Ini bukan gambar pokok pisang

Episod 1 : Ramli yang sepi
Episod 2 : Layla Oh Layla
Episod 3 : Layla.. Hatiku Belum Milikmu, Begitu Juga Rudeen
Episod 4 : Lima Hati
Episod 5 : Hati Kontras & Hakikat
Episod 6 : Cinta Harus Memiliki 
Episod 7 : Cinta tak Semestinya bersatu 

Episod 8 : Ramli Yang Gila

Jeritan mak tiri Layla yang bernama Bedah Lawa bergema memeranjatkan seluruh isi rumah yang penuh dengan 11 dulang hantaran dan orang kampung yang berkumpul mahu meraikan pernikahan Hadi dengan Layla. Segera mereka berlari dengan kelajuan sederhana ke bilik Layla.

Mata tertumpu ke tepi katil. Badan gempal Bedah Lawa kelihatan seperti seekor beruang yang sedang dalam hibernasi.

Cermin meja solek dipenuhi pesanan dengan menggunakan gincu warna maroon [warna kegemaran Bedah Lawa].

Sementara ada yang membaca pesanan terakhir Layla sebelum Layla melompat turun melalui tingkap rumahnya, Bedah Lawa tersedar dari pitam.

Belum sempat orang kampung bertanya lebih lanjut, Bedah Lawa menjerit separuh gila, “habis gincu Avon aku yang baru beli. Agak-agaklah nak tinggalkan pesanan. Uwaaaaaaa…”

KOMA

Pang!

Terasa berbinar pipi hingga ke mata. Ramli mengusap-usap pipinya. Dia membuka matanya perlahan-lahan. Mak Cik Lemah sudah bercekak pinggang sambil menggenggam senduk nasi.

“Kenapa ni mak?” tanya Ramli. Walaupun marah, dilembutkan juga suaranya kerana bimbang disumpah seperti si Tenggang.

“Kenapa kau kata? Tengok, matahari dah naik macam ni pun masih nak tidur? Memang patut Layla tu tak pilih engkau. Hari ini dia mahu nikah. Bukankah engkau dah setuju mahu mengepalai rombongan membawa kereta Haji Rizal?” bebel Mak Cik Lemah.

Ayam berkokok di luar. Ramli masih menggaru-garu belakang dengan garpu kayu gergasi. Memang nikmat yang tidak dapat diterjemahkan dengan kata kata. Cuma kali ini nikmat itu tidak dirasai apabila mengingat kembali hal majlis pernikahan Layla yang bakal berlangsung hari ini.

Secara automatik juga lagu ‘Apo kono eh Jang” nyanyian Mastura dan Ally Nor dalam dialek Minang itu, menyerbu ke gegendang telinganya.

 

 

Walaupun pedih mengenangkan takdirnya yang tidak mampu memiliki Layla, Ramli terpaksa tahankan hati walaupun banyak sudah doa yang dikirim kepada yang Esa agar di saat-saat akhir, ada keajaiban berlaku dan peluang dia memiliki Layla terbuka kembali.

Secara automatik juga, filem Kuch-Kuch Hota Hai babak akhir menerpa ke lelayar matanya. Kajool dan Shah Rukh Khan akhirnya bersatu. Walaupun Ramli tahu, Layla suka Aishwarya Rai, Ramli tetap tersengih sendirian mengenang babak akhir filem itu yang hampir-hampir juga menumpahkan air matanya ketika kali pertama menontonnya sendirian di bandar.

 

 

Mak cik Lemah sudah membising di luar rumah. Ayam-ayam di luar sudah kelaparan. Walaupun perut Ramli lapar, dia gagahkan diri untuk mandi dahulu. Begitulah falsafahnya, “biar miskin, asal wangi.”

Sesudah bersiap, Ramli menikmati hidangan sarapan nasi lemak yang disediakan emaknya. Sambil-sambil itu juga dia tersengih sekali lagi mengenang mimpinya malam tadi. Kelakar sungguh melihat Haji Rizal yang panik  apabila Ramli nekad menjahanamkan rombongan ke rumah pengantin.

Ramli imbas semula mimpinya :

Haji Rizal menyenget ke tingkap kereta. Hampir tercampak kopiah beliau. Tok Siak pun begitu. Serban sudah tercabut dari ikatan. Keadaan menjadi huru hara. Datsun Haji Rizal tiba2 menukar haluan dengan laju seolah2 satu perlumbaan rally Paris Dakkar.

