Kisah ini memang berkaitan dengan sekatan jalan raya yang dikenali sebagai ‘Ops Padam’ yang sedang dilaksanakan oleh pihak polis di sekitar Kuala Lumpur sejak semalam. Dan ia menyusahkan saya!

Dahulu semasa di sekolah, tugas memadam papan hitam merupakan tugas yang paling memualkan bagi seorang murid perempuan yang tidak mempunyai ketinggian yang cukup a.k.a gadis kecil yang comel [seperti saya…hehehehhe].

Saya tidak suka tugas itu yang harus dilaksanakan sepanjang hari walaupun sekali dalam sebulan. Alasannya, kerana tapak tangan yang comel ini tidak dapat memegang pemadam papan hitam sepenuhnya. Juga kesan kapur tulis yang boleh membuatkan tangan jadi kasar. Manakala ketinggian yang tidak seberapa memaksa saya untuk berdiri atas kerusi bagi memadamkan ‘hasil contengan’ guru terutamanya guru lelaki yang menulis sehingga penuh ruangan atas papan hitam.

Suatu hari, tugas itu kembali mengejar saya. Ya, hari itu saya harus memadam papan hitam. Oleh kerana saya memang mempunyai kepakaran menulis dengan laju [ya, tuhan memang takdirkan saya menjadi wartawan sejak kecil], maka sehabis sahaja salam kepada guru yang telah habis waktu mengajarnya, saya yang juga sudah siap menyalin nota, bergegas ke papan hitam dan memadam semua nota dengan segera sebelum guru seterusnya memulakan pengajaran.

Dan waktu itu saya terlupa, masih ada kawan-kawan yang ‘bukan ditakdirkan menjadi wartawan’ a.k.a lembab menulis, tidak dapat meneruskan catitan kerana sebahagian nota di papan hitam telah dipadam oleh saya.

Opppss….maaf terpadam. Itu sahaja yang mampu saya lakukan disamping membacakan semula nota saya kepada mereka.

Ya, saya harus meminta maaf kerana menyusahkan mereka, kawan-kawan sekolah saya dahulu.

Jadi untuk semalam dan pagi ini, pihak polis harus mengeluarkan kenyataan meminta maaf kepada pengguna jalan raya kerana mengadakan Ops Padam yang kebanyakannya menyusahkan orang yang tidak terlibat dengan perhimpunan haram itu.

Sebelum ini juga, pihak polis mengadakan sekatan jalan raya, tetapi, perhimpunan tetap di jalankan.

Dan kepada mereka yang bakal menyertai perhimpunan, saya bukan marahkan anda, tidak pula menyokong. Tetapi bukankah lebih baik perhimpunan itu diadakan bukan waktu bekerja? dan itu lebih baik kerana ia tidak menyebabkan ramai pekerja yang dedikasi dan penuh semangat seperti saya mendapat ‘dakwat merah’ di kad kehadiran kami.

Sepatutnya berita ini ditulis begini:

Polis Tampal Notis Perintah Mahkamah Larang Sertai Perhimpunan

KUALA LUMPUR, 13 Julai (Bernama) — Polis mendapat perintah mahkamah untuk melarang orang ramai daripada menyertai perhimpunan di hadapan bangunan Parlimen, Isnin pagi.

Ketua Polis Daerah Sentul ACP Ahmad Sofian Md Yassin berkata perhimpunan esok adalah perhimpunan haram dan mengingatkan orang ramai yang menyertai, mengambil bahagian atau menganjur perhimpunan tanpa permit itu, akan dikenakan tindakan undang-undang mengikut Akta Polis 1967…..

Ahmad Sofian berkata beberapa sekatan jalan yang dikenali sebagai ‘Ops Padam’ di sekitar Kuala Lumpur turut dilakukan bermula petang ini sehingga tengah malam esok.

Oleh itu, pihak polis dan kerajaan MEMINTA MAAF BANYAK-BANYAK kerana terpaksa menyusahkan rakyat yang tidak berdosa….

*Perhimpunan haram yang bakal diadakan menyebabkan polis buat sekatan dan sebabkan jem yang teruk – alasan yang akan saya tulis di dalam kad kedatangan saya!

Advertisements