Jika kamu seorang yang BAIK, tolong jangan biarkan titik hitam itu menggelapkan hari kamu.

Puas! Mungkin itu yang terdetik di hati pemenang Baca Naskhah Klasik : Hikayat Nakhoda Muda 2008 yang berlangsung semalam. Dengan penghayatan yang baik, kostum yang menarik, suara yang tenang dan pembinaan suasana yang sesuai, beliau memang layak menang.

Saya kalah. Tapi bukan itu yang menjadi titik hitam untuk saya hari ini.

Oh ya, titik hitam itu telah hilang apabila melihat beg kertas yang penuh dengan buku-buku terbitan DBP. Pemberian seorang teman yang bekerja di sana. Terima kasih Tina. Juga DBP kerana membantu saya membuang dendam.

Saya kalah. Tapi tidak mengapa. Saya memang tidak layak untuk menang. Banyak perkara perlu diperbaiki. Dan saya setuju dengan kata-kata salah seorang hakim yang mengadili pertandingan semalam. Rogayah A.Hamid, Ketua Bahagian Kesusasteraan tradisional DBP.

Menurutnya;

Membaca naskhah klasik harus dengan caranya yang betul. Imbas semula zaman kesultanan Melayu lama, pembacaan naskhah begini dilakukan oleh tukang cerita semasa menghiburkan sultan atau raja. Juga untuk tentera yang akan pergi berperang.

Sebelum berperang mereka akan dibacakan dengan cerita seperti Hikayat Amir Hamzah yang penuh dengan ciri-ciri kegagahan, kekentalan, keberanian dan sebagainya demi untuk menaikkan semangat para tentera untuk pergi berperang.

Selain itu penceritaan secara lisan tentang hikayat-hikayat lama orang orang-orang zaman dahulu juga berlaku sehingga tujuh hari tujuh malam. Secara simboliknya, apa yang terisi dan apa yang tercerita dalam masa tujuh hari tujuh malam yang begitu panjang? Mengapa pendengar atau penonton begitu khusyuk? Sudah pasti kerana ciri-ciri penceritaan naskhah klasik yang begitu pelbagai dan menarik.

Antara aspek-aspek yang digariskan oleh Rogayah A. Hamid ialah;

  1. Pembinaan suasana yang baik (pentas, pakaian pencerita, dll)
  2. Cara penyampaian yang sesuai seperti duduk bersimpuh penuh sopan di hadapan raja/sultan, atau dengan cara melakonkan sedikit adegan-adegan yang diceritakan.
  3. Memahami teks yang disampaikan (plot, watak dan perwatakan, latar dan sebagainya)
  4. Dialog yang dituturkan harus berbeza sesuai dengan perbezaan watak yang menuturkannya di dalam teks tersebut.
  5. Bina emosi pendengar dengan riak wajah pencerita dan gerak badan yang bersesuaian
  6. Gimik yang sesuai seperti seloka, syair, pantun, lakonan dan sebagainya

Selain itu, lebih baik jika di adakan saringan agar mereka yang benar-benar berkebolehan dipertandingkan dalam pertandingan baca naskhah klasik ini. Demi untuk menjimatkan masa.

Turut dicadangkan ialah mewujudkan bengkel membaca naskhah klasik yang semakin mendapat sambutan baik di kalangan peserta pelbagai latarbelakang.

Saya setuju dengan segala apa yang di sarankan oleh Rogayah A. Hamid. Apa yang pasti, saya tidak berpuas hati dengan persembahan saya yang sangat hambar, sedikit batuk-batuk dan kelajuan pembacaan yang tidak terkejar oleh penonton. Hahahha…

Dan untuk Tina, sila datang ke rumah saya untuk membantu saya membalut buku-buku yang awak beri ini. He he he…

*Fadzli Al-Akiti juga hadir sebagai penonton. Pada masa yang sama DBP juga mengadakan Bicara Karya : 100 soalan undang-undang Hak Cipta. Rugi tak dapat hadir.