Ia sebuah kisah yang baik. Dengan garapan dan cerita yang menarik.

Tentang seorang manusia yang memilih untuk menjadi guru untuk memandaikan bangsanya.

Ya, saya pengikut setia drama Gemilang yang ditayangkan setiap hari Isnin, jam 9 malam di TV3, yang berakhir minggu ini.

KOMA

Saya cukup suka drama ini. Pertama, dengan mengambil kisah hal pengarahannya yang sememangnya saya kagumi melalui drama-drama dan filem-filemnya sebelum ini. Ya, saya serasi dengan cara paparan yang diarahkan oleh Khabir Bhatia.

Juga pemilihan pelakon yang tidak menghampakan mutu lakonannya.

Cerita ini berkisah tentang seorang guru yang cukup tabah sedari kecil. Belajar bersungguh dengan apa yang ada dan situasi yang terjelma dihadapi dengan baik walaupun pedih. Kesusahan yang dialami sejak kecil menjadikan Saifullah lahir menjadi seorang guru yang cukup bercita-cita tinggi dalam mengubah masyarakat di sekelilingnya.

Secara keseluruhan, drama 13 episod ini berjaya mengangkat profesion guru ke peringkat yang sepatutnya – dihormati, dan dimuliakan.

Watak Cikgu Talib paling saya kagumi. Perwatakannya tidak pernah mencemarkan kerjaya guru. Cukup baik dan tekun sejak awal sehingga akhirnya – bertindak dengan bijaksana dalam segala masalah dan persoalan yang datang (merujuk kepada cara beliau menangani Ruhana yang mahu melaga-lagakan Cikgu Talib dengan Asmah dan Saifullah).

Perwatakan Saifullah( Shahz Jaszle), Umar (Kamal Adli), Asma (Tiz Zaqyah) dan Ruhana (Tasha Shila) juga berjaya menjadikan kisah ini begitu rencam dengan pelbagai karenah.

Kemasukan adegan masa silam (kegetiran hidup Saifullah) saya rasakan perlu kerana ia menyumbang kepada pembinaan watak Saifullah sehingga dewasa.

Begitu juga dengan babak-babak yang mengiringi kisah Gemilang seperti permasalahan pelajar dan masalah peribadi guru-guru ini yang terus mewarnai kisah Gemilang.

Cuma, saya tidak begitu berkenan dengan penggunaan kata ganti nama diri ‘korang’ yang digunapakai dalam drama ini sama ada antara Saifullah dengan kawan-kawannya mahupun antara guru dengan pelajar jika mengikut konteks zaman (Sekitar tahun 70-an), kata ganti nama diri ini rasanya kurang sesuai.

Malahan, perkataan ini semacam mengurangi ruang hormat antara guru dengan anak muridnya.

Selainnya, saya berpuas hati dengan paparan drama ini walaupun terlalu pendek (hanya 13 episod). Mungkin juga tujuannya cuma mahu mengangkat aspirasi kerjaya guru dan juga nilai kasih sayang sesama rakan, kekeluargaan dan nilai pengorbanan dalam mencapai apa yang diimpikan.

Boleh sahaja jika pengarah mahu memanjangkan lagi kisah ini dengan memperincikan hal adik-beradik Saifullah yang terpisah sejak kecil – bagaimana agaknya nasib adik-adiknya setelah mereka bertemu (tidak diimbas sehingga episod akhir). Hanya bertemu dan kemudian kisahnya dilenyapkan.

Mungkin juga lebih baik dipaparkan mentaliti ibu bapa zaman itu dengan lebih panjang mengenai kepentingan pelajaran.

Seakhirnya, saya berharap ada lagi drama begini dihasilkan, lebih baik dan bertambah baik untuk masyarakat dan institusi pendidikan di negara kita.

KOMA

Kisahnya boleh dibaca/ tonton di sini :

GUA

Drama Gemilang

Advertisements