Ramli merenung Haji Rizal dan Tok Siak dengan sorotan ganas. “Ko dah gila ke Ramli?” “ko nak bunuh kami ke ? ” Haji Rizal tercungap2 mencari oksigen. Dadanya beralun laju.Kelajuan kereta sekarang mendadak menjadi 140km/j. Paling biasa kereta tua ni hanya  boleh pergi 80km/j sahaja. Ini dah kira keluar dari spesifikasi.

“Kalau aku kecewa, biar semua orang kecewa,” jerit Ramli dengan kadar yang sangat kuat. Haji Rizal terlopong. Kalau time tu dia hisap rokok, boleh buat efek bulat bulat. Tok Siak dah pengsan di belakang. Kelajuan sebegitu tidak sesuai dengan usia beliau. Datsun Haji Rizal masuk ke jalan utama meninggalkan rombongan di belakang.

“Ko ni memang dah gilaaaa!!”, Haji Rizal menjerit. Ramli menjeling sambil menguntum senyuman. Senyum yang gila.

KOMA

“Segak betul. Kalau aku ada anak perempuan, memang engkaulah pilihan yang tepat,” kata Haji Rizal kepada Hadi yang segak berpakaian baju Melayu warna hijau pucuk pisang.

“Tapi, silap-silap, Layla jatuh hati kat aku pulak. Sebab baju batik aku lagi cantik warna hijau pucuk pisangnya. Ini batik 1Malaysia tau,” kata Haji Rizal lagi.

Ayat kedua buat Hadi rasa panas. Tapi, dia sengaja senyum dan anggap itu hanya gurauan kerana bimbang ketika upacara nikah nanti Haji Rizal menanyakan soalan-soalan tahap emas kepadanya.

Kenderaan bertolak menuju ke rumah Layla apabila semuanya sudah sedia termasuklah Ramli. Awal-awal lagi dia menyalami Hadi dan mengucapkan tahniah. Pujuk hati kononnya walaupun babak akhir Kuch Kuch Hota Hai masih berbayang.

Hadi cuak. Wajahnya berpeluh sedari tadi. Habis tisu dalam kereta digunakan. Cemas bercampur gembira sehingga bayang pokok pisang yang melepasi kereta pun ternampak seperti Layla sedang berlari dengan slow motion.

Ramli yang memandu kereta Haji Rizal juga sama. Cemas tak menentu. Fikirannya juga berbayang wajah Layla yang pasti cantik di solek dengan padanan baju kebaya songket warna pucuk pisang sehingga pokok-pokok pisang yang dilalui terasa bagai lambaian Layla. Berkali-kali juga matanya dikerdipkan kerana terasa benar pokok pisang itu seperti Layla.

Setibanya di simpang ke rumah Layla, kereta terhenti. Kekecohan yang melanda di ruang laman rumah Layla menandakan sesuatu yang tidak enak untuk dihadam. Hadi segera keluar dari kereta. Begitu juga Ramli dan Haji Rizal. Dari jauh kelihatan Izwan yang dilantik menjadi jurufoto rasmi majlis terkengkang-kengkang berlari menuju kepada Ramli.

“Layla….Layla….” katanya dalam keadaan semput.

Hadi menerpa, “kenapa dengan Layla?”

“Layla sudah melarikan diri…” balas Izwan diikuti senyum meleret Ramli yang tiba-tiba merasakan dirinya sebagai Shah Rukh Khan.

Kemudian Hadi dan Ramli sama-sama bersuara, “pokok pisang tadi….”

Hadi terjelepuk di pinggir jalan dengan suara Bedah Lawa memekik bengang gincu Avon warna maroonnya sudah lunyai.  Pak Long Kamil kebuntuan. Haji Rizal pula mengurut dagunya jang berjanggut dua helai. “Habis aku punya elaun hari ni…” bisik Haji Rizal merenung jauh ke hadapan.

KOMA

“Fuhhh..mujur mereka tak nampak,” kata Layla sambil membuang pelepah pisang yang menutupi sebahagian baju nikahnya yang berwarna hijau pucuk pisang.

Dalam kepayahan, Layla berlari menuju ke rumah Hafis. Kata-kata Ramli sedari semalam membelenggu fikirannya.

