BEBERAPA tahun yang lepas Malaysia pernah ‘huru-hara’ kerana isu bin dan binti yang ingin dihapuskan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN). Tindakan JPN mengumunkan cadangan mahu meniadakan bin dan binti, a/l, a/p, dan a/k kepada rakyat Malaysia menimbulkan pelbagai pandangan dan spekulasi dari pelbagai pihak.Polemik mengenai isu ini telah dilontar melalui akhbar-akhbar tempatan berkaitan dengan ketidakwajaran cadangan itu dikuatkuasakan. Malah wujud spekulasi bahawa tindakan JPN yang mahu membuang bin dan binti bertitik tolak daripada peristiwa 11 September yang kononnya didalangi oleh Osama bin Laden, iaitu orang Islam yang menggunakan istilah bin pada namanya. Kononnya, penggunaan bin dan binti mengancam keselamatan warga Muslimin dan Muslimat apabila berurusan ke luar negara.
Ramai yang tidak bersetuju kerana bin dan binti dikatakan mempunyai fungsi dari segi agama, budaya dan bangsa, malah jantina. Malah kebanyakan protes yang diterima oleh JPN adalah dari kalangan masyarakat Melayu yang mendakwa bahawa pengguguran bin dan binti melenyapkan imej Islam pada diri seseorang Muslim.
Bagaimanapunn, menurut Majlis Fatwa Kebangsaan, penggunaan istilah bin dan binti tidak melibatkan hukum Islam. Ini terbukti apabila terdapat penggunaan bin dan binti dalam masyarakat Kadazandusun yang bukan beragama Islam. Malah di negara Arab juga, penggunaan bin dan binti tidak tertakluk kepada individu yang beragama Islam. Oleh hal yang demikian itu, isu agama tidak wujud dalam hal ini.
Terdapat juga pandangan orang ramai yang mengatakan bahawa penggunaan bin dan binti melambangkan budaya dan bangsa. Inilah masanya untuk Malaysia mencipta suatu ‘trademark’ bangsa dan budaya Melayu dengan penggunaan istilah bin dan binti.
Bin dan binti juga penting dalam membezakan jantina seseorang memandangkan pilihan nama bagi masyarakat Malaysia kini sungguh unik sehingga sukar untuk membezakan jantina mereka. Penggunaan bin dan binti juga dapat membezakan nama bapa dan anak selain dapat mengekalkan nasab dan keturunan sesuatu bangsa.
Beberapa cadangan telah diusulkan oleh rakyat Malaysia yang prihatin mengenai isu ini. Antaranya, menjadikan penggunaan bin dan binti dalam kad pengenalan sebagai pilihan individu. Ibu bapa atau individu bebas memilih untuk menggunakan istilah itu atau menggugurkannya. Ada juga yang berpendapat bahawa istilah bin, binti, a/k, a/l, dan a/p harus dikekalkan bagi memelihara nasab dan keturunan di samping menunjukkan budaya dan bangsa rakyat Malaysia.
Malah, ada yang memberi cadangan supaya pemakaian istilah itu jangan dihapuskan terus sepertimana yang disarankan. Caranya hanya dengan menyembunyikan (insert) istilah itu ke dalam cip Mykad.
Akhirnya, Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah memutuskan untuk mengekalkan bin dan binti dalam Mykad. Alasannya cukup mudah, iaitu di samping mengekalkan identiti bangsa dan budaya, penggunaan bin dan binti juga amat penting pada zaman ini di mana rupa paras, rambut dan wajah tidak lagi dapat membezakan antara lelaki dengan perempuan.
Itulah polemik yang wujud akibat isu bin dan binti. Itu baru isu mengenai bin dan binti yang melibatkan satu kaum, iaitu kaum Melayu yang sudah semestinya beragama Islam. Bagaimana pula dengan isu penukaran nama bagi individu yang baru memeluk Islam?
