Ia sebuah kisah yang baik. Dengan garapan dan cerita yang menarik.

Tentang seorang manusia yang memilih untuk menjadi guru untuk memandaikan bangsanya.

Ya, saya pengikut setia drama Gemilang yang ditayangkan setiap hari Isnin, jam 9 malam di TV3, yang berakhir minggu ini.

KOMA

Saya cukup suka drama ini. Pertama, dengan mengambil kisah hal pengarahannya yang sememangnya saya kagumi melalui drama-drama dan filem-filemnya sebelum ini. Ya, saya serasi dengan cara paparan yang diarahkan oleh Khabir Bhatia.

Juga pemilihan pelakon yang tidak menghampakan mutu lakonannya.

Cerita ini berkisah tentang seorang guru yang cukup tabah sedari kecil. Belajar bersungguh dengan apa yang ada dan situasi yang terjelma dihadapi dengan baik walaupun pedih. Kesusahan yang dialami sejak kecil menjadikan Saifullah lahir menjadi seorang guru yang cukup bercita-cita tinggi dalam mengubah masyarakat di sekelilingnya.

Secara keseluruhan, drama 13 episod ini berjaya mengangkat profesion guru ke peringkat yang sepatutnya – dihormati, dan dimuliakan.

Watak Cikgu Talib paling saya kagumi. Perwatakannya tidak pernah mencemarkan kerjaya guru. Cukup baik dan tekun sejak awal sehingga akhirnya – bertindak dengan bijaksana dalam segala masalah dan persoalan yang datang (merujuk kepada cara beliau menangani Ruhana yang mahu melaga-lagakan Cikgu Talib dengan Asmah dan Saifullah).

Perwatakan Saifullah( Shahz Jaszle), Umar (Kamal Adli), Asma (Tiz Zaqyah) dan Ruhana (Tasha Shila) juga berjaya menjadikan kisah ini begitu rencam dengan pelbagai karenah.

Kemasukan adegan masa silam (kegetiran hidup Saifullah) saya rasakan perlu kerana ia menyumbang kepada pembinaan watak Saifullah sehingga dewasa.

Begitu juga dengan babak-babak yang mengiringi kisah Gemilang seperti permasalahan pelajar dan masalah peribadi guru-guru ini yang terus mewarnai kisah Gemilang.

Cuma, saya tidak begitu berkenan dengan penggunaan kata ganti nama diri ‘korang’ yang digunapakai dalam drama ini sama ada antara Saifullah dengan kawan-kawannya mahupun antara guru dengan pelajar jika mengikut konteks zaman (Sekitar tahun 70-an), kata ganti nama diri ini rasanya kurang sesuai.

Malahan, perkataan ini semacam mengurangi ruang hormat antara guru dengan anak muridnya.

Selainnya, saya berpuas hati dengan paparan drama ini walaupun terlalu pendek (hanya 13 episod). Mungkin juga tujuannya cuma mahu mengangkat aspirasi kerjaya guru dan juga nilai kasih sayang sesama rakan, kekeluargaan dan nilai pengorbanan dalam mencapai apa yang diimpikan.

Boleh sahaja jika pengarah mahu memanjangkan lagi kisah ini dengan memperincikan hal adik-beradik Saifullah yang terpisah sejak kecil – bagaimana agaknya nasib adik-adiknya setelah mereka bertemu (tidak diimbas sehingga episod akhir). Hanya bertemu dan kemudian kisahnya dilenyapkan.

Mungkin juga lebih baik dipaparkan mentaliti ibu bapa zaman itu dengan lebih panjang mengenai kepentingan pelajaran.

Seakhirnya, saya berharap ada lagi drama begini dihasilkan, lebih baik dan bertambah baik untuk masyarakat dan institusi pendidikan di negara kita.

KOMA

Kisahnya boleh dibaca/ tonton di sini :

GUA

Drama Gemilang

shrek_002

Entri ini menggunakan gambar yang bukan hak milik saya. Entri ini juga tidak berkaitan dengan kucing comel atau filem animasi Shrek yang digilai ramai.

Ia tentang hal lain. Realiti yang tak terubahkan.

KOMA

“Drama ini sesuai untuk Diana,” kata adik.

“Diana?” Saya bertanya tidak mengerti.

“Diana Danielle. Bukankah dia dikecualikan daripada menyertai PLKN?” jawab adik lagi.

KOMA

Malam tadi entah mengapa saya begitu setia di hadapan televisyen. Dengan saluran TV3 yang selama ini saya tidak begitu berkesempatan menontonnya.

Daripada rancangan berita, Majalah tiga (isu yang menarik iaitu perahu Pulau Duyong dan Masjid Kampung Laut), membawa kepada cerekarama bertajuk Platun Satria.

Yang ingin saya perkatakan ialah drama Platun Satria itu.

