copy-of-dsc_0232Gambar kelas bahasa isyarat

“Encik, Saya rasa ruangan bangsa dan agama ni kita mansuhkan sahaja,”

“Kenapa?”

“Bukankah ini larian perpaduan, perlu kirakah bangsa dan agama apa yang menyertainya?”

Yang namanya perpaduan ialah apabila kamu menaiki sebuah bas yang ditumpangi pelbagai bangsa. Pemandu memutarkan lagu-lagu Tamil atau Melayu Klasik tanpa ada siapa yang membantahnya. Tapi, apabila ada seorang wanita mengandung naik, semua memberi tumpuan kepada wanita tersebut dan menyuakan tempat duduk kepadanya.

Yang namanya perpaduan ialah apabila kamu berkongsi meja dan minuman yang sama semasa sedang menonton perlawanan bola sepak di kedai mamak.

Yang namanya perpaduan apabila satu kemalangan berlaku, dan ramai yang membantu tanpa mengira mangsa tersebut berbangsa apa.

Yang namanya perpaduan apabila semua sekolah disatukan dalam satu nama’ Kebangsaan’ dan menggunakan bahasa pengantar yang sama. Ini baja perpaduan yang asas.

Yang namanya perpaduan apabila kamu faham sensitiviti bangsa dan agama lain, lantas kamu menghormatinya dan tidak mengungkit hal-hal sensitif itu kerana kamu juga punya sejarah dan nenek moyang yang perlu dipelihara.

Yang namanya perpaduan apabila kamu tidak melupakan sejarah dan hormati sejarah kerana sejarah itu asal usul kita. Maka tidak akan timbul soal kacang lupakan kulit.

Selamat !

*menyebak album semasa zaman sekolah, setiap gambar punya banyak warna – hitam-putih-sawomatang. Kini hanya satu warna. Mengapa?