Baru-baru ini, masyarakat sekali lagi ‘melatah’ dengan fatwa yang diputuskan oleh Majlis Fatwa Negeri Perlis berhubung dengan pengharaman menggunakan ‘bin Abdullah’ yang diguna pakai oleh saudara baru Islam. Penggunaan ‘bin Abdullah’ yang selama ini menjadi identiti bagi individu yang baru memeluk islam dikatakan bukan syariat Islam dan penukaran nama atau keturunan keluarga pula disahkan haram. Bagi saudara baru yang telah mengubah nama kepada bin atau binti Abdullah, mereka diminta menukarkannya semula kepada nama asal bapa atau keturunan masing-masing.
Menurut Mufti Perlis, Dr. Mohd Asri Zainul Abidin, golongan saudara baharu harus mengekalkan nama dan keturunan asal yang menentukan nasab (keturunan) masing-masing. Tindakan saudara baharu yang menukar ‘bin dan binti Abdullah’ dikatakan bertentangan dengan ajaran Islam, menjejaskan pemuliharaan nasab dan juga menafikan hak seorang bapa kepada anaknya. Sedangkan Islam sendiri tidak pernah memutuskan hubungan kekeluargaan, apatah lagi antara anak dengan bapa walaupun berbeza fahaman atau agama.
Beliau menambah, keputusan ini juga dilaksanakan berdasarkan situasi untuk mengelakkan kesalahfahaman yang telah lama wujud di kalangan saudara baru Islam berkaitan isu perundangan Islam membabitkan hukum syarak dan isu nikah kahwin. Selain itu, dengan kebebasan untuk mengekalkan nama bapa dapat mengelakkan perasaan takut penganut lain untuk mendekati Islam kerana sebelum ini mereka menyangka akan kehilangan atau terputus hubungan dengan ahli keluarga setelah memilih Islam sebagai jalan hidup.
Buat masa ini fatwa tersebut telah berkuatkuasa di negeri Perlis. Walau bagaimanapun, fatwa tersebut akan di bawa ke Majlis Agama Islam dan Majlis Fatwa Kebangsaan untuk diputuskan.
Jika diteliti, keputusan yang dibuat berdasarkan hukum dan bukan perundangan ini memang mempunyai rasional tersendiri. Antaranya ialah menunjukkan kepada masyarakat bahawa Islam adalah agama yang adil dan tidak membezakan keturunan walaupun berbeza pegangan agama.
Bagaimanapun, beberapa perkara harus diambil kira dalam melaksanakan fatwa tersebut. Antaranya, implikasi dari aspek perundangan dan akidah sepertimana yang ditekankan oleh Pertubuhan Kebajikan Islam (PERKIM) cawangan Perlis.
Menurut pegawai Perkim Perlis, Abdul Rahim Abdullah, fatwa tersebut belum boleh dilaksanakan berikutan keadaan dan masa ini yang tidak sesuai. Alasannya, nama-nama asal yang digunapakai oleh saudara baharu Islam mempunyai makna tersendiri, termasuklah nama yang membawa makna kurang sesuai.
Dalam masyarakat Melayu dan Islam, nama memainkan peranan penting kerana nama inilah yang akan dipanggil di akhirat kelak. Sudah pastilah setiap manusia ingin dipanggil dengan nama yang baik. Rasulullah s.a.w telah menganjurkan supaya kita memilih nama yang baik untuk anak-anak kita. Sabda Nabi yang yang bermaksud:
“Sesungguhnya kamu akan diseru pada hari Kiamat kelak dengan nama-nama kamu, oleh itu perelokkanlah nama kamu.”
Bagi masyarakat India, nama dipilih berdasarkan tarikh atau tahun anak dilahirkan yang seterusnya menetukan Nakshatra anak tersebut. Kebanyakan nama masyarakat yang beragama Hindu ini juga berkisar atau berkaitan dengan nama tuhan dan dewa mereka. Begitu juga dengan masyarakat Cina dan Kristian dan beberapa masyarakat lain di dunia yang mempercayai bahawa nama bagi seseorang bakal menentukan masa hadapan atau ,destiny’ seseorang.
