puisi ini mengingatkan pada sesuatu yang akhirnya mengundang duka

Puisi yang saya conteng di muka surat pertama buku ini tidak bertajuk. Dan puisi ini menggangu minda saya ketika saya terpandang kelibat buku Antologi Puisi Anggota Keluarga Universiti Malaya [UM] yang bertajuk Bila Kita Berbicara. Buku Antologi puisi ini sudah lama usianya. Diterbitkan di Universiti Malaya pada tahun 1976. Saya membelinya ketika tahun pertama pengajian di UM melalui jualan buku murah. Harga yang saya bayar untuk antologi puisi ini ialah RM1.

Saya belek Antologi puisi ini semasa berehat sebentar setelah bertarung dengan imaginasi melalui novel sai-fai Takluk Jagat – Bisikan Ariasha karya Zaki Zainol. Juga pada masa yang sama, blook Sabotaj 3 baru sahaja tiba di tangan melalui pengiriman secara pos.

Bila Kita Berbicara.

Antologi puisi Anggota Keluarga Universiti Malaya. Terdiri daripada sebilangan nama yang tidak asing bagi penggemar dan penggiat sastera tanah air.

Obeidellah Haji Mohamad, Jihaty Abadi, Nik A. Rahid, A. Wahab Ali, Goh Then Chye, Raja Mukhtarudin Dain, Dharmawijaya, Zurinah Hassan, Khoo Kay Kim, Nordin Selat, Ariffin Ramli, Ariff, Salmiah Ismail dan ramai lagi.

Puisinya banyak. Pelbagai. Indah. Menarik. Membawa kita kepada suatu ruang yang kita sendiri tidak pernah hadir. Namun memberi makna yang mendalam dan mengajar erti ketuanan, kehambaan, kemegahan, kepalsuan, kepiluan, kegembiraan dan kecintaan.

Apa yang lebih saya fikirkan ialah puisi yang saya conteng dengan tulisan tangan di muka surat pertama buku ini. Tanpa tajuk. Tanpa kredit [jika puisi itu disalin dari mana-mana puisi penulis lain].

Saya andaikan sayalah penulisnya. Sebenarnya saya pasti ia hasil nukilan saya sendiri kerana ia bertulis tangan dari tangan saya. Bertandatangan saya. Cuma saya lupa ruang semasa saya menulis itu.

Secara rendah dirinya, saya memohon kepada pembaca, jika dapat mengenalpasti puisi yang saya dakwa hasil nukilan saya sebenarnya karya orang lain, sila maklumkan kepada saya kerana tanpa sumber itu, saya akan mengatakan bahawa ia adalah puisi saya yang terintuisi melalui akal dan jiwa saya pada ketika itu.

Mohon bantuan, walaupun puisi ini bukan apa-apa. Tidak manis. Tidak indah. Tidak berjiwa.

Bila kita berbicara
hanya aku yang menang
kerana egoku teratas
berbanding warasnya fikiran.

Bila kita berbicara
engkau pasti kalah
kalah dan terus diam
Tanpaku tahu diammu tidak setuju

Dan aku terus berbicara
membiarkan ruang dan waktu
terisi dengan bicaraku
dan kau terus berdiam
tanpaku tahu setuju atau tidak

Bila kita berbicara lagi
kau terus
diam…
diam…
diam…
membiarkan aku terus megah
bicara…
bicara…
bicara…

dan kini aku rindu
padamu…
pada bicaramu…
sekalipun kau berdiam.

[tandatangan oleh saya]
UMKL 99