Jalan jem tahap ‘cipan’. Kereta merangkak-rangkak perlahan. Jam di tangan menunjukkan tepat jam8, 27 minit dan 55 saat. Kereta nasional Layla masuk ke kawasan parkir. Berkejar ke lif. Tit! pintu terbuka. Manusia berhimpit-himpit di dalam terkelip-kelip memandang Layla yang termengah-mengah.

Sreettt…..

(Layla pun tidak faham, mengapa harus ada bunyi Sreet…dalam babak ini)

8:33:41

“Layla!”

Suara bos memanggil dengan efek gema dari belakang.

Layla yang baru nak buka Facebook segera bingkas dari meja kerjanya.

Ketika melalui pintu pejabat menuju ke bilik bos, Rizal Gunx, yang berkepala botak dan obsess dengan Palestina itu mengusik, “bos nak ajak engkau pi tengok Dinosour di Pusat Sains Negara…jaga-jaga Layla…”

Layla mencebik. Langkah kaki semakin laju menuju ke bilik bos yang terkenal dengan ‘kepala angin’ nya itu.
Pintu diketuk.

“Masuk!” Suara garau itu menyentap tahap keberanian Layla.

Dia memulas tombol pintu dan menjengukkan kepalanya. Bos yang sedang membaca akhbar ditatap dengan rasa cuak.

“Bos…” Layla bersuara perlahan.

“Ini assignment baru. Saya mahu awak pergi ke tempat ini dan buat artikel mengenainya. Jurufoto tiada. Bawa kamera sendiri.”

Layla terkebil-kebil mendengar arahan itu. Langkah kali yang dihayun terasa berat. Mengenang peristiwa pagi tadi yang terlewat bangun, dan jam meja yang tidak berkokok seperti selalu, membuatkan Layla bertambah bengang.

“Kena kaver dinosaur ke?” Tanya Rizal Gunx lagi menambah panas di hati Layla.

“Tak, bos kata dalam pejabat ini ada alien. Dia syak engkau!” jerit Layla kepada Rizal. Rizal tarik muka.

“Sensitif la tu..’touching’ la tu?” sambung Layla lagi apabila melihat Rizal menarik muka masam.

Duduk di meja kerjanya, Layla berfikir lagi, “bagaimana mahu sudahkan assignment ini? Pelik betul la bos ni…”

“Kalau awak boleh buktikan Rizal Gunx ialah alien, saya naikkan pangkat awak ke gred 44.” Terngiang-ngiang suara bosnya yang garau itu.

Layla tersenyum seketika sambil memandang Rizal Gunx penuh makna. Terbayang-bayang figuranya berada di sebelah bilik bos dengan pangkat Ketua Editor dengan gred 44. Terbayang-bayang juga Mid Valley, yang menjadi puncak nafsu membeli-belahnya. Layla tersengih.

Rizal Gunx yang masih berdiri di pintu pejabat, merenung Layla penuh makna. Ada kerutan halus diwajahnya.

KOMA

Malam itu suasana gelap. Sengaja Layla tidak memasang lampu pejabat. Hasratnya untuk menyiasat Rizal Gunx malam itu kerana Rizal Gunx selalu bertugas waktu malam (Setahu Layla, kerana dia tidak begitu ambil tahu tentang Rizal walaupun hatinya memuji kekacakan Rizal).

Dengan perlahan, Layla mengatur langkah. Terjengket-jengket Layla memasuki bilik mesyuarat yang gelap dan berdiri di situ menunggu Rizal Gunx masuk ke pejabat.

“Dia selalu berada di pejabat sepanjang malam. Kata orang, Rizal kena hukum dengan bos sebab dia selalu layan ‘game’ bola semasa sedang bertugas. Itu yang dia kena datang pejabat waktu malam. Jaga pejabat.” Terngiang-ngiang suara Amin, kawan Layla di bahagian grafik.

Sedang berfikir-fikir, terdengar bunyi pintu dibuka. Layla memasang telinga. Tidak lama kemudian, kelihatan seseorang masuk dan duduk di sebelah meja Layla. Layla memicingkan mata. Kelihatan Rizal Gunx membuka komputer dengan segera. Tiba-tiba wajah Rizal menjadi serba hijau.