Benarkah Hadi begitu?

“Hafis, harap-harap engkau ada di rumah. Hafis, aku datang……..” bisik Timah dalam gaya Rosyam Nor menunggang motorsikal berkuasa tinggi dalam filem KL Menjerit.

Bersambung ke blog HAFIS

Kata orang, berani kerana benar. Takut kerana salah.

Untuk menceritakan kisah benar ini, Layla memberanikan diri menceritakannya semula setelah sekian lama ia tersimpan di dalam diari merah jambunya.

KOMA

Malam itu dingin. Sengaja Layla tidak menutup tingkap biliknya yang menghadap pohon mempelam dan beberapa batang pokok kekabu yang menghuni kawasan belakang rumahnya.

Dia menekan butang ‘on’ pada radio kecilnya. Jemarinya pantas juga membuka helaian buku rujukan sejarah yang perlu dibaca. Lagu yang berkumandang membuatkan jemarinya terhenti seketika…..

“Benar…benar sebenar-benarnya…aaaaaa..aku menyintai kamu…uuuuuu….”

Suara penyanyi kumpulan Senduk itu membuat Layla leka. Biasalah, remaja perempuan seperti dia memang selalu terbuai dengan lagu-lagu cinta.

Jam menunjukkan pukul 12 tengah malam. DJ radio mengumumkan segmen seterusnya, “telefon saya di talian….bla..bla…untuk menceritakan kisah benar anda. Saya tunggu panggilan dari anda. Cerita apa sahaja….”

Lagu berkumandang semula…

Layla menyelak-nyelak buku sejarah di hadapannya dengan malas. Seketika DJ bersuara apabila lagu habis dimainkan.

“Ok, saudari, apa yang saudari mahu ceritakan…boleh cerita sekarang..”

Gadis yang bersuara halus yang menghubungi DJ itu memulakan kisahnya, “hari itu, kami sekeluarga memulakan perjalanan menuju ke utara. Kami menggunakan lebuh raya Karak. Suasana jalan agak sunyi..”

“Kenapa tidak buka radio? ha ha ha…..saya gurau sahaja..” sampuk DJ.

“Apalah DJ ni, spoiler betul…” gumam Layla. Dia menguatkan sedikit volume radio.

“Layla, kenapa tidak tidur lagi?” tanya emaknya yang tiba-tiba bersuara dari dapur.

“Ulang kaji la mak….” balas Layla.

“Ulang kaji ke berangan? Jangan tidur lewat. Nanti mata lebam. Tak ada orang nak masuk meminang….” bebel mak Layla lagi.

Layla mengerutkan wajah sambil berbisik sendirian, ” mengarut sahaja mak ni. Siapa nak kahwin cepat?”

Layla segera menumpukan pendengarannya kepada radio.

“Kawasan itu memang sunyi…” kata gadis itu.

Layla bergumam geram, “ini semua mak punya pasal. Potong ‘stim’ betul. Orang nak dengar kisah benar ni…kan sudah tertinggal cerita…hmmm.”

Terdengar dengus nafas gadis pemanggil itu. Seolah gadis itu sedang resah dan berdebar. Layla ikut rasa debar.

“Kemudian?” tanya DJ dengan suara tidak sabar.

“Sampai satu selekoh yang tajam, kami sekeluarga terlihat sebuah lori di hadapan kami. Lori itu bergerak perlahan. Abah cuba untuk memotong. Apabila beberapa ketika, abah terus memotong. Malangnya, di bahagian hadapan kami ada sebuah lori lain yang turut bergerak dengan perlahan.”

“Kemudian…” sambungnya lagi sebelum terdiam seketika.

“Kemudian apa, saudari? Eh, ini kredit telefon ada lagi tak ni? Nanti tak sempat nak habiskan cerita. Saya memang suka cerita-cerita mendebarkan ni…” kata DJ lagi.

“Bodoh punya DJ. Memekak sahaja,” Layla bersuara dengan geram tetapi dalam nada yang masih terkawal kerana bimbang emaknya membebel lagi.

Suasana talian sepi. Hanya terdengar esak tangis gadis pemanggil.

“Saudari….saudari…saudari ok ke?” tanya DJ separuh insaf kerana buat lawak tidak kena pada plotnya.

