DSC_0405me

Dalam diri. Itulah.

Cinta dan benci, datang dan pergi. Terlalu banyak cerita yang ingin ditulis, tetapi ada sebahagiannya bukan untuk dikongsi.

Barangkali, seperti surat cinta, yang sifatnya terlalu peribadi. Tulus dan istimewa.

“Mak, mana semua surat-surat Ila?” tanya saya ketika menyelak alas katil. Bawah katil yang kosong, seperti kosongnya sebuah fail yang bernama ‘kenangan’.

“Sudah buang!” Mak jawab tanpa perasaan.

“Ala…orang nak buat rujukan manuskrip terbaru ni…”

KOMA

Banyak perkara dalam kehidupan ditangani dengan corak yang berbeza.

Ada yang boleh dicakapkan terus. Done!

Ada yang terpaksa dikias-ibarat-sindir-sinikal. Selesai juga setengah.

Ada yang tak terungkapkan. Simpan dalam hati dan doa sahaja ia berlalu pergi. Tidak selesai jika begini, kawan.

Segala rasa itu saya mahu bukukan dalam bentuk yang lebih ‘terpelajar’. Kerana saya pernah diajar untuk kurang ajar, dan kini saya mengerti, setiap perkara perlu dihalusi kembali.

Mungkin melalui surat.

“Itulah konsepnya. Sebagai contoh, saya tak suka babi. Okey, saya akan tulis surat kepada babi.”

“Tetapi, babi tak pandai baca.”

“Contoh sahajalah!”

 KOMA

Dihubungi seorang kawan lama. Kawan blog tentunya – Oh, benar, saya kira-kira sedari tahun pertama saya berblog, kawan yang terkumpul lebih banyak daripada kawan yang bersapa wajah setiap hari di sekeliling.

Kami bercerita tentang cinta dan benci. Cinta dan benci. Itu asas dalam jiwa manusia.

“Awak sudah lama tidak menulis blog.” Dia berkata lewat talian telefon.

“Oh? Saya ada tulis la. Hampir setiap bulan kalaupun bukan setiap hari seperti dalam blog rahsia saya.” Jawab saya.

Ada tawa kecil di hujung talian.

“Maksud saya, tulisan yang seperti dahulu. Awak yang dulu.” Dia bersuara lagi.

Dan kata-katanya membawa saya kepada pintu-pintu yang tersimpan di dalam blog ini. Pintu yang jika dibuka, penuh dengan cerita. Saya hanyut. Sehingga pada satu detik, saya merasakan, ya, mana saya yang dahulu? Yang menulis dari hati. Yang membuang segala rasa di sini?

Ia bagai surat-surat cinta kepada diri sendiri. mengingatkan diri tentang siapa kita dahulu, kini dan mungkin esok lusa.

“Emm..saya tulis biasa-biasa sahaja kot sekarang ini kerana yang rahsia, tentang rasa, semuanya ada di blog rahsia.” Jawab saya dengan gelak yang riang.

Riang kerana kami masih terikat dengan ‘tali-tali’ lama yang menemukan kami sebelum ini. Kisah dia, kisah mereka, menjadi sebahagian diri saya yang manis untuk dikenang.

Terlalu banyak yang ingin saya kembalikan di sini. Di blog ini. Walaupun bukan sepenuh rasa, tetapi saya merasakan blog ini adalah harta saya yang amat berharga – yang di dalamnya saya menemui diri yang pernah ada dan pernah hilang.

Tidak mungkinlah saya akan sama dengan saya yang dahulu. Namun, rasa yang ada, tidak ingin saya sia-siakan.

Terima kasih kawan yang selalu percaya kepada saya. Percaya kepada rasa yang pernah kita kongsikan bersama.

Insya Allah, saya akan tekun mengerjakan naskhah itu. Surat-Surat Kepada Mereka. Doakan.

Yang Benar,

Saya yang masih ada.

Bulan yang kurenung di tengah malam yang gelita,

Kadang terang dan selalu juga kabur,

Dan aku terus merenung bulan itu,

Dengan rasa yang bercerita,

Tentang Qada’ dan Qadar-Nya.

Bulan itu mengingatkan aku,

Tentang Rahimin pemeran idea,

Tentang Rizal, Sarul, Izwan dan Suhaimi,

Juga Azzahari yang selalu mengerti.

Dan dengan fikir yang merba

puisi pun terlahir.

Sedetik kurenung bait-bait Sarul

“Ramadhan bukan sekadar lapar dan dahaga”

Tataplah kitab, imbas lah ajaran

Kau dipinta agar bersederhana

Kau diimbau mencari makna”

Benar Sarul,

Bazar Ramadhan adalah medan perang antara lapar dan nafsu.

“Ramadhan adalah memori”

Dan kufahami kenangan Izwan,

Yang tercerita lewat puisinya,

Dalam zaman kedewasaan yang mematangkan,

Dalam sedar dan juga enggan.

Melihat Suhaimi,

Dalam figura seorang bapa,

Untuk anak yang sering dibangga,

Dan dia Suhaimi,

Yang pernah merasa kecilnya usia,

Antara paksa dan rela,

Antara ikhlas dan juga tipudaya,

Mengharap pencarian makna Ramadhan,

Masih mencarikah sehingga kini?

Di situ Rizal,

Tetap berdiri sebagai kawan,

Kukenali dirimu dalam sisi yang lain,

Dan kau kenalkan aku pada dirimu yang lain,

Semoga Lailatul itu mendamping dirimu,

menghilang resah pencarian yang satu,

percaya janji Allah!

Seorang Layla,

Masih menanti puisi Azzahari,

Dalam resah diri,

Sedikit geram dengan kawan terperi,

Seorang Rahimin, pencabar dalam sepi.

