s3

Bertolak ke Kuala Klawang, Jelebu, Negeri Sembilan melalui tol Seremban. Potongan harga 10 %.

Bertolak ke Kuala Lumpur dari Seremban. Juga mendapat 10% potongan harga tol.

“Sudah sampai?”

Itu soalan ‘terperanjat’ dua rakan di Seremban dan Kuala Lumpur apabila saya mengambil masa lebih kurang 35 hingga 40 minit perjalanan antara dua wilayah itu semalam. Dalam sejarah keluar rumah pukul 5 pagi dan pulang ke rumah pukul 12.oo tengah malam.

Untuk mencari tiga saudara – waras, hemah dan ranum.

KOMA

Program Utusan Sukma Sepagi Bersastera.

Saya mewakili Persatuan Penulis Negeri Sembilan (PEN), bersama-sama memasyarakatkan sastera di kalangan pelajar sekolah. Ini konsep yang tidak saya setuju. Sastera memang ada dalam masyarakat. Sejak mereka lahir.

Setiap nafas, setiap langkah dan setiap tutur adalah sastera. Siapa yang memisahkan sastera dari kehidupan masyarakat? Juga sama seperti memisahkan agama daripada subjek sains. Tanya diri sendiri jika diri sendiri itu bijak.

Terdapat tiga sekolah yang dipilih yang akan digempur oleh sasterawan Negara Datuk (Dr.) A. Samad Said, Puan Mahaya Yassin (Ketua Satu PEN) dan Puan Nisah Haron (sasterawan muda).

Satu sudah selesai semalam. Sekolah menengah Dato’ Undang Musa Al-Haj, Kuala Klawang, Jelebu.

Perjalanan yang waras, sesekali menjadi tidak waras. Jalan yang ‘cacing kepanasan’ menguji kemahiran memandu saya yang masih memegang lesen P. Sesiapa yang belum pernah menjengah ‘wilayah’ Kuala Klawang, sila bayangkan anda melalui jalan Bukit Putus, Kuala Pilah. Atau jalan ke Jerantut, Pahang. Atau jalan ke Janda Baik. Atau lebih ekstrem lagi, jalan seperti Lebuhraya Karak. Mungkin juga jalan ke Bukit Tinggi Cameron Highlands.

Banyak tempat hemah dan ranum sepanjang perjalanan menuju ke sana. Ada tempat rekreasi Jeram Toi, Muzium Adat,  dan selebihnya geledah sendiri. Jika saya tidak berkejar pagi itu, tentulah saya berhenti untuk mengambil gambar sepanjang jalan yang err…kata seorang kawan, “pekan paling best di dunia, paling cool, paling punk dan paling style.”

Separuh nyawa memutar stering kereta dan perjalanan balik pula diselubungi seram-sejuk.

Nasihat : Kepada sesiapa yang tidak biasa melalui jalan tersebut, pandu dengan kadar kelajuan yang sederhana dan banyakkan baca doa.

Cerita Utusan Sukma.

Panel yang memberi pencerahan pada pagi itu ialah Sasterawan Negara, Pak Samad, Puan Mahaya dan Puan Nisah. bercakap mengenai pembinaan sastera melalui penulisan karya kreatif termasuklah sikap dan persediaan yang perlu ada dalam diri penulis.

Puan Nisah dan Puan Mahaya banyak berusaha dalam mencari generasi pelapis untuk berkarya. Semoga terus diberi kekuatan untuk itu.

Tertarik dengan ucapan Pak Samad yang berulang kali menyebut tentang sastera tiga bersaudara – ranum, hemah dan waras.

Ranum – menulis dengan bahan yang cukup dan digaul dengan sebati agar hasil penulisan menjadi ranum. Sedap di jiwa berkesan di sanubari.

Hemah – Sastera memenuhi segala aspek. Menulis dengan hemah, mengubah masyarakat yang kecil dan besar menjadi sebuah peradaban dan tamadun yang kaya nilai.

