dikira dengan jari. Juga sedih, apabila saya terpaksa berhimpit-himpit dengan jurugambar lain [lelaki] semasa mengambil gambar majlis. Sehabisnya, saya berundur kerana tidak manis untuk saya turut serta berebut-rebut bagi merakam saat yang penting seperti ketibaan VVIP dan perasmian oleh Yang di-Pertuan Agong.

Oleh kerana hidup saya memang dengan kamera dan gambar-gambar, maka saya menganggap nilai gambar yang saya ambil biasa-biasa sahaja.

Tetapi tidak bagi orang lain yang tidak punya kamera dan jarang diambil gambar. Setiap peristiwa yang terakam memberi makna.

“Saya sudah malas mengambil gambar perkahwinan,” kata seorang kawan jurugambar.

“Mengapa?” tanya saya.

“Majlis perkahwinan hari ini, sudah tiada nilainya. Hanya upacara. Hanya majlis. Beza dengan dahulu. Ada senyum, ada pilu, ada cinta, ada sayang, ada ikrar, ada agama,” katanya yang memang saya kagumi apabila mengambil gambar perkahwinan.

Mungkin.

KOMA

Saya pernah ditawar RM5 ribu untuk mengambil gambar seorang hartawan yang mahu gambarnya dirakam ketika dia menyalami Yang di-Pertuan Agong. Saya katakan padanya saya bukan prefesional.

Dia menyalami Yang di-Pertuan Agong dengan wajah yang paling manis. Tetapi saya gagal merakam gambarnya kerana semua jurugambar bersesak-sesak.

Dia, hartawan itu, kesal tetapi menerima penjelasan saya. Saya, pada waktu itu baru pertama kali memegang kamera kepunyaan pejabat yang tidak secanggih kamera saya sekarang. Dan, saya pada waktu itu masih tidak punya ramai kenalan jurugambar yang boleh diajak berkongsi tawaran seperti yang hartawan itu berikan.

Pernah juga selepas habis satu program, saya didatangi seseorang dari negara seberang. Beliau meminta pertolongan [ada nada rayuan], gambarnya dihantar kepadanya. Saya meminta e-mail beliau agar gambarnya boleh saya hantar dengan mudah. Apabila saya meneliti kembali gambar-gambar yang saya ambil, gambar beliau tiada dalam ratusan gambar itu. Saya terkedu.

Pernah juga seorang pakcik dari Terengganu yang datang ke program yang pejabat saya anjurkan, meminta gambarnya yang saya ambil, dicuci dan dihantar kepadanya.

Saya terkedu. Sebab selama ini saya tidak pernah mencuci gambar dan mengirimkannya kepada sesiapa. Saya hanya ambil, dan dokumentasikan gambar-gambar itu dalam bentuk CD.

Pakcik itu, meninggalkan alamat rumahnya dan berpesan berkali-kali agar gambarnya dicuci dan dihantar kepadanya.

Sehingga hari ini permintaannya itu, tidak saya tunaikan. Begitu juga dengan permintaan-permintaan lainnya yang meminta gambar mereka dikirim melalui e-mail.

Apatah lagi kawan-kawan pejabat yang suka benar gambar mereka diambil. Kebanyakannya saya simpan sahaja. Kecuali beberapa orang yang datang pada saya dan membawa ‘thumb drive’, atau yang menyapa saya melalui YM. Maka mereka boleh mengambil gambar mereka tanpa syarat.

Mungkin, saya menganggap bahawa mereka yang mahukan gambar mereka yang saya simpan, yang seharusnya datang pada saya dan meminta gambar itu daripada saya. Bukan saya yang sepatutnya bersusah payah mengagih-agihkan gambar untuk mereka yang ada dalam simpanan saya. Mungkin.

Bagaimana pula dengan mereka yang datang dari jauh, yang mengharapkan gambar mereka yang saya ambil menjadi kenangan paling berharga, tidak saya endahkan?

Hal itu menjadi satu kesedaran buat saya. Bagi saya gambar yang saya ambil tidak begitu bermakna terutama hal yang berkaitan dengan urusan rasmi pejabat dan terutama apabila gambar itu tiada kaitan ceritanya dengan cerita saya. Ambil gambar, edit sedikit dan dokumentasikan dalam bentuk CD. Simpan.

Namun, bagi mereka yang tidak kamera dan tidak punya ruang untuk merakam saat-saat manis dan penting dalam hidup, mungkin menganggap dengan meminta pertolongan orang lain, saat-saat manis itu boleh di simpan.

KOMA

Nilai sebuah gambar, bukan sahaja kerana kualiti sesebuah gambar itu dirakam.