Dan seorang Layla Yang pernah berkata tentang redha,

Ditemukan duga dan takdir Maha Esa,

Ramadhan ini ceritanya luka,

Untuk diri yang selalu alpa.

Dan bulan itu terus ada,

Untuk kurenung sesekali,

dan Dia, tidak pernah lepas merenungku.

*Puisi mengenang Ramadhan, dan kawan-kawan. Tentang lapar dan dahaga. Tentang duga dan takdir-Nya. Tentang CikD80 si harta dunia yang direnggut Encik pencuri durjana.

Puisi Ramadhan Versi Rizal

Puisi Ramadhan versi Suhaimi

Puisi Ramadhan versi Sarul

Puisi Ramadhan versi Cikgu Izwan

Versi Azzahari

“Bagaimana mahu mencetak skrin guna Mac?” tanya saya kepada seorang rakan yang juga menggunakan jenama lap top yang sama.

Akhirnya dapat juga.

Terima kasih kawan yang sentiasa memudahkan.

KOMA

Sebenarnya sejak hari pertama berita tentang pengarah filem terkenal Yasmin Ahmad terkena serangan strok di siarkan, ada sedikit rasa pilu di hati. Dia, pengarah yang cukup berbakat. Saya kagum walaupun ada beberapa perkara yang saya tidak setuju mengenai hasil tangan beliau melalui filem-filemnya.

Berita pemergian beliau juga memberi kesan kepada hari saya.

Tidak perlu sebut lagi hal ini.

Namun ada hal yang masih berlarutan. Tempiasnya mengenai blog saya.

Picture 5

Picture 6

Suatu waktu dahulu, pada tahun 2007, saya pernah menulis sebuah entri mengenai karya beliau dengan tajuk YASMIN AHMAD. Entri itu cuma berkisah tentang beberapa filem Yasmin yang saya kira tidak begitu sedap pada pandangan mata saya. Dan entri itu juga saya kira entri yang seimbang. Saya masih mengangumi beliau.

Kini, setelah beliau tiada, saya kira hal-hal peribadi beliau bukanlah suatu hal yang perlu dijaja apatah lagi yang melibatkan hal mengaibkan atau apa-apa sahaja. Namun entri Yasmin Ahmad ini menjadi popular di blog saya sejak akhir-akhir ini dengan carian kata kunci yang saya kira ‘untuk apa?’ Kata kunci yang entah apa-apa dan saya kira mereka yang menggunakan kata kunci itu sangat biadap dan tiada ‘hati’. Tidak ada kerja lainkah selain mahu mengorek dan menggali rahsia hidup orang lain yang telah pergi? Mungkinkah yang melakukan ‘kerja’ sebegini terdiri daripada para wartawan?

Hal ini turut dirasai oleh masyarakat apabila suratkhabar Kosmo menyiarkan hal yang bukan-bukan mengenai Yasmin Ahmad.

Sudah-sudahlah wahai manusia yang tak punya rasa. Usah ‘menangguk di air yang keruh’.

KOMA

Command + Shift + 3

Cara mencetak skrin dengan Mac.

Terima kasih sekali lagi.

Bacaan lanjut :

Rantingsbymm

Syahrilkadir

Facebook

DSC_0380

Kadang tidak semua soalan perlu jawapan. Ini hal yang pernah saya sebut-sebutkan dalam beberapa entri di blog ini.

Ya, tidak semua soalan perlu jawapan. Itu untuk hal yang lain, kawan.

Hari ini, saya kira semua soalan yang melingkungi diri telah saya sediakan jawapannya.

Ada rasa puas walaupun agak cuak sedikit dengan keputusan atau kesan jawapan itu kelak.

Insya Allah, doa dan usaha. Pesan kawan-kawan yang saya hargai. Terima kasih kawan-kawan.

KOMA

SESI 1 – Ujian bertulis yang saya duduki pagi tadi masih terkesan di kepala. Berbayang-bayang soalan yang perlu saya sudahi. Menyunting manuskrip ilmiah dan karya kreatif. Walaupun hanya dua mukasurat, ianya soalan yang agak ragu-ragu saya sudahi. Ada banyak alasan di sini. Bahagian kedua lebih kepada soalan merenung diri sendiri. Genre buku yang bagaimanakah yang anda minati?

Telah berjawab semua dan Alhamdulillah, saya melepasi soalan-soalan sesi pertama ini.

SESI 2 – Gementar menghantui. Jumpa kawan-kawan. Katanya soalan biasa-biasa sahaja. Saya meminta hati agar jangan terlalu cepat mengalah. Meminta jantung juga agar jangan terlalu laju berlari. Ia menyesakkan. Pelbagai bentuk soalan diajukan. Saya kira agak banyak kali juga saya menghadapi situasi begini sebelum ini. Entah kenapa kali ini agar gemuruh. Alhamdulillah, setiap soalan tidak dibiarkan tanpa jawapan. Dan saya kira jawapan yang diberi bukan jawapan main-main.

Semoga segalanya baik.

Keputusan ditangan tuan hamba.

Hamba mengikut sahaja.

KOMA

Sehabis sesi soal-soal dan jawab-jawab, saya mendatangi kawan-kawan yang baharu dikenali. Seperti biasa ada soal-soal dan jawab-jawab yang agak biasa dan luar biasa.

“Awak ada blog bukan?” Soal kawan itu.

Saya agak terkejut. Apatah lagi apabia dia menyebut hal-hal yang pernah berlaku dalam blog saya – saya berura-ura mahu menutup blog.

Saya tanyakan pada dia, bagaimana dia boleh mengecam saya. Tentunya ini soalan saya yang kurang akal setelah diketahui yang saya menampal beberapa gambar saya di blog, Facebook juga Goodreads.