Waras – Tidak bertindak ikut emosi. Tahu bezakan antara seni untuk seni, dan seni untuk masyarakat. Juga bijak bermain dengan kata sehingga mewaraskan hal yang ‘gila’.

Amanat  beliau tetang tiga saudara ini :

  1. Semua mahu jadi ahli politik. Tetapi tidak semua punya ilmu yang waras, ranum dan hemah tentang politik .
  2. Sasterawan wujud dalam semua bidang. Merasai pedih-letih-suka-suka kehidupan dan menulis serta berkongsi dengan masyarakat. Sasterawan lebih berkuasa daripada ahli politik jika kuasa penulisan dapat digunakan secara waras, hemah dan ranum. Bukan ‘pongah’ dengan karya sendiri.
  3. Sastera juga adalah hiburan yang mengghairahkan. Tanya penulis prolifik bagaimana perasaan mereka ketika menulis. Ketika intuisi menjengah minda. Ketika ini usah abaikan waras, ranum dan hemah.
  4. Negara masih memerlukan karya yang banyak yang tidak memisahkan ‘tiga saudara’ tadi.
  5. Penulis harus mengenal ‘tiga saudara’ ini untuk membantu masyarakat yang tersepit antara pembangkang dengan pemerintah.
  6. Tiga bersaudara, juga untuk membangun tamadun budaya dan bangsa.
  7. Tiga bersaudara juga usah diabaikan ketika membaca, memilih bahan bacaan dan mencerap apa yang dibaca. Membaca itu penting untuk meluaskan wilayah pengetahuan. Pilih bahan yang baik, benar, munasabah dan puncak segala ilmu pengetahuan.
  8. Pembimbing dan pendidik terutama di sekolah yang mengajar bidang sastera harus bantu pelajar mendalami aspek tiga bersaudara semasa mengajar subjek ini. Bukan hal santai atau main-main. Sastera membangun bangsa dan budaya seterusnya tamadun. Kena ingat itu.
  9. Usah terjemah sastera dengan wang. Tetapi jika mahu melihat aspek kewangan, sedarlah, betapa ramai penggiat sastera yang kaya dan mampu mengelilingi dunia dengan wang hasil karya. Kesederhanaan, menyebabkan kekayaan itu tidak perlu dihebahkan [tapi saya fikir selepas ini penulis dan penggiat sastera harus menguar-uarkan kekayaan mereka demi menarik minat generasi muda mendekati bidang sastera].

Sekian pelajaran untuk hari ini.

KOMA

Berkampung di rumah Puan Azah Aziz. Sangat kagum. Suasana dan ‘bau buku dan bau Melayu’ membuatkan saya menyimpan seribu impian untuk memiliki rumah yang mempunyai nilai begitu. Merai tetamu. Jemaah dalam makan dan solat. Bersantai bersama Pak Samad dan isteri serta anak-anak kecil, beberapa pelajar sekolah, rakan-rakan Utusan Sukma, adalah pengalaman yang tidak akan saya lupakan.

Terima kasih Pak Samad yang suka berkongsi cerita. Puan Azah, gambar Muhammad yang saya ambil semalam akan saya simpan serta cenderamata yang dihadiahkan semalam sangat cantik. Terima kasih. Rozlan dan kawan-kawan Kumpulan Utusan, terima kasih kerana sudi mengiringi saya menjalari perjalanan dari Kuala Klawang ke Seremban.

“Saya kecil hati,” jawab saya kepada seorang rakan dari Kumpulan Utusan yang suka bergurau.

“kalau kecil hati jangan cakap depan kawan yang mengecilkan hati awak. Luah sahaja di facebook,” jawab beliau.

Ya, juga beberapa hal yang tidak perlu kita beritahu kepada umum. Harus disimpan sahaja.

Facebook untuk kawan-kawan yang kita suka sahaja.

Waras bukan?

Juga hemah.

Serta ranum.