“Saya tidak tahu bagaimana mahu cerita. Segalanya berlaku dengan pantas. Apabila saya sedar, saya sudah berada di satu kawasan yang gelap.”

Tiada suara DJ menyambut.

Gadis itu bersuara lagi, “saya buka mata luas-luas. Meraba poket baju yang terisi telefon bimbit. Saya buka lampu suluh yang ada di dalam telefon itu.”

“Apa yang awak nampak?” tanya DJ dalam suara yang serius.

“Saya lihat ibu saya, adik saya, abah dan juga abang saya semuanya tidak bergerak. Muka mereka penuh darah. Saya menjerit. Saya minta tolong. Saya lihat semua tidak bergerak lagi.”

Layla panik. Peluh mula menitis lembut ditengkuknya. Angin yang berpapasan masuk melalui celah tingkap, membawa rasa seram yang berganda. Segera Layla menutup tingkap dan langsir.

Suasana di dalam radio sepi seketika.

“Habis tu awak bagaimana?” tanya DJ seketika kemudian.

“Saya lihat diri saya. Penuh dengan darah juga. Ini, saya dan keluarga masih di sini…kereta kami ruapanya jatuh ke dalam gaung. Tiada kenderaan yang perasan kami kemalangan.” Gadis itu bersuara lagi dengan nada semakin pilu.

“err…bagaimana ni?” tanya DJ dalam keadaan separuh panik.

Layla juga panik. Dia mendekatkan telinganya dengan radio supaya tidak tertinggal setiap patah perkataan yang diucapkan oleh gadis itu.

“Jangan risau. Saya tidak perlu bantuan siapa-siapa lagi untuk menyelamatkan kami,” gadis itu menyambung kata-katanya.

“kenapa?” tanya DJ.

“Sebab saya pun sudah mati.” Gadis itu menjawab dan talian terus terpadam.

Radio sepi.

Layla juga sepi.

Bulu tengkuk Layla meremang seram. Bunyi pepohon kekabu bergeseran bagai ada pontianak sedang bergayut [kata emak, pohon kekabu tempat permainan pontianak, dan Layla percaya itu].

Radio berbunyi sssssssssssstttttttttttttttttttttttttttttttt…….[seperti televisyen kehabisan siaran].

KOMA

Layla demam. Seminggu lamanya dia tidak ke sekolah. Layla dapat MC daripada doktor.

Cikgu yang datang melawat geleng kepala.

Bukan beliau tidak percaya Layla demam. Ya, kisah benarnya ialah Layla demam.

Yang kisah tidak benarnya ialah cerita Layla. Cikgu mengesyaki Layla terlalu terpengaruh dengan filem hantu yang menghantui masyarakat masa kini sehingga Layla terbawa-bawa obsesinya terhadap hantu ke dunia realiti.

“Kamu biar benar Layla. Mana ada orang mati telefon orang yang hidup.” Dialog terakhir Cikgu Rahmat membuktikan, kisah benar yang dialami Layla menjadi kisah tidak benar kepada orang yang tidak mengalaminya.

Layla terus diam. berharap suara gadis pemanggil itu tidak datang-datang lagi ke gegendang telinganya.

KOMA

Diari merah jambu ditutup kembali.

Layla kini berusia-33 tahun [baru semalam dia meraikan hari ulang tahunnya dengan gemilang, senyum dan bahagia yang tidak terucapkan sehinggalah dia diberi tugasan untuk menulis kisah benarnya di dalam blog peribadinya ; Layla kehilangan nafas. ]

Kisah Benar?

Ini kisah benar yang Layla sengaja tuliskan di dalam laman peribadinya untuk tatapan umum supaya ada yang berkongsi kisah yang sama dan seterusnya mematikan tuduhan beberapa orang di sekelilingnya yang tidak percaya kisah benar yang pernah dialaminya suatu ketika dahulu.

Kamu percaya? Jika tidak, tunggulah panggilan gadis malang itu, suatu hari nanti – Ayat terakhir Layla yang sengaja ditulis untuk menekankan lagi pengaruh pada tulisannya, agar kisahnya ini dipercayai.

**

Kisah Benar versi Sharul-Petai

Kisah Benar versi Rizal Gunx

Kisah Benar versi Azzahari pelitaminyaktanah

Kisah Benar versi Hadi