Oleh kerana itu, adalah tidak wajar sekiranya nama-nama asal individu yang ingin memeluk Islam dikekalkan walaupun mempunyai makna yang bertentangan dengan syariat Islam. Sebagai contoh, nama Sami dalam bahasa Hindu bermaksud pengamal agama Hindu, manakala Subramaniam ialah salah satu nama dewa Hindu. Begitu juga dengan penggunaan nama saudara baharu yang berbangsa Cina kerana nama-nama mereka juga ada yang membawa maksud atau makna tidak baik.
Sehubungan dengan itu, beliau (Abdul Rahim Abdullah) mencadangkan agar penukaran atau pengekalan nama ini diberi pilihan kepada mualaf tersebut. Nama yang ingin dikekalkan haruslah mempunyai maksud yang baik, manakala nama yang tidak elok pula harus dinasihatkan agar ditukar. Penerangan tentang aspek penukaran nama harus jelas dan mudah difahami agar mualaf tidak berasa tersinggung atau terbeban.
Jika tidak mahu menukar nama diri sendiri dan bapa sekalipun, mualaf boleh menggunakan nama pilihan dan nama tambahan atau alias (@) yang hanya dicatatkan di atas kad pengenalan masing-masing. Walaupun mereka menggunakan nama asal dan berbin atau berbintikan nama keturunan sebelum masuk Islam mereka tetap boleh dianggap bukan Islam oleh masyarakat. Ini kerana, penggunaan bin dan binti tidak melambangkan seseorang beragama Islam.
Keputusan undian bancian yang dilakukan oleh Utusan Malaysia Online berpihak kepada Majlis Fatwa Ngeri Perlis, iaitu bersetuju dengan penukaran nama tersebut dan menyatakan Islam tidak patut diukur pada nama. Bagaimanapun, pengharaman ‘bin Abdullah’ ini memerlukan lebih banyak kajian yang teliti dan mendalam untuk dilaksanakan. Isu ini juga wajar dibincangkan di peringkat yang lebih intelektual sifatnya tanpa mengabaikan kepentingan sejagat melalui muzakarah oleh pihak kerajaan, ilmuwan, mufti dan ulama serta masyarakat setempat.
Nama melambangkan status agama, bangsa dan identiti seseorang. Nama merupakan hak milik seseorang yang paling penting di dunia ini. Dengan itu, adalah lebih baik jika mualaf menukar nama kepada nama Islam yang mempunyai makna yang baik. Nama yang berasaskan bahasa Arab ini harus digalakkan kerana bahasa Arab digunakan dalam al-Quran dan merupakan bahasa syurga.
Cadangan Perkim untuk tidak mewajibkan nama asal saudara baru dikekalkan ada rasionalnya. Isu yang berkaitan dengan saudara baru Islam bukan sahaja berkaitan dengan masalah pertukaran nama, malah pendaftaran kad pengenalan baru juga merumitkan dan mengambil masa yang agak panjang. Jika berlaku kematian dalam tempoh itu, bagaimana masyarakat dapat mengenalpasti agama seseorang tanpa merujuk kepada kad pengenalan diri si mati?
Terpulanglah kepada Majlis Agama dan Majlis Fatwa Kebangsaan untuk menentukan halal haramnya pertukaran nama bin atau binti Abdullah bagi saudara baru yang memeluk Islam. Apa yang lebih penting, JPN harus bermuzakarah dengan Majlis Agama, Majlis Fatwa Kebangsaan dan pihak-pihak tertentu untuk memudahcara golongan saudara baru menikmati kehidupan sebagai seorang Muslim dan Muslimah.
Memudahcara merangkumi proses pertukaran kad pengenalan, dan menetapkan suatu garis panduan yang telus dan seragam untuk mengelakkan salah faham, kekeliruan dan masalah dari segi perundangan, akidah dan sebagainya yang sebelum ini telah banyak kali berlaku. Mungkin juga JPN boleh mewujudkan satu lagi bahagian atau perkhidmatan yang dikhaskan untuk menguruskan proses pendaftaran semula kad pengenalan saudara baharu Islam. Oleh hal yang demikian itu, segala proses penukaran nama dan identiti baru akan berjalan lebih lancar dan memberi keyakinan kepada golongan saudara baharu ini bahawa pemilihan Islam sebagai agama yang tidak membebankan adalah benar.
Tinggalkan Jawapan