hujan1

Jendela yang saya tutup tadi tidak rapat. Hujan membasahi karpet dan sebahagian buku yang tersayang. Maaf buku.

Seharusnya saya faham natijah jendela yang masih terbuka di kala hujan menimpa bumi.

Faham bahasa hujan, ke mana arah laluannya agar saya tidak kebasahan walau berada di dalam rumah.

Rasakan.

KOMA

Hujan, semua tahu bahawa ia rahmat. Membasahkan bumi Tuhan dengan seribu nikmat terutama kepada tumbuhan. Kepayahan atau kerumitan akibat hujan cuma ujian dari Tuhan. Dan ia tiada kaitan dengan sifat hujan itu sendiri. Tidak kiralah perasaan kamu sangat ‘tidak selesa’ kerana turunnya hujan ketika kamu mahu bertemujanji-kasih atau melaksanakan tugas harian.

Makcik, ikan yang kamu jemur untuk dijadikan ikan kering, tidak dapat direalisasi kerana hujan turun. Usah sedih.

Pakcik, usah gusar dengan rezeki apabila pokok getah yang beri kamu duit, tidak dapat ditoreh kerana hujan.

Adik, usah ‘leceh’ ke sekolah kerana hujan di pagi hari yang membuat mata kamu lebih ‘selera’ kepada bantal peluk.

Kakak, usah marah lecak-hujan yang mengotorkan kasut tumit tinggi kamu.

Abang, pakailah baju hujan yang punya jalur hijau bercahaya ketika kamu menunggang di lebuhraya.

Payung, berkhidmatlah sebaiknya demi memelihara kesejahteraan orang yang berteduh di bawahmu.

Namun, di kala hujan sedang menggila, tutuplah jendela sewajarnya. Di dapur, ruang tamu, bilik dan di mana-mana sahaja. Takut tempias. Takut basah.

Sebaiknya duduk sahaja di rumah. Perhatikan titis-titis hujan yang mungkin boleh beri tenang kepada kamu.

KOMA

Kamu hujan,

Saya mahu tutup jendela antara kita.

Tidak dengan jendela kaca yang memungkinkan kita melihat sesama kita.

Dengan jendela kayu berukir juga tidak. Kerana ia boleh reput dan ditembusi oleh hujan yang menggila.

Saya tutup dengan akal yang waras yang kamu nafikan kewujudannya, kononnya cinta mengatasi segala.

Tidak. Cinta bukan apa-apa jika hanya mengundang sengsara-dosa.

Hujan masih merintik. Halus-besar. Jendela sudah ditutup kemas. Tiada apa yang akan basah. Tiada yang terkesan.

Cukup.

bannerpestabuku1

Advertisements