b

DSC_0253

Sebahagian buku yang baru dimiliki. Akan saya baca tanpa pening memikirkan hal masa. Terima kasih kak Syarifah Khadijah yang menghadiahkan Kumpulan Cerpen dan Puisi Selingkar Kasih buat saya.


“Tahu tidak kenapa kita selalu kata, seronok ketika sekolah, tiada masalah, enjoy sahaja,” tanya saya kepada dia.

“Tidak tahu,” jawabnya bersahaja.

Saya syak dia malas mahu melayan pertanyaan saya kerana dia malas berfikir. Dia selalu kata, dia sudah malas berfikir kerana berfikir hanya memenatkan dan berfikir hanya diaktifkan ketika zaman sekolah.

Jadinya, saya beri jawapan. Bukan fakta, tetapi ikut logik akal saya.

Saya kira, kita melihat zaman persekolahan sebagai zaman yang paling menyeronokkan kerana pada tahap ini [kita telah dewasa], kita sering dihimpit pelbagai tekanan, cabaran, bebanan, tanggungjawab dan sebagainya yang tidak boleh terelakkan bukan?

Jadinya, kita rasa mahu kembali ke zaman itu. Zaman persekolahan yang menyeronokkan.

Padahal, ingatkah lagi perasaan kita pada zaman persekolahan dahulu? Bukan manis sangat pun.

Perkiraan saya juga, jika kita benar-benar mempercayai doktrin bahawa zaman yang paling menyeronokkan dalam hidup adalah zaman persekolahan, jadinya, kita perlu belajar dan hidup seperti zaman itu.

Dapat tangkap persoalan yang ingin saya hujahkan?

Kata kuncinya ialah jadual waktu. Semasa sekolah hidup kita penuh dengan jadual bukan? Jadual yang membolehkan kita menjalani hidup dengan lebih baik. Saya rasa.

Tentu ramai yang tidak bersetuju dengan alasan, ‘hidup hanya sekali, usah ikatkan diri dengan jadual waktu segala bagai’. Jalani sahaja hidup ini.

Ok, kalau begitu usah mengeluh kawan dengan hidup yang sekarang. Setiap zaman punya suka dukanya tersendiri. Jalani hidup dengan zaman apapun, kanak-kanak, pelajar sekolah, remaja, dewasa ataupun usia yang senja.

KOMA

Untuk hal yang sungguh-sungguh, kita akan lakukan apa sahaja. Untuk menunjuk pada orang lain ataupun untuk berbangga dengan diri sendiri.

Dua-dua tidak salah.

Hal terpenting, setiap apa yang diusahakan dengan sungguh-sungguh, tentu ada jalan melaksanakannya. Pengurusan dan jadual.

KOMA

Saya bersungguh-sungguh dalam hal penulisan.Penulisan untuk kerja rasmi semakin tidak berjadual dan tidak terurus. Makanya, saya harus menjadualkan hal itu demi kerana janji saya yang mahu bekerja bersungguh-sungguh ketika hari pertama berada di sini.

Saya bersungguh-sungguh dalam bidang penulisan di luar bidang kerja rasmi. Jadinya, saya perlu menjadualkan hal itu agar tidak bercempera dengan kerja rasmi [padahal sama bidang].

Terima kasih rakan penulis yang mapan dan baru bertatih kerana bersama-sama saya dalam mendaki puncak cita-cita dalam dunia penulisan. Saya sangat hargai itu.

Oh ya, saya bersungguh mahu manfaatkan buku-buku yang saya miliki. Jadinya, saya telah membuat senarai buku secara manual dengan ruangan bilangan, tajuk buku, pengarang, penerbit dan status buku [sama ada sudah dibaca, masih belum dibaca ataupun dipinjam oleh kawan]. Juga menguruskan hal buku dan isi kandungannya melalui cara yang tidak manual, Goodreads.

Saya bersungguh-sungguh dalam bidang fotografi. Jadinya, saya perlu menjadualkan hal itu dan menguruskan hal yang bersangkutan dengannya – tutorial tentang hal-hal fotografi, peralatan fotografi dan jiwa fotografi.

Saya, bersungguh-sungguh mahu hidup.

Dia menyampuk, “jadi jangan asyik kata tidak mahu hidup lagi. Jangan abaikan ubat. Jangan sakit hati. Jadualkan dan uruskan hidup dengan sebaik-baiknya.”

“Iya, Iya…” jawab saya malu dengan diri sendiri.

KOMA TERAKHIR [ Beerti noktah untuk entri yang panjang ini].

Kamu, kononnya sering mahu kembali ke zaman anak-anak kecil dahulu. Mahu hidup dengan tiada payahnya.

Sama sahaja kawan. Dahulu atau sekarang. Semuanya ada percaturan dan jadual. Ada susah dan ada senang.

Sama ada mahu teruskan atau berhenti.

Sama ada mahu menjadi pencetus atau pengikut, bersungguh-sungguh itu penting.