Maka perbualan-perbualan seterusnya memasuki fasa saling kenal-mengenali dan cerita-cerita yang berkait-kait.

“Nak tanya sikitlah. Apa makna kata ‘KOMA’ dalam entri awak itu? Siap huruf besar dan bold lagi,” tanyanya lagi, yang membuat saya ter ‘erkkk’.

Maka saya jelaskan pada beliau dengan panjang lebar bagi menjawab soalan-soalan beliau itu.

Pendapat dia, sama seperti apa tujuan saya menghadiahkan KOMA kepada pembaca. Ya KOMA itu bagai tembok yang terpaksa kamu hadapi setelah kamu berlari di atas huruf-huruf yang saya susun. Berehatlah setelah KOMA.

Hari ini, memang hari saya menjawab soalan. Dan ia memang untuk hal yang ini. Perlu jawapan untuk soal-soal begini.

DSC_1012

Ya. Kawan-kawan marah bila saya buat begini.

Kawan-kawan yang saya suka.

“Kata tidak mahu berblog lagi?” tanya kawan pejabat yang melihat saya membelek-belek blog kesayangan saya.

Saya diam. Mencari alasan.

Ya, saya sayang blog saya. Kerana ini jiwa saya. Ini perjalanan saya dua tiga tahun ini.

Dan saya kira keputusan ini penting untuk saya dan kawan-kawan saya.

KOMA

Blog Psittacula ini, kenapa saya perlu berhenti menulis di blog ini?

Sebab tepu. Sebab kata-kata saya, dan pendirian saya disalah erti oleh pembaca yang tidak mengerti [baca: kawan-kawan yang saya tak suka dan mereka pun tak suka saya. Hahaha…]

Saya perlu berhenti kerana separuh perhatian dan ketaksuban saya pada kehidupan tertumpah di sini.

Saya perlu berhenti kerana blog ini mencuri daya menulis saya yang sepatutnya tertumpah ke medium yang lebih baik dari ini.

KOMA

Blog Psittacula ini, kenapa saya perlu meneruskan blog ini?

Sebab blog saya ramai pembaca. Hohoho…..perasan. [statistik, biarlah saya sahaja tahu]

Sebab menerima banyak email, sms, ym dan secara muka meminta saya usah berhenti.

Sebab saya perlu medium santai untuk mengikis tekanan. Caranya menulis apa yang membebankan di dalam blog ini. Ya. Ini alasan yang utama.

Keduanya, saya mahu berkongsi pengalaman saya kepada kamu yang membaca blog ini. Pengalaman kita berbeza bukan?

Ketiganya, saya punya ramai kawan yang baik-baik dan berbakat. Saya perlu cerita kepada kamu semua tentang mereka. Tentang cara mereka memperoleh kejayaan. Tentang cara mereka menangani kegagalan. Supaya kita saling memanfaati.

Keempat, saya punya ramai kawan yang memerlukan sokongan saya. Kami jarang berjumpa. Jadi blog adalah medium terbaik untuk saya dedikasikan kata-kata semangat buat kawan-kawan saya. Ini termasuklah berkongsi masalah mereka dengan mereka dan kamu. Dan komen-komen dari kamu, beri semangat yang besar buat yang lain.

Kelima, saya mempunyai banyak perkara baik mahu dikongsi. Contohnya, buku-buku yang kawan-kawan saya tulis.  Tempat-tempat menarik yang saya dan kawan-kawan saya pergi. Dan peristiwa-peristiwa yang saya kira harus di rakam dalam bentuk penulisan untuk rujukan.

Saya perlu berhenti di sini walaupun senarai sebab mengapa saya perlu blog ini tak akan habis.

KOMA

Jadinya, saya fikir melihatkan sebab-sebab di atas. Apa yang perlu saya buat?

Berhenti.

Atau.

Terus.

meow

“Saya sedang pening,” beritahu saya pada dia, tentang kesibukan saya kebelakangan ini, dan kekalutan saya melaksanakan tugas yang kebanyakannya datang di saat-saat akhir.

Sambung saya lagi, “waktu beginilah, idea menulis datang mencurah. Pagi tadi semasa dalam perjalanan ke pejabat, ilham itu datang dengan laju dan padat. Saya capai nota dan pen, catat isi penting dan beberapa catatan lain. Dan saya kena hon oleh kenderaan di belakang kerana lampu hijau telah menyala tetapi kereta saya tidak bergerak.

“Memang. Kadang, waktu kita banyak kerja, waktu itulah idea menulis datang. Masa itu otak kita kan bekerja keras,” katanya yang merupakan seorang penulis yang amat saya kagumi dan satu-satunya penulis perempuan yang saya suka baca hasil karyanya.

KOMA

Saya sangat sibuk sehingga terlupakan banyak perkara.

Ternyata masa bukan emas bagi saya. Kerana nilai emas tidaklah setinggi mana. Nilai masa lebih dari itu.

Nilai persahabatan juga.

Maaf kawan, terpaksa abaikan panggilan dan sms dari kamu kerana waktu itu saya berada di PICC dan Kg. Baru. Ambil gambar.

Dan selepas ini jadual saya sangat padat.

KOMA

“Kak, saya mahu ambil semula cerpen yang telah saya hantar. Untuk penambahbaikan. Akak bagi masa untuk saya agar saya disiplin untuk menghantar cerpen itu,” kata saya kepadanya yang tidak sepatutnya saya panggil kakak kerana tarafnya lebih tinggi daripada saya.

“Hantar dalam pertengahan bulan tiga boleh?” katanya memberi tarikh mati penghantaran cerpen itu.

Erk. Bulan tiga jadual saya penuh dengan aktiviti bulan dakwah. Mampukah?