Nilai sebuah gambar bukan kerana kamera yang mahal atau pergi ke tempat yang terkenal.

Nilai sebuah gambar terletak pada peristiwa yang dirakam. Banyak cerita dapat dipugar hanya dengan sebuah gambar.

Saya juga punya beberapa gambar yang manis bagi saya. Bukan kerana gambar itu cantik dan punya kualiti yang baik, tetapi kerana ia punya cerita. Cerita saya yang terakam melaluinya.

“parit itu, airnya tidak lagi jernih. Kerana Itukah kau memutuskan untuk melupakan manisnya zaman kecilmu?”

Semasa nenek sedang tidur, saya menyelinap keluar bersama sepupu-sepupu lelaki saya. Pesanan nenek supaya menjauhi parit, tidak saya hiraukan. Sudahnya, petang itu, saya yang berumur 9 tahun terjatuh dalam parit yang sedang pasang airnya dan kedalamannya mencecah paras leher saya.

Parit itu hampir melemaskan saya walaupun hakikatnya tidak pernah ada orang mati lemas sepanjang parit itu wujud di hadapan rumah nenek dan orang kampung lainnya.

Saya hampir lemas.

Parit adalah lelaki gagah yang tidak mudah tergoda dengan gadis. Mungkin kerana parit tidak suka pada saya, seorang perempuan. Atau parit memang dengki dengan budak perempuan comel macam saya. Itu getus hati saya masa itu.

Tapi, sepupu-sepupu lelaki saya pernah beritahu. Bukan sekali. Tetapi banyak kali bahawa ‘parit tidak suka budak perempuan bermain-main dengannya. Nanti perempuan itu hilang manisnya, dan tiada siapa akan mengahwininya’.

Dan kata-kata itu membentuk saya yang tidak lagi mahu mencecahkan walau hujung jari ke dalam air parit itu. Hakikatnya, memang gadis kecil seperti saya tidak manis berpeleseran di parit dan berperangai gila-gila dengan menangkap ikan dan mengaut tanah liat segala bagai, seperti seorang lelaki.

Kini, bila dewasa, pulang ke kampung tidak seperti semasa kecil dahulu. Parit lesu, airnya keruh dan tidak kelihatan kelibat budak-budak bermain di tepian parit lagi. Menangguk ikan atau menyelam mencari tanah liat. Juga tidak kelihatan lagi anak-anak ikan berenang kejar mengejar antara mereka. Keruh.

Namun wajah saya masih berbayang di air yang keruh itu.

Betapa dahulu parit ini membentuk budaya anak kampung menjadi manusia yang sentiasa peka dengan alam sekeliling, menghormati penghuni alamnya serta membentuk peribadi tersendiri melalui aktiviti yang dijalankan di parit ini.

Nostalgia lama berkaitan parit ini seringkali juga terakam di dalam novel atau bentuk-bentuk penceritaan yang lain, khasnya cerita-cerita pendek. Betapa parit berjaya membentuk satu kekuatan semangat, nilai diri, setiakawan dan hubungan manusia dengan alam. Suatu ketika dahulu.

Kini, parit semakin cetek. Airnya keruh. Dan budak-budak yang dahulunya berkumpul, menyanyi beramai-ramai sambil menangkap ikan atau memanggang ikan itu di tepian parit nan jernih dan sejuk airnya, telah tiada.

Parit juga sunyi. Budak-budak yang dahulunya menjadikan parit rumah kedua mereka telah tiada. Mungkin sedang berteleku di hadapan televisyen, atau bermain permainan digital di hadapan komputer. Mungkin juga keluar berpeleseran di tempat-tempat yang lebih indah dan menarik.

Dan akhirnya parit mengakui, budaya yang terbentuk daripadanya telah hilang. Kata parit, “buat apa hidup kalau tidak memberi manfaat?”.

Saya jawab, ” Tidak mengapa. Manusia memang selalu lupa pada sejarah yang sebenarnya membentuk mereka pada hari ini. Tidak mengapa parit, jika mereka telah lupa pada kesejukan airmu, keriangan yang tercipta daripada jernihnya airmu serta kepuasan menikmati zaman kanak-kanak bersamamu”

“teruskan sahaja hidupmu. Kerana apa yang telah kau beri dahulu lebih berharga daripada apa yang mereka nikmati kini. Kenangan dan nilai yang telah kau ajarkan pada mereka dan juga aku, yang sebenarnya membentuk kami menjadi dewasa yang bermakna. Percayalah!” pujuk saya.

Dan parit tersenyum. Riak senyumnya terus melebar tatkala saya tunduk memandang bebayang wajah sendiri. Dan bayang itu hilang ketika setitis dua air mata jatuh. Tepat di dada parit yang kelam warnanya.