shrek_002

Entri ini menggunakan gambar yang bukan hak milik saya. Entri ini juga tidak berkaitan dengan kucing comel atau filem animasi Shrek yang digilai ramai.

Ia tentang hal lain. Realiti yang tak terubahkan.

KOMA

“Drama ini sesuai untuk Diana,” kata adik.

“Diana?” Saya bertanya tidak mengerti.

“Diana Danielle. Bukankah dia dikecualikan daripada menyertai PLKN?” jawab adik lagi.

KOMA

Malam tadi entah mengapa saya begitu setia di hadapan televisyen. Dengan saluran TV3 yang selama ini saya tidak begitu berkesempatan menontonnya.

Daripada rancangan berita, Majalah tiga (isu yang menarik iaitu perahu Pulau Duyong dan Masjid Kampung Laut), membawa kepada cerekarama bertajuk Platun Satria.

Yang ingin saya perkatakan ialah drama Platun Satria itu.

Lima orang anak muda, yang baharu lepas menduduki SPM diarah menjalani kursus PLKN. Memaparkan pelbagai latarbelakang kehidupan. Ika dengan masalah hubungan dengan bapanya yang berkahwin lain. Shamsul dengan ego dan sombong sebagai anak orang kaya. Wong dengan masalah keluarga. Azman dengan jatidiri yang kurang serta Ratna yang dihimpit kemiskinan dan keadaan ibunya yang sakit.

Ceritanya klise. Apa jua halangan dan kekangan, kamu harus menghadiri kursus itu. Harus.

Sekalipun ibu kamu sakit dan kamulah tunggak keluarga untuk meneruskan kelangsungan hidup keluarga, kamu harus pergi.

Sekalipun kamu sakit, kamu harus pergi kerana kemudahan perubatan di pusat kursus amat lengkap, katanya.

Sekalipun kamu tidak mahu dan bapa kamu seorang yang berpengaruh. Kamu harus pergi.

KOMA

“Apa sumbangan Diana untuk keluarganya sehingga dia diberi pelepasan? Drama lakonannya pun bukannya memberi apa-apa sangat untuk kita. Cinta, dunia korporat, air mata…bla…bla…” adik membebel.

“Diana dan PLKN isu lama la. Dah lapuk,” jawab saya malas mahu melayan rasanya.

“Tidak lapuk bagi mereka yang rasa ia tidak adil. Sampai bila-bila.” Tegas adik.

“Eh, ada lagikah keadilan dalam dunia ini? Telan sahaja,” jawab saya.

KOMA

Drama berakhir.

Ia tidak cukup kuat untuk menjelaskan kepada puak-puak seperti Diana untuk mengutamakan PLKN.

Mungkin juga drama ini untuk tatapan puak PLKN sendiri yang dikatakan ‘berat sebelah’.

Advertisements