KOMA

“25 Februari sehingga 2 Mac saya akan ke Pulau Pinang. Karnival Halal,” kata saya.

“Lamanya…” jawab dia.

“4 Mac sehingga 6 Mac berada di Melaka, InsyaAllah. Dan selepas itu akan ‘capik’ dengan aktiviti Bulan Dakwah yang lain,” sambung saya lagi.

Saya penat. Blog akan saya rehatkan.

dsc_0040psd

Puan Ainon pernah berkata, “tulis apa sahaja jika kamu rasa kamu sahaja yang akan membacanya. Tulis sesuatu yang bermanfaat, bahasa yang baik dan nilai yang tinggi jika kamu mahu semua orang baca apa yang kamu tulis.”

Puan Nisah juga pernah mengulas, “penulis, apabila telah meninggal dunia, tulisannya tetap akan dibaca oleh orang lain. Oleh itu bentuk bahan dan bahasa yang bagaimana yang akan kamu tinggalkan?”

Hari ini hari pertama dalam bulan terakhir.

Fasa belajar menulis. Blog dan buku. Apa bezanya?

Dan hal ini mengingatkan saya pada seorang rakan blog yang menekankan doktrin “Blog is blogla, medan expresi diri, something personal, just accept those who blog as a medium of self expression, terapi minda.”

Saya tidak fikir kita manusia yang tahu hidup hanya sekali, menolak untuk melakukan sesuatu yang bermanfaat dengan menulis benda-benda yang baik untuk tatapan umum.

Jika memang menulis sebagai medan mengekspretasikan diri, sesuatu yang personal dan sebagainya, lakukan dengan baik dan bermoral. Jika tidak set sahaja blog itu sebagai ‘bukan untuk bacaan umum’. Private. Jadi, tiada sesiapa yang akan keliru dengan apa yang ingin anda luahkan.

Itu pandangan saya tentang tanggungjawab dan hobi menulis blog.

KOMA

Hari ini hari pertama dalam bulan terakhir.

Kebanyakan azam dan impian saya telah terlaksana dengan baik. Saya gembira. Alhamdulillah.

Namun, kenapa hanya kerana sedetik peristiwa hitam melanda, saya kehilangan nikmat gembira itu?

“Dan sekiranya kamu menghitung nikmat Allah, nescaya tidak dapat menghitungnya. Sesungguhnya Tuhan itu Maha Pengampun dan Maha Penyayang.” – (Surah an-Nahl, ayat 18)

“Jika kamu bersyukur maka Aku (Tuhan) akan menambah (nikmat) itu kepada kamu. Dan jika kamu engkar maka sesungguhnya seksa Aku amat pedih.” – (Surah Ibrahim, ayat 7)

bukubm

Apabila kita meletakkan sesuatu bukan pada tempatnya, inilah yang terjadi. Penulis tidak tahu apa yang ditulis, editor tidak menjalankan kerja penyuntingan dengan baik serta pemimpin yang tidak menjalankan fungsinya dengan baik.

Wacana Intelektual, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), 17 November 2008, 8.30 malam. Ini maklumat yang saya hadam untuk menghadirkan diri ke DBP.

Tajuk wacana ialah Penerbitan Buku : Tuntutan Intelektual atau tarikan Komersial oleh Dato’ Dr. Hassan Ahmad, seorang tokoh pendidik dan budayawan (Pengarah Eksekutif Yayasan Karyawan Malaysia).

dato

Pelbagai isu penerbitan buku diungkap. Sedari proses awal penulisan yang dikatakan bahawa penulis yang baik memikirkan dua perkara yang penting iaitu bahasa yang digunakan dan isi kandungan yang bermanfaat. Selain itu, bagi penulis buku, peranan editor sebagai pengemas hasil tulisan dan juga peranan penerbit yang menerbit dan memasarkan hasil tulisan yang baik dan bermutu.

Sesi soal jawab seterusnya mengungkap persoalan bahasa Melayu sebagai bahasa yang paling mudah berbanding bahasa lain. Apa yang dieja itulah yang disebut. Beberapa perkataan bahasa Inggeris yang sebutannya tidak sama dengan ejaan menjadi contoh panel. Ya, Bahasa Melayu itu mudah dan indah. Juga sarat dengan makna dan nilai walaupun tidak menurut tatabahasa yang formal.

Dasar Buku Negara 1985, penerbitan DBP, dan hala tuju penerbitan DBP sekali lagi menjadi perdebatan yang panas.

Seorang tetamu yang menggelarkan dirinya sebagai ‘hantu’ melambangkan keadaan DBP kini, seumpama perlakuan Sang Nila Utama yang sanggup membuang harta benda dan mahkota dek kerana takutnya tenggelam kapal yang dinakhodainya. Mungkin juga perumpamaan ini membayangkan pucuk pimpinan DBP yang dikatakan kurang kena pada tempatnya.

Terdapat juga pendapat yang menyarankan agar DBP berpijak pada buminya sendiri dan tidak perlu bersaing dengan mana-mana institusi penerbitan di negara ini. DBP di saran bergerak dalam gelombang ‘blue ocean‘ nya sendiri sebagai satu-satunya badan yang memperjuang sastera, bahasa dan budaya. Ketepikan soal komersial, dan pertahankan nilai intelektualnya di mata umum.

Apa-apapun, pendapat saya agar DBP tidak lelah dalam memelihara khazanah persuratan Melayu. Jangan putus asa. Dan letakkan ‘manusia’ yang benar-benar mahu berjuang atas nama budaya bangsanya dan elakkan memilih ‘manusia’ yang memikirkan nilai komersial semata-mata.

Kata kunci dalam perjuangan ini ialah ‘passion‘ iaitu ‘keghairahan’ dan semangat jiwa yang besar dalam menghasilkan buku dan karya yang baik – bahasa Melayu tinggi dan isi kandungan yang bernas serta karyanya sampai kepada masyarakat.

