melayu8

“Melayu, mengapa dikaitkan dengan keris?”

Hari ini ada sinar matahari yang terik.

Ada panggilan telefon yang tidak perlu dijawab.

Ada kemalangan yang menjarah semangat.

“Aduhai, kakak bagaimana? Perut kakak sakitkah?” tanya saya yang dari tadi asyik memandang gementar pada tangannya, bibirnya dan wajahnya.

Saya juga gementar, sedangkan kereta mahalnya yang melanggar kereta murah saya.

“Saya minta maaf, sangat minta maaf. Cik beri nombor telefon cik dan saya akan bayar semua. Cik ambil nombor kereta saya dan nombor saya. Usah panjangkan ke balai polis.”

Itu kata dia. Seorang wanita yang sedang mengandung yang telah melanggar belakang kereta saya di Sentul pagi ini.

Santunnya buat kemarahan mereda.

KOMA

Melayu penuh dengan santun. Saya percaya itu selagi jati dirinya tidak ternoda.

Bagaimanakah Melayu abad dua puluh satu
Masihkan tunduk tersipu-sipu?
Jangan takut melanggar pantang
Jika pantang menghalang kemajuan;
Jangan segan menentang larangan
Jika yakin kepada kebenaran;
Jangan malu mengucapkan keyakinan
Jika percaya kepada keadilan.
Jadilah bangsa yang bijaksana
Memegang tali memegang timba
Memiliki ekonomi mencipta budaya
Menjadi tuan di negara Merdeka

[petikan puisi Melayu oleh Usman Awang]

KOMA

Hari ini, bacalah berita tentang Melayu dan isu budaya di Berita Harian.

Teringat kata-kata Ketua Biro Perhubungan Media dan Komunikasi GAPENA, Borhan Md Zain yang memperkatakan tentang sastera Melayu dan media semasa Kongres Kebudayaan Melayu II tempoh hari.

“Media terlalu menonjolkan hal-hal artis yang penuh dengan kemewahan. Dengan ini generasi muda memandang artis sebagai idola dan bersemangat untuk menjadi seperti mereka. Tidak perlu belajar tinggi-tinggi untuk kaya dan popular.”

Sasterawan juga mewah. Mewah nilai yang akan menjadi akar yang mendukung pohon kemanusiaan. Akar itu kukuh dan kuat sehingga apa sahaja ‘makhluk perosak’ akan tewas.

Jadinya, media dicabar menyelongkar kehidupan para cendekiawan terutama yang berkaitan sastera Melayu agar terlihat usaha memelihara salah satu ‘pengenalan Melayu’ itu. Jangan sampai orang tidak kenal siapakah bangsa Melayu itu.

Begitu juga dengan Prof. Madya Dr. Abu Hassan Abdullah yang mencabar pengkarya tempatan menghasilkan filem-filem yang berkaitan agama dan jatidiri bangsa.

“Kerajaan kita kaya, tetapi kedekut.”

Ya, kedekut untuk membiayai hal-hal memartabatkan bangsa dan agama.

Pengamal media, fungsi dan peranan harus dimaruahkan.

Deraf resolusi kongres, baca di SINI.

KOMA

Panas bukan?

Itulah, main-main lagi dengan api.

Bacaan :

Itulah Melayu, Katanya

Beberapa gambar di Flickr...