Layla panik. Dia memeluk tubuh seketika kerana giginya yang berketap mengigil.

Setelah gementarnya hilang, Layla memerhati Rizal lagi. Tangannya meraba kamera kompak untuk mengambil gambar Rizal yang kadang bertukar hijau, dan kadang bertukar merah. Tiada lagi perasaan takut. Fikirannya hanya terbayang gred 44, kerusi empuk, dan Mid Valley, pusat nafsunya.

Kamera ‘on’… segera dipetik butang untuk mengambil gambar.

“tret..tret…” bunyi kamera.

Sekali lagi. Dua kali. Tiga kali…masih dengan bunyi yang sama.

Layla meraba kamera itu dalam gelap. Wajahnya berkerut. Dia menggigil. Wajah Rizal terus berwarna warni. Sekejap merah, sekejap kuning. Sekejap biru. Layla terus meraba. Terbayang wajah bos yang bersuara garau. Terbayang gred 44, kerusi empuk, dan Mid Valley, pusat nafsunya.

KOMA

“Macam mana dengan assignment yang saya beri? Semalam awak kata boleh beres dalam masa sehari?” tanya bos pagi itu, semasa Layla kelam kabut kerana lewat masuk ke pejabat. Jam mejanya masih tidak berkokok.

“Errr….err….Saya nampak, memang Rizal Gunx itu Alien bos. Wajahnya berubah warna semalam. Sekejap merah, sekejap biru, sekejap hijau…cuma semalam, saya tak sempat ambil gambar kerana terlupa bawa kamera,” jawab Layla sambil membayangkan kamera yang dibawanya malam tadi, kamera FM2 dengan ruang ‘filem’ yang kosong.

Layla menyumpah dalam hati. Macam mana dia boleh terambil kamera lamanya yang sudah boleh dihantar ke muzium itu?

“Baiklah, kerana mood saya okey hari ini, saya bagi tempoh lagi. Malam ini awak kena pastikan Rizal memang alien. Boleh? Saya tidak mahu alien itu mengambil alih syarikat ini dan seterusnya menjadikannya pusat alien antarabangsa. Saya terima e-mel dari anonymous, mengatakan duduk letak pejabat kita ialah tempat alien mendarat. Dan ganjaran besar untuk awak, jika kita berjaya nyahkan Rizal dari sini seterusnya membanteras kegiatan alien di negara kita.” Encik bos berkata lagi.

Layla mengangguk sambil senyum. Membayangkan gred 44, kerusi empuk, dan Mid Valley, pusat nafsunya.

“kerana pangkat, aku sanggup musnahkan engkau Rizal. Walaupun engkau kacak dan bergaya dengan motor barumu…aku tak kira….,” kata Layla dalam hati.

Keluar dari bilik bos, tiba-tiba lampu padam. Pejabat gelap seketika.

Yang terlihat hanya Rizal Gunx dengan wajahnya kembali berwarna –warni. Hijau. Kuning. Biru dan sekejap-sekejap merah. Mata Layla memandang Rizal berselang seli dengan skrin komputer yang bertukar-tukar warna.

“Cantik kan skrin saver komputer ni?” tanya Rizal apabila melihat Layla terkaku di belakangnya.

Layla hanya memandang skrin saver komputer itu yang sekejap-sekejap bertukar hijau. Kuning. Biru dan sekejap-sekejap merah.

Dari belakang juga, terdengar suara bos yang ketawa berdekah-dekah. Amin di sisi Layla juga ketawa berdekah-dekah. Rizal Gunx tersengih-sengih memandang Layla yang wajahnya juga mula bertukar jadi merah.

“Eeee…bodohnya aku….” jerit Layla dalam hati.

KOMA

Layla mula sedar, sikapnya yang gilakan pangkat selama ini dapat dihidu bosnya. Layla insaf. Selepas ini dia berjanji akan mengubah corak kerjanya. Datang awal dan buat kerja dengan ikhlas. Bukan kerana gred 44, kerusi empuk, dan Mid Valley, pusat nafsunya.

Versi Rizal Gunx

Versi Pelitaminyaktanah

Versi Hadi

Advertisements