Ini soalan yang tidak tertanyakan malam tadi:

Apa pula istilah untuk penulis blog yang punya khalayak pembaca yang ramai, isi kandungan penulisan yang bernas tetapi bahasa yang digunakan cacamerba?

“Kenapa blog kamu cacamerba? Asyik cerita tentang cinta-hati-jiwalara-terluka-menangis-pilu. Ahhh…bosan!” kata mereka.

“Kita mungkin sama bentuk. Tapi isi kita berbeza. Dan setiap yang berbeza itu ada pengikutnya!” jawab saya.

Blog ialah catatan. Apa-apa sahaja catatan. Untuk tujuan pelbagai. Blog juga adalah media sosial. Juga alat sebaran yang berkesan.

Blog sudah popular. Ramai yang mengambil peluang mencipta kelainan dalam berhubungan dengan masyarakat luar melalui blog.

Tetapi tidak pelik jika masih ramai tidak memiliki blog. Masing-masing ada keperluan dan pendirian. Mungkin juga kerana dimomok dengan pendirian blog itu cacamerba. Tidak punya apa. Hanya merepek-repek dan buang masa.

Pembinaan blog oleh seseorang melalui pelbagai tujuan. Itu saya pasti. Kerana itulah terdapat berpuluh ribu malahan mungkin beratus ribu blog dengan tema yang pelbagai. Isi kandungan yang bermacam.

Paling penting, blog menjadi wadah utama selain media arus perdana di Malaysia. Blog dijadikan medium untuk menyalur sesuatu yang mungkin jika menggunakan medium lain akan melalui kesukaran seperti birokrasi dan sebagainya.

Blog tidak berbayar amat mudah dibina. Dan blog yang menggunakan mana-mana domain berbayar pula harus mengekalkan konsisten agar ia berbaloi kepada penulis dan pembaca.

Blog mempunyai pengikut tersendiri. Apatah lagi jika ianya jelas tentang sesuatu perkara. Contohnya blog politik, hiburan, motivasi, agama, buku dan sebagainya yang mempunyai ribuan pembaca.

Sebagai menyemarakkan lagi dunia blog, pelbagai cara wujud bagi mengiktiraf satu-satu blog itu bernilai dari segi isi kandungan atau tidak. Namun ini bukanlah apa-apa bagi penulis yang hanya menulis untuk luahan rasa, atau menjadikan blog sebagai diari hariannya. Ya, saya pasti statistik pengunjung atau nilai blog bukan apa-apa bagi mereka yang tergolong dalam penulis blog ‘jiwalara’.

Tetapi bagi blog yang berunsur politik, harga blog pasti diambil kira bagi menunjukkan kekuasaan dan pengaruh mereka dalam menyebar maklumat dan mengikat pembaca agar yakin dengan apa yang disampaikan oleh mereka melalui blog.

Begitu juga halnya dengan blog yang berunsur agama dan motivasi. Juga blog yang bercerita tentang kepakaran penulis seperti penulis buku, doktor, guru, tukang jahit baju, petani dan sebagainya. Mereka akan rasa puas menyebar maklumat kepada masyarakat. Oleh itu harga blog turut diambil kira.

Pelbagai cara wujud untuk meneliti harga sesebuah blog. Mungkin juga anda boleh melihat carta weblog popular dengan menggunakan Alexa Rank.

Ada juga yang menggunakan Technorati Rank untuk menilai blog masing-masing.

Ini pula harga blog dalam Ringgit Malaysia.

Tetapi cara-cara ini dikatakan tidak sah kerana tidak jelas kaedah yang mereka gunakan untuk penilaian sesebuah blog. Adakah melalui statistik pengunjung sahaja tanpa melihat isi kandungan blog tersebut. Ini kerana terdapat blog yang tidak meletak statistik pengunjung di blog mereka namun, hakikatnya, blog mereka amat popular dan dikunjungi oleh ramai orang melalui komen-komen yang tersiar.

Nilai dan harga sesebuah blog sebenarnya terletak kepada penulis dengan tujuan apakah dia berblog. Jika sekadar meluah rasa hati, tidak salah kan jika kita kata blog itu mempunyai nilai yang tinggi. Mungkin kerana kejujuran dan jiwarasa yang tinggi dalam blognya.

Untuk blog yang benar-benar menginginkan sesuatu perubahan dalam masyarakat seperti blog politik, agama, motivasi dan kepakaran tertentu, sudah pasti harga blog akan diambil kira. Ini seterusnya memperlihatkan kecenderungan masyarakat terhadap apa yang mereka mahukan dan apa yang mereka sedang lakukan.

Kesimpulannya, kita tidak boleh menilai sesuatu blog itu bernilai atau tidak. Nilai tidak boleh diletak untuk satu pihak sahaja iaitu pembaca. Nilai dan harga juga harus dilihat kepada penulis dan tujuan dia menulis.

 

Kisah sufiah mula diperkatakan. Banyak. Dan seperti biasa bukan sahaja di media cetak malah blog juga.

Semalam, semasa menerima kunjungan Y.B Dato’ Dr. Ahmad Zahid Hamidi selaku Menteri di Jabatan perdana Menteri dan juga Timbalannya, Datuk Dr. Mashitah Ibrahim, hal ini turut diperkatakan.

Datuk Dr. Mashitah menjelaskan akan mengadakan “program menyelamatkan Sufiah”.

Menjawab soalan daripada wartawan, beliau berkata akan membawa Sufiah pulang ke Malaysia. Selamatkan akidah Sufiah serta membantu Sufiah yang telah tersesat.