Lima orang anak muda, yang baharu lepas menduduki SPM diarah menjalani kursus PLKN. Memaparkan pelbagai latarbelakang kehidupan. Ika dengan masalah hubungan dengan bapanya yang berkahwin lain. Shamsul dengan ego dan sombong sebagai anak orang kaya. Wong dengan masalah keluarga. Azman dengan jatidiri yang kurang serta Ratna yang dihimpit kemiskinan dan keadaan ibunya yang sakit.

Ceritanya klise. Apa jua halangan dan kekangan, kamu harus menghadiri kursus itu. Harus.

Sekalipun ibu kamu sakit dan kamulah tunggak keluarga untuk meneruskan kelangsungan hidup keluarga, kamu harus pergi.

Sekalipun kamu sakit, kamu harus pergi kerana kemudahan perubatan di pusat kursus amat lengkap, katanya.

Sekalipun kamu tidak mahu dan bapa kamu seorang yang berpengaruh. Kamu harus pergi.

KOMA

“Apa sumbangan Diana untuk keluarganya sehingga dia diberi pelepasan? Drama lakonannya pun bukannya memberi apa-apa sangat untuk kita. Cinta, dunia korporat, air mata…bla…bla…” adik membebel.

“Diana dan PLKN isu lama la. Dah lapuk,” jawab saya malas mahu melayan rasanya.

“Tidak lapuk bagi mereka yang rasa ia tidak adil. Sampai bila-bila.” Tegas adik.

“Eh, ada lagikah keadilan dalam dunia ini? Telan sahaja,” jawab saya.

KOMA

Drama berakhir.

Ia tidak cukup kuat untuk menjelaskan kepada puak-puak seperti Diana untuk mengutamakan PLKN.

Mungkin juga drama ini untuk tatapan puak PLKN sendiri yang dikatakan ‘berat sebelah’.

…Tidak syak lagi Saasatul Ibaad adalah karya Faisal Tehrani yang paling bercita-cita besar, dan provokatif. Membaca Saasatul Ibaad ke halaman akhir adalah sebuah pengalaman sejarah yang pasti tidak akan dapat dilupakan.

Dan ayat akhir yang saya baca di bahagian belakang novel Saasatul Ibaad ini di sambut dengan suara Mazidul dan Habsah Omar (Abby) dalam Malaysia Hari Ini.

KOMA

Mazidul dan Abby membacakan paparan surat khabar tempatan tentang hal politik negara, ‘Penyokong BN Boikot Anwar‘.

Surat khabar masih dengan ‘jumudnya’ menyiarkan berita yang sia-sia dan menyimpang dari logik akal. Dan akhirnya tanpa disedari mencalit arang ke wajah orang yang dikendong iaitu pemimpin UMNO dan BN sendiri.

Malah, ada ketikanya hanya seorang menteri, dua timbalan menteri dan tidak sampai 10 Ahli Parlimen BN berada di dalam dewan ketika Anwar berucap, selain beberapa menteri kelihatan mundar-mandir di lobi Parlimen atau berada di kafe.

  1. Memang perlu keluar masuk dewan untuk berehat dan mungkin membuang air. Duduk lama-lama dalam dewan, boleh mengejangkan otot dan membantutkan minda. Jika Pak Lah yang berucap, hal yang sama akan berlaku juga.
  2. “Beberapa menteri kelihatan mundar-mandir di lobi Parlimen atau berada di kafe” – paparan yang menunjukkan pemimpin kita tidak bertanggungjawab dengan meninggalkan dewan sesuka hati.

KOMA

Perlakuan ‘Saasatul Ibaad’ itu menjalari fikiran saya pagi ini. Sehingga novel yang dihadiahkan oleh seorang teman ini tidak sabar untuk saya terokai walaupun tubuh novel ini masih ‘berbogel’ – suatu larangan bagi saya untuk memegang atau membaca novel yang masih ‘bogel’. Bimbang cedera dan tercalar badannya akibat kelasakan tuannya.

Sekilas teringat juga pesan Sasterawan Negara A. Samad Said bahawa yang mengayakan seseorang pembaca bukan selonggok buku yang ada dalam simpanannya tetapi selaut ilmu dan pengajaran yang terkandung di dalam buku tersebut berjaya mengubat dan menambah kebijaksanaan si pembaca.

KOMA

Menanti halaman akhir novel ini seolah saya berada pada zaman yang digambarkan dalam novel ini. Ya, saya merasakan berada pada zaman itu. Zaman kekacauan politik yang entah bila akan berakhir.

Baca juga :

Simpan Buku Dalam Otak!
Pantun Melayu Hebat

emilemildabmp.jpg

Pagi ini saya agak lewat bangun. Ini bermakna saya kena pakai kasut tidak bertumit (senang nak jalan laju-laju). Sampai di Kepong Sentral, keadaan tidak begitu sesak tetapi agak bising dengan perbualan tiga orang ‘kakak’ yang sibuk bercerita tentang drama samarinda Emil Emilda…best sangat ke cerita tu ek?