“Saya mahu beri awak buku,” kata seorang teman lama sambil memunggah beberapa kotak yang terisi beberapa jenis novel.
“Wah, banyaknya. Kenapa tidak dibawa sekali,” jawab saya tanpa memandang ke arahnya kerana sibuk membelek novel-novel lama dan baharu itu.
“Tak berbaloi bawa berat-berat. Buat semak sahaja,” serunya selamba.
Saya terdiam dan memandang ke arahnya. Dia memegang sebuah kotak yang besar.
“Itu apa pula?” tanya saya mohon kepastian.
“Eh, ini tak boleh didermakan. Buku-buku ini berkualiti. Sampai matipun akan disimpan. Harta yang berharga.” Sambut dia sambil terus memasukkan kotak itu ke dalam kereta.
Oh, begitu?
KOMA
Saya masih membelek-belek novel dan beberapa majalah milik teman yang telah bertukar ke tangan saya. Banyak.
Melihatkan rak buku yang juga sudah penuh, saya hanya memilih beberapa novel untuk disimpan dan dijadikan hak milik.
Selebihnya, yang tidak berkenan di hati saya dermakan pula kepada teman yang lain. Kerana saya juga tidak mahu menyimpan bahan bacaan yang kurang nilainya.
KOMA
Mungkin juga nilai sesebuah buku terletak pada pembaca. Pembaca memang mempunyai ikatan yang kuat terhadap penulis.
Ada pembaca yang memilih bacan bacaan kerana penulisnya. Ada juga yang membaca kerana isi kandungan bahan bacaan itu – budaya yang dibawa, bahasa yang digunakan, estetika yang memancar ataupun pemikiran yang disebarluaskan oleh penulisnya. Semua orang ada citarasa tersendiri.
Berbangga seseorang penulis apabila bukunya disimpan kerana sebab-sebab di atas.
Apa pula perasaan anda, sebagai penulis apabila buku anda didermakan kepada umum atas sebab-sebab seperti – pembaca tertipu kerana didesak oleh rakan, tertipu dengan sinopsis dan ilustrasi muka depan buku, tertipu dengan promosi yang besar-besar oleh penulis dan pembaca mual dengan apa yang anda tulis?
KOMA
“Kenapa kamu berkata bahawa buku ini tidak berbaloi disimpan?” tanya saya ingin tahu.
“Buku begini, baca ayat pertama pun dah tahu bagaimana kesudahan ceritanya. Bahasa yang digunakan juga terbentuk oleh masa. Kalau disimpan nampak sangat buku ini ketinggalan zaman. Berbanding dengan beberapa buku-buku lama dan baharu yang menggunakan bahasa Melayu yang baik. Zaman yang bagaimanapun, novel ini masih mampu ‘bercerita’. Ceritanya klise, tetapi adunan ‘twist’ dan gaya penyampaian tidak memualkan. Yang penting, nilai yang dibawa.” Jelas teman dengan panjang lebar.
Sambungnya lagi, “kita boleh bezakan karya yang ditulis dengan niat wang ringgit, seni atau tanggungjawab sosial.”
“Tetapi tidak boleh dinafikan sekarang ni penulis digesa menulis kerana tanggungjawab sosial dan juga kerana wang. Siapa kata penulis berbahasa Melayu tidak boleh kaya. Ramai penulis yang sudah kaya dengan menulis hal-hal yang baik dan menggunakan bahasa yang baik. Karya begitu bukan sahaja boleh menjadi harta pembaca tetapi juga harta penulis,” tingkah saya membuatkan dia mengangguk senyum.
Oh begitu rupanya.
Bukan senang mahu menghasilkan karya yang baik. Bukan senang.
Tapi mudah jika kita faham tanggungjawab kita. Mungkin bukan sebagai pejuang bahasa atau bangsa. Cukup sekadar faham mengapa kita menulis cerita yang begitu atau begitu. Kerana wang ringgitkah atau kerana ‘sesi soal-jawab’ di ‘sana’ kelak.
Saya juga gemar mendermakan bahan bacaan pada teman bukan kerana bahan bacaan itu sampah bagi saya, tetapi bahan bacaan yang baik itu ingin saya sebarluaskan kepada teman yang lain.
Bukankah saya pembaca? Saya berhak memilih bahan bacaan yang baik untuk saya dan generasi saya. Jika bahan itu baik, akan saya perturunkan kepada anak dan cucu cicit kelak sebagaimana ibu dan nenek saya perturunkan bahan bacaan yang bernilai untuk saya sebelum ini.