Saya tidak bertanya satu apa pun, kerana saya tahu jawapannya mungkin akan menjadi onar kepada sistem pendidikan negara kita sendiri.

Saya cuma tertanya,

  1. Benarkah Sufiah begitu terdesak?
  2. Adakah ‘membiayai pengajian’ alasan utama Sufiah bertindak sedemikian?

Saya cuma membayangkan yang Sufiah bukan menjadi mangsa keadaan.

Bacaan lanjut:

Dan banyak lagi!

4.jpg

Teman sekerja mencari blog pro kerajaan!

Semacam menjadi dua dunia yang berbeza apabila satu medium informasi menjadi dua puak yang berbeza. Memang berbeza apabila melihat secara fizikal. Malah lebih berbeza apabila melihat secara dalaman antara dua medium informasi itu.

Media bercetak dan media eletronik yang turut dikenali sebagai media arus perdana sebelum ini, mempunyai kuasa yang besar dalam menentukan persepsi masyarakat terhadap pelbagai isu.

Jika meneliti Utusan Malaysia, Berita Harian, Nst, Harian Metro, Harakah, Siasah, Wasilah dan pelbagai lagi, kita boleh mengenalpasti hala kiri atau kanan akhbar-akhbar tersebut. Juga RTM, TV3, Tv9, 8, NTV7.

Era Digital menyaksikan sms, e-surat, blog dan laman web bukan sahaja bertindak sebagai alat perhubungan sosial seperti yang tradisionalnya.

Sms, e-surat, blog dan laman web berfungsi sebagai medium yang mengupas informasi terkini tentang isu-isu besar dalam negara terutama yang berkaitan politik dan pentadbiran negara yang selama ini ditapis penyiarannya dan penerbitannya dalam media bercetak utama.

Namun, masih banyak pihak yang tidak faham konsep media digital yang semakin menampakkan taringnya kini. Antara kebenaran dan kepalsuan, dua konsep yang masih boleh dipertikaikan bukan sahaja untuk media bercetak dan juga media digital ini.

Suatu waktu kita mendengar suara-suara yang mengatakan media bercetak masa kini tidak boleh dipercayai kebenarannya kerana dikuasai oleh pihak-pihak tertentu.

Oleh itu, mereka memilih untuk mempercayai bulat-bulat apa yang dipaparkan melalui media digital.

Apatah lagi penulis yang bergiat aktif dalam media digital tidak terlihatkan kecenderungannya ke arah yang mana satu. Dalam aspek politik, kita katakan bahawa penulis blog ini tidak menyokong kerajaan juga tidak menyokong pembangkang. Pendek kata membongkar kebenaran secara telus.

Apa yang menghairankan, kebanyakan penulis blog yang tegar memperkatakan tentang kebenaran dan ketelusan merupakan bekas wartawan dan penulis yang pernah berkhidmat di dalam media arus perdana (bercetak) suatu ketika dahulu.

Adakah mereka ini konspirasi raksasa bekas-bekas warga Balai berita (memetik kata-kata A. Kadir Jasin semasa memberi komen di blog Ahmadtalib)

Di sini, semacam ada satu keadaan ‘melepas geram’ oleh mereka ini kerana dahulunya terpaksa mengikut telunjuk ‘raksasa’ tertentu dalam menyebar maklumat yang benar.

Perkembangan media bercetak yang diragui ketelusannya dalam menyampaikan maklumat semakin terhakis dengan kewujudan segerombolan besar media digital yang boleh dicapai oleh sesiapa sahaja.

Media digital dikatakan lebih berkuasa. Lihat sahaja apa yang berlaku pada pilihanraya ke-12 baru-baru ini. Lihat sahaja pengikut dan kumpulan yang terlibat dengan dunia digital (terutama blog) yang semakin membesar koloninya sehingga kini.

Fungsi komunikasi melalui blog dikatakan lebih efektif dan mesra pengguna melayakkan blog mendapat tempat di hati pengguna untuk menyuarakan apa sahaja.

Sudah tentulah hal ini menggerunkan pihak kerajaan yang memandang media digital sebagai musuh utama mereka.

Teman sekerja masih mencari blog pro kerajaan!

Jika sebelum ini satu pihak berjaya menguasai media cetak dan eletronik dalam memberi maklumat kepada masyarakat, mengapa tidak kali ini? Dengan membina blog-blog yang mencantas segala kata-kata blogger yang dikatakan memfitnah mereka. Buktikan dan perangi blogger ini dengan kaedah yang sama iaitu blog. Bukan susah kan?

Memusuhi media digital terutama blog memberi erti memusuhi kemajuan sains dan teknologi yang suatu waktu dibawa masuk dan diuar-uarkan oleh pihak yang sama. Memerangi dunia siber beerti menidakkan kebenaran.

Adakah jerat memakan tuan?

Namun, harus diingat tidak kira media bercetak, eletronik atau media digital, masih ada kepalsuan yang akan menipu mata dan hati masyarakat. Berfikir secara baik dan menyelidik secara telus. Itu lebih baik. Jika tahu, terpulang sama ada mahu menguar-uarkannya kepada umum atau simpan sahaja di dalam diari bertulis (bukan digital).

Teman sekerja masih mencari blog pro kerajaan!

Mungkin ada selepas ini selepas kerajaan ditadbir oleh pucuk pimpinan yang baru.

Dan blog cacamerba seperti blog saya ini dan jutaan blog lain diluar sana yang bersifat rempah ratus merupakan satu lagi cabang atau jenis blog yang tidak perlu digeruni.

Dan buat Mardhiah, ini sebenarnya yang saya jangkakan dari program Astaka Minda, Penulis dan Blog -Trend masa kini yang diadakan di DBP baru-baru ini. Mungkin saya silap tafsir, tetapi bukankah lebih baik memperkatakan tentang blog secara keseluruhan dan bukan satu isu yang kecil sahaja, apatah lagi isu blog sangat menjerut jiwa ramai pihak sekarang ni.

