Kata orang, berani kerana benar. Takut kerana salah.

Untuk menceritakan kisah benar ini, Layla memberanikan diri menceritakannya semula setelah sekian lama ia tersimpan di dalam diari merah jambunya.

KOMA

Malam itu dingin. Sengaja Layla tidak menutup tingkap biliknya yang menghadap pohon mempelam dan beberapa batang pokok kekabu yang menghuni kawasan belakang rumahnya.

Dia menekan butang ‘on’ pada radio kecilnya. Jemarinya pantas juga membuka helaian buku rujukan sejarah yang perlu dibaca. Lagu yang berkumandang membuatkan jemarinya terhenti seketika…..

“Benar…benar sebenar-benarnya…aaaaaa..aku menyintai kamu…uuuuuu….”

Suara penyanyi kumpulan Senduk itu membuat Layla leka. Biasalah, remaja perempuan seperti dia memang selalu terbuai dengan lagu-lagu cinta.

Jam menunjukkan pukul 12 tengah malam. DJ radio mengumumkan segmen seterusnya, “telefon saya di talian….bla..bla…untuk menceritakan kisah benar anda. Saya tunggu panggilan dari anda. Cerita apa sahaja….”

Lagu berkumandang semula…

Layla menyelak-nyelak buku sejarah di hadapannya dengan malas. Seketika DJ bersuara apabila lagu habis dimainkan.

“Ok, saudari, apa yang saudari mahu ceritakan…boleh cerita sekarang..”

Gadis yang bersuara halus yang menghubungi DJ itu memulakan kisahnya, “hari itu, kami sekeluarga memulakan perjalanan menuju ke utara. Kami menggunakan lebuh raya Karak. Suasana jalan agak sunyi..”

“Kenapa tidak buka radio? ha ha ha…..saya gurau sahaja..” sampuk DJ.

“Apalah DJ ni, spoiler betul…” gumam Layla. Dia menguatkan sedikit volume radio.

“Layla, kenapa tidak tidur lagi?” tanya emaknya yang tiba-tiba bersuara dari dapur.

“Ulang kaji la mak….” balas Layla.

“Ulang kaji ke berangan? Jangan tidur lewat. Nanti mata lebam. Tak ada orang nak masuk meminang….” bebel mak Layla lagi.

Layla mengerutkan wajah sambil berbisik sendirian, ” mengarut sahaja mak ni. Siapa nak kahwin cepat?”

Layla segera menumpukan pendengarannya kepada radio.

“Kawasan itu memang sunyi…” kata gadis itu.

Layla bergumam geram, “ini semua mak punya pasal. Potong ‘stim’ betul. Orang nak dengar kisah benar ni…kan sudah tertinggal cerita…hmmm.”

Terdengar dengus nafas gadis pemanggil itu. Seolah gadis itu sedang resah dan berdebar. Layla ikut rasa debar.

“Kemudian?” tanya DJ dengan suara tidak sabar.

“Sampai satu selekoh yang tajam, kami sekeluarga terlihat sebuah lori di hadapan kami. Lori itu bergerak perlahan. Abah cuba untuk memotong. Apabila beberapa ketika, abah terus memotong. Malangnya, di bahagian hadapan kami ada sebuah lori lain yang turut bergerak dengan perlahan.”

“Kemudian…” sambungnya lagi sebelum terdiam seketika.

“Kemudian apa, saudari? Eh, ini kredit telefon ada lagi tak ni? Nanti tak sempat nak habiskan cerita. Saya memang suka cerita-cerita mendebarkan ni…” kata DJ lagi.

“Bodoh punya DJ. Memekak sahaja,” Layla bersuara dengan geram tetapi dalam nada yang masih terkawal kerana bimbang emaknya membebel lagi.

Suasana talian sepi. Hanya terdengar esak tangis gadis pemanggil.

“Saudari….saudari…saudari ok ke?” tanya DJ separuh insaf kerana buat lawak tidak kena pada plotnya.

“Saya tidak tahu bagaimana mahu cerita. Segalanya berlaku dengan pantas. Apabila saya sedar, saya sudah berada di satu kawasan yang gelap.”

