SAKSI UTAMA KEJADIAN

Layla merenung jemarinya yang pedih.

Emak tersengih menyindir.

“Itulah, orang suruh pergi terawih, ada sahaja alasannya. Mujur tak putus tangan tu…” Kata abah pula.
Air mata Layla meleleh.

Hari itu, 3 Ramadhan.

KOMA

Seperti kanak-kanak lain yang berusia 9 tahun, kepenatan berpuasa harus dibalas dengan berehat-rehat di rumah menonton drama Melayu yang boleh melenakan mata. Jadi, Layla berasa liat mahu ke masjid menunaikan solat terawih bersama keluarganya.

Namun, kata emak, “keistimewaan Ramadhan ialah solat terawih. Terasa puasa lengkap apabila dapat mengerjakan terawih walaupun hukumnya sunat.

Masjid yang gemilang terasa seperti penjara bagi Layla.

Layla duduk di saf paling belakang, bersama kanak-kanak perempuan lainnya. Imam meminta jemaah meluruskan dan merapatkan saf. Layla melihat barisannya. Layla melihat kanak-kanak sebaya dengannya bersemangat mengerjakan terawih. Sedikit sebanyak dia mengiyakan kata-kata emak.

Rakaat pertama, semasa surah yang panjang dibacakan, Layla terdengar bisik-bisik di sebelahnya. Dia memejamkan mata, mencari kesunyian untuk khusyuk dalam solatnya. Namun, bisik-bisik itu semakin kuat sehingga butir bicaranya kedengaran.

“Malam ni, mak kita nak buat kuih dahlia. Eee tak sabar…kita nak makan banyak-banyak sebab esok siang dah tak boleh makan…” kata budak perempuan di sebelahnya.

“Mak kita pun nak buat kuih juga malam ni. Kuih semperit yang kita suka.” Jawab suara yang satu lagi.

“Esok kita bawa ke masjid nak? Kita nak rasa kuih yang mak awak buat,” jawab budak perempuan di sebelah Layla.

Habis sahaja rakaat itu, Layla berganjak ke barisan hujung sebelah kanan pula kerana tidak mahu terganggu dengan suara-suara.

Di sebelahnya kini ialah kawan sekelasnya, Siti. Dia diapit oleh seorang budak perempuan berusia 12 tahun yang berjiran dengannya yang bernama Mira.

Rakaat pertama dimulai dengan suara ‘pssst…psstttt’ oleh Mira.

Kemudian disambut oleh Siti, “sabar la..tunggu habis solat.”

Mira menyambut, “aku tahu kau baca surat tu, siap ek…”

Siti pula bersuara, “akak nak ke tidak surat ni. Kalau tak nak saya pulangkan kepada abang saya..”

“ye ..ye…aku nak…” Jawab Mira.

Kepala Layla mula pusing.

Rakaat seterusnya Layla mengambil tempat di sebelah ibunya. Paling hujung saf kedua. Semasa solat mahu berlangsung, dengan tiba-tiba seorang mak cik menyelit di sebelah Layla, di antara Layla dengan ibunya.

Layla gelisah.

Rakaat pertama, ok.

Rakaat kedua, semasa sujud tahiyat terakhir, kakinya ditindih dengan punggung mak cik itu yang bersaiz periuk nasi 1 gantang. Layla menyeringai kesakitan. Lebih mengharukan, imam membaca tahiyat dengan begitu lama. Layla menunggu-nunggu ucapan ‘salam’ dengan kesakitan yang semakin mencengkam. Air matanya hampir-hampir sahaja gugur.

Malam itu, Layla mengadukan hal itu kepada ibunya. Kakinya merah dan bengkak. Layla merengek tidak mahu terawih lagi.

Menurut ibunya, sakit kaki dan dugaan-dugaan semasa terawih adalah ‘ujian kecil dari Allah untuk insan terpilih seperti Layla’.

Layla mendengus.

“Baik main meriam buluh kalau begini…” katanya dalam hati.

Malam itu, 1 Ramadhan.

KOMA

“Layla, malam ni pi terawih ke?” tanya Rizal siang itu.

Layla angguk. Kemudian buat muka bengang menceritakan apa yang berlaku malam pertama terawihnya. Rizal dan Sarul ketawa terbahak-bahak mendengar cerita Layla.

“Rugi la. Malam ni kami ada projek besar.” Kata Rizal lagi sambil tersengih di samping Sarul.

“Korang nak main meriam ek?” teka Layla.

“Mestilah. Macam tahun lepas.” Kata Rizal.

Layla termenung seketika. Terkenang keasyikan bermain meriam buluh dengan kawan-kawannya apatah lagi jika ada pertandingan lawan bunyi meriam yang paling kuat. Kemudian dia memandang Rizal dan Sarul.

“Takkan mengaku kalah kot? Pergilah duduk rumah buat kuih….he he he” kata Sarul pula.

“Eh, bukan ke tahun lepas awak yang kalah? Kena berak dengan ayam Tok Azzahari kan?” kata Layla.

Sarul tarik muka. Sementara Rizal ketawa terkekek-kekek mengenang malang yang menimpa Sarul.

Layla tersenyum mengejek sambil kepalanya ligat memikirkan sesuatu.

KOMA

Seterika yang panas itu diangkat. Layla tekad.

“Layla…” terdengar suara emak memanggil panjang.

Beberapa ketika Layla keluar dari biliknya.

“Emak, Layla demam. Malam ni tak larat la pi terawih,” kata Layla.

“Ala, takkan kerana kaki bengkak sikit dah tak mahu pergi? Kan emak cakap, itu ujian sahaja. Tuhan mahu lihat hamba-Nya cekal atau tidak. Bla…bla…bla…” emak membebel sambil mendatangi Layla.

Jemari emak merasai dahi dan leher Layla yang berpeluh.

“Ya Allah, panasnya badan awak. Duduk di rumah sahaja. Berehat,” kata emak sesudah meletakkan tapak tangannya di dahi Layla.

Layla memandang emak dengan wajah sakit teramat.

Sesudah menutup daun pintu dan kereta abah menderu keluar dari halaman, Layla tersengih sambil merenung kain panas yang ditekapkan ke leher dan dahinya tadi.

“he he he…” Layla ketawa nakal.

Dalam kepalanya terbayang meriam buluh. Segera dia berlari ke tapak permainan mereka seperti tahun-tahun sudah. Kali ini, Layla lebih berani. Berbekalkan meriam buluh yang dibuat oleh Sarul, Layla bersedia.

Malam itu memang berbeza. Layla berasa puas dapat mengalahkan Rizal dan Sarul.

Sehinggalah cucuhan terakhir, Layla terlihat kelibat kereta emak dan abahnya. Belum sempat dia memikirkan apa-apa, kedengaran letupan yang kuat. Dan Layla terasa cecair mengalir di tangannya.

Pandangannya kabur. Terbayang masjid dan solat terawihnya. Terdengar suara budak-budak perempuan bercerita hal kuih raya dan surat cinta. Terasa-rasa sakitnya kaki yang bengkak ditimpa punggung mak cik sebesar periuk satu gantang itu.

Malam itu, 2 Ramadhan.

 

Cerita Terawih Sarul Petai

Cerita Terawih Suhaimi

Cerita Terawih Azzahari

Cerita Terawih Rizal Gunx