Mungkin juga selepas ini DBP mencari peluang dan masa yang sesuai menganjurkan hal yang sama dalam konteks yang lebih besar, panel yang pelbagai larat belakang dan masa yang panjang serta promosi yang lebih baik agar pihak yang terkeliru dalam penjelasan tentang era digital ini dapat maklumat yang menyeluruh.

rindu.jpg

RINDU ini sungguh indah jika dilayan dengan sempurna. dan ianya seperti mimpi yang tak mahu dikejutkan lagi.

Tidak mahu baca novel. Juga Millenia Muslim. Juga buku-buku percuma yang DBP bagi. Email dah check, tapi malas nak forward. Tak mahu baca surat khabar sama ada bercetak atau online. Tak mahu YM. Tak mahu Gtalk.

Rindu ini tidak begitu indah! CEMBURU kadangkala membawa kita ke puncak sayang yang maha dalam. RINDU pula punca kecurangan. Agaknya!

Apabila semua itu berlaku, pasti ada sedikit kekesalan yang wujud. Tapi…ahhhh, apa sangatlah kekesalan itu jika hendak dibandingkan dengan hati yang menggila pada yang tak sepatutnya. Dengar lagu. Makan kerepek ubi pedas. Layan blog yang baru ditemui.

  • Scorchys – Gambar-gambar yang dia ambil sangat cantik
  • khazanah – Koleksi Resipi, Petua, Pantang-Larang dll
  • Happiness Ltd – Tidak jumpa pun entri yang menggambarkan happiness. Mungkin juga saya silap tafsir, sangkakan dapat bergelak ketawa dengan blog ini. Oh ya, tarikh lahir penulis blog ini sama dengan saya – 16 Jun…

Bila, aku sudah tiada
Simpan semua lagu ku
Jangan di tangis selalu

Mungkin, itu sementara
Bila jumpa pengganti ku
jangan di lupakan aku

Pagi itu indah seperti biasa
Tidur yang lena terhenti di sana
Layap kuyu masih tak terdaya
Bukalah tingkap mu
Curahkan cahaya…

Siapa yang sangka
Bila tiba masa kita
Untuk pergi selamanya

Takkan terduga
Jika saat ni
Tuhan tentukan
Aku lah orangnya

Gelak tawa tangisan yang hiba
Kenangan kita masa di dunia
Alangkah indahnya jika
Kita mampu hidup selamanya…

Bila Aku Sudah Tiada. Mati. Meninggal. Passed Away. Menemui Tuhan. Rest in Peace.

Mungkin ada perkataan lain yang boleh disenaraikan, yang mendukung konsep ‘mati’.

Sejak akhir-akhir ini saya sering terfikir tentang mati. Tentang apa yang telah saya lakukan. Tentang hal-hal sekeliling. Tentang peranan saya. Tentang sesi soal jawab di ‘sana’. Tentang itu dan tentang ini yang kesemuanya bertitik tolak dari konsep MATI.

Selain orang sekeliling yang mengetahui tentang kematian saya, bagaimana pula dengan mereka yang tidak mengetahuinya?

Apa agaknya perasaan kamu apabila mengetahui orang yang dikutuk atau diumpat-umpat itu telah mati? Kesal? Atau memohon keampunan tuhan dengan alasan kamu tidak tahu tentang kematian orang itu?

Kerana kematian adalah permulaan sebuah pembongkaran rahsia kehidupan. Ya, selalunya orang yang telah mati akan di bongkarkan rahsia kehidupannya.

Di dunia, orang akan sibuk bercerita pasal si mati. Kisah hidupnya, asal usulnya, sumbangannya atau jika si mati seorang penjenayah, keburukannya akan menjadi perbualan.

Belasungkawa akan dititip kepada keluarga si mati. Belasungkawa juga dipaparkan di dada akhbar jika si mati merupakan ‘seseorang’ dalam masyarakatnya.

Ya, kematian akan membongkarkan rahsia kehidupanmu. di depanNYA kelak, kamu tidak boleh berahsia seperti mana kamu berahsia semasa hidupmu.

Saya melihat hal ini dengan seluasnya.

Kematian bukan sahaja dihebahkan melalui jiran tetangga dan kenalan rapat, malah surat khabar menjadi medium yang penting dalam menyebarkan berita kematian seseorang selain media eletronik seperti televisyen dan radio.

Bagaimana pula dengan weblog? Adakah ia boleh berfungsi sebagai penyampai khabar kematian? Sudah tentu boleh.

Lihat sahaja berita-berita kematian yang berlaku di dunia, akan dikhabarkan melalui blog. Malahan belasungkawa si mati yang lebih terperinci, mungkin boleh di perolehi dari blog. Terutama jika pemilik blog merupakan teman rapat si mati. Atau orang yang mengagumi si mati.
Lihat ini. Juga ini. Pengumumannya di sini. Dan di sini.

Bagaimana pula jika penulis blog sendiri yang mati? Siapa yang akan umumkan di dalam blognya yang “PENULIS BLOG INI TELAH MENGHADAP ILAHI” atau ” PENULIS BLOG INI SEDANG BEREHAT DENGAN AMAN ‘DI SANA’...”.

Adakah wujud satu domain yang bertindak sebagai pengumpul blog-blog yang pemiliknya di sahkan telah mati?

Acciaccatura pernah menulis tentang hal ini. Saya juga terfikir hal ini.

