CERITA BERMULA DARIPADA RIZAL GUNX

Vroommmmmm…Preng…Prenggg…..

“Nak ke mana tu , Ramli ???????”

KOMA

“Layla…Layla,” jerit Pak Long Kamil.

“Ya, bapak.” Jawab Layla ringkas.

Dari dapur kedengaran bunyi paip dari sinki ditutup. Bunyi kerusi berkeriut ditolak juga sudah menjadi kebiasaan di telinga Pak Long Kamil sejak isterinya meninggal tiga tahun lepas. Itulah Zalila, atau nama ngada-ngadanya Layla, yang mengganti tugas arwah ibunya mengemas dan memasak di rumah itu. Selalu juga Pak Long Kamil menadah tangan merafak syukur kepada yang Esa kerana memiliki anak gadis yang boleh diharap untuk menjaga sakit peningnya. Sesekali sahaja Pak Long Kamil mengerutkan wajah memikirkan kata-kata orang lama ‘menjaga lembu sekandang lebih mudah daripada menjaga anak gadis seorang’.

Ya, Pak Long Kamil bimbang dengan kebejatan sosial di kampung itu. Anak-anak mudanya tidak boleh dipercayai. Apatah lagi dengan si Ramli, anak si Lemah yang menganggur itu. Namun, hatinya lega sedikit apabila Layla dirisik oleh Hadi, anak muda kampung sebelah yang agak berjaya. Sengaja Pak Long Kamil beritahu orang kampung, Hadi dan Layla sudah bertunang supaya tiada siapa boleh mengacau Layla lagi.

“Ini bapak mahu ke kedai. Kalau lewat orang kampung mengamuk nanti, tiada tempat mahu melepak. Tutup pintu. Jangan buka pintu sesuka hati. Tu, nampak lubang kecil kat pintu tu? Intai dulu siapa yang datang. Tahu?” pesan Pak Long Kamil panjang lebar.

Layla angguk. Pesanan begitu memang sudah boleh dihafal. Tetapi Layla tidak menyalahkan bapaknya. Memang wajar orang tua itu bimbang berganda. Layla merupakan anak tunggalnya, cantik, menjadi rebutan walaupun pendidikannya setakat STPM sahaja.

Sebaik sahaja deru enjin motorsikal Pak Long Kamil sayup menjauh, pintu rumah Layla yang terkunci kemas diketuk seseorang. Layla yang sedang berlenggang ke dapur, melangkah semula ke arah pintu utama rumahnya dan mengintai di balik lubang kecil itu.

“Dia lagi?”

KOMA

“Kau nak apa?” tanya Layla dengan bengkeng.

“Eee ehhh..garangnya. Dulu bukan main. Sejak ada Hadi, sombong bukan main kau ya,” Jawab Ramli yang masih termengah.

“Nak apa?” tanya Layla lagi dengan tiada santun.

“Aku nak kat kau la Layla. Kenapalah kau pilih Hadi tu. Tak sesuai langsung…” ejek Ramli.

“Habis kau fikir kau sesuai sangat dengan aku. Macam langit dengan bumi kau tahu tak?” jerkah Layla nyaring.

Sedang mereka bertengkar, terdengar bunyi deruan kereta jenis tempatan dengan model terbaharu berserta hon yang cukup Layla kenali. Hatinya sedikit lega. Ramli memandang ke arah kereta dengan wajah yang mencuka.

Pintu kereta terbuka, kelihatan kaki sebelah kanan keluar dari perut kereta dengan kasut hitam berkilat ala budak PLKN. Kemudian, empunya tubuh menonjolkan wajah di hadapan Layla dan Ramli.

“Assalamualaikum, Layla.” Sapa Hadi dengan senyum paling indah.

Layla menjawab salam itu dengan santun juga sambil sesekali matanya menjeling Ramli yang sudah bertukar menjadi sedikit merah dan kehijauan.

Hadi menghulur tangan mahu menyalami Ramli, tetapi tangannya tidak bersambut. Hadi tahu perasaan Ramli ketika itu. Hadi sedikit kasihan kepada Ramli tetapi, “best man, win.”  Katanya dalam hati sambil tersengih lagi.

“Layla, ini saya ada bawakan sepasang baju kurung untuk awak. Semalam saya jumpa pelanggan di bandar dan saya ternampak baju ini lantas saya membelinya untuk awak, yang saya kasihi,” Hadi menyusunatur kata-katanya.

Layla terkejut dan wajahnya sedikit terharu. Beliau pura-pura tidak mahu tetapi tangannya sudah pun menyambut bungkusan itu.

Ramli yang mendengar kata-kata Hadi sedikit mengerutkan wajah dan mengingat-ingat sesuatu apabila memandang label pada baju kurung itu. Sesuatu yang membawa dirinya kepada sebuah kedai pakaian wanita di Bandar A.

Dengan wajah tidak puas hati, Ramli berkata kepada Layla, “aku balik dulu. Nanti bila-bila aku datang balik.”