Tiada suara DJ menyambut.

Gadis itu bersuara lagi, “saya buka mata luas-luas. Meraba poket baju yang terisi telefon bimbit. Saya buka lampu suluh yang ada di dalam telefon itu.”

“Apa yang awak nampak?” tanya DJ dalam suara yang serius.

“Saya lihat ibu saya, adik saya, abah dan juga abang saya semuanya tidak bergerak. Muka mereka penuh darah. Saya menjerit. Saya minta tolong. Saya lihat semua tidak bergerak lagi.”

Layla panik. Peluh mula menitis lembut ditengkuknya. Angin yang berpapasan masuk melalui celah tingkap, membawa rasa seram yang berganda. Segera Layla menutup tingkap dan langsir.

Suasana di dalam radio sepi seketika.

“Habis tu awak bagaimana?” tanya DJ seketika kemudian.

“Saya lihat diri saya. Penuh dengan darah juga. Ini, saya dan keluarga masih di sini…kereta kami ruapanya jatuh ke dalam gaung. Tiada kenderaan yang perasan kami kemalangan.” Gadis itu bersuara lagi dengan nada semakin pilu.

“err…bagaimana ni?” tanya DJ dalam keadaan separuh panik.

Layla juga panik. Dia mendekatkan telinganya dengan radio supaya tidak tertinggal setiap patah perkataan yang diucapkan oleh gadis itu.

“Jangan risau. Saya tidak perlu bantuan siapa-siapa lagi untuk menyelamatkan kami,” gadis itu menyambung kata-katanya.

“kenapa?” tanya DJ.

“Sebab saya pun sudah mati.” Gadis itu menjawab dan talian terus terpadam.

Radio sepi.

Layla juga sepi.

Bulu tengkuk Layla meremang seram. Bunyi pepohon kekabu bergeseran bagai ada pontianak sedang bergayut [kata emak, pohon kekabu tempat permainan pontianak, dan Layla percaya itu].

Radio berbunyi sssssssssssstttttttttttttttttttttttttttttttt…….[seperti televisyen kehabisan siaran].

KOMA

Layla demam. Seminggu lamanya dia tidak ke sekolah. Layla dapat MC daripada doktor.

Cikgu yang datang melawat geleng kepala.

Bukan beliau tidak percaya Layla demam. Ya, kisah benarnya ialah Layla demam.

Yang kisah tidak benarnya ialah cerita Layla. Cikgu mengesyaki Layla terlalu terpengaruh dengan filem hantu yang menghantui masyarakat masa kini sehingga Layla terbawa-bawa obsesinya terhadap hantu ke dunia realiti.

“Kamu biar benar Layla. Mana ada orang mati telefon orang yang hidup.” Dialog terakhir Cikgu Rahmat membuktikan, kisah benar yang dialami Layla menjadi kisah tidak benar kepada orang yang tidak mengalaminya.

Layla terus diam. berharap suara gadis pemanggil itu tidak datang-datang lagi ke gegendang telinganya.

KOMA

Diari merah jambu ditutup kembali.

Layla kini berusia-33 tahun [baru semalam dia meraikan hari ulang tahunnya dengan gemilang, senyum dan bahagia yang tidak terucapkan sehinggalah dia diberi tugasan untuk menulis kisah benarnya di dalam blog peribadinya ; Layla kehilangan nafas. ]

Kisah Benar?

Ini kisah benar yang Layla sengaja tuliskan di dalam laman peribadinya untuk tatapan umum supaya ada yang berkongsi kisah yang sama dan seterusnya mematikan tuduhan beberapa orang di sekelilingnya yang tidak percaya kisah benar yang pernah dialaminya suatu ketika dahulu.

Kamu percaya? Jika tidak, tunggulah panggilan gadis malang itu, suatu hari nanti – Ayat terakhir Layla yang sengaja ditulis untuk menekankan lagi pengaruh pada tulisannya, agar kisahnya ini dipercayai.

**

Kisah Benar versi Sharul-Petai

Kisah Benar versi Rizal Gunx

Kisah Benar versi Azzahari pelitaminyaktanah

Kisah Benar versi Hadi