Sedang saya berehat dengan tenang [insyaAllah, aminnn] di alam barzakh [kubur], adakah pembaca blog saya tahu yang penulis blog ini telah tiada di dunia? Siapa yang akan buat pengumuman ‘mati’ untuk saya? Sedangkan saya bukan siapa-siapa. Tidak punya nama dan tidak di kenali.

0707200521301img_1821glow.jpg

Saya cuma mahu orang tahu saya sudah tiada. Tiada di dunia. Tiada entri terkini yang akan di poskan. Tidak perlu menanti pos terbaru. Tidak perlu beri komen kerana saya tidak akan dapat menjawab komen-komen tersebut. Tidak hari ini, Tidak esok, tidak akan jawab selama-lamanya.

Itupun jika blog ini tersenarai dalam bahan bacaan yang perlu kamu teliti dan hayati.

Saya masih memikirkan mahu memberi nama dan kata laluan blog ini kepada siapa, supaya dia boleh mengumumkan pemergian saya itu!

Boleh juga baca ini sebagai bahan bacaan sampingan.

Saya tak ada semangat. Puncanya pelbagai. Saya manusia biasa. Tapi agak ‘bodoh’. Saya dah tahu puncanya. Tapi masih tak dapat selesaikan masalah yang melanda.

Saya tak mampu buat apa-apa entri cuma mengubah blog sikit-sikit. Senarai Bicara Teman saya pindahkan ke halaman BICARA MEREKA. Harap tidak menyukarkan anda.

untitled.jpg

Dan jika anda punya banyak masa, jenguk -jenguk lah laman ini. Mungkin ada perolehi sesuatu. Di zaman serba ‘naik’ ini, mungkin juga ada dapat buat sesuatu – kesihatan dan ekonomi.

untitled1.jpg

 

 daisies2.jpg

Hampir seminggu saya tidak bersama blog ini dan dunia pelayaran maya tanpa sempadan ini. Ini semua akibat proses perpindahan pejabat yang sudah pasti melibatkan aspek pemunggahan barang, mengemas atur barang di pejabat baru, menunggu talian internet yang kadang mengambil masa agak lama dan sebagainya.

Alhamdulillah, sebenarnya proses perpindahan itu tidak mendatangkan masalah. Cuma bantuan dari teman sepejabat dari tingkat yang berlainan sangat diharapkan. Bukan untuk menolong mengangkat barang, cukup sekadar memberi perhatian dan ucap selamat kepada bahagian atau jabatan kami yang akan berpindah. Namun itu tidak berlaku. Sedikit rasa tersingggung di hati jabatan kami sehingga melabel rakan pejabat dari jabatan lain sebagai tidak prihatin.

Alhamdulillah, talian internet dapat di sambung semalam, dan hari ini, saya mula menyusun atur jadual kerja semula. Mungkin ada rasa cemburu di hati seorang rakan yang juga baru berpindah pejabat tetapi masih tiada talian internet. Saya ucapkan takziah.

Namun, percaya atau tidak, hidup saya tidak terganggu dengan ketiadaan internet. Mungkin sedikit rasa janggal kerana rutin harian yang membaca akhbar secara online dan mencari maklumat secara tanpa sempadan dan kesahihan.

Sebenarnya aktiviti mengemaskini dan memasukkan artikel ke dalam laman web rasmi kami agak terganggu. Namun itu bukan bidang tugas saya. Saya hanya perlu menyediakan berita tempatan dan juga artikel untuk dimuatkan dalam web kami.

Tidak bersama dunia siber membuatkan ruang waktu saya agak lapang. Saya telah mula menulis cerpen dan menyiapkan artikel dengan tenang. Membaca beberapa buah buku ilmiah tentang sejarah dan kebudayaan bangsa Malaysia serta menghabiskan bacaan novel “Ayat-Ayat Cinta” karya Habiburrahman El Shirazy yang telah lama dicadangkan oleh seorang teman untuk di baca. Ulasan tentang novel itu akan saya luahkan jika ada kelapangan.

Hari ini, dunia saya kembali seperti sediakala. Datang ke pejabat lebih mudah dari sebelumnya. Hanya menggunakan bas di hadapan rumah sehingga ke depan pejabat. Tidak perlu bersesak menggunakan perkhidmatan komuter dan tidak perlu berjalan sekitar 10 minit dari KTM KL ke pejabat induk yang terletak di sebelah Masjid Negara. Itu semua tinggal sejarah.

Kehidupan yang baik seperti sekarang harus saya manfaatkan. Walaupun persekitaran pejabat baru tidak begitu tenang seperti di tempat lama, sekurang-kurangnya saya tidak perlu berasa tertekan dengan perjalanan pergi balik ke pejabat.

Pernah seorang teman bertanya, “bagaimana kehidupan di tempat baru? Pasti membosankan dan kelam kabut kan?”

Saya hanya tersenyum dan ingatan kepada kata-kata ibu menerpa dengan tenang.

“Tidak kira di mana pun kamu dicampakkan, pastikan hati kamu tidak mati. Hati yang bersih membawa kepada akal yang sihat. Jangan biar diri ditelan keadaan. Biar kita yang menguasai keadaan itu.”

Dan saya hanya diam seperti biasa. Menelan kata-kata ibu dengan hati yang hidup dan bersemangat. Diam-diam juga saya memuji kejadian ikan di laut yang masin. Walaupun hidup di air yang masin, ikan tetap tawar. Maknanya keadaan sekeliling langsung tidak mempengaruhi ikan tersebut. Kecuali jika ikan itu mati dan manusia menjadikannya ikan masin.

Ayat-ayat cinta dari ibu meniupkan hati yang baik buat saya. semoga hati ini kekal hidup dan akan berusaha menghidupkan hati-hati lain yang semakin layu dan rebah menyembah bumi.

*Saya kagum dengan penghasilan novel Ayat-Ayat Cinta Itu.