DSC_0948-Edit-Edit

“Kakak tidak begitu suka Yaya beli majalah ini. Pengisiannya yang kakak kira agak banyak juga, tidak sesuai dan tidak wajar untuk menjadi topik pendidikan untuk remaja. Sepertinya, menggalakkan remaja yang masih bersekolah supaya berpakaian seksi dan tidak sesuai terutama untuk remaja muslim. Mengajar remaja juga supaya mengenepikan hal kesederhanaan. Entah apa tanggungjawab sosial majalah ini agaknya. Lain kali jangan beli. Bla..bla…”

Begitulah komen saya terhadap majalah yang dibeli oleh adik. Tebal, warna-warni dan penuh dengan susun atur yang memeningkan. Mungkin itu gaya sebuah majalah untuk remaja. Atau mungkin juga gaya kepala yang mengetuai sidang editorialnya.

Adik diam. Mungkin setuju atau sekadarnya malas mahu berdebat dengan saya.

Menyelak halaman-halaman akhir, saya anggukkan sedikit kepala.

“Kenapa pula tu?” tanya adik.

“Mujur ada beberapa artikel yang bermakna. Tapi beberapa sahaja,” jawab saya.

Adik tersenyum.

“Tapi, itu tidak bermakna kamu boleh beli lagi majalah ini. Kalau nak baca, pergi sahaja ke perpustakaan,” kata saya memberi reaksi kepada senyumnya.

Bacaan saya teruskan dan mata terpaku pada sebuah artikel.

Saya kenal artikel tersebut.

KOMA

Tiga proses yang mudah untuk menghasilkan bahan bacaan.

Saya punya idea. Saya turunkan dalam bentuk dan gaya saya. Editor akan menyemak dan menerbitkannya. Pencetak mencetak. Dan bahan tersebut tiba di tangan kamu dalam bentuk yang pelbagai. Majalah, suratkhabar atau apa sahaja. Jika laman web, prosesnya lebih mudah.

Mudah jika prosesnya berjalan dengan lancar.

Sukarnya, ialah selepas itu.

Anda baca bahan yang saya fikir dan tuliskan tadi. Apa pandangan anda? Biasa-biasa, terasa, sedar akan sesuatu, bertindak atas sesuatu atau buat-buat tidak tahu?

Kebanyakan penulis, tidak larat mahu menceritakan proses penghasilan sesuatu bahan bacaan atau karya kepada pembacanya. Dan pembaca juga kadang tidak mahu mengambil tahu proses yang berlaku.

Apa yang penting, pembaca beli, baca dan mendapat sesuatu – puas, ilmu, pengalaman dan sebagainya.

Dan penulis juga, selepas menghasilkan karya, tidak fikir tentang proses menghasilkannya. Apa yang penting ialah karyanya, hasil tulisannya dan buah fikirnya sampai kepada pembaca.

Jika ada kesan kepada pembaca, itu merupakan satu kejayaan dan memberi imbalan pahala buatnya. Jika tiada kesan, atau memburukkan keadaan, juga akan memberi kesan kepada penulis.

KOMA

Picture 3


DSC_0260


DSC_0268


Saya berfikir tentang nilai ini ketika membaca email dari seorang rakan.

Ada banyak perkara yang mahu saya kongsikan. Dan saya garap maklumat itu menjadi sebuah artikel. Editor meluluskan artikel saya dan menyiarkannya di dalam laman web kami.

Saya juga menyiarkannya di dalam blog ini. Juga tidak lupa menyimpan salinannya dalam fail.

Dan jika kamu mahu mencari maklumat tentang nilai prihatin, google sahaja. Artikel yang sama juga ada dalam senarai google.

Jadi, mana mungkin kamu tidak tahu yang artikel itu sudah diterbitkan malah menjadi hakcipta terpelihara tempat saya bekerja.

Ada prosedur jika kamu mahu menerbitkannya semula. Ada undang-undang yang melindungi bahan tersebut.

Tidakkah kamu prihatin?

Saya harap ada penjelasan untuk itu. Bukan saya berkira dengan karya saya. Biarlah ia tersebar ke pelusuk mana juga. Saya juga yang bahagia dengan ganjaran pahala jika artikel itu beri kesan positif kepada pembaca.

Namun, hak saya sebagai penulis tidak boleh saya tidakkan.