“Tak datang pun tak apa. Layla tunang aku. Tak manis tau,” jawab Hadi.

Ramli terus berlalu dengan satu azam di hati sambil Layla masih menyengih dengan baju kurung pemberian Hadi.

KOMA

Petang itu, Ramli terus memecut motor kapchainya ke Bandar  A yang jaraknya lebih kurang setengah jam perjalanan dari Kampung Simpang Sepetang.  Ada agenda yang harus diselesaikan.

Tiba sahaja di sana, segera dia menongkat motorsikalnya dan melangkah laju ke sebuah kedai pakaian wanita. Tidak seperti kedai pakaian Melayu yang lain, kedai ini begitu tersusun dan kemas. Pemilihan warna kedai juga membuatkan Ramli terpana seketika sebelum dia disapa.

“Mahu cari apa encik? Beli baju untuk isteri? Makwe?” tanya pekedai itu.

Ramli tergagap-gagap seketika. Bukan tidak disangkanya pemiliki pakaian wanita itu sebenarnya lelaki, tetapi juga lelaki itu adalah kawan baiknya sejak kecil.

“Wei…Mohd Hafis Ahmad. Aku ingat kau dah mati kat sekolah asrama di Jerteh nun…” jerit Ramli agak gembira setelah hampir sepuluh tahun tidak bertemu kawan sekampungnya yang berpindah ke Bandar B dahulu.

“Weii…Ramli sahabatku….” jawab Hafis tak terkata.

Setelah berbual-bual beberapa ketika Ramli bertanyakan sesuatu dengan Hafis yang tidak berhenti membersihkan habuk dan menyusun-nyusun baju dalam wanita yang berwarna-warni di rak tepi dinding.

“Aku nak minta tolong sikit.”

“Apa?” tanya Hafis sambil tangannya membetulkan tali baju dalam wanita yang berwarna merah hati yang tercabut penyambungnya.

“Semalam, seorang kawan sekampung menghadiahkan tunangnya, baju kurung warna biru yang label pada baju itu, dari kedai engkau ni.”

Belum sempat Ramli menyambung ceritanya, Hafis menyampuk, “oh, baju kurung biru itu, dibeli oleh seorang pelanggan tetap kami. Namanya Hadi kan? Baju itu memang mahal. Kain sutera Cina campur India bertatah labuci dan batu sworski.”

Ramli mengangguk sambil Hafis terus bercerita, “Hadi tu pelanggan kami yang setia, memang banyak baju yang beliau beli dari kedai kami. Aku pernah tanya untuk siapa. Dia jawab, dia teringin mahu pakai. Ha ha ha [Hafis tergelak].  Aku syak Hadi tu lelaki berjiwa wanita. Tapi aku tak cakap dia ada keinginan menukar jantinanya. Ha ha ha….[Hafis tergelak lagi]. Ooo dia dah bertunang? Alhamdulillah la. Sangkaan aku meleset. “

Mendengar kata-kata Hafis, Ramli bagai mahu tergelak sehingga lupa kepada niat asalnya mahu menyiasat sama ada baju itu dibeli secara hutang atau tunai. Ramli memang tidak percaya Hadi ada duit sebanyak itu untuk membeli baju kurung yang mahal untuk Layla. Setahu Ramli, Hadi tu kerja despatch boy sahaja di pejabat Pos Bandar A.

“Kenapa engkau tanya?” tanya Hafis.

“Aku…aku….saja nak tahu pasal Hadi. Sebab Layla kawan baik aku. Aku syak sesuatu dengan Hadi tu. Aku tak mahu Layla kecewa.” Balas Ramli.

Hafis terdiam sambil mengerutkan wajah.

“Nama tunang dia Layla?” tanya Hafis

Ramli angguk.

“Tapi semalam….” Suara Hafis terhenti.

“Semalam apa?” tanya Ramli tidak sabar. Seolah di situ dia melihat cahaya. Dan dalam cahaya itu kelihatan Hadi sebagai figura lelaki yang jahat dan Ramli sebagai hero yang menyelamatkan Layla.

Hafis berhenti bersuara. Di dalam fikirannya berbaur pelbagai perkara. “Perlukah aku beritahu? Semalam, memang jelas Hadi bersama dengan Rudeen, gadis yang bekerja di pasar raya Tak Un Tong sana. Dan aku tahu, baju kurung  itu adalah baju yang mahu diberi kepada Rudeen. Tetapi Rudeen menolak pemberian itu. Perlukah aku beritahu?”

Ramli menunggu-nunggu kata-kata dari Hafis. Hafis pula kelihatan serba salah.

Gerimis di luar membasahkan motor kapchai Ramli. Dan Hafis yang punya sejarah tentang dipermainkan wanita, masih berfikir-fikir mahu memberitahu apa yang dilihatnya semalam kepada Ramli, atau mendiamkan diri dengan prinsip, ‘jaga tepi kain pelikat sendiri’ walaupun Hafis sendiri jarang pakai kain pelikat.

SAMBUNG KE BLOGMOHD HAFIS AHMAD