Dan zaman sekarang, bukan zaman penulis boleh menulis sesuka hati dengan harapan pembaca akan membeli karya mereka. Zaman sekarang internet memainkan peranan. Media siber ini memberi ruang yang cukup luas untuk pembaca mengaut maklumat tentang buku yang bakal mereka beli. Banyak blog yang membicarakan tentang buku. Dan dari situ, pembaca boleh menilai, mana buku yang baik dan mana buku yang kurang baik.
Saya masih belajar.
Masih.
* PPSMI – Dasar PPSMI Bukan Jaminan Masa Depan Negara
* Persatuan Penulis Tetap Tolak PPSMI
*Oh ya, entri ini untuk bahan bacaan yang tergolong dalam penerbitan arus perdana (mainstream) dan tidak menyentuh hal penerbitan ‘indie’ oleh kumpulan tertentu. Hal itu akan dibincangkan kemudian.
Januari 8,2009 at 12:34 am
err ada lg ke buku yang tak nak tu…
Januari 8,2009 at 1:11 am
saya suka gambar tu…
Januari 8,2009 at 8:03 am
gerektua : Habis sudah. Hehehheh… [sedang tunggu beberapa bekas pensyarah mahu bersara. Mereka suka menderma buku].
Restu_ibu : Gambar sahaja? Hmmmmm…terima kasih.
Januari 8,2009 at 4:11 pm
salam…
Mendermakan buku memang pilihan terbaik, tapi membuang ke bakul sampah mungkin pilihan yang salah. Setiap buku itu pasti ada nilainya tersendiri. Mungkin tidak pada kita, mungkin ada nilai dan makna pada orang lain. tq
*Masih simpan buku tulis masa sekolah rendah. hehe.
Januari 8,2009 at 4:30 pm
Syirfan, maksud saya bukan dibuang ke dalam tong sampah.
Maknanya di sini buku yang kita beli dengan harapan boleh dibuat harta (nilai pemikiran dan bahasa yang terkandung di dalamnya), rupa-rupanya tidak berbaloi untuk di simpan. Malah amat bahaya jika dibaca oleh generasi kita. Maksud bahaya di sini adalah isi kandungannya yang tidak begitu menyumbang kepada sesuatu yang baik (bahan bacaan yang ringan dan menggunakan bahasa yang kurang baik. Mungkin).
Saya pernah menulis hal-hal ‘sampah’ begini. Dan saya kesal kerana menurut hawa ‘seni’. Sedangkan seni, sastera dan apa jua sepatutnya menurut syariat bukan?
Buku adalah dokumentasi pemikiran yang tidak boleh dipadam. Lainlah blog, boleh diedit atau dipadam terus.
Mungkin bukan sifat saya membuang bahan bacaan di dalam tong sampah. Cuma menganggapnya bagai sampah kerana penulisnya mungkin [mungkin], mempunyai tujuan selain memberi pengajaran yang baik dengan menulis bahan tersebut.
Saya juga pembaca. Bukankah pembaca berhak memilih bahan bacaannya. Tetapi bagaimana jika semua penulis mengambil sikap sambil lewa dan hanya memikirkan pasaran dan wang ringgit semata?
Januari 8,2009 at 4:38 pm
Salam..
Itulah bahayanya jika wujud fenomena penulis yang lalai pada tanggungjawab sosial. Asyik dan leka pada nilai RM. Maaf, saya juga menggunakan kata “sampah” pada karya penulis yang sebegini.
Fenomena ini bukan sahaja berlaku pada pada karya penulisan. Ia juga membiak dalam penerbitan TV. Banyak terhasil karya “sampah” yang lupa pada asas dimana segalanya bermula. Itulah sebabnya karya-karya berat (falsafah, analisis, agama, dunia) jarang muncul di TV. Alasan mudah, penonton tidak mahukannya…
Kalau dari sekarang kita hadamkan penonton dengan karya “sampah”, sampai bila pun selera penonton tidak akan berubah.
*Teremosilah pulak…
Januari 8,2009 at 10:23 pm
cukuplah dengan gambar….yang lain biar dipendam…itu lebih baik…hehehehhe
Januari 9,2009 at 3:02 pm
Syirfan : Sampah harus disimpan atau dibuang? Atau biarkan sahaja menghiasi dunia kita agar kita dapat bezakan yang mana sampah dan yang mana harta?
restu_ibu : Ya sebaiknya begitu.
Januari 9,2009 at 4:38 pm
Bayan: Ada yang bijak menggunakan sampah untuk dijadikan harta…
Januari 10,2009 at 12:05 am
sampah itu hina bagi yang berada..dan mulia kepada yang dianggap hina dimata yang berada…
Januari 12,2009 at 8:14 am
Syirfan : Ya, sampah bila digunakan sebaiknya, boleh diangkat menjadi harta. Tapi kebanyakannya menjadikan harta sebagai sampah.
restu_ibu : Hanya